Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Saturday, March 12, 2016

Imam Perang Indera Mahkota Haji Abd. Halim bin Ja'afar (Che' Gandut)

Imam Perang Indera Mahkota (kredit kepada YHM Dato' Setia Jaya Tunku Dato' Iskandar Dzulkarnain) 

Imam Perang Indera Mahkota Haji Abd. Halim bin Ja'afar bin Ishak bin Mohamad Noor dari Jambi merupakan antara jeneral utama di negeri Pahang yang namanya tercatat dalam naskhah-naskhah sejarah ikhtisas khususnya dalam era Peperangan Bendahara 1857-1863 dan Perang Klang 1872. Sekurang-kurangnya ada 7 jasa beliau yang dirakam sejarah secara rasmi:
 
Mac 1870: Mengetuai pasukan back-up bagi membantu pasukan Imam Perang Yusoh, Tg. Abd. Samad dan Uteh Gali (pasukan Bendahara) dalam Perang Gali (Middlebrooke, hlm. 45-46 dan 68; Pahang, hlm. 93-94).
 
Mac 1873: Bendahara Wan Ahmad mengurniakan gelaran “Imam Perang Indera Mahkota” kepadanya selepas beliau dan Imam Perang Rasu berjaya membantu menawan Kuala Lumpur (Middlebrooke, hlm. 81; Pahang, hlm. 97).
 
Mei 1873: Mengetuai angkatan perang laut dari Pahang yang mengandungi 50 buah perahu bersama 500 pendekar ke Klang. Dibantu oleh Abdullah Bera, dan disertai oleh Wan Mansur, Wan Ibrahim  dan Wan Mahmud (semasa tiba di Klang, telah ada 3,000 pendekar Pahang menanti di Selangor) (Middlebrooke, hlm. 81; Pahang, hlm. 97 dan PESAKA, hlm. 44).
 
Ogos 1887: Menjadi utusan rasmi Sultan Ahmad bersama Tok Gajah dan Muhammad Nur ke Singapore untuk bertemu dengan Gabenor Sir Frederic Weld bagi menyampaikan surat Tuanku (Pahang, hlm. 115).
 
Disember 1887: Dititahkan bersama dengan Tok Gajah untuk bertemu Hugh Clifford bagi membincangkan rang undang-undang pentadbiran di Pahang (Pahang, hlm. 118; Wong, hlm. 133-134).
 
1889: Dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negeri (selain Sultan Pahang, residen British, Tg. Mahmud, Engku Muda Mansur, Engku Andak, Maharaja Perba Jelai, Tok Gajah, Orang Kaya Chenor dan Orang Kaya Indera Shahbandar) (Pahang, hlm. 120, 127 dan 131).
 
Februari 1892: Dititahkan bersama Panglima Dalam Muda membawa surat Tuanku kepada Tok Raja di Jelai agar Tok Raja segera ke Pulau Tawar (Pahang, hlm. 145).

Notes: Gelaran turun-temurun keturunan Dato' Sri Haji Mohd. Najib (Orang Kaya Indera Shahbandar) pernah terputus kerana jatuh ke tangan Che' Osman, yang merupakan anak kepada Imam Perang Indera Mahkota. Namun gelaran tersebut dikembalikan semula pada tahun 1930 kepada jalur keturunan Dato' Sri Haji Mohd. Najib (rujuk Zainudin Maidin, Tun Razak : Jejak bertapak Seorang Patriot, hlm. 5).
 
Rujukan:
 
Middlebrooke, JMBRAS jilid XXIV Bahagian II-Julai 1951
 
W. Linehan, A History of Pahang, JMBRAS  jilid XIV Bahagian II-Jun 1936
 
Wan Mohd. Amin bin Wan Mohd. Said, Pesaka Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka 1966
 
Prof. Wong Lin Ken, The Malayan Tin Industry to 1914, University of Arizona Press, Tucson 1965