Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Thursday, December 30, 2010

Tahniah Skuad Harimau

DSN2

YAB Perdana Menteri, Orang Kaya Indera Shahbandar Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak mengisytiharkan Jumaat ini, 31 Disember 2010 sebagai cuti umum untuk meraikan kemenangan sulung pasukan bola sepak Malaysia menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir bola sepak Piala AFF Suzuki 2010.

Kemenangan itu mengakhiri penantian Malaysia selama 14 tahun untuk memenangi piala tersebut.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Skuad Harimau Malaysia berjaya menewaskan pasukan Indonesia menerusi agregat 4-2.

DSN1 YAB Perdana Menteri melahirkan rasa bangga serta gembira atas kejayaan Skuad Harimau Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dan skuad negara telah bermain dengan baik sebagai satu pasukan sehingga berjaya menjulang piala berkenaan. “Saya berasa begitu gembira dan bangga atas kejayaan yang diraih oleh pasukan muda Malaysia. Syabas Harimau Malaya! Kamu semua telah membanggakan negara. Tahniah,” katanya menerusi pesanan ringkas dalam laman sosialnya di Twitter dan Facebook.

Malaysia adalah negara keempat di rantau ini yang berjaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

Dalam satu kenyataannya menerusi Bernama pula, Najib berkata, kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki-AFF adalah sesuatu yang dibanggakan.

“Ini adalah malam paling gemilang dalam bola sepak Malaysia. Pasukan muda telah memberikan kita kebanggaan dan kita mesti bina kejayaan ini untuk menggerakkan bola sepak maju ke hadapan pada tahap yang lebih tinggi. Apa yang kita capai malam ini bukan satu yang sepintas lalu tetapi permulaan dalam sejarah bola sepak kita sebagai yang besar,” katanya.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah di atas kejayaan skuad Harimau Malaya yang melakar sejarah.

Beliau berkata kejayaan malam ini merupakan satu pencapaian yang lebih manis bagi pasukan bola sepak negara selepas 14 tahun menunggu untuk muncul sebagai negara keempat merebut kejuaraan itu selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar idamkan kemenangan. Segala usaha, penat lelah dan pengorbanan setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan jelas terhasil dengan kejayaan ini.

“Tentunya pelbagai perasaan melanda setiap rakyat Malaysia – megah, terharu dan paling utama, semua merasa bersyukur kerana kejayaan ini memperlihatkan kesungguhan mereka yang terbabit, terutamanya para pemain dan jurulatih K.Rajagobal bagi mendapatkan kejuaraan,” katanya .

Muhyiddin berharap kemenangan itu tidak akan melekakan pemain, jurulatih dan pegawai skuad kebangsaan kerana persaingan tentu akan menjadi lebih sengit pada masa akan datang.

“Saya ingin menggesa para pemain untuk terus mengekalkan prestasi sekaligus meningkatkan kecemerlangan yang dicapai agar Malaysia terus gah di persada antarabangsa.

“Saya berharap lebih banyak kejayaan akan direkodkan pada masa hadapan dan pada masa yang sama, mendoakan agar mutu sukan bola sepak Malaysia kembali dihormati dan digeruni, bukan sahaja di Asia Tenggara, malah di seluruh dunia,” katanya.

Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih dan tBola1ahniah kepada penyokong yang telah memberi galakan serta dorongan tidak berbelah bahagi terhadap skuad kebangsaan. Beliau berkata aspirasi inilah yang diperlukan untuk terus membakar semangat wira bola sepak negara bagi mengecapi kemenangan berikutnya. “Penghargaan juga ditujukan kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah* yang telah berjaya menerajui bola sepak Malaysia dan usaha-usaha selama ini sehingga berjaya mengecapi kejayaan ini,” katanya.

Pandangan Panca Persada

Saya yakin kebanyakan rakyat Malaysia yang bergembira dengan kejayaan ini bukan kerana mereka berminat sangat dengan bola sepak, tetapi kerana perasaan bangga dan cintakan tanahair. Negara kita, tanah tumpah darah kita…

su_03_1

* Tidak ramai yang mengetahui bahawa semasa kerancakan kempen Piala AFF Suzuki, KDYMM Sultan Pahang sedang berada di London. Apa yang menarik, semasa perlawanan akhir pusingan pertama di Stadium Bukit Jalil, KDYMM Tuanku membuat kejutan apabila pulang semula ke tanah air semata-mata kerana cinta baginda kepada bola sepak dan juga ingin meniup semangat kepada Skuad Harimau. Pada hari tersebut, baginda tiba di Kuala Lumpur pada jam 6.15 petang dan terus berangkat ke Stadium Bukit Jalil. Pada jam 8.00 malam, baginda menonton perlawanan serta memberikan sokongan. Dan selepas perlawanan (lebih kurang jam 12 tengah malam)…baginda berangkat semula ke London…

Istiadat Berandam Suri

Baru-baru ini saya menerima pertanyaan daripada seorang pemantau Panca Persada berkenaan salah satu adat istiadat istana iaitu Berandam Suri.

Istiadat Berandam Suri ini kebiasaannya dilakukan kepada putera dan puteri seseorang keturunan diraja. Adat ini dijalankan sebagai menunjukkan rasa sukacita, gambaran kasih sayang serta kesyukuran yang tidak terhingga atas kurniaan Allah menambahkan bilangan keluarga diraja.

Istiadat ini sebenarnya telah bermula semenjak saat sebelum kelahiran putera atau puteri itu lagi yang boleh disenaraikan seperti berikut :

Istiadat Sebelum Bersalin

Sebelum bersalin, seorang bidan akan ditempah. Justeru, alat-alat berikut diperlukan bagi menjalankan upacara ini iaitu :

  1. Kain alasan 44 helai (kain-kain berkualiti tinggi seperti kain emas dan lain-lain).
  2. Lampan berisi air zam zam, emas, perak dan buah kurma bagi upacara belah mulut.

Istiadat 1 Istiadat 3Istiadat 2 Contoh Istiadat Menempah Bidan di Istana Negara pada 25 Mac 1983

Istiadat Selepas Bersalin

Setelah lahir, putera atau puteri tersebut akan dikerat pusat, disiram dan dipersalin dengan pakaian selengkapnya. Putera atau puteri tersebut akan diletakkan di atas 44 helai kain jung, sarat dengan brang-barang kemas. Selepas itu sebanyak 16 das tembakan dilepaskan*.

Selepas itu, putera atau puteri tersebut akan dibawa ke tengah majlis di dalam istana. Azan dan iqamat dikumandangkan. Upacara belah mulut dilangsungkan dengan menggunakan air zam zam, buah kurma, asam, garam, emas dan perak. Kemudian, doa dibacakan oleh golongan ulama’ (kebiasaannya oleh Sahibus Samahah Mufti atau al-Fadhil Qadhi). Selesai istiadat tersebut, barulah putera atau puteri itu dibawa masuk ke tempat yang dikhaskan.

Istiadat Berandam Suri

Setelah berlangsung 2 istiadat di atas, maka barulah dilangsungkan pula Istiadat Berandam Suri. Pada kebiasaannya istiadat ini akan dilangsungkan dalam masa 7 hari pertama selepas putera atau puteri itu dilahirkan. Namun kebiasaannya di Pahang, upacara ini diadakan dalam masa 40 hari putera atau puteri itu berumur dan disambut sekali dengan majlis akikah.

* Peringatan

Sekiranya putera atau puteri tersebut mangkat semasa lahir atau sebelumnya (dalam perut), maka kurniaan 16 das tembakan meriam masih terkanun dan perkabungan akan berlaku jua.

Wednesday, December 8, 2010

Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Pahang 1432H

Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Pahang telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan. KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan berangkat menyempurnakan majlis tersebut.

Ketibaan

Turut kelihatan menyambut – dari kiri - Y.B. Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail (Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang), YB Dato' Haji Mohamad Sahfri bin Ab. Aziz (Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-badan Bukan Kerajaan), YH Dato’ Haji Muhammad bin Ubaidullah (Pengarah Jabatan agama Islam Pahang) dan YS Timbalan Pesuruhjaya Polis Dato’ Sharifuddin bin Abd. Ghani (Ketua Polis Pahang).

