Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Tuesday, September 29, 2009

Sejarah Tenunan DiRaja Pahang

Apabila Belanda menyerang dan menawan pelabuhan Makassar di Sulawesi pada tahun 1669, ramai dan kalangan orang Bugis meninggalkan tanah tumpah mereka lalu merantau dan meneroka penghidupan baru di kepulauan Riau, Sumatera, Borneo, hingga sampai ke Semenanjung Tanah Melayu. Di samping membawa bersama sanak keluarga, orang Bugis yang terkenal gagah berani turut mengelek adat resam, susur galur salasilah serta pengaruh ekonomi. Dalam pelayaran menyusuri pantai dan Laut Cina Selatan dengan menggunakan perahu layar dan kapal pedagang, akhirnya sampailah orang-orang Bugis itu ke bumi Pahang yang lebih dikenali sebagai negeri Inderapura. Penghijrahan orang-orang Bugis ke Pahang menerapkan sedikit sebanyak pengaruh kesenian dan kebudayaan dalam kehidupan masyarakat tempatan.

Salah satu percikan seni budaya Bugis yang diterima dengan senang hati oleh rakyat pribumi ialah satu unsur dalam rekacorak Kain Sarung bagi lelaki dan Kajang Sangga bagi wanita iaitu sejenis kain tenunan diperbuat dan bahan benang sutera asli.

Adalah bukti sahih bahawa di abad ke-16 Masehi, antara orang Bugis yang masuk ke negeri Pahang Inderapura, terdapat seorang pembesar bernama Keraing Aji. Beliau disifatkan sebagai pelopor rekacorak baru dalam pemakaian kain sarung dan kain samping. Keraing Aji seperti mana yang disebut-sebut seringkali memakai Dagang Luar dan Dagang Dalam dan bahan tenunan sutera permai yang dibawanya dari daerah Sulawesi, Aceh dan Riau. Selain memperkenalkan beberapa corak tertentu Keraing Aji yang bermastautin di Kampung Mengkasar Pekan, diceriterakan mempunyai pengetahuan dalam bidang menenun sutera. Oleh yang demikian maka ramai wanita khasnya surirumah berhasrat mempelajari cara-cara membuat kain Tenun daripada beliau. Bertempat di kediamannya, Keraing Aji yang semakin dikenali dengan panggilan Tuk Tuan telah membimbing anak buahnya beberapa kaedah menyediakan peralatan mewarna sutera mentah, seterusnya 'mengubung', 'menerau' dan 'menorak' serat sutera sehingga tercipta fabrik bermutu.

Memperkukuhkan bukti sejarah asal usul Tenun Pahang dimasyhurkan oleh orang Bugis, seorang penulis Inggeris Dr. W. Linehen mencatatkan bahawa :

"Tuk Tuan (Keraing Aji) seorang pembesar Bugis telah masuk ke Pahang pada tahun 1722, beliaulah yang memperkenalkan kain tenunan tangan kepada penduduk negeri Pahang, khasnya bagi penduduk di daerah Pekan".

Kepandaian Tuk Tuan (Keraing Aji) dalam bidang menenun serta menzahirkan rekacorak baru menyebabkan beliau dikagumi oleh masyarakat. Bekas pembesar Bugis ini memanfaatkan usianya dengan memberi tunjuk ajar dan melatih para penenun menghasilkan rekaan fabrik halus permai sehinggalah hayatnya dijemput Azali, kembali ke Rahmatullah. Jasad Tuk Tuan disemadikan di perkuburan Islam Kampung Mengkasar, Pekan. Kembalinya Tuk Tuan ke Rahmatullah tidak mematahkan semangat anak buahnya meneruskan kerja menenun dan menzahirkan rekacorak lebih gemilang. Bahkan di dalam kebanyakan rumah melayu di daerah Pekan terdapat peralatan kayu 'Kek' yang dimanfaatkan oleh suri rumah dan gadis-gadis pada waktu terluang menenun bahan pakaian untuk keluarga dan juga dijual sebagal sumber rezeki.

Kewujudan fabrik tenunan asli di Pahang khususnya dan di Semenanjung Tanah Melayu umumnya diperkuatkan lagi oleh T.J. Newbold dalam bukunya yang menyatakan :

"Bahawa ada seorang berbangsa lnggeris bernama Gray, telah menjualkan satu tong sutera mentah yang sudah rosak akibat air hujan. Harga bagi satu tong sutera mentah itu ialah RM305."

