Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Thursday, September 6, 2012

Telok Chempedak: The Vanishing Landscapes

Kiosk
Hari ini akhbar Sinar Harian menerusi ruangan Fokus Sentral (hlm. P3) telah melaporkan berkenaan rungutan para pengunjung pantai Telok Chempedak berkaitan kawasan peranginan itu yang kini semakin sesak dan padat dengan bangunan.

Hamba mengucapkan tahniah atas keprihatinan warga Kuantan serta pengunjungnya yang peka dengan perubahan yang berlaku. Sebenarnya kiosk yang terbina itu pernah mendapat perhatian akhbar-akhbar berbahasa Cina selepas ianya didapati tidak memenuhi standard yang ditetapkan. Surat arahan pemberhentian kerja oleh MPK juga ada disiarkan, namun kiosk tersebut tetap jua berdiri megah dan beroperasi pada penghujung Ramadhan lalu. Kini ada 5 buah kedai yang beroperasi di situ iaitu 7 Eleven, Tutti Frutti, Chatime, Fruice dan Hot & Roll.

The Vanishing Landscape of Telok Chempedak
TC

Kehilangan pemandangan menarik di Telok Chempedak sebenarnya merupakan suatu hal yang tidak dapat dielakkan dan ianya bukanlah sesuatu yang baru. Hamba meminjam istilah “The Vanishing Landscape” yang digunakan oleh saudara Chan Meng Sing dalam bukunya Early Kuantan in Pictures 1903 – 1963 halaman 263 - 273.

Sejak zaman berzaman lagi, Telok Chempedak terpaksa akur dengan perubahan masa serta ketamakan manusia. Hamba lampirkan beberapa keping gambar yang merupakan koleksi saudara Chan Meng Sing untuk sama-sama kita merentas terowong masa ke zaman-zaman indah pantai Telok Chempedak.
TC 1930
Telok Chempedak tahun 1930. Ketika ini jalan darat masih belum ada. Pelancong perlu menaiki bot untuk ke sana
TC 1954
Telok Chempedak tahun 1954. Ini merupakan kali pertama Telok Chempedak boleh ditembusi menerusi jalan darat (seperti sekarang)
TC 1973
Telok Chempedak tahun 1973. Penduduk kampung menggunakan pukat tarik untuk mendapatkan ikan
TC Pukat Tarik 1973
Telok Chempedak tahun 1973. Aktiviti menangkap ikan masih rancak ketika ini
The Vanishing Landscape of Kuantan
Sebenarnya kehilangan tempat-tempat menarik di Kuantan telah berlaku sejak berpuluh tahun lagi. Telok Chempedak hanyalah sebahagian kecil dari mangsa terbaru manusia.

Suatu ketika dulu, Kuantan bukan setakat memiliki Telok Chempedak bahkan ada beberapa lagi pantai yang amat indah. Ada yang masih terjaga, ada yang terbiar dan ada yang hilang terus dari pandangan mata.