Titah

Dalam titah DiRaja, KDYMM Tuanku telah memberikan penekanan kepada soal peri pentingnya penyatuan umat Islam tanpa mengira ideologi politik, negeri asal atau status kedudukan. Ternyata, KDYMM Tuanku begitu prihatin atas perselisihan dikalangan umat Islam khusus dikalangan orang Melayu dan berharap perkara sebegitu tidak melarat ke negeri Pahang.Pada majlis tersebut juga, KDYMM telah berkenan mengurniakan anugerah Tokoh Ma’al Hijrah 2010 Negeri Pahang kepada Bekas Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Pahang, YH Dato’ Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Rahman atas sumbangan besar beliau dalam bidang perundangan Islam di negeri ini.

Selain itu, bekas Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang YH Dato’ Haji Abdul Rahim bin Jaafar pula dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah kategori Sumbangan Individu atas jasa-jasa beliau terlibat sebagai Hakim Tilawah al-Quran hingga ke peringkat kebangsaan.

Bagi kategori jabatan kerajaan pula, Markas 4 Briged Mekanisme yang diwakili oleh Panglimanya, Brigadier General Zamrose bin Mohd. Zin telah diberi penghargaan khas atas sumbangan mereka yang begitu aktif mengadakan program-program keagamaan kepada anggota dan masyarakat sekitar.

Persembahan Ceramah

Sepertimana tradisi sebelumnya, Sambutan Ma’al Hijrah akan menyajikan santapan rohani berbentuk Ceramah Khas. Kali ini tibalah giliran YH Dato’ Mohd. Zawawi bin Yusoh, Ketua Fasilitator dan Penceramah Human Touch Consultant (HTC) menyampaikan syarahan. Beliau yang merupakan bekas pensyarah di Universiti Islam Malaysia adalah seorang penceramah nasional yang dikenali ramai. Ini merupakan penampilan sulung beliau di Pahang selepas dianugerahkan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Kedua, Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) sempena ulang tahun ke-80 Hari Keputeraan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah baru-baru ini.

Dato Zawawi

YH Dato’ Mohd. Zawawi bin Yusoh sewaktu tiba di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan untuk menyampaikan ceramah

Tuesday, November 23, 2010

Tanggungjawab Raja-Raja Melayu Lindungi Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Kepentingan Kaum Lain

Berikut merupakan petikan berita daripada lamanweb Khabar Pahang berkaitan dengan Titah KDYTM Tengku Mahkota Pahang Sempena Keputeraan Ayahanda di Istana Abu Bakar, Pekan. Laman ini dikendalikan oleh Pejabat YAB Menteri Besar Pahang dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Bil. 02/Okt/2010, 16 – 31 Oktober 2010.

Titah TM BALAIRUNG SERI, ISTANA ABU BAKAR, BANDAR DIRAJA PEKAN -

"Adalah menjadi tanggungjawab seorang Raja membela nasib rakyat berbilang kaum di negeri Pahang," titah KDYTM Tengku Mahkota Pahang dalam perutusan sempena Hari Keputeraan ke-80 KDYMM Sultan Pahang pagi Ahad, 24 Oktober, di sini.

"Ini adalah juga satu wasiat keturunan Raja-raja Pahang yang terdahulu," titah Baginda yang mewakili Kerabat-kerabat Bergelar, Kerabat-kerabat, Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Diraja, Orang Besar-Besar Negeri dan Dato'-Dato'.

"Ini termaktub dalam Wasiat Raja-raja Melayu para ke-7 yang diperkenankan pada 5 Ogos 1957, diantara Raja-Raja Melayu dan British.

"Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (termasuk kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)," titah Baginda.

Dalam lenggok yang kira-kira serupa, Baginda menyarankan agar seluruh rakyat negeri ini terus menghayati dan memahami kepentingan institusi beraja yang terbina atas semangat 'Raja Adalah Payung Kepada Rakyat'.

Raja Penyelamat Agama dan Bangsa

Pemerintahan beraja ini pula titah Baginda lagi, telah wujud sejak abad ke-13 serta telah banyak membawa kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat sekelian.

"Pelbagai rintangan telah diharungi, termasuk peperangan menentang penjajahan Aceh, Belanda dan Inggeris; serta pergolakan politik. Namun, Kesultanan Negeri Pahang Darul Makmur ini kekal memerintah hingga ke hari ini kerana mempertahankan agama, bangsa dan negeri Pahang tercinta ini.

"Justeru, patik ingin menegaskan bahawa pemerintahan beraja ini perlu diteruskan kesinambungannya. Pepatah juga menyatakan bahawa raja dan rakyat berpisah tiada.

"Di saat genting di mana berlakunya pergolakan politik, maka rajalah menjadi penyelamat agama dan bangsa," tegas Baginda memperihalkan peranan penting Raja-Raja Melayu kita.

"Peristiwa yang berlaku kebelakangan ini di mana ada yang tidak lagi menghormati institusi beraja adalah amat merbahaya kepada masa depan agama dan bangsa. "Situasi seumpama ini harus dijadikan teladan semoga ianya tidak merebak ke negeri ini," titah KDYMM Tengku Mahkota lagi.

Kelemahan Diperbaiki Dari Masa Ke Semasa

Dalam pada itupun Baginda akui, berlaku kelemahan tertentu yang tidak disedari oleh pemerintahan Kesultanan Negeri semasa hendak menyempurnakan peranannya dengan penuh hemah dan bertanggungjawab.

"Justeru, kelemahan seumpama ini akan diperbaiki dari masa ke semasa, demi kesinambungan kesejahteraan rakyat," titah Baginda.

Sepanjang 36 tahun pemerintahan KDYMM Sultan Pahang (sejak 1974) titah Baginda lagi, KDYMM Tuanku merupakan Raja Pemerintah yang amat dikasihi lagi dikagumi oleh rakyat-jelata.

KDYMM Tuanku juga merupakan Raja yang amat mengambil berat terhadap soal kesempurnaan prasarana yang rakyat nikmati dengan Baginda sendiri berangkat ke setiap pelosok negeri bagi memastikannya.

Pengiktirafan dan Penghargaan

Selain itu titah Baginda, KDYMM Tuanku turut menghargai sumbang-bakti para pembesar negeri serta rakyat keseluruhannya.

"Sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbang-bakti mereka, maka pada pagi yang mulia ini, Seri Paduka Ayahanda memperkenankan penganugerahan tertinggi iaitu Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Dimulia - Peringkat Pertama Sri DiRaja Sultan Ahmad Shah (SDSA) yang membawa gelaran Dato' Sri DiRaja.

"Ini membuktikan bahawa Seri Paduka Ayahanda amat menghargai dan mengiktiraf jasa bakti yang dicurahkan oleh pembesar-pembesar negeri dan rakyat negeri Pahang," titah Baginda.

Baginda seterusnya menzahirkan perasaan kebanggaan terhadap kecemerlangan pemerintahan ayahanda Baginda itu yang telah dapat menyatu-padukan seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira kaum dan ideologi politik.

"Ini amat bertepatan dengan semangat Satu Malaysia. Sesungguhnya perubahan dan kemajuan yang telah dicapai dalam negeri Pahang Darul Makmur amatlah membanggakan," titah KDYTM Tengku Mahkota.

Raja Melayu Mestilah Putera Melayu

Dalam nada yang bersantai pula, Baginda mengungkapkan kembali apa yang diistilahkan sebagai Melayu oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Dato' Sri Mohd. Najib Abdul Razak pada Perhimpunan Agung UMNO beberepa hari sebelum ini (21, 22 dan 23 Oktober), lalu dirujukkan kepada seorang Raja Melayu.

"Seorang Raja Melayu mestilah putera Melayu," titah Baginda sambil menyusur-galurkan perihal kisah ayahanda Baginda, KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah, yang diputerakan pada 1930, di Mahkotakan pada 1944, di Sultankan pada 1974 serta menjadi SPB Yang Dipertuan Agong antara 1978 dan 1983.

"Pemerintah Melayu, khalifah Melayu, pegawai tentera Rejimen Askar Melayu, bersekolah Melayu, bertutur Bahasa Melayu dan juga bahasa Jepun serta bahasa Inggeris.

"Suka santap makanan Melayu seperti kuih kacang, sambal, ikan patin tempoyak. Beristerikan orang Melayu, bonda Almarhumah Tengku Ampuan Afzan dan Sultanah Hajah Kalsom dari Pakistan juga Melayu menurut YAB Perdana Menteri.

