Dari sudut sejarahnya, komposisi penduduk awal di negeri Pahang adalah terdiri daripada beberapa asal keturunan yang berbeza. Menerusi ruangan yang ringkas ini, tak dapatlah saya membahaskannya secara panjang lebar. Rujukan lanjut boleh dibuat terhadap beberapa buah buku sejarah antaranya tulisan Aruna Gopinath (1990), Pahang 1880 – 1933 : A Political History dan beberapa buku lain terbitan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang.
Salah satu jurai keturunan yang menyumbang kepada komposisi penduduk di Pahang adalah masyarakat keturunan Orang Arab. Secara umumnya golongan ini terdiri terdiri daripada tiga golongan utama iaitu :
1. Golongan yang datang awal sebelum Kerajaan Melayu Melaka menakluki Pahang. Umumnya mereka ini merupakan pedagang Arab yang datang ke Nusantara untuk berdakwah dan berniaga. Kajian terhadap kumpulan ini agak sukar dilakukan kerana proses asimilasi yang kuat dengan keturunan Melayu. Batu Nesan yang ditemui di Pulau Tambun, Pekan merupakan simbol identiti kehadiran mereka ke Pahang.
2. Golongan Syeikh iaitu golongan yang datang selepas Kerajaan Melayu Melaka menguasai Pahang terutamanya di sekitar daerah Pekan. Perkampungan yang dibuka oleh golongan ini memang banyak terdapat khususnya di sekitar Kuala Pahang seperti Kampung Maulana, Kampung Serandu dan lain-lain lagi. Menurut catatan, golongan ini agak kurang terlibat dalam bidang penyebaran agama.
3. Golongan Syed yang datang ke Pahang pada kurun ke-17 dan 18. Mereka ini datang dengan penuh penghormatan kerana mereka adalah keturunan Rasullulah, dan kebanyakannya adalah dari kalangan guru-guru agama yang berasal dari Hadramaut, Yaman (Hadhrami). Kedatangan mereka telah disambut dengan mesra oleh penduduk Pahang dan mereka diberikan beberapa keistimewaan seperti kawasan penempatan dan kuasa pemerintahan. Ada juga dikalangan mereka yang dilantik menjadi Orang Besar Raja seperti Tok Kaya Jenderak.
Syed Ibrar al-Yahya
Syed Ibrahim bin Syed Ahmad al-Yahya (Syed Ibrar) merupakan seorang tokoh muda golongan habaib yang sangat dikenali di Pahang. Anak keempat dari empat bersaudara ini lahir di Kg. Kuala Tekal, Temerloh pada tanggal 18 Januari 1967. Beliau merupakan anak kepada pasangan Syed Ahmad bin Hasan al-Yahya dan Sharifah Sehah binti Husain al-Hinduan. Tokoh ulama’ muda Pahang ini mengawali pendidikannya di SRK Kuala Krau. Kemudian melanjutkan lagi ke peringkat menengah di SM (A) al-Khairiah, Temerloh. Selepas tamat SPM, beliau menyambung pelajaran Kuliah Lughah wad Din Sultan Abu Bakar, Pekan.
Kecintaannya kepada ilmu telah membawanya ke Mesir untuk menimba ilmu di Universiti El-Azhar dalam Fakulti Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Agak ironi, sejak tahun tahun 1990 hingga 1997, beliau tidak pernah menerima bantuan pendidikan dari kerajaan. Hanya keluarganya sahajalah yang membantu pembiayaan pendidikannya di sana. Itupun setakat di tahun pertama pengajian. Bagi tahun-tahun yang berikutnya, beliau terpaksa berusaha sendiri mencari wang perbelanjaan. Saya sendiri melihat semasa di Mesir bagaimana beliau banyak melakukan kerja-kerja sebagai handyman khususnya di Pejabat Yayasan Pahang Cairo. Membaiki lampu, menyiram pokok bunga dan macam-macam kerja lagi bagi menampung hidup di sana.
Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Syarifah Furwani binti Ahmad al-Yahya, dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Syed Mohammad al-Baqir, Syarifah Balqis al-Yahya dan Syarifah Sehah al-Yahya.
Pengajian Syed Ibrar
Ketika pertama belajar di el-Azhar, Syed Ibrar berpeluang mendapat bimbingan dari Habib Prof. Dr. Muhammad Aqil al-Mahdali. Saya sendiri pernah dibawa oleh Syed Ibrar belajar agama di rumah Habib Aqil berdekatan Mahattah Haiyyul Ashir menaiki motor Jawa Syed Ibrar! Setelah itu, beliau mendapatkan pula bimbingan dari Habib Dr. Ahmad bin Abdullah al-Kaf.