Adanya catatan sedemikian oleh kedua-dua penulis lnggeris itu membuktikan bahawa fabrik tenunan tradisi orang Melayu sesungguhnya menarik perhatian kerana mempunyal nilai tersendiri. Secara tak langsung lnggeris yang pada masa itu cukup berpengaruh dalam pentadbiran Semenanjung Tanah Melayu turut berperanan memajukan perusahaan menenun sutera menjadi suatu industri yang lebih menguntungkan rakyat setempat.

Bibliografi

W. Linehen, (1932) The History of Pahang dlm JMBRAS, vol. LXV III., part 1

Political and Statistical Account of The British Empire in The Straits of Malacca, London : John Murray.

Newbold, T.J., (1839).


MASA DEPAN TENUN PAHANG

Tenun Pahang telah menjadi Seni Warisan Kraftangan Negeri Pahang sejak 2 Abad yang lalu. Diperkenalkan oleh Y.A.B. Tun Abdul Razak pada penghujung tahun 1960 dengan tertubuhnya Pusat Tenun Pahang yang pertama di Pulau Keladi, Pekan.

Bermula dari tahun 1995 sehingga kini PKNP telah mengambil inisiatif untuk memaju dan membangunkan semula Tenun Pahang DiRaja bagi memastikan Kain Tenun Pahang DiRaja. sentiasa kekal sebagai Warisan Seni Negeri Pahang.

Beberapa usaha telah disusun oleh PKNP bagi mengembangkan perusahaan ini. Antaranya tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan :

  1. Mendapat khidmat dari Fakulti Art & Design dari UITM pada awal operasi.
  2. Kepakaran daripada SIRIM bagi mewujudkan mesin tenun semi auto untuk mempertingkatkan pengeluaran.
  3. Kajian oleh PKKM bagi membentuk standard Kain Tenunan Malaysia

Pusat Pengembangan Tenun Pahang DiRaja Kg.Soi Kuantan dibina pada tahun 2000 bagi menyokong aktiviti pengeluaran, latihan & kegiatan R&D. Penekanan kepada kualiti, kuantiti dan kepelbagaian produk. Awal operasi hanya menempatkan seramai 6 orang peserta dan sehingga kini terdapat seramai 28 peserta dan 2 orang penyelia.

Aktiviti Pusat tersebut adalah terdiri :

  1. Latihan tenunan (6 – 24 bulan)
  2. R&D Pewarnaan Asli
  3. Pengeluaran Produk Tenun Pahang
  4. Proses pewarnaan benang hingga sedia ditenun.

Peserta adalah terdiri dari penduduk sekitar spt Kg. Pantai Sepat, Kempadang, Anak Air, Soi dan Peramu. Terdapat seramai 10 orang penenun mahir, 10 orang dikatagorikan sebagai penenun separuh mahir dan tidak mahir serta 8 orang peserta bagi proses penyediaan benang hingga ke papan gulung.

Anggaran pengeluaran setahun Kain Tenun Pahang DiRaja adalah sebanyak 3000 meter.

Perancangan Masa Depan

  1. Pembinaan bangunan tambahan bersambungan dengan Pusat Pengembangan Tenun sediada bagi menampung kapasiti pengeluaran yang semakin meningkat serta lanjutan kepada Pelancaran Tenun Pahang DiRaja pada 8 Mei 2006.

  2. Menempatkan ruang R&D, pejabat, showroom dan jahitan. Dianggarkan berjumlah RM1 juta.

  3. Menempatkan sebanyak 60 unit 'Kek Tenun' dan peralatan yang terlibat spt mesin spinning, menggulung, mewarna.


Pusat Pengembangan Tenun Pahang DiRaja, Kg. Soi, Kuantan (Pusat Pengeluaran). Pusat ini terletak di Pusat Pertumbuhan Desa Kg. Soi, Kuantan. Kedudukannya 12 km dari Bandar Kuantan

Mula beroperasi Tahun 2000. Di sini ada menjual kain sutera dengan harga antara RM30 hingga RM1,200 bergantung pada jenis produk yang ditawarkan. Turut menerima tempahan daripada sesiapa yang berminat. Untuk tempahan dan maklumat lanjut, sila hubungi :-