Pantai Gebeng

Antara yang hilang terus dari pandangan mata adalah Pantai Gebeng. Suatu masa dulu, ianya merupakan antara pantai terindah di Kuantan. Selain pantainya yang memanjang, Gebeng juga memiliki teluk yang sedikit kecil dari Telok Chempedak. Namun sayang, kawasan ini terpaksa dikorbankan bagi memberi ruang kepada pembinaan Markas Wilayah Laut 1 dan juga Pelabuhan Kuantan.
Teluk Gebeng 1974
Telok Gebeng tahun 1974
Pantai Gebeng 1975
Pantai Gebeng tahun 1975
Pantai Tanjong Tembeling
Antara yang terbiar, adalah pantai ini. Walaupun ia berkembar dengan Telok Chempedak dan berdekatan dengan Taman Teruntum, namun amat kurang dikunjungi. Lokasi ini sekarang menjadi kegemaran Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang memandangkan ramai anak muda yang belum bernikah sering duduk berdua-duaan dalam kenderaan.
Tanjong Tembeling
Pantai Tanjong Tembeling tahun 1924
Pantai Telok Sisek
Lokasi ini berada dalam kategori terjaga dan juga terbiar. Suatu masa dahulu, penduduk Kuantan amat menggemari pantai Telok Sisek. Kini jika kita berkunjung ke sana, seakan tiada keinginan untuk mandi memandangkan pantainya agak kotor. Hamba berpandangan bahawa pihak berkenaan lebih menumpukan kepada pembangunan rekreasi Taman Gelora (nama baru Pantai Telok Sisek yang diberi pada tahun 1980) berbanding pantai Telok Sisek itu sendiri.
Telok Sisek-1
Pantai Telok Sisek tahun 1930 menjadi lokasi berkelah dan berenang warga Kuantan
Telok Sisek 2
Pantai Telok Sisek tahun 1932. Kelihatan sebuah pondok tempat pengunjung menukar pakaian.
Taman Gelora
Pantai Telok Sisek tahun 1932. Lokasi ini sekarang berhadapan dengan kampus IKIP 3

Wednesday, May 2, 2012

Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2012 (World Fire Fighters Day 2012)

Hari Bomba
Negeri Pahang akan menjadi tuan rumah sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2012 (World Fire Fighters Day 2012) yang bakal diadakan pada 4 hingga 6 Mei 2012 bertempat di Dataran Pekan. Majlis sambutan akan disempurnakan oleh KDYMM Sultan Pahang. Bersempena sambutan tersebut, hamba kongsikan sedikit cuplikan kecil sejarah bomba di Pahang. Untuk pembacaan lanjut, sila rujuk Buku Kemajuan Negeri Pahang 1961 - 1965 (1966), Jawatankuasa Penerangan dan Seranta Negeri Pahang, hlm. 342 – 347). 

Sejarah Bomba di Pahang 

Perkhidmatan bomba di Pahang mengalami kacau bilau sejak tahun 1945 khususnya selepas zaman peperangan. Ketika itu pasukan bomba yang dikenali sebagai “Malayan Union Fire Services” tidak diterima kewujudannya di Pahang. Maka pasukan ini dipulangkan semula kepada pentadbiran persekutuan pada tahun 1948.

Pada tahun 1952, Ketua Merinyu Perkhidmatan Bomba Persekutuan mencadangkan agar pasukan bomba diserapkan ke pentadbiran negeri. Selepas beberapa perbincangan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 1958 bersetuju meletakkan perkhidmatan bomba dibawah pentadbiran Majlis Bandaran (Town Council).

Pada 1 Februari 1960, pasukan bomba beralih pula kepada pentadbiran Pegawai Daerah. Ketika ini sistem pentadbirannya begitu kelam kabut memandangkan pengurusannya yang berbeza dan berselerak. Maka, dibuat keputusan untuk mengalihkan semula tanggungjawab itu kepada kerajaan negeri lalu tertubuhlah Perkhidmatan Bomba Negeri Pahang mengikut kaedah-kaedah pertukaran Pentadbiran Merdeka Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Setelah Jabatan Bomba Negeri Pahang berdiri dengan sendirinya, maka Pegawai Bomba Negeri telah diarahkan membuat kajian bagi memohon peruntukan untuk memajukan prasarana bomba yang ketika itu amat mundur dalam serba serbi.

Dalam usaha bagi memajukan perkhidmatan bomba ini, kerajaan Pahang menerusi Rancangan Kemajuan Kerajaan Negeri Ke-2 bagi tahun 1961 – 1965, telah mengemukakan satu cadangan untuk membuat pinjaman sebanyak RM 1,000,000.00 dari Kerajaan Pusat. Malangnya Kerajaan Pusat menolak permohonan ini.