Selain itu, beliau juga pernah bertalaqqi dengan Habib Ali bin Abdurrahman al-Jufri. Ada beberapa kali saya berpeluang mengikuti Syed Ibrar ke Sahah al-Husainiyyah, yang merupakan sebuah bangunan yang disediakan oleh Habib Ali bin Abdurrahman al-Jufri, terletak berdekatan dengan Masjid Sayyidina Husain. Saya masih ingat bagaimana pada setiap malam Isnin, kami akan bersama-sama dengan para habaib dan muhibbin mengikuti majlis pembacaan qasidah al-Burdah. Pada malam Jumaat pula akan membaca kitab-kitab Maulid.
Di tempat ini juga sering diadakan majlis ta’lim yang mempelajari pelbagai kitab mutun (jamak kepada matan, iaitu kitab inti) dan tidak ketinggalan beberapa kitab-kitab syarah. Para pengajarnya ada pelnagai latarbelakang, antaranya Habib Zaid bin Yahya (ilmu Nahu) Habib Abdurrahman al-Jufri (ilmu faraidh), Habib Muhammad bin Ahmad Bin Semith (kitab Bidayah al-Hidayah dan Adab Suluk al-Murid).
Sumbangan Ilmu
Sekembalinya dari Mesir, Syed Ibrar telah menghambakan dirinya mengajar di Madrasah Darun-Na’im, Kuala Tekal bersama-sama habaib yang lain. Pada masa itu juga beliau telah dipilih sebagai Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Daerah Jerantut yang bertanggungjawab menguruskan kira-kira 180 buah masjid dan surau di daerah itu. Pada tahun 2003, YAB Menteri Besar Pahang telah melantik beliau sebagai Pegawai Khas Agama di Pejabat Menteri Besar Pahang.
Semasa beliau memegang jawatan ini, banyak sungguh program-program keagamaan di Pahang yang berjaya diangkat ke martabat yang lebih tinggi. Antara yang saya masih ingat, pada tahun 2007 beliau menganjurkan seminar berkaitan Bina’ al-Ummah wa Tazkiyah an-Nufus di Pahang. Begitu ramai tokoh ulama’ yang dibawa ke Kuantan ketika itu, antaranya Habib Umar bin Hafiz dan Habib Muhammad bin Abdurrahman Assegaf. Juga Sayyid Afifuddin Mansuruddin al-Jilani, Syeikh Fahmi Zamzam dan ramai lagi.
Pada tahun sebelumnya, beliau telah berjaya membuat seminar berkaitan Tawjih al-Ummah wa Tasfiyah al-Mafahim ad-Diniyyah di Kuantan yang berjaya menghimpunkan sebilangan besar ulama’ Mekah, Jordan, Syria, Morocco dan beberapa negara lain. Kehadiran tokoh-tokoh lain seperti Syeikh Hafiz al-Jenderami (Yayasan al-Jenderami), Syeikh Saleh al-Ja’afari al-Masri dan Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin (madrasah Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki) juga telah menambahkan keberkatan majlis tersebut.
Kesimpulan
Kedatangan kumpulan rumpun keturunan Syed Alawiyyin ke Pahang sememangnya memberi impak besar kepada perkembangan Islam di Pahang. Bagi keluarga Syed Ibrar yang bernasab al-Yahya atau Benyahya, susur galur asalnya adalah dari keturunan Syed Yassin di Terengganu. Salah seorang anak Syed Yassin iaitu Syed Abd Rahman telah berhijrah ke Pahang pada tahun 1250M (zaman Bendahara Tun Ali) dan bermaustatin di Pekan. Beliau kemudiannya berkahwin dan mempunyai lima anak lelaki iaitu Abdullah, Hamid, Abu Bakar, Yusuf dan Taha. Salasilah keluarga Syed Ibrar di Kg. Kuala Tekal, Temerloh adalah bermula dengan Syed Abu Bakar Syed Abdul Rahman al-Yahya. Kaum keluarga beliau memang terkenal sebagai tokoh ulama’ dan antara yang tercatat dalam sejarah adalah Kadi Besar Pahang Tuan Syed Abdul Rahman bin Syed Mohammed al-Yahya (1923 – 1991).
Assalammualaikum semua. Saya berasal dari Singapura. Pertama, saya ingin mengetahui jika ada keturunan Al-Aydrus yang datang ke Pahang.
ReplyDeleteKedua, menurut sejarah, ramai penduduk Pahang telah berpindah ke Pulau Tekong (Singapura)disebabkan oleh perang saudara sekitar tahun 1850an. Salah sebuah kampong yang dibuka oleh penduduk Pahang adalah Kg Selabin, yg dibuka oleh arwah Syed Labin. Saya ingin mengetahui tentang sejarah ini, kerana keramatnya pernah berada di Pulau Tekong Besar. Terima Kasih.
1. Berdasarkan catatan Tun Suzana Tun Othman, golongan Sayyid Alawiyyin telah memasuki Tanah Melayu pada abad ke-7 Masihi. Antara yang terkenal adalah Syed Abdullah al-Qudsi, Syed Uthman asy-Syahab, Syed Muhamad bin Ahmad al-Aidrus dan Syed Hussein al-Qadri (bacaan lanjut dalam Ketuanan Islam Pertuanan Raja-Raja Melayu, hlm. 252).