Pusat Pengembangan Tenun Pahang

Kg. Soi, Jalan Kempadang Perdana 1,

25150 Kuantan.

HP : 013-9863068 (Pn. Zila Md Saud)


Galeri Tenun Pahang (Pusat Jualan dan Promosi)

Produk-produknya

Terletak di Kompleks Teruntum, Kuantan

GALERI TENUN PAHANG

Lot 1-47 , Kompleks Teruntum, 25000 Kuantan Pahang Darul Makmur

Tel : 09-5562344

Fax : 09-5158746

Isnin hingga Jumaat (10.00 am - 6.00 pm)

Sabtu (10.00 am - 5.00 pm)

Rekacorak Tenun DiRaja Pahang

Rekacorak Lama

Pada asalnya rekacorak yang menjadi dasar pillhan para penenun adalah jalinan tradisi yang dipelopori oleh Tuk Tuan (Keraing Aji) iaitu Jaluran Berdiri atau Melintang. Namun demikian, kedua rekacorak ini mula berubah sedikit demi sedikit mengikut citarasa para penempah yang mahukan kelainan pada muka kain. Dengan pengadunan corak lama tinggalan Tuk Tuan dan rekacipta ilham pelanggan maka lahirlah berbagai corak jalur serta warna warni lebih mempersona dengan nama-nama seperti :

  • Corak Anak Lebah
  • Corak Batang Pinang
  • Corak Jalur Biasa
  • Corak Jalur Melintang di Tengah
  • Corak Bunga Cengkih
  • Corak Biji Peria
  • Corak Pahang
  • Coral Selumbar Nibong
  • Corak Tubok Sekampung
  • Corak Usek

Warna hitam dengan putih atau hitam dengan samar. Tidak melebihi dua warna asas. Jalur pengapit di tengah menyerlahkan corak kain. Rekacorak ini digemari dari dulu hingga sekarang. Warnanya melambangkan bendera negeri Pahang yang berdaulat.

Warna dasar hijau dan putih. Tidak melebihi dua warna, hanya muka kain jadi penyeri.

Jalur pengapit membahagikan dua warna yang bertentangan. Keseriannya nampak jelas pada motif Selumbar yang terkandung dalam jalinan serat dan benang nan dijalin halus.

Paling rumit membuat rekacorak seperti ini. Jejalur halus Sepit Udang bertindihan antara satu sama lain. Pembahagian warna benang amat memerlukan penelitian dan kecekapan.

Rekacorak Baru

Perubahan wajah Kain Tenun Pahang berlaku pesat pada abad ke-19 Masehi. Di kala itu golongan istana, orang-orang besar, kalangan yang mampu kian bijak membuat cadangan dan perubahan. Justeru itu terhasil dengan lebih sempurna rekacorak menawan dengan nama-nama yang dipadankan dengan seseorang individu dan jua motif tertentu yang lebih mudah disebut seperti :

  • Corak Tengku Ampuan
  • Corak Tok Muda
  • Corak Orang Kenamaan
  • Corak Datuk Bandar
  • Corak Dato Mahmud
  • Corak Tun Razak
  • Corak Beranak
  • Corak Tapak Catur
  • Corak Mengiring
  • Corak Belah Buluh
  • Corak Seluang Mudik

Paduan warna merah, kuning, hijau, kesumba dan putih serta jejalur mulus dijalin begitu rupa, menampakkan rekacorak ini amat indah dan mahal. Seri cahayanya memantulkan warna dewangga.

Rekacorak yang digemari oleh orang-orang besar istana.

Rekacorak menawan yang amat digemari oleh kalangan istana dan orang-orang besar negeri. Jalinan warnanya bagaikan pelangi, redup dan bercahaya.

Rekacorak memaparkan kewibawaan dan kesederhanaan sikap si pemakai. Warna coklat, kuning muda, biru, kelabu, menyatukan jejalur sutera menarik, redup dipandang mata.

Paduan warna gemilang menampilkan ciri kesempurnaan dan ketelitian. Rekacorak ini amat digemari oleh Dato' Mahmud Mat, Pembesar Negeri yang terkenal sebagai seorang pemimpin bestari.

Kehalusan rekacorak dan jalinan warna beraneka menzahirkan kepermaian tersendiri. Mengatur corak sebegini rupa memerlukan ketekunan serta penelitian penenun yang mahir. Paduan warna gemilang mencerminkan kewibawaan yang unggul.