"Tuanku juga penggalak seni warisan Melayu, suka menyanyi lagu Melayu, berpantun dan berseloka Melayu. Lebih-lebih lagi membela nasib orang Melayu. 'This is the paramount agenda as' Raja Melayu. Inilah satu agenda mutakhir (teragung) untuk membela nasib orang Melayu," titah Baginda lagi.

Kata-Kata Manis

Sebelum mengakhiri titah ucapan, KDYTM Tengku Mahkota telah menyembahkan kata-kata manis sebagai penghargaan terhadap KDYMM Sultan Pahang sempena Hari Keputeraan ke-80 ini, nukilan DYMM Sultanah Pahang, Perdana Menteri dan isteri, KDYTM Tengku Puan Pahang, serta padika-paduka anakanda iaitu :

YAM Tengku Puteri Lela Wangsa Pahang, YAM Tengku Puteri Seri Teja Pahang, YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, YAM Tengku Muda Pahang, YAM Tengku Seri Lela Manja Pahang, YAM Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang, serta YAM Tengku Arif Temenggong Pahang.

Antara yang menarik serta berunsur jenaka ialah oleh DYMM Sultanah Pahang yang menyebut : "Tuanku, you are not 80. You are 18 with 62 years experience" (Tuanku bukannya berumur 80 tahun. Tuanku cuma 18 tahun dengan 62 tahun pengalaman).

YAM Tengku Puteri Lela Wangsa Pahang pula menyebut : "Bok is so caring, loving, generous and understanding". (Bok [nama panggilan anakanda-anakanda terhadap KDYMM Sultan Pahang] sangat mengambil berat, penyayang, pemurah dan sangat memahami).

YAM Tengku Muda Pahang pula : "Not only a great father to all of us, but you also have the ability to draw people to respect you as a father to all walks of life..."(Bukan sekadar ayahanda yang hebat untuk kami semua, tetapi juga punya keupayaan menarik orangramai untuk menghormatimu sebagai ayahanda kepada semua daripada pelbagai latar kehidupan).

YAM Tengku Arif Temenggong Pahang pula : "Baba, you are very special to us, a special father and leader. You have instilled a legacy that none of us will forget. A legacy that will allow Pahang flourish and will be passed down to our future rulers. Happy birthday Baba. We love you" (Baba [nama panggilan terhadap KDYMM Sultan Pahang]…Ayahanda adalah teristimewa buat kami, ayahanda dan pemimpin yang istimewa. Ayahanda telah memupuk warisan yang tidak seorangpun antara kami akan lupai. Satu warisan yang akan membolehkan Pahang terus berkembang-maju, yang akan diperturunkan kepada pemerintah-pemerintah masa depan. Selamat hari keputeraan Baba. Kami cintakanmu).

Majlis Pelancaran Buku Raja & Rakyat Berpisah Tiada

Raja dan Rakyat 1Sempena memuliakan Ulang Tahun ke-80 KeputAmar Segaraeraan KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah, satu majlis pelancaran buku bertajuk Raja & Rakyat Berpisah Tiada telah diadakan secara gilang gemilang bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan. Buku tersebut yang merupakan hasil tulisan dan kajian oleh Yang Hormat Dato’ Setia Amar Segara Dato’ Haji Halim bin Haji Ibrahim (gambar kanan) telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang Dato' Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abd. Razak. KDYMM Sultan Pahang turut berkenaan berangkat ke majlis tersebut.

Menurut Dato’ Haji Halim, buku ini merupakan hasil cetusan idea dan titah daripada KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah. “Matlamat karya ini antara lain mengajak rakyat untuk mengenali sejarah susur galur Kesultanan Pahang yang merupakan kesinambungan kepada Kesultanan Melayu” katanya lagi.

Beliau menambah, “arus kemodenan masa kini telah menyaksikan keutuhan institusi beraja yang menjadi paksi kekuatan masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman tersentak seketika tatkala masyarakat di peringkat nasional sejak kebelakangan ini mula mempersoalkan kedaulatan dan kredibiliti raja-raja Melayu sekarang. Justeru, buku ini merungkai secara terperinci bagaimana raja-raja keseluruhannya termasuk peranan Sultan Ahmad Shah yang berjaya menyatupadukan rakyat di negara ini”.

Secara keseluruhannya juga, kehidupan Sultan Ahmad Shah menjalani kehidupan sehari-harinya dan paparan gambar-gambar istimewa baginda diketengahkan untuk renungan generasi akan datang. Ia diharap akan menjadi suatu momen paling indah untuk ditatap. Karya ini juga secara tidak langsung akan mendedahkan formula di sebalik kemajuan yang dicapai olah Negeri Pahang Darul Makmur dan juga merungkai persepsi rakyat terhadap Raja Pemerintah dan persepsi daripada kaca mata Raja Pemerintah terhadap rakyatnya.

Beliau yang juga merupakan Presiden Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM) berharap, semoga buku ini kelak menjadi satu rujukan penting kepada masyarakat, tanpa mengira asal dan keturunan.

Turut berangkat ke majlis tersebut adalah KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah, KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah binti Almarhum Sultan Iskandar, paduka-paduka anakanda dan juga Toh Puan Dato’ Seri Rosmah binti Mansor.

Ucapan Perasmian Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar YAB Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak

"Patik ingin terlebih dahulu menjunjung kasih atas perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku memuliakan majlis pelancaran buku 'Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada', nukilan Yang Hormat Dato' Setia Amar Segara, Dato' Haji Halim bin Haji Ibrahim yang akan disempurnakan oleh patik pada hari yang penuh bermakna ini.

Penerbitan buku "Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada" bersempena dengan ulang tahun hari keputeraan Tuanku adalah amat tepat pada masanya, ini kerana tahun ini menandakan tahun ke-36 Tuanku bersemayam di singgahsana pemerintahan negeri, sejak Tuanku dilantik sebagai Sultan Pahang Ke-5 pada 7 Mei 1974.

Oleh kerana buku yang bakal dilancarkan merupakan karya seorang individu yang boleh dikatakan akrab dengan Tuanku, maka ia sudah tentu memuatkan pelbagai peristiwa bersifat peribadi dan 'candid', yang selama ini tersembunyi dari umum. Karya ini akan membolehkan pembaca lebih mengenali secara dekat hati budi dan jiwa raga Tuanku. Patik percaya kisah-kisah “anecdotal” sebeginilah yang akan terus mendekatkan Tuanku kepada pembaca dan seterusnya rakyat jelata.

Personaliti Tuanku yang sentiasa ramah dan cepat mesra menjadikan Tuanku seorang raja yang dekat di hati rakyat. Setahu patik, tiada seorang pun yang tidak tertarik dengan personaliti Tuanku. Sebab itu, Tuanku adalah seorang yang teristimewa yang ramai peminatnya sama ada dikalangan yang tua mahupun yang muda.

Walaupun ia bukanlah buku yang pertama yang diterbitkan berkaitan Tuanku mahupun patik yakin ia bukan buku terakhir, namun ia tetap penting sebagai rekod tawarikh guna untuk teladan serta panduan bagi generasi hari ini mahupun untuk generasi mendatang. Sesungguhnya bangsa yang tidak tahu mahupun berminat terhadap sejarah warisan bangsanya sendiri adalah bangsa yang lemah dan miskin semangatnya.

Sebagai seorang yang pernah diamanahkan selaku Menteri Besar Pahang dalam usia yang agak muda, patik merasa bertuah untuk mendapat bimbingan Tuanku sejak awal kerjaya patik sehingga pada hari ini. Meskipun patik sudah sampai ke mercu pentadbiran kerajaan, tetapi patik merasa amat bertuah dapat bernaung di bawah payung Tuanku.

Ampun Tuanku,

Patik mohon perkenan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, untuk berucap sepatah dua kata kepada hadirin sekalian.

YAB Dato' Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob,
Menteri Besar Pahang

Yang Amat Mulia,
Kerabat-Kerabat Bergelar

YB Dato' Sri Muhammad Safian Bin Ismail,
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang

Yang Berhormat,
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Hormat,
Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri

YH Dato' Setia Amar Segara Dato' Haji Halim bin Haji Ibrahim

Hadirin Sekalian

Sistem Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, merupakan antara teras-teras asas pentadbiran negara. Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT lipatan sejarah menunjukkan bahawa perjalanan negara ke arah sistem ini bersifat evolusi, bersandarkan muafakat dan berlatarbelakangkan ketertiban berbeza dengan sesetengah negara di dunia di mana ianya melibatkan revolusi dan anarki.

