Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Wednesday, February 23, 2011

Syed Ibrar : Warisan Ahlul Bait Hadhrami Pahang

Dari sudut sejarahnya, komposisi penduduk awal di negeri Pahang adalah terdiri daripada beberapa asal keturunan yang berbeza. Menerusi ruangan yang ringkas ini, tak dapatlah saya membahaskannya secara panjang lebar. Rujukan lanjut boleh dibuat terhadap beberapa buah buku sejarah antaranya tulisan Aruna Gopinath (1990), Pahang 1880 – 1933 : A Political History dan beberapa buku lain terbitan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang.

Salah satu jurai keturunan yang menyumbang kepada komposisi penduduk di Pahang adalah masyarakat keturunan Orang Arab. Secara umumnya golongan ini terdiri terdiri daripada tiga golongan utama iaitu :

1. Golongan yang datang awal sebelum Kerajaan Melayu Melaka menakluki Pahang. Umumnya mereka ini merupakan pedagang Arab yang datang ke Nusantara untuk berdakwah dan berniaga. Kajian terhadap kumpulan ini agak sukar dilakukan kerana proses asimilasi yang kuat dengan keturunan Melayu. Batu Nesan yang ditemui di Pulau Tambun, Pekan merupakan simbol identiti kehadiran mereka ke Pahang.

2. Golongan Syeikh iaitu golongan yang datang selepas Kerajaan Melayu Melaka menguasai Pahang terutamanya di sekitar daerah Pekan. Perkampungan yang dibuka oleh golongan ini memang banyak terdapat khususnya di sekitar Kuala Pahang seperti Kampung Maulana, Kampung Serandu dan lain-lain lagi. Menurut catatan, golongan ini agak kurang terlibat dalam bidang penyebaran agama.

3. Golongan Syed yang datang ke Pahang pada kurun ke-17 dan 18. Mereka ini datang dengan penuh penghormatan kerana mereka adalah keturunan Rasullulah, dan kebanyakannya adalah dari kalangan guru-guru agama yang berasal dari Hadramaut, Yaman (Hadhrami). Kedatangan mereka telah disambut dengan mesra oleh penduduk Pahang dan mereka diberikan beberapa keistimewaan seperti kawasan penempatan dan kuasa pemerintahan. Ada juga dikalangan mereka yang dilantik menjadi Orang Besar Raja seperti Tok Kaya Jenderak.

Syed Ibrar al-Yahya

Syed Ibrahim bin Syed Ahmad al-Yahya (Syed Ibrar) merupakan sesyed-ibrahim_croporang tokoh muda golongan habaib yang sangat dikenali di Pahang. Anak keempat dari empat bersaudara ini lahir di Kg. Kuala Tekal, Temerloh pada tanggal 18 Januari 1967. Beliau merupakan anak kepada pasangan Syed Ahmad bin Hasan al-Yahya dan Sharifah Sehah binti Husain al-Hinduan. Tokoh ulama’ muda Pahang ini mengawali pendidikannya di SRK Kuala Krau. Kemudian melanjutkan lagi ke peringkat menengah di SM (A) al-Khairiah, Temerloh. Selepas tamat SPM, beliau menyambung pelajaran Kuliah Lughah wad Din Sultan Abu Bakar, Pekan.

Kecintaannya kepada ilmu telah membawanya ke Mesir untuk menimba ilmu di Universiti El-Azhar dalam Fakulti Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Agak ironi, sejak tahun tahun 1990 hingga 1997, beliau tidak pernah menerima bantuan pendidikan dari kerajaan. Hanya keluarganya sahajalah yang membantu pembiayaan pendidikannya di sana. Itupun setakat di tahun pertama pengajian. Bagi tahun-tahun yang berikutnya, beliau terpaksa berusaha sendiri mencari wang perbelanjaan. Saya sendiri melihat semasa di Mesir bagaimana beliau banyak melakukan kerja-kerja sebagai handyman khususnya di Pejabat Yayasan Pahang Cairo. Membaiki lampu, menyiram pokok bunga dan macam-macam kerja lagi bagi menampung hidup di sana.

Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Syarifah Furwani binti Ahmad al-Yahya, dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Syed Mohammad al-Baqir, Syarifah Balqis al-Yahya dan Syarifah Sehah al-Yahya.