Pada tahun 1961, Jawatankuasa Iktisad Negeri Pahang telah membincangkan kedudukan serta masa depan perkhidmatan bomba di Pahang memandangkan Kerajaan Pusat menolak permohonan pinjaman tersebut. Hasilnya, kerajaan negeri bersetuju menyediakan peruntukan negeri sebanyak RM 1,000,000.00 tersebut dan dimasukkan dalam Rancangan Kemajuan Kerajaan Negeri 1961 – 1965. Butirannya adalah seperti dibawah : 

a. Bangunan Bomba (TOTAL : RM 514,913.72) 

Cameron Highlands : RM 83,900.00
Bentong : RM 185,531.72
Pekan : RM 121,830.00
Temerloh : RM 63,752.00
Kuala Lipis : RM 37,400.00
Rompin : RM 11,500.00
Triang : RM 11,000.00

Bomba Temerloh
Balai Bomba Temerloh

Perasmian Temerloh
KDYMM Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Mu'adzam Shah memakai uniform Askar Melayu DiRaja berpangkat Kolonel semasa merasmikan pembukaan Balai Bomba Temerloh

Bomba Triang 
KDYMM Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Mu'adzam Shah bertitah sebelum merasmikan pembukaan Balai Bomba Triang. Perhatikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Haji Ahmad Shah berada dibelakang

b. Jentera dan Alatan Bomba (TOTAL : RM 509,720.00) 

1961 : 3 buah jentera bomba bernilai RM 54,000.00
1962 : 9 buah jentera bomba bernilai RM 269,372.00
1963 : 4 foam trailer dan peralatannya bernilai RM 41,717.00
1964 : 4 buah jentera bomba bernilai RM 144,631.00

Jeep Bomba
Tiga buah kereta bomba yang dibeli dengan harga RM 54,000.00 untuk Balai Bomba Kuantan

c. Tambahan Jawatan (1961 – 1965) 

1 Pegawai Bomba
6 Pegawai Rendah Bomba
16 Ahli Bomba Kanan
30 Ahli Bomba
1 Kerani Bahagian Rendah

Bomba Bentong
KDYMM Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Mu'adzam Shah memeriksa barisan kehormatan ahli-ahli bomba semasa perasmian Balai Bomba Bentong

Semenjak daripada tarikh peralihan pentadbiran, Perkhidmatan Bomba telah berubah corak dari serata segi. Kakitangan Bomba telah semakin bertambah dan banyak jentera yang diganti baru. Hingga kini, pasukan bomba di Pahang telah mencapai tahap membanggakan.

Bomba

Selamat Menyambut Hari Bomba!…

Saturday, April 14, 2012

Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia

Baru-baru ini telah dikeluarkan gambar rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14, Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah (rujuk gambar bawah).

Agong Ke-14

Hamba sebenarnya agak terkejut dengan gambar rasmi kali ini. Ada sesuatu yang agak bercanggah dengan protokol serta tradisi turun temurun institusi Yang di-Pertuan Agong. Apa yang hamba maksudkan adalah pemakaian selempang D.M.N. iaitu Darjah Utama Seri Mahkota Negara (Most Exalted Order of the Crown of the Realm) yang pada hakikatnya tidak bersesuaian dengan kedudukan tertinggi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sebagai perkongsian, anugerah D.M.N secara tradisinya hanya dipakai secara rasmi oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sahaja dan hanya menduduki keutamaan ke-8 dalam senarai Keutamaan Persekutuan. Darjah ini mudah dikenali menerusi selempangnya yang diperbuat daripada kain sutera kuning dan di tengahnya terdapat jalur merah dan hujungnya berikat reben. Di kedua-dua belah tepinya terdapat jalur kecil putih di antara dua jalur kecil berwarna biru (rujuk gambar bawah).

DMN

Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M.)

Secara tradisinya, mana-mana Sultan yang ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan memakai kalung D.K.M iaitu Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia (Order of the Royal House of Malaysia). Ianya merupakan darjah yang tertinggi antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia dan tidak mempunyai darjah kecil berbanding D.M.N yang hanya merupakan darjah yang kedua tertinggi dalam Anugerah Diraja di Malaysia.