Di United Kingdom misalnya ia dibibitkan melalui krisis di antara para Barons dan Raja Inggeris pada ketika itu King John, krisis ini membuahkan Magna Carta sebuah piagam yang telah dimaktubkan pada tahun 1215 Masihi. Magna Carta menandakan bermulanya pemerintahan berperlembagaan, lahirnya institusi Parlimen, wujudnya prinsip kedaulatan undang-undang dan bermulanya bibit-bibit pengakhiran pemerintahan secara berwewenang atau “arbitrary rule”.

Proses ini tidak tamat dengan Magna Carta sebaliknya ia berterusan untuk lebih 700 tahun, sehingga lahirnya demokrasi moden seperti mana yang terdapat pada hari ini. Sepanjang tempoh tersebut ia telah melibatkan perang saudara, revolusi dan pembaharuan yang digerakkan rusuhan berdarah.

Berbeza dengan United Kingdom, di Malaysia sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang bermula dengan kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957. Ia diasaskan bukan di atas pertelingkahan di antara raja dan rakyat tetapi dibina di atas dasar saling memahami dan menghormati aspirasi masing-masing.

Sejarah telah menunjukkan apabila penjajah Inggeris cuba melemahkan institusi Raja-Raja Melayu melalui rancangan Perlembagaan Malayan Union pasca Perang Dunia Kedua, orang-orang Melayu sendiri yang telah bangkit menentangnya. Mereka telah bersatu di bawah kepimpinan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar dan payung UMNO untuk menggagalkan rancangan tersebut, dan menggantikannya dengan sistem pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu yang telah meletakkan Raja- Raja Melayu di tempat yang hak.

Sistem raja berperlembagaan di negara ini wujud hasil persetujuan dari Raja- Raja Melayu sendiri yang bermuafakat bersama-sama UMNO, serta Parti Perikatan yang mewakili rakyat. Berbeza dari sejarah United Kingdom sejarah Malaysia menunjukkan sikap berlapang dada Raja-Raja Melayu yang sanggup berkorban demi memenuhi aspirasi rakyat mereka.

Segala susun atur dan perjalanan sistem bernegara ini diasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara serta hasil ijmak semua pihak. Ia telah diperkukuhkan lagi dengan rukun negara yang merupakan ideologi kebangsaan. Kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang adalah tiga dari lima prinsip yang membentuk rukun negara.

Sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen ini telah membuahkan keamanan dan kestabilan politik semenjak merdeka. Ia telah membolehkan pembangunan dilaksanakan secara terancang dan tertib. Hasilnya taraf hidup rakyat telah berjaya ditingkatkan dengan ketaranya, dalam tempoh hanya 50 tahun.

Kita juga telah berjaya mentransformasikan negara dari sebuah negara pertanian yang berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi.

Terbukti ia sistem yang terbaik yang telah ternyata keberkesanannya. Ia mengadunkan warisan tradisi negara yang terbaik bersama-sama aspirasi rakyat terbanyak. Untuk itu semua rakyat perlu terus mempertahankan sistem yang terbukti berkesan membawa kestabilan ini. Tidak ada sebab untuk kita bersikap ibarat tikus membaiki labu.

Maka usaha menerbitkan buku ini boleh disifatkan sebagai memperkukuhkan kefahaman dan kepercayaan kepada institusi Raja berperlembagaan secara berterusan. Semoga Institusi Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen akan terus berkekalan selamanya.

Dengan doa tersebut, saya dengan lafaz mulia Bismillahirahmanirrahim melancarkan buku 'RAJA DAN RAKYAT BERPISAH TIADA' ini.

Ampun tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patik, mohon di ampun

Sekianlah sahaja ucapan patik kepada hadirin sekalian. Akhir kata Patik berdoa ke hadrat Allah Subhanahuwataala semoga Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan sihat walafiat, dilanjutkan usia, aman sentosa, dilimpahkan nikmat dan dimurahkan rezeki kekal bersemayam di atas singgahsana untuk patik semua dapat bernaung di bawah payung Tuanku.

Ke bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang; Ke bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang; serta semua kerabat diraja.

Ampun tuanku,

Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh".

Raja dan Rakyat 2

Majlis Pengkisahan Tun Razak

Tun RazakHari ini bertempat di Auditorium Darul Makmur (ADAM), Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan telah diadakan Majlis Siri Jelajah Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan - Suatu Pengkisahan yang dianjurkan bersama oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang, Alliance Foundation Malaysia dan Orlaith Inc. Sdn. Bhd. Seperti yang dimaklumi, Almarhum Tun Haji Abdul Razak bin YDH Dato' Hussein merupakan Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang ke-10.

Negeri Pahang diberi penghormatan sebagai destinasi pertama program ini yang mana pihak penganjur akan memulakan penjelajahan ke seluruh negara sehinggalah berakhir pada penghujung tahun 2011 di Royal Albert Hall, London.

Dalam sesi pengkisahan pagi ini, seramai 4 orang tetamu yang rapat dengan Almarhum Tun Abdul Razak telah dijemput bagi berkongsi cerita. Mereka ialah :

1. Tan Sri Dato’ Mohd. Yusof bin Hitam

Beliau merupakan bekas Penolong Pegawai Daerah bagi Daerah Kecil Rompin pada tahun 1961 – 1962. Beliau juga adalah bekas diplomat yang pernah bertugas di beberapa buah negara asing serta pernah juga berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar. Banyak misi serta tugas rahsia yang melibatkan keselamatan negara telah Allahyarham Tun amanahkan kepada beliau, namun atas dasar kerahsiaan tidak dapatlah saya kongsikan kisah-kisah itu dalam Panca Persada ini.

2. Dato’ Hamidin bin Abdullah

Beliau sangat dikenali sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Ke-7 (2001 - 2005). Berasal dari Sanggang, Temerloh dan pernah menjadi Pegawai Daerah di Cameron Highlands semasa zaman pentadbiran Almarhum Tun Razak. Sumbangan terbesar beliau adalah tatkala menjadi Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka sekaligus ‘arkitek’ kepada pembentukan awal Jengka.

3. Dato’ Haji Zainuddin Haji Jumaat

Setiausaha Agung Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang. Beliau banyak membuat kajian mengenai sejarah Pahang khususnya berkaitan Almarhum Tun Razak.

4. Dato’ Haji Khairudin Mohd. Kawi

Merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang pertama (selama sepuluh tahun bermula 1969). Beliau antara tokoh terulung di Pahang yang menyimpan dan menulis manuskrip sejarah Pahang dari segi politik dan kebudayaan.

Banyak kisah-kisah menarik tentang sisi lain Almarhum Tun Razak yang jarang diketahui oleh orang ramai. Ada yang sulit dan ada yang tidak sesuai didedahkan di alam siber khususnya dalam hal-hal berkaitan rahsia keselamatan negara. Pada sebelah petang, majlis penutup telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob.

Thursday, November 4, 2010

Kenali Panca Persada (The Royal Platform)

Saya menerima satu e-mail daripada seorang pemantau setia Panca Persada, bertanyakan tentang apakah sebenarnya Panca Persada?

Sebagai perkongsian maklumat, Panca Persada (The Royal Platform)Panca Persada merupakan bangunan indah empat persegi tirus ke atas, berbentuk lima tingkat bertangga-tangga dan di atas sekali merupakan persada dimana diletakkan dua buah kerusi khas untuk istiadat bersiram diraja yang dilingkung dan dikelilingi oleh pembawa-pembawa alat kebesaran diraja. Bangunan ini kebiasaannya dibuat untuk tujuan istiadat bersiram raja dan isterinya sebelum ditabalkan menjadi raja dalam siri perayaan istiadat tabal raja ataupun kerana bersiram dua pengantin diraja sebagai mengakhiri kerja perkahwinan.

Panca Persada e

Dalam konteks istiadat kami di Pahang, alat-alat kebesaran yang digunakan dalam adat istiadat diraja Pahang (rujuk kembali http://pancapersada.blogspot.com/2009/10/alat-kebesaran-diraja-pahang.html) beserta dengan jejawat-jejawat (pawai-pawai) yang membawa alat-alat itu, akan didudukkan di setiap tingkat Panca Persada tersebut apabila istiadat bersiram bermula.