Pengajian Syed Ibrar

Ketika pertama belajar di el-Azhar, Syed Ibrar berpeluang mendapat bimbingan dari Habib Prof. Dr. Muhammad Aqil al-Mahdali. Saya sendiri pernah dibawa oleh Syed Ibrar belajar agama di rumah Habib Aqil berdekatan Mahattah Haiyyul Ashir menaiki motor Jawa Syed Ibrar! Setelah itu, beliau mendapatkan pula bimbingan dari Habib Dr. Ahmad bin Abdullah al-Kaf.

Selain itu, beliau juga pernah bertalaqqi dengan Habib Ali bin Abdurrahman al-Jufri. Ada beberapa kali saya berpeluang mengikuti Syed Ibrar ke Sahah al-Husainiyyah, yang merupakan sebuah bangunan yang disediakan oleh Habib Ali bin Abdurrahman al-Jufri, terletak berdekatan dengan Masjid Sayyidina Husain. Saya masih ingat bagaimana pada setiap malam Isnin, kami akan bersama-sama dengan para habaib dan muhibbin mengikuti majlis pembacaan qasidah al-Burdah. Pada malam Jumaat pula akan membaca kitab-kitab Maulid.

Di tempat ini juga sering diadakan majlis ta’lim yang mempelajari pelbagai kitab mutun (jamak kepada matan, iaitu kitab inti) dan tidak ketinggalan beberapa kitab-kitab syarah. Para pengajarnya ada pelnagai latarbelakang, antaranya Habib Zaid bin Yahya (ilmu Nahu) Habib Abdurrahman al-Jufri (ilmu faraidh), Habib Muhammad bin Ahmad Bin Semith (kitab Bidayah al-Hidayah dan Adab Suluk al-Murid).

Sumbangan Ilmu

Sekembalinya dari Mesir, Syed Ibrar telah menghambakan dirinya mengajar di Madrasah Darun-Na’im, Kuala Tekal bersama-sama habaib yang lain. Pada masa itu juga beliau telah dipilih sebagai Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Daerah Jerantut yang bertanggungjawab menguruskan kira-kira 180 buah masjid dan surau di daerah itu. Pada tahun 2003, YAB Menteri Besar Pahang telah melantik beliau sebagai Pegawai Khas Agama di Pejabat Menteri Besar Pahang.

Semasa beliau memegang jawatan ini, banyak sungguh program-program keagamaan di Pahang yang berjaya diangkat ke martabat yang lebih tinggi. Antara yang saya masih ingat, pada tahun 2007 beliau menganjurkan seminar berkaitan Bina’ al-Ummah wa Tazkiyah an-Nufus di Pahang. Begitu ramai tokoh ulama’ yang dibawa ke Kuantan ketika itu, antaranya Habib Umar bin Hafiz dan Habib Muhammad bin Abdurrahman Assegaf. Juga Sayyid Afifuddin Mansuruddin al-Jilani, Syeikh Fahmi Zamzam dan ramai lagi.

Pada tahun sebelumnya, beliau telah berjaya membuat seminar berkaitan Tawjih al-Ummah wa Tasfiyah al-Mafahim ad-Diniyyah di Kuantan yang berjaya menghimpunkan sebilangan besar ulama’ Mekah, Jordan, Syria, Morocco dan beberapa negara lain. Kehadiran tokoh-tokoh lain seperti Syeikh Hafiz al-Jenderami (Yayasan al-Jenderami), Syeikh Saleh al-Ja’afari al-Masri dan Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin (madrasah Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki) juga telah menambahkan keberkatan majlis tersebut.

Kesimpulan

Kedatangan kumpulan rumpun keturunan Syed Alawiyyin ke Pahang sememangnya memberi impak besar kepada perkembangan Islam di Pahang. Bagi keluarga Syed Ibrar yang bernasab al-Yahya atau Benyahya, susur galur asalnya adalah dari keturunan Syed Yassin di Terengganu. Salah seorang anak Syed Yassin iaitu Syed Abd Rahman telah berhijrah ke Pahang pada tahun 1250M (zaman Bendahara Tun Ali) dan bermaustatin di Pekan. Beliau kemudiannya berkahwin dan mempunyai lima anak lelaki iaitu Abdullah, Hamid, Abu Bakar, Yusuf dan Taha. Salasilah keluarga Syed Ibrar di Kg. Kuala Tekal, Temerloh adalah bermula dengan Syed Abu Bakar Syed Abdul Rahman al-Yahya. Kaum keluarga beliau memang terkenal sebagai tokoh ulama’ dan antara yang tercatat dalam sejarah adalah Kadi Besar Pahang Tuan Syed Abdul Rahman bin Syed Mohammed al-Yahya (1923 – 1991).