Bukan mudah membuat rekacorak ini, tetapi ketekunan dan kemahiran penenun mampu menzahirkan kain sarung yang sebegini rupa. Tapak Catur amat digemari oleh kaum wanita. Sesuai dipadankan dengan baju Kurung tanpa corak, ataupun baju Kedah daripada kain kosong.

Warna merah dan hijau melintang dipanggil jalur besar, mengiringi dua warna dasar ialah jejalur kecil dan halus berwarna pelangi. Kilauan sutera bersama paduan warna yang selari menjadikan kain ini bermutu tinggi.

Bagaikan buluh nan terbelah kekuningan warnanya, kukuh sifatnya. Diserikan lagi dengan empat jalur melintang berwarna merah dan hitam, menjadikan rekacorak ini tidak jemu dipandang mata.

Jejalur halus keemasan memantulkan cahaya. Sentuhan seni nan halus bagaikan alunan ombak berirama di tengah lautan biru. Anak-anak seluang berlompatan sambil mudik ke hulu Sungai Pahang, biasanya selepas banjir.

Rekacorak Mutakhir

Keindahan warna serat sutera halus yang terpancar dalam Kain Tenun Pahang menjadi perhatian para penggemar fesyen tradisional, khususnya di kalangan masyarakat elit. Oleh yang demikian, zahirlah beberapa rekacorak mutakhir yang lebih terang dan garang warnanya mengikut selera dan ilham para penempah sendiri. Berdasarkan corak dahulukala seperti Cindai dan Limar, para penenun mahir Pulau Keladi Pekan terus berusaha membuat corak terkini yang lebih klasik dengan jalinan benang emas dan perak yang sungguh menawan.

Rekocorak mutakhir ini masing-masing diberi nama :

  • Corak Bersilang
  • Corak Pucuk Rebung Berlapis
  • Corak Limar
  • Corak Bunting Padi
  • Corak Bunga Banji
  • Corak Cindai.
Corak bersilang warnanya garang dan terang. Muka kainnya corak Bunting Padi. Memaparkan unsur tradisi dan gubahan rekacorak terkini. Benang emas berkilauan memantulkan seri dan keceriaan.
Pucuk Rebung Berlapis dinamakan. Beberapa warna diserasikan. Jalinan Anak Lebah di permukaan. Sentuhan Cindai mempesonakan.
Rekacorak berilhamkan kain Limar Muka kain 'Bunga Banji'. Pelbagai warna dimesrakan seperti pelangi. Kain tenun ini memaparkan keistimewaan yang tersendiri.


Corak Batang Pinang diperhalusi lagi dengan jalinan benang emas pilihan terkini. Sentuhan Limar pada kaki kain bersilangkan warna kuning. Rekacorak mutakhir ini amat digemari oleh golongan elit.

Pemprosesan

Melikas : Menjalin urat-urat benang supaya kejat dan rapat. Sutera yang sudah digatih pada kayu Gelendong disarungkan ke atas Catuk dan diikat pada kayu Likas atau Daun Ruwing.

Menerau : Proses awal dalam kerja menenun. Kerja ini dilakukan melalui satu alat dinamakan 'Detarau' atau Gergisi Rahat Penerau, tempat benang diletakkan pada satu tapak Ruwing.

Mengani : Mengatur corak (ragi) kain, iaitu satu warna diselang-selikan pula dengan warna lain sehingga selesal pembahagian 'lerang' kain sarung (mengikut lebar lerang pilihan penempah). Mengani juga bermaksud menentukan panjang pendek kain tenunan serta helaian-helaian yang dibuat mengikut ukuran tertentu.

Mengatih : Mengeringkan lagi benang sutera dengan mengikatkannya pada kekayu yang diberi nama Catuk dan Gelendong Buluh.

Menggembar : Proses menjalinkan benang agar sama kasar atau sama halus. Untuk mengembarkan benang mesti gunakan 3 atau 4 Peleting yang diletakkan ke atas alat Pemetik. Kemudian punca benang pada Peleting ditarik dan jadikan satu. Semangkuk air bersih disediakan, gunanya bagi melalukan benang sutera sebelum diikat pada Peleting lain. Proses ini mengambil masa 2 hingga 3 hari untuk sekati benang.

Menjemur : Mengeringkan air (lebih kurang 3/4 kering) supaya benang tidak kusut dan sempurna keadaannya.