Panca Persada a

KDYMM Sultan dan DYMM Tengku Ampuan berangkat ke Panca Persada, diiringi oleh YAM Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar, Ketua Adat Istiadat Negeri Pahang (paling kanan)

Susunan kedudukan alat-alat tersebut adalah seperti berikut :

  1. Di atas persada, terletak dua buah Petarakna (seakan-akan pelamin) tempat bersiram raja. Air persiraman pula terdiri daripada :

    1. Air Mayang Nyior

    2. Air mayang Pinang

    3. Air Tolak Bala

    4. Air Doa Selamat

    5. Air Tujuh Anak Sungai

  2. Cogan, Bentara Kanan dan Kiri, Dua Pedang, Dua Keris.

  3. Di belakang Petarakna, disusun pula Ternang dan Ketur di sebelah kanan, Pembaran dan Puan disebelah kiri, dua pelayan perempuan sebelah kiri dan dua pelayan lelaki disebelah kanan.

  4. Beberapa pengiring raja berdiri disebelah hadapan Persada.

  5. Tabir-tabir yang dipasang dihadapan Panca Persada dilabuhkan tatkala istiadat bersiram dijalankan.

  6. Alat-alat serba enam bekas yang terdiri daripada :

    1. 16 buah Ternang diletakkan di tingkat pertama dari atas.

    2. 16 buah Pembaran diletakkan di tingkat dua dari atas.

    3. 16 buah Dian diletakkan di tingkat tiga dari atas.

    4. 16 Kain Dukun diletakkan di tingkat empat dari atas.

    5. 16 orang Ahli Dikir didudukkan di tingkat lima dari atas

Panca Persada d

Istiadat Bersiram sedang dilangsungkan

Alat-alat ini dengan jejawat yang membawanya diatur di sebelah kiri dan kanan tangga dan tingkat Panca Persada itu dengan dua di kanan dan dua di kiri keempat-empat penjuru Panca Persada tersebut.

Jejawat-jejawat (pawai-pawai) itu hendaklah memakai pakaianPanca Persada b seragam berwarna putih bersampin hitam dengan tanjak hitam tanpa keris bagi lelaki atau berbaju putih dan berkain hitam bagi perempuan serta bertudung kepala. Mereka akan membawa tiga jenis peralatan iaitu 16 Payung Berkembang, 16 batang Tombak dan 2 bilah Lembing. Jejawat-jejawat yang membawa tiga jenis alat ini berbaris di kiri dan kanan jalan menghala ke tangga naik Panca Persada.

Panca Persada cPerarakan DiRaja sedang menuju Istana Abu Bakar, selepas Istiadat Bersiram

(Rujukan : YAM Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar; Peraturan Adat Istiadat Raja-Raja Negeri Pahang, 1971, hlm. 23 – 24).

Saturday, October 23, 2010

Dirgahayu Tuanku!…

Keputeraan

KDYMM Sultan Ahmad Shah ketika kecil bersama Paduka Nenda, DYMM Sultan Perak, Paduka Sri Sultan Sir Alang Iskandar Shah II al-Kaddasullah ibni al-Marhum Sultan Sir Idris Murshid al-Azzam Rahmatullah Shah

Esok, genaplah 80 tahun atau 29,220 hari usia KDYMM Sultan Pahang. Jumlah tersebut adalah bersamaan dengan 4,174 minggu; 701,280 jam; 42,076,800 minit dan 2,524,608,000 saat.

Menelusuri sejarah, Tengku Ahmad Shah telaMangga Tunggalh diputerakan di Istana Mangga Tunggal, Pekan (gambar sebelah) pada tanggal 24 Oktober 1930M bersamaan hari Jumaat, 2 Jamadil Akhir 1349H. Baginda merupakan anakanda ketiga KDYMM Sultan Abu Bakar denqan DYMM Tengku Ampuan Fatimah. Anakanda Baginda yang sulung adalah seorang puteri sementara anakanda kedua seorang putera yang mangkat semasa kecil.

Pengalaman kehilangan putera bakal pewaris takhta pemerintahan menyebabkan DYMM Sultan dan DYMM Tengku Ampuan merasa teramat sedih lalu bernazar, sekiranya dikurniai lagi oleh Allah s.w.t putera, Baginda akan mengurniakannya kepada DYMM Sultan Perak, Paduka Sri Sultan Sir Alang Iskandar Shah II al-Kaddasullah ibni al-Marhum Sultan Sir Idris Murshid al-Azzam Rahmatullah Shah, paduka ayahanda Tengku Ampuan untuk dijadikan cucuanda angkat.

Nazar Baginda itupun ditunaikan sebaik-baik sahaja DYMM Tengku Ampuan melahirkan seorang putera yang dikurniakan nama Tengku Ahmad Shah. Tinggalah Tengku Ahmad Shah bersemayam di Kuala Kangsar. Semasa meningkat umur 10 tahun, Baginda memulakan persekolahannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Sekolah Clifford. Ketika berumur 12 tahun barulah Baginda dibawa balik ke Pahang.

Selepas pemerintahan Jepun, Baginda menyambung persekolahannya di Sekolah Clifford, Kuala Lipis. Di Sekolah Clifford beliau tinggal di asrama, sama seperti murid-murid biasa. Baginda sendiri tidak mahu dilayan sebagai putera raja, sebaliknya Baginda lebih banyak bergaul dengan pelajar-pelajar dari kalangan rakyat biasa. Di sinilah bakat kepimpinan dan kesukanan Baginda mula dipupuk yang akhirnya bercambah dengan suburnya menjadi darah daging dalam kehidupan Baginda.

Pada 25 Mei 1944, Baginda dimasyhurkan menjadi Tengku Mahkota Pahang. Tidak berapa lama kemudian, Baginda dihantar semula untuk menyambung pelajaran di sekolah lama Baginda iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Pada tahun 1948 atas kehendak ayahanda dan bonda, Baginda dihantar ke England, menaiki kapal laut yang bernama Andre Lebon.Audre Lebon Pelayaran yang memakan masa selama 25 hari itu mengajar Baginda untuk pertama kalinya berjauhan dengan kaum keluarga dan kampung halaman. Baginda telah bersekolah di sekolah persendiran di Sussex sebelum memasuki Worcester College, Oxford (gambar bawah) untuk mengikuti Kursus Pentadbiran Awam. Worcester College Setelah selesai pengajian di Oxford, Baginda melanjutkan pula pelajaran di University College of South West England, Exeter, Devon. Kali ini Baginda mengikuti kuliah dalam bidang Kerajaan Tempatan dan menjalankan praktikum di Urban District Council Sidmouth, Devon.

Exeter

University College of South West England, Exeter, Devon

Perkahwinan Baginda dengan Yang Teramat Mulia Tengku Afzan binti Tengku Muhammad pada 24 April 1954 telah dikurniakan dua orang putera dan lima orang puteri. Putera-puteri Baginda ialah Tengku Mariam, Tengku Muhaini, Tengku Aishah, Tengku Abdullah, Tengku Abdul Rahman, Tengku Nong Fatimah dan Tengku Shahariah. Sebagai putera tertua, Yang Teramat Mulia Tengku Abdullah merupakan bakal pewaris takhta Kerajaan dan bergelar Tengku Mahkota Pahang.

Kebawali Duli Yang Malia Mulia Tuanku telah dimasyhurkan sebagai Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Pahang Darul Makmur dan jajahan takluknya pada 7 Mei 1974. Upacara pertabalan telah dijalankan kemudiannya dengan istiadat berwarna-warni dan penuh tradisi. Bandar Diraja Pekan dihiasi terang-benderang bagi memuliakan istiadat yang bersejarah dan penuh makna itu. Adat Mengaruk iaitu suatu bentuk teater terbuka yang melibatkan ratusan peserta diadakan buat pertama kali setelah ratusan tahun tidak diadakan sebagai gambaran kegembiraan hati rakyat jelata terhadap pertabalan Kebawah Duli.

Perlantikan DYMM Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah sebagai DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ketujuh dan DYMM Tengku Ampuan Hajah Afzan sebagai DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong merupakan satu lagi detik bersejarah dalam diari kehidupan Baginda. Meskipun dengan perlantikan ini Baginda terpaksa berada di luar Negeri Pahang, aktiviti dengan rakyat jelata dan pelaksanaan program pembangunan Negeri Pahang tidak pernah hilang daripada diari Baginda.