Anugerah ini sebenarnya amat eksklusif dan amat terhad kerana ianya hanya dikurniakan kepada Baginda Raja yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong. Bilangan ahlinya pula terhad iaitu seramai sepuluh orang sahaja berbanding D.M.N. yang terhad kepada 30 orang. Darjah D.K.M. mudah dikenali kerana ianya diperbuat daripada kain sutera berwarna merah dan hujungnya berikat reben (rujuk gambar bawah).

DKM

Sebagai seorang yang pernah ditabalkan sebagai Agong, Tuanku Alhaj Abdul Halim telah pun menerima anugerah ini pada Februari 1971 (perhatikan selempang merah di bawah).

Tuanku Abdul Halim 5

Hamba berasa janggal tatkala melihat upacara pertabalan kerana julung-julung kalinya selempang D.K.M. tidak disarungkan berbeza semasa baginda memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang jelas memperlihatkan selempang D.K.M.

sultan_kedah_5 Perhatikan selempang D.K.M. yang disarungkan dalam pakaian rasmi Di-Raja Kedah yang dipanggil “Sikap” semasa baginda menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong

Pertabalan 2012Perhatikan selempang semasa upacara pertabalan 2012

imagepertabalan4Perhatikan selempang merah semasa pertabalan Al-Wathiqu Billah, Tuanku Mizan Zainal Abidin

Begitu juga bagi KDYMM Raja-Raja dan Sultan yang pernah ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, secara tradisinya akan memakai selempang D.K.M.

sultan_perak

Raja Perlis

Yaa…Mungkin hal ini teknikal sahaja bagi sesetengah pihak di Bahagian Istiadat dan Protokol….

Wallahu A’lam.

PerbandinganSelempang berbeza

The Royal Pahang Classic 2012

Royal PahangThe Royal Pahang Classic (kejohanan 14 Gol) kini kembali ke gelanggang Royal Pahang Polo Club, Pekan mulai 11 hingga 21 April ini. Tujuh pasukan terhebat dijangka menghangatkan pertarungan.

Juara Thai Open, La Sarita bakal menurunkan buat julung-julung kalinya di Malaysia gabungan mantap bapa dan anak yang merupakan juara tiga kali Argentina Open iaitu Benjamin Araya Senior (7 gol) dan anak sulungnya Benjamin Araya Junior (6).

Pasukan Thai Polo pula akan menampilkan Dato’ Harald Link bergandingan dengan peledak 6 gol setakat ini iaitu Carlos Pando dan Laplacette Raul.

Seperti Thai Polo, pasukan Ranhill yang diketuai tokoh korporat Tan Sri Hamdan Mohammad juga merupakan pesaing yang kuat kerana mereka juga menurunkan sebuah pasukan dengan tiga orang pemain profesional. Peledak 6 gol, Horatio Etcheverry (6) yang beraksi cemerlang semasa kejohanan di Thailand, telah dijemput kembali untuk bermain dengan pasukan Ranhill. Simran Shergill pula yang berpengalaman bermain selama 1 musim di Malaysia akan digandingkan dengan bintang Piala Dunia Malaysia iaitu Huzaini Yunos.

Atas kertas, pasukan Jogo Polo menerusi Quzier Ambak pula nampaknya kelihatan begitu kuat. Dengan gandingan dua Pablo iaitu Pablo Dorignac (6) dan juga Pablo Jauretche (7), pasukan ini dilihat mampu mencipta kejutan. Berdasarkan rekod, Dorignac pernah beraksi cemerlang dengan pasukan Head Hunters semasa kejohanan Terengganu Open pada Mei 2011 serta pernah menjadi juara Thai Open semasa bersama La Sarita di Terbuka Thailand pada Januari 2012. Seorang lagi ahli pasukan ini adalah Ali Mazlan (Tanamera).

BRDB-Ibil pula akan menurunkan pasukan yang kesemuanya terdiri daripada pemain-pemain tempatan. Penaung Bersama pasukan, Dato’ Mohd. Zekri Ibrahim akan turun bersama-sama dengan Saladin Mazlan, Shaik Reismann dan Edham Shaharuddin. Namun terdapat khabar angin mengatakan mereka akan turut disertai oleh FIP Horse Master semasa kejohanan FIP Polo World Cup Zone D Play-offs 2011, Bargallo Gines.

