Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Thursday, December 15, 2011

Hubungan Nilai-Nilai Adat Melayu Dengan Amal Ibadat : Suatu Penilaian Dan Justifikasi*

Badli Shah bin Alauddin, AMP.
Penolong Pengarah
Bahagian Penyelidikan (Akidah dan Syariah)
Jabatan Agama Islam Pahang

Pengenalan Adat Masyarakat Melayu

Secara umumnya, terdapat dua jenis adat masyarakat Melayu yang diamalkan di Semenanjung Malaysia :

1. Adat Perpatih di Negeri Sembilan dan Naning di Melaka

2. Adat Temenggung, iaitu adat yang kebiasaannya diamalkan oleh orang-orang Melayu di luar Negeri Sembilan seperti Pahang, Melaka, Johor dan Selangor.

Dari sudut sejarahnya, kedua-dua adat Melayu ini adalah berasal dari Minangkabau.[1] Istilah Adat Perpatih terbit daripada gelaran Sutan Balun, iaitu Datuk Parapatieh Nan Sabatang (Datuk Perpatih Nan Sebatang); dan istilah Adat Temenggung pula berasal daripada gelaran abang tiri Sutan Balun (Sutan Maharajo Basa), iaitu Datuk Katumangguengan (Datuk Ketemenggungan). Lazimnya dalam penggunaaan istilah Adat Alam Minangkabau ataupun Adat Tuah Disakato ini, satu sistem kemasyarakatan telah disusun oIeh Sutan Balun bagi memperkenalkan sistem budaya mereka berdasarkan perbilangan :

Ke darat Adat Perpatih,
ke Iaut Adat Temenggung.

Ke darat berterombo,
ke laut bersalasilah

Za’aba (1934) juga, secara tidak langsung, telah merakamkan tentang dikotomi antara kedua-dua adat ini. Katanya :

Ke laut Adat Temenggung
siapa menjala siapa terjun,
siapa salah siapa berhutang,
siapa berhutang siapa membayar,
siapa membunuh siapa kena bunuh.

Ke darat Adat Perpatih
hutang berturut,
cagar bergadai,
cencang pampas,
bunuh beri balas (Ed. 1956:136).

Pengertian Adat atau ‘Urf

Adat berasal dari perkataan al-‘aud atau al-mu’awadah yang bererti ulangan perbuatan hingga menjadi mudah dan menjadi tabiat[2] atau kebiasaan bagi orang ramai atau segolongan mereka secara berulang-ulang.[3] Konsep adat dalam masyarakat Melayu selain membawa maksud istiadat atau upacara juga membawa maksud sistem sosial, kepercayaan dan perundangan.[4] Daripada konsep nilai ini terciptalah suatu peraturan seperti adat dalam masyarakat Melayu yang bertujuan mengawal perlakuan anggota masyarakat demi mewujudkan keharmonian dan menjamin kesejahteraan anggotanya.[5]

Dalam terminologi Arab, adat dikenali dengan ‘Urf yang berasal dari kalimah Arab iaitu ‘arafa (mengetahui) dan ‘urf (diketahui). Kata jamaknya adalah a’raf atau ‘uraf. Menurut Ibn Manzur, ‘urf, ‘arifah dan ma’ruf mempunyai pengertian yang sama yakni membawa maksud sesuatu yang diketahui oIeh seseorang tentang sesuatu, yang menjadikannya amat selesa.[6] Oleh itu yang diketahui akan menjadi kebiasaan dan baik, sepertimana perkataan ‘urf dan ma’ruf yang terdapat di beberapa tempat dalam al-Quran.[7] Luis Ma’Iuf pula membuat sedikit pembahagian. Menurutnya, ‘urf ialah perkara yang wujud secara tetap dalam diri manusia yang berpandukan akal fikiran dan diterima oIeh tabiat yang sejahtera.[8] Adat pula diertikan sebagai perkara yang selalu berulang atau berlaku tanpa dikaitkan dengan fikiran.[9]

Jumhur fuqaha’ menyamakan pengertian ‘urf dan adat, namun ada mazhab yang membezakannya; adat lebih umum sementara ‘urf lebih khusus. Tiap-tiap ‘urf adalah adat tetapi tidak semua adat adalah ‘urf.[10] Sekiranya ‘urf tidak bertentangan dengan dalil syarak, maka ianya boleh diterima. Sekiranya bertentangan, maka ulama’ mempunyai pendapat yang berlainan.[11] Apapun, ‘urf yang diterima harus memenuhi beberapa persyaratan. Antaranya ialah :

1. Tidak bertentangan dengan sumber syarak iaitu teks al-Quran dan al-Sunnah yang sahih

2. Menjadi amalan biasa seluruh negeri Islam

3. Menjadi amalan berulang-ulang dan diketahui umum.[12]

Hubungan Timbal Balik Antara Adat dan Autoriti Hukum Islam

Pada zaman awal Islam, Nabi s.a.w bukan saja menerima beberapa adat Arab Jahiliyyah yang disesuaikan dengan kehendak Islam, bahkan menerima beberapa idea dan metode yang digunakan oleh orang ‘Ajam (Non-Arab). Nabi s.a.w pernah menjemput seorang tukang kayu Rom untuk membina mimbar khas khutbah Jumaat mengikut kesenian orang Rom. Begitu juga dalam Perang Ahzab, Nabi menerima idea Salman al-Farisi untuk membuat khandaq (parit) iaitu bersumberkan sistem pertahanan Parsi. Dalam pemerintahan khulafa’ al-Rasyidin juga, banyak sistem pentadbiran dan kewangan ditiru dari Parsi, Rom dan lain-lain selagi tidak bertentangan dengan nas. Begitu juga sistem dawawin dan al-rahn diimport dari sistem Rom.[13]

Majoriti fuqaha’ mengakui autoriti ‘urf sebagai salah satu sumber dalam penetapan hukum. Al-Qarafi (m. 1283 H) menetapkan ‘urf sebagai salah satu sumber perundangan Islam.[14] Al-Tufi (m. 1316H) pula meletakkan ‘urf di tempat ke sepuluh dalam senarai sumber perundangan.[15] Begitu juga Imam al-Nawawi (m. 1277 H) memberi banyak contoh di mana seseorang dikehendaki mengikut ‘urf tempatan seperti ihya’ al-mawat, harta luqatah (barang jumpaan), nafkah ke atas isteri, mahr al-mithl dan lain-lain.[16]

Para fuqaha’ keempat-empat mazhab menjadikan ‘urf sebagai landasan hukum berdasarkan ayat yang bermaksud : “Berilah kemaafan, perintahkan dengan yang ma’ruf dan berpalinglah dari orang-orang bodoh” (Surah al-A’raf : 199). Begitu juga ucapan Ibn Mas’ud (maksudnya) :[17]Apa yang dipandang baik oleh kaum muslimin, maka menurut Allah adalah baik. Dan sebaliknya buruk oleh mereka, menurut Allah juga buruk”. Begitu juga dalam ayat yang bermaksud : “Dan bagi wanita-wanita yang ditalaq, berilah harta (mut’ah) secara ma’