Pepatah Melayu yang berbunyi : Jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan telah terbukti menguji seketika kesabaran dan keimanan keluarga diraja khususnya dan rakyat jelata Pahang umumnya, dengan kemangkatan KDYMM Tengku Ampuan Hajah Afzan pada 29 Jun 1988. Takdir Ilahi ini berlaku hanya 6 hari selepas kemangkatan bonda DYMM Sultan, DYMM Tengku Ampuan Besar Pahang.

Peristiwa ini pastimya meniggalkan kesan yang amat tragis dalam sejarah kehidupan DYMM Tuanku. Seluruh rakyat berkabung empat puluh hari di atas kemangkatan yang sangat menyayat hati ini.

Perkahwinan Baginda dengan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1991 telah mengubah suasana kemasyghulan yang menyelubungi Baginda selama ini akibat kehilangan permaisuri dan bonda yang dicintai. Bagi seluruh rakyat Pahang, peristiwa ini sentiasa dipandang sebagai suatu rahmat Allah s.w.t ke atas hamba-Nya.

Daulat Tuanku!

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Terima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P)

pahang-SSAP

Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Mulia (the Most Illustrious Order of Sultan Ahmad Shah of Pahang) Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P)

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang ke-20, Yang Berhormat Dato’ Muhammad Safian bin Ismail, SIMP., DSAP., DIMP., AAP., AMP. dianugerahkan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Mulia (the Most Illustrious Order of Sultan Ahmad Shah of Pahang) Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P) sempena dengan ulang tahun ke-80 Hari Keputeraan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah esok yang membawa gelaran Dato' Sri (Grand Knight).

Darjah kebesaran ini yang mula dizahirkan (diperkenalkan) oleh KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah pada tanggal 24 Oktober 1977, telah dianugerahkan kepada Dato’ Safian yang telah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri sejak 18 Oktober 2007. Penganugerahan ini mencatat sejarah sebagai gelaran Dato’ Sri pertama yang dikurniakan kepada mana-mana Setiausaha Kerajaan Negeri.

Tahniah Dato’ Sri…

Darjah Sri Diraja Sultan Ahmad Shah Pahang (SDSA) Dizahirkan


Buat julung-julung kalinya, Darjah Sri Diraja Sultan Ahmad Shah Pahang (SDSA) dizahirkan di Istana Abu Bakar, Pekan dalam istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang bersempena ulang tahun ke-80 Hari Keputeraan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah esok.

Penerima darjah kebesaran SDSA ini akan membawa gelaran “Dato’ Sri DiRaja”. Penerima pertama gelaran ini esok ialah Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Adnan bin Haji Ya’akob, SSAP., DSAP, DGSM.

Tahniah Dato’ Sri DiRaja…

Dato’ Sri Najib Terima Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormat

Bersempena dengan ulangtahun keputeraan ke-80 KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah esok, Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan Orang Kaya IndeDKIIra Shahbandar Pahang Dato' Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abd. Razak, SPMK., SPMS., DMK., SSSJ., SPSA., SSAP., SIMP., SPNS., SPDK., DUNM., DP., DPMS., DSAP., PNBS. mendapat penghormatan dengan mendahului senarai 1,211 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang.

Beliau dianugerahkan Darjah Kerabat (DK II) Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormat (Most Esteemed Order of the Royal Family of Pahang). Darjah kebesaran ini mula dizahirkan (diperkenalkan) pada 25 Mei 1967 oleh Almarhum Sultan Abu Bakar.


Tahniah Dato’ Orang Kaya…

Wednesday, October 20, 2010

Setem Warisan DiRaja Pahang dilancar

Sempena memuliakan Ulang Tahun ke-80 Keputeraan KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah pada 24 Oktober ini, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan telah melancarkan Setem dan Sampul Surat Hari Pertama Warisan Negeri Pahang.

KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan mSetem 2elancarkan setem khas berkenaan yang bernilai 60 sen, 80 sen dan RM 1.00 yang memaparkan antaranya alat kebesaran diraja, tenun Pahang, cop mohor selain potret baginda dan Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom dan akan mula dijual mulai 24 Oktober ini. Turut berangkat pada majlis tersebut, DYMM Sultanah Pahang, Sultanah Hjh. Kalsom; KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah al-Haj; Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Haji Adnan Yaakob dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Menurut Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat; koleksi setem itu dikeluarkan sebagai memperingati warisan turun-temurun keluarga diraja Pahang dan menghargai kedaulatan pemerintahan baginda.

“Melalui usaha ini juga, ia dapat mengembangkan pengetahuan berkenaan warisan keluarga diraja yang begitu unik.

“Kami juga bangga kerana diberi peluang oleh kerajaan negeri untuk menghasilkan setem ini serta menzahirkan penghargaan kami kepada ke bawah duli tuanku bagi mengekalkan budaya dan warisan Pahang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sampul surat hari pertama pula dijual pada harga 30 sen manakala folder berharga RM 5.50.

Setem 1Maisara Noor Ahmad dari Pos Malaysia menunjukkan setem khas "Warisan Diraja Pahang"

Tenun Pahang DiRaja di Muzium Negara

Tenun

Satu pameran Tenun Pahang DiRaja yang memaparkan tenunan unggul Pahang akan berlangsung pada 26 Oktober 2010 jam 9.00 pagi hingga 31 Disember 2010 jam 6.00 petang bertempat di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Koleksi pameran terdiri daripada kain tenun sejak zaman berzaman yang mempunyai reka corak tradisional sehinggalah kain tenun yang lebih moden dan eksklusif serta bertaraf komersial. Kain tenun dipulihara, dipelihara dari satu generasi ke satu generasi, dimartabatkan dan disimpan sebagai khazanah negara agar ia tidak pupus ditelan zaman.

Silakan…

Saturday, October 9, 2010

Kursi Pahang di Irbid, Jordan

Sempena kunjungan YAB Menteri Besar Pahang ke Universiti Yarmouk, Jordan satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman telah diadakan bagi kerjasama ilmiah dan penyelidikan melalui pengwujudan Kursi Pahang yang akan mengkhususkan kajian berkaitan Sains dan Kajian Islam.

MoU

Presiden Universiti Yarmouk, Prof. Dr. Sultan T. Abu Orabi al-Adwan mewakili Universiti Yarmouk dan YAB Menteri Besar bagi pihak kerajaan Pahang. Turut kelihatan TYT Dato’ Abdul Malek bin Abdul Aziz dan YH Dato' Saariah Saad, Pengurus Besar Yayasan Pahang.

Dibawah perjanjian tersebut, Kursi Pahang akan menumpukan kepada kajian Mualamat Islam khususnya dalam bidang kewangan dan perbankan. Kursi ini juga akan membolehkan pertukaran maklumat antara Universiti Yarmouk dengan institusi pendidikan di Malaysia diadakan lebih kerap lagi.

Tetamu

Tetamu yang hadir menyaksikan MoU di Universiti Yarmouk, Jordan

Ijazah Doktor Kehormat Universiti Yarmouk, Jordan

Anugerah 1 YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Haji Adnan bin Haji Yaakob diberikan penghormatan dan sambutan tertinggi semasa melawat Universiti Yarmouk di Irbid, Jordan sempena majlis penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang Pentadbiran Pendidikan kepada beliau. Antara yang hadir menyambut kedatangan YAB Menteri Besar ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Yarmouk, Zeid Rifai, Presiden universiti Prof. Dr. Sultan T. Abu Orabi al-Adwan dan Gabenor Irbid, Khaled Abu Zeid. Turut sama dalam majlis tersebut adalah Duta Besar Malaysia di Jordan, TYT Dato’ Abdul Malek bin Abdul Aziz.

Anugerah 2

Anugerah 3

Dalam istiadat penganugerahan ijazah kedoktoran tersebut, YAB Menteri Besar Pahang telah dipakaikan kalung khas Universiti Yarmouk yang memaparkan simbol peringatan abadi terhadap Pertempuran Yarmuk.