Dalam pada itu; Penaja Bersama pasukan BRDB-Ibil, Dato’ Mohamed Moiz dilaporkan menyertai pasukan Royal Pahang. Presiden Royal Pahang Club, KDYTM Tengku Abdullah tidak akan bermain pada musim ini, dan telah menitahkan Dato’ Mohamed menggantikan baginda bersama-sama dengan YAM Tengku Muhammad (putera Tengku Mahkota), Gaston Moore (7) dan Tomas Gandara (6).

Royal Pahang juga akan menurunkan pasukan keduanya, Kota SAS yang diketuai oleh YAM Tengku Amir bergandingan dengan Tengku Shazril (3), Manuel Crespo (7) dan Alvaro Ara (4).

Royal Malaysian Polo Association akan menggunakan khidmat pengadil profesional, Juan Jose Diaz Alberdi dan juga Scortichinni Nicholas. Kedua-duanya berpengalaman mengendalikan kejohanan 40-Goal Argentine Open dan juga FIP Polo World Cup Zone D Play-offs pada bulan Jun 2011 yang lalu.

Let’s ride-off…

Saturday, January 7, 2012

YAM Tengku Seri Nila Utama Pahang Gering

Tengku SeriBaru-baru ini hamba berpeluang menziarahi YAM Tengku Seri Nila Utama Pahang Tengku Hajjah Ainol Jamal binti Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Mu'adzam Shah, 84 (gambar atas) yang sedang gering di wad ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan. Secara peribadi, hamba pernah diundang oleh beliau ke kediamannya di Pekan bagi menyampaikan ceramah pada 27 Februari 2008.

Sebagai makluman, YAM Tengku Seri merupakan kekanda sulung dan sebonda dengan KDYMM Sultan Pahang sekarang. Sebagai puteri sulung, YAM amat dikasihi oleh ayahandanya Almarhum Sultan Abu Bakar dan bondanya DYMM Tengku Ampuan Besar Raja Hajjah Fatimah.

Berdasarkan catatan, YAM Tengku Seri pernah bergelar Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu apabila berkahwin dengan Almarhum Paduka Sri Tuanku Sultan Ali Shah ibni Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (memerintah Terengganu pada 26 September 1942 – 5 November 1945). Hasil perkahwinan tersebut, YAM telah dikurniakan seramai 3 orang cahayamata iaitu :

1. YH Dato’ Setia Pahlawan Tengku Dato’ Haji Iskandar Abu Bakar bin Tengku Ali (Pegawai Protokol Istana Abu Bakar, Pekan)

2. Y.M. Tengku Besar Aisha binti Tengku Ali

3. Y.M. Tengku Afzam (Hizan) binti Tengku Ali

KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah sebagai adinda ketiga, kelihatan begitu prihatin atas perkembangan kesihatan kekandanya itu. Ketika hamba tiba di Wad Diraja HTAA semalam, KDYMM Tuanku baru sahaja berangkat pulang. Ketika itulah hamba dimaklumkan YAM Tengku Seri terpaksa dipindahkan ke wad ICU kerana mengalami masalah pernafasan.

Royal FamilyRakaman foto keluarga pada tahun 1932. YAM Tengku Seri duduk di kerusi paling kanan, sementara KDYMM Sultan Hj. Ahmad Shah di kerusi sebelah kiri disamping ayahanda, Almarhum Sultan Abu Bakar (berdiri, kiri) dan bonda, Almarhumah Tengku Ampuan Besar Raja Hajjah Fatimah

Panca Persada mendoakan agar YAM Tengku Sri dan kerabat dikurniakan ketenangan menghadapi ujian ini.