ReplyDeleteBerdasarkan rekod, keturunan al-Aydrus pertama kali datang ke Pahang pada bulan November 1857 tatkala Sayid Idrus mengetuai pasukan sokongan angkatan perang Sultan Omar Terengganu bagi membantu pasukan Wan Ahmad menyerang Bendahara Wan Mutahir.
Sayid Idrus telah bergerak dari Kemaman ke Kuala Pahang bersama-sama dengan beberapa orang pahlawan Terengganu yang lain seperti Raja Muda dan Wan Dagang. Dalam sejarah di Pahang, peristiwa ini dikenali sebagai Perang Orang Kemaman (W. Linehan : A History of Pahang, JMBRAS j. XIV, Bhg. II, Jun 1936, hlm. 67 dan M.C Sheppard : A Short History of Terengganu, JMBRAS j. XXII, Bhg. III, Jun 1949, hlm. 31).
2. Ya, Pulau Tekong (atau Pulau Takong) di Singapura memang berkait rapat dengan sejarah Pahang. Justeru tidak hairanlah suatu masa dahulu beberapa buah kampung di pulau ini ada kaitan dengan orang Pahang seperti Kg. Pahang, Kg. Selabin, Kg. Seminal, Kg. Batu Koyok, Kg. Senyunkong, Kg. Pasir, Kg. Sungei Belang, Kg. Onom, Kg. Pasir Merah dan Kg. Permatang.
Perkaitan sejarah Pahang di pulau ini terjadi kerana di situlah Wan Ahmad dan para pengikutnya telah membawa diri dari Pahang pada bulan Julai 1857 setelah kecewa dengan kekandanya,Tun Mutahir yang tidak patuh kepada wasiat Almarhum Bendahara Tun Ali agar hasil cukai di Kuantan dan Endau diserahkan kepada Wan Ahmad.
Dari pulau ini jugalah, serangan ke Pahang disusun dan digerakkan dengan menjadikan Kemaman sebagai sasaran permulaan gerakan serangan. Walaupun Temenggung Tun Ibrahim Johor tidak membenarkan Wan Ahmad menjadikan Pulau Tekong sebagai markas dan pangkalan serangan, namun Gabenor Blundell tetap mengizinkannya jua (Nicholas Tarling : British Policy in the Malay Peninsula and Archipelago 1824 - 1871, JMBRAS j. XXX Bhg. III Oktober 1935, hlm. 65. Baca lebih lanjut dlm Linehan hlm. 66 - 67 dan Sheppard hlm. 94).
Kini perkampungan di Pulau Tekong sudah tiada lagi dan pulau ini menjadi pusat ketenteraan Singapura sepenuhnya.
3. Berkenaan Syed Labin, setakat ini tiada rekod rasmi berkaitan kewujudan beliau. Jika ada sekalipun, ianya sekadar cerita mulut ke mulut sebagaimana kajian berbentuk Oral History berjudul Communities of Singapore yang pernah dibuat oleh Mohd. Yusop bin Kasim untuk National Archives of Singapore.
Saya berpandangan kalimat 'Labin' yang dinisbahkan kepada Syed Labin berkemungkinannya merujuk kepada nama sejenis material yang sering digunakan oleh masyarakat Arab di Hadramaut, Yaman dalam binaan mereka. Di Yaman, adunan tanah liat dengan serat rumput untuk dijadikan binaan bangunan adalah dikenali sebagai Labin atau Libn (bermaksud Bata Mentah).
Jika saudara ingin mendapat penjelasan lebih terperinci mengenai nasab para habaib, saya cadangkan saudara menyertai komuniti maya di http://www.asyraaf.org/
Menarik artikel ini. Saya juga dalam usaha ketengahkan ulama Pahang dalam tesis pengajian saya. Berdoa moga dapat berjumpa ustazbad untuk sesi perkongsian yang hebat.
DeleteAlhamdulillah Ustz, terima kasih bnyk2 atas jawapan2 yang diberikan. Saya berketurunan dari Pulau Tekong, sekaligus berkaitan dgn negeri Pahang. Memang pada saat ini agak sukar mendapat kisah2 mengenai sejarah Pulau Tekong. Walaupn moyang2 kami Tun Ahmad & Tun Mutahir berperang, namun di Pulau Tekong alhamdulillah semuanya damai.
ReplyDeleteAssalamualaikum Ustaz...adakah Almarhum Syed Abdul Rahman makam nya terletak di kampong marhum pekan anak kepada almarhum syed yassin bin syed jaafar bendahara tiha...? Mohon bantuan.
DeleteAssalamulaikum Tuan, saya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Syed Jaafar AlHabshi yang berkahwin dengan Raja Aishah (Raja Chik) bt Temenggong Abdul Rahman dari Riau. Raja Chik itu adalah ibu moyang saya
ReplyDeleteSy keturunan Al-Yahya..terimakasih ats penerangan ttg keturunan sy..sy pn xtahu asal keturunan sy di nusantara
ReplyDelete