KalungYAB Menteri Besar bersama Datin Sri Dato’ Junaini Kassim menunjukkan kalung anugerah yang diterima. Sebelah kanan beliau ialah Presiden Universiti Yarmouk, Prof. Dr. Sultan T. Abu Orabi al-Adwan

Sebagai makluman, Pertempuran Yarmuk terjadi pada zaman Rasulullah pada tahun ke-13 Hijrah yang melibatkan pertarungan antara tentera Rom dan Islam. Dalam peperangan pada Jamadil Akhir itu, seramai 100,000 orang tentera Rom kalah kepada tentera Islam yang hanya berjumlah 30,000 orang. Peperangan tersebut membuktikan jumlah tentera yang ramai bukanlah senjata terkuat bagi mengalahkan musuh. Keazaman, ketaqwaan dan semangat jitu untuk mempertahankan agama Allah menjadi penentu segala-galanya. Panglima Islam terbilang, Khalid Al Walid dan Abu ‘Ubaidah memimpin pasukan Islam.

Alfu Mabruk ya Pak Long...

Jamuan Universiti Yarmouk, Jordan

JamuanTurut kelihatan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Hj. Abdul Wahid bin Hj. Wan Hassan (kiri sekali, memegang kamera)

Sempena meraikan kehadiran dan kunjungan YAB Menteri Besar Pahang serta ahli-ahli rombongan ke Universiti Yarmouk, satu majlis jamuan berkonsepkan budaya tempatan telah diadakan. selain juadah yang begitu menyelerakan, para tetamu juga telah dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dan warisan tradisional masyarakat Arab Jordan.

Menurut Presiden Univerisiti Yarmouk, Prof. Dr. Sultan T. Abu Orabi al-Adwan; majlis ini sebagai satu cerminan rapatnya hubungan persaudaraan antara kedua buah negara apatah lagi universiti ini menjadi tuan rumah kepada lebih kurang 400 orang mahasiswa mahasiswi anak-anak Malaysia.

Sementara itu, YAB Menteri Besar Pahang pula menyatakan kekaguman dan penghargaan kepada Universiti Yarmouk atas kesudian menganjurkan jamuan yang sangat istimewa ini. Beliau ternyata amat tertarik dengan persembahan kebudayaan dan tradsional masyarakat Arab Jordan yang begitu unik.

nyanyian

tarian

Wednesday, October 6, 2010

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang

BAB 1 - RAJA PEMERINTAH
  • Raja Pemerintah
  • Raja Pemerintah dan Waris-waris Negeri yang akan menggantikannya hendaklah Melayu daripada Darah Raja dan hendaklah beragama Islam
  • Keturunan Sultan Haji Ahmad Shah
  • Keturunan Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Abdullah dan Sultan Ahmad
  • Jika tiada keturunan Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Abdullah dan Sultan Ahmad yang layak menjadi Raja Pemerintah
  • Memilih, melantik dan menabalkan Raja Pemerintah
  • Raja Pemerintah meninggalkan Negeri berlama-lamaan
  • Raja Pemerintah turun dari takhta Penamatan elaun Raja Pemerintah dalam hal-hal yang tertentu
  • Elaun Raja Pemerintah
  • Wakil Raja Pemerintah dalam Majlis Raja-Raja
  • Isteri Raja Pemerintah
BAB II - JUMAAH PEMANGKU RAJA
  • Tugas-tugas Diraja
  • Jumaah Pemangku Raja
  • Raja Pemerintah belum cukup umur
  • Keuzuran Raja Pemerintah
  • Kegeringan sedikit-sedikit dan meninggal negeri
  • Raja Pemerintah menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong
  • Lantikan Pemangku Raja atau Jumaah Pemangku Raja

BAB III - WARIS GANTI

  • Lantikan Waris Ganti
  • Elaun untuk Waris Ganti dan Isterinya
  • Waris Ganti meninggalkan negeri, dilucutkan jawatan dan menyerahkan balik kuasa
  • Waris-Waris Ganti dan Kerabat-Kerabat Diraja yang boleh mengganggu hal-ehwal Negeri

BAB IV - AGAMA NEGERI

  • Agama Negeri
  • Raja Pemerintah Ketua Agama Neger
  • Majlis Adat Istiadat Negeri Pahang

BAB V - JUMAAH PANGKUAN NEGERI

  • Mengadakan mesyuarat-mesyuarat Jumaah Pangkuan Negeri dan kehadiran dalam mesyuarat-mesyuarat itu
  • Cukup bilangan
  • Lebih suara
  • Peraturan Tetap

BAB VI - PANGKAT-PANGKAT KEMULIAAN DAN ATURAN ADAT ISTIADAT

  • Raja Pemerintah sahaja yang menjadi punca kemuliaan
  • Hak Raja Pemerintah mengurniakan gelaran-gelaran dan pangkat-pangkat kemuliaan
  • Taraf gelaran
  • Kuasa melucutkan gelaran

BAB VII - PERKARA-PERKARA AM

  • Had-had kuasa Raja Pemerintah
  • Cogankata Negeri, Panji-Panji dan Lambang Negeri
  • Pindaan Bahagian ini
  • Pentafsiran Undang-undang Tubuh Kerajaan oleh Mahkamah Tinggi
  • Tafsiran

BAB VIII - PEMBATALAN

  • Pembatalan
  • Jadual

Sunday, October 3, 2010

Elitkraf dan Pingat Kebesaran Pahang

Jasa dan kecemerlangan seseorang dalam sesuatu bidang memang seharusnya dikenang dan dihargai dengan penganugerahan Bintang Kebesaran dan Pielitkraf 2ngat. Inilah masanya anugerah yang dikurniakan itu merupakan barangan yang berkualiti tinggi, halus pembuatannya serta cantik dipandang. Dalam soal ini, pingat dan darjah kebesaran Negeri Pahang telah mendapat sentuhan Syarikat Elitkraf Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Permas Jaya, Masai Johor.

Elitkraf sebelum ini telah mengukir nama dipersada tempatan dan antarabangsa dalam bidang pembuatan yang berkualiti tinggi lagi amat seni pembuatannya samada yang direkacipta oleh pihak Elitkraf ataupun dari pihak pelanggan. Dengan kerja tangan yang halus dan bersih oleh pekerja-pekerja kraftangan syarikat ini, maka terhasillah barangan yang cantik lagi menarik serta mendapat kepujian dari pihak pelanggan yang memilikinya.

Pasukan pekerja kraftangan syarikat ini berkebolehan merekabentuk mengikut citarasa pelanggan yang sudah tentu memerlukan yang terbaik untuk acara-acara rasmi mereka.

Melihat kepada kehalusan ukiran dan seninya, maka jelas pihak istana serta Elitkraf tidak berkrompomi dalam hal kualiti. Natijahnya, anugerah tersebut akan menjadi sesuatu yang terbaik untuk dikenang oleh yang memberi dan lebih-lebih lagi yang menerima untuk kenangan sepanjang hayat.

elitkraf

Friday, October 1, 2010

Forum di Balai Rong Seri Istana Negara

Forum TV1

Pada 30 September yang lalu, saya diundang sebagai salah seorang ahli panel rakaman Forum Perdana Ehwal Islam di Balai Rong Seri, Istana Negara. Bergandingan dengan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, kami membincangkan tajuk ‘1Malaysia 1Ummah’. Pada saya, penganjuran forum kali ini agak istimewa memandangkan inilah julung-julung kalinya pentas forum diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah untuk ditempatkan dalam Balai Rong Seri, Istana Negara. Semasa penganjuran yang pertama pada 12 Jun 2008, pentas forum yang membincangkan tajuk 'Berkat Mahkota, Islam Sepakat' hanya ditempatkan di Perkarangan Istana Negara sahaja.

Disebabkan Seri Paduka Baginda berkenan berangkat untuk mengikuti forum tersebut, maka seawal jam 5.00 petang lagi kesemua panelis dan krew penerbitan telah diminta berkumpul di Bilik Menteri, Istana Negara bagi taklimat istiadat dan protokol oleh Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela. Alhamdulillah sebagai anak Pahang, saya tidak terlalu rungsing memikirkan hal istiadat dan protokol istana memandangkan hal tersebut merupakan suatu kebiasaan kami khususnya warga Jabatan Agama Islam Pahang.

Tepat jam 8.30 malam, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin tiba di Balai Rong Seri. Ustaz Zakaria Osman (JAKIM) selaku moderator forum, memulakan bicara memohon ampuni limpah perkenan bagi menjalankan aturcara majlis. Selama sejam kami berforum tanpa iklan dan tanpa henti, selesailah forum dan saya terus pulang ke Pahang.