Tuesday, January 3, 2012

Ungkapan “Duli”

Bagi golongan agamawan literalis, upaya untuk mengungkapkan kalimat “Duli Yang Maha Mulia” kepada Raja-Raja Melayu memang merupakan sesuatu yang amat berat. Alasannya pelbagai : kerana prinsip, isu akidah dan juga maruah manusiawi.

Namun bebaru ini hamba terserempak dengan cabutan keputusan Fatwa Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam Kelantan pada 2 Februari 1993 berkaitan polemik ini. Agak ironi, orang Melayu di Kelantan sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu; dilihat lebih responsif dalam merungkai kemelut “Duli” yang tidak berkesudahan ini berbanding dengan agamawan di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Walaupun fatwa ini belum diwartakan, sedikit sebanyak ia membuka ruang untuk perbahasan lanjut.

Tajuk :

MENGENAI KEKEBALAN RAJA-RAJA, UCAPAN DULI YANG MAHA MULIA KEPADA RAJA-RAJA

Isu :

Pengerusi memaklumkan bahawa mesyuarat khas ini diadakan adalah bagi membincangkan beberapa perkara yang menjadi isu berhubung dengan perkara yang berkaitan dengan raja melayu berikutan dengan isu pindaan perlembagaan yang hangat diperkatakan sekarang ini.

Perkara yang akan dibincangkan ialah:-

(1) Kekebalan raja-raja

(2) Ucapan "Duli Yang Maha Mulia terhadap raja-raja".

(3) Cara angkat tangan ketika mengadap raja-raja.

Keputusan :

Jamaah Ulama' membuat keputusan seperti berikut :

1. Bahawa semua manusia tidak mempunyai sebarang kekebalan dari segi hukum kerana mereka semua adalah tertakluk kepada hukum Allah.

2. Hak-hak keistimewaan untuk orang-orang tertentu dalam perkara-perkara tertentu ada di dalam Islam.

3. Pemilihan warna kuning oleh Raja untuk pakaian dan lain-lain, hukumnya harus.

4. Penggunaan ucapan Duli Yang Maha Mulia terhadap Raja-Raja ketika mengadap dan lain-lain hukumnya adalah harus dengan syarat ucapan Yang Maha Mulia Raja-Raja itu tidak diniatkan sama dengan sifat Allah.

Dalil firman Allah Taala:

انا خلقنا الانسان من نطفة امشاج نبتليه فجعلنه سميعا بصير

Maksudnya : “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari setitik mani yang bercampur yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan) kerana itu kami jadikan dia mendengar dan melihat”.

(5) Jemaah Ulamak bersetuju bahawa kedudukan hukum mengenai angkat tangan dalam upacara menyembah raja-raja dibincang semula dalam Mesyuarat Jemaah Ulama akan datang kerana hal ini perlu dikaji dan diteliti secara mendalam dalam berbagai aspek.

Analisis Panca Persada

Hamba bersetuju bahawa isu “Duli” ini boleh menjadi besar jika ia dibesar-besarkan. Jika merujuk kepada kamus, kalimat “Duli” itu sendiri mengandungi maksud yang begitu halus falsafahnya. Bagi orang yang menghayati, dapatlah kita lihat betapa tingginya kebijaksanaan orang tua-tua dahulu dalam menjaga hati daripada dicemari dengan sifat bongkak dan takbur kepada jawatan dan kedudukan. Jika ditinjau dalam kamus :

Duli

Duli

1. Sastera lama abu, debu (yang melekat pada kaki)

Ayat : Maka hancur luluhlah segala menjadi duli;

2. Bahasa dalam baginda

Ayat: maka Duli Yang Maha Mulia pun bertitah kepada sekalian yang hadir;

3. Kaki : Bercemar duli

Bahasa dalam : pergi, berjalan Ke Bawah Duli Tuanku kepada baginda

Mata duli : Buku lali

Menjunjung duli :

a) menyembah, sujud kepada raja

b) mengerjakan perintah raja

Berduli : Sastera lama berdebu

Bahasa dalam : Pergi ke, bercemar.

Moga bermanfaat.