Menyusuk : Menolak benang ke dalam gigi jentera untuk proses menggulung benang ke papan gulung. Apabila proses ini sempurna, benang itu dihubungkan pula kepada 'Karap' seterusnya diletakkan ke atas peralatan Kek untuk ditenun sehingga selesai.

Peralatan Menenun

1. Anak Kayu

Kegunaannya sebagai pemisah kepada benang yang digulung pada papan gulung di antara satu lapisan dengan lapisan yang lain.

2. Belebas

Dikenali sebagal Belira untuk menyekat persilangan X pada benang Loseng supaya tidak bercampur atau kusut.

3. Gerup

4. Geliging

5. Gigi Jentera

Untuk merapatkan daging kain.

6. Irek-irek

Tempat pemijak kaki.

7. Karap

Dibuat daripada benang buku nombor 8

8. Kayu dan Tali perengang.

9. Kayu Pasak

Ia digunakan untuk menggulung kain yang telah siap ditenun sebelum dipotong kepada helaian yang ditentukan.

10. Kayu Sumbi

Kayu kecil sebesar ibu jari dan panjangnya lebih kurang 1.22 m / l.52 m (4 - 5 kaki), bergantung kepada lebarnya kain yang hendak ditenun. Pada kedua- dua hujungnya diletakkan jarum yang membengkok ke dalam supaya ketegangan kain dapat dikawal.

11. Ketapak

Tempat meletakkan daun Ruwing atau pemegang daun Ruwing.

12. Lidi-lidi Buluh

Diperbuat daripada buluh yang diraut sebesar lidi kelapa. Ianya menjadi pembahagi kepada lapisan benang Loseng yang digulung pada papan. Selain itu, lidi-lidi buluh ini digunakan sebagai pemisah di antara sehelai kain yang telah siap ditenun dan apabila hendak memulakan proses menenun yang baru.

13. Loseng

Kayu penggulung benang yang dikenali sebagal 'Pakal Sutera'

14. Papan duduk

Tempat duduk penenun semasa menjalankan proses menenun.

15. Papan Gulung

Menggulung benang yang telah di 'ani' dan direntang bagi membuang kusut.

16. Papan Lilit

Digunakan bagi menyusun corak benang Loseng dan menentukan ukuran benang yang hendak ditenun.

17. Peleting buluh

Digunakan untuk proses menerau iaitu proses menggulung bagi menentukan banyaknya benang.

18. Peleting besi

Digunakan sewaktu mengani dan memasukan benang ke dalam Torak.

19. Pemetik

Kawat di mana Peleting disangkutkan dengan menggunakan tali kelapa, kemudian benang ditarik Papan lilit.

20. Pengait

Alat yang diperbuat daripada tanduk atau buluh. Bentuknya seperti anak panah dibelah. Digunakan sebagai pengait untuk menarik benang Loseng ke dalam Karap dan Gigi Jentera.

21. Perentang

22. Pesa (Pese)

Seakan kayu pasak.

23. Rahat

Alat ini digunakan semasa menggulung benang dari daun Ruwing kepada Peleting.

24. Ruwing

Tempat meletakkan benang asal yang bergulung besar sebelum digulung kepada peleting.

Kiri : Ruwing. Kanan : Rahat

25. Sesikat

Diperbuat daripada besi nipis atau pelepah kabung yang disusun rapat seperti sikat. Fungsinya merapatkan serta mengemaskan jalinan benang apabila dilancarkan. lanya juga dikenali sebagai Gigi Jentera.

26. Tiang Pasong

Kayu pemegang papan gulung.

27. Torak buluh

Untuk melancarkan benang ke dalam Loseng supaya proses Torak kayu menenun dapat dipercepatkan.

Kayu Kek (Kiak)

Papan Gulung, Anak Kayu dan Gigi Jentera

Kek atau Kiak adalah mekanisme terpenting dalam proses menenun sutera. Setakat ini terdapat hanya dua jenis kek yang digunakan oleh para penenun iaitu :

1. Kek Siam

Ukurannya agak besar dan lebih tinggi berbanding dengan kek biasa

2. Kek Biasa

Kek yang lebih kecil dan rendah. Para penenun songket lebih menggemari Kek Biasa ini kerana penggunaannya lebih praktikal. Bagaimanapun kedua-dua jenis kayu Kek ini masih digunakan oleh para penenun di Pulau Keladi, Pekan.