Saturday, September 25, 2010

Pahang Dalam Peta Warisan UNESCO

KDYMM Sultan Pahang dan DYMM Sultanah Pahang melawat ruang pameran selepas berakhir acara perasmian

Saya pencinta warisan...Saya adalah warisan, dan warisan adalah saya. Walaupun tiada locus standi dari sudut akademik dalam bidang sejarah atau warisan, saya tetap mencintai warisan. Bagaimana mungkin saya tidak mencintai warisan, kerana saya juga adalah warisan yang sedang hidup...Saya adalah warisan nenek moyang yang dikatakan akarnya menjalar hingga ke Pagar Ruyung. Anak-anak saya di rumah juga sebahagian warisan saya. Kata-kata ini jugalah pernah saya ungkapkan di hadapan warga Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) semasa sesi pidato di Balai Seni Lukis Negara pada majlis sambutan Ma'al Hijrah KeKKWa 2 tahun yang lalu.

Bersempena memuliakan sambutan Hari Keputeraan ke-80 KDYMM Sultan Pahang, selama 2 hari saya bersama warga cendekiawan, sarjana dan intelektual sejarah serta warisan dalam Program Jejak Warisan Negeri Pahang : Wacana Mengingati Sejarah Ke Arah Kecemerlangan Masa Depan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) anjuran bersama UMP dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK). Hari ini merupakan hari terakhir wacana dan KDYMM Sultan Pahang berkenan menyempurnakan perasmian penutup.

Perjalanan program penutup hari ini memang baik, ditambah dengan alunan gamelan lagu Timang Burung, suasananya terasa amat mistikal. Namun alangkah baik jika dapat didatangkan sendiri Kumpulan Muzik Gamelan Muzium Pahang untuk mempersembahkan lagi alunan Perang Manggung, Antawada atau Gambus Menari. Anak-anak muda juga dapatlah melihat sendiri apa itu Demong, Saron, Kenong dan Gambang (kebetulan lokasi UMP pun di Gambang).

Kali pertama mendengar program ini, saya tersenyum sendirian. Kotak fikiran saya berputar memikirkan apa kaitannya UMP sebagai sebuah pusat pendidikan berasaskan kejuruteraan yang sinonim dengan bolts and nuts (hatta motonya pun ialah Engineering, Technology, Creativity) boleh terlibat dalam hal warisan dan pensejarahan?

Bila tiba di UMP, barulah saya mengerti...

Program ini secara asasnya merupakan inisiatif mulia jawatankuasa penyelidikan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan UMP dibawah teraju Dekannya, Prof. Dr. Abd. Jalil bin Borham yang telah melakukan pelbagai kajian berkaitan warisan Pahang sejak Januari 2010 lagi seperti kajian mengenai dialek rakyat Pahang, kajian tokoh pahlawan dan pemimpin, kajian berkaitan masyarakat orang Asli, kajian tentang rumah rakit dan juga sejarah perdagangan di Pahang. Hasilnya, bermula Ogos yang lalu, kajian-kajian kumpulan penyelidik tersebut telah dimasukkan sebagai salah satu kluster kumpulan fokus penyelidikan di bawah Pusat Penyelidikan UMP.

Namun selain itu rupa-rupanya matlamat teragung wacana ini adalah bagi mencari jalan bagaimana untuk meletakkan Pahang diktiraf sebagai peta warisan dunia oleh Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pada hemat saya, usaha ini perlu dibantu oleh setiap warga yang cintakan warisan dan budaya khususnya dikalangan anak-anak negeri Pahang. Namun, saya tidak dapat menyembunyikan rasa khuatir kerana umumnya selama ini pemahaman terhadap warisan majoritinya lebih menjurus kepada kewujudan bangunan lama tinggalan penjajah kolonial. Lihat sahaja Melaka dan Pulau Pinang, yang berhasil mendapat pengiktirafan UNESCO berkeMUNGKINan kerana memiliki bangunan warisan tinggalan penjajah kolonial yang banyak.

Usaha untuk mengangkat Kuala Lipis kerana kononnya memiliki beberapa bangunan tinggalan penjajah kolonial, dilihat seakan-akan menurut jejak langkah Melaka dan Pulau Pinang. Adakah hanya kerana kewujudan kira-kira 14 bangunan warisan kolonial di Lipis seperti bangunan pentadbiran daerah (1919), Sekolah Menengah Clifford (1913), pejabat pos (1910) dan lain-lain; maka kita terus mengundang UNESCO memetakan warisan kolonial ini? Ke mana ingin kita humbankan berpuluh lagi ciri-ciri warisan di Pahang sama ada dari sudut senibina Melayu, permainan rakyat, kraftangan, muzik tradisional dan lagu rakyat Pahang?

Secara sinikal, mungkin ada yang berpendapat elemen-elemen yang saya nyatakan di atas agak sukar diberi penilaian oleh ahli-ahli International Council of Monument and Sites (ICOMOS) dan World Heritage Bureu (WHB) kerana tidak mewakili kemahakaryaan (masterpiece) yang genius. Namun perlu diingat, UNESCO tidak hanya menilai nilai estetika Tapak Warisan Budaya sahaja, tetapi Tapak Warisan Tabi'ie juga boleh dipertaruhkan untuk dinilai. Setakat ini diseluruh dunia, terdapat 19 Tapak Warisan Tabi'ie yang disenaraikan seperti Sanctuary Bersejarah Machu Picchu di Peru dan Laponia di Sweden.

Pahang dan Tapak Warisan Tabi'ie Dunia

Saya tertarik dengan kertas kerja Prof. Emeritus Dato' Dr. Nik Hassan Suhaimi bin Nik Abd. Rahman (gambar kanan) yang merupakan Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau menyarankan agar hutan Lipur Gunung Senyum di daerah Temerloh diangkat sebagai Tapak Warisan Tabi'ie Dunia. Ini kerana, Gunung Senyum merupakan warisan pra-sejarah yang selama ini kita terlepas pandang. Sebagai mantan Qadhi daerah Temerloh, saya bersetuju dengan pendapat beliau tersebut. Sebenarnya jarang orang mengetahui bahawa Kompleks Hutan Lipur Gunung Senyum ini pada hakikatnya terdiri daripada 3 buah bukit iaitu Gunung Jebak Puyuh, Gunung Senyum dan Gua Ular. Umumnya Gunung Senyum memang masyhur dengan gua-guanya seperti Gua Tok Long, Gua Kolam Tujuh, Gua Angin, Gua Terang Bulan, Gua Taman 1, Gua Taman 2, Gua Gajah, Gua Silat, Gua Tali Air, Gua Hidang, Gua Sara, Gua Danau Impian, Gua Gudang, Gua Kelawar, Gua Piala, Gua Tapa, Gua Nisan dan Gua Kambing. Dapatan terkini, jumlah gua yang ditemui dilihat semakin bertambah hasil dari kajian arkeologi. Misalnya di Gunung Jebak Puyoh sahaja, terdapat banyak gua-gua yang telah dan belum diterokai antaranya Gua Rangkak, Gua Terowong, Gua Kapal, Gua Mayat, Gua Candi, Gua Straw dan Gua Kerang. Beberapa buah gua lagi belum dapat diterokai akibat kepayahan untuk menerokainya.Selain itu, ketiga-tiga bukit ini iaitu Gunung Jebak Puyuh, Gunung Senyum dan Gua Ular yang terbentuk daripada batu kapur ini didapati telah lahir sejak 200 - 250 juta tahun dahulu. Batu kapurnya begitu kaya dengan tinggalan hidupan kuno (fosil) dan dipercayai keseluruhan kawasan ini dulunya merupakan laut kerana terdapat jenis kehidupan seperti foraminifera, algae bivalvia dan lain-lain.

Kedudukannya yang terdiri dari Kompleks Bukit Choras dan Bukit Sagu di sebelah Timur, Kompleks Kota Gelanggi di tengah, Kompleks Gua Kecil dan Cinta Manis di sebelah Barat dan Bukit Batu Kapur Lembah Sg. Tembeling di pedalaman sewajarnya diangkat sebagai Peta Warisan Dunia UNESCO - bukannya bangunan warisan penjajah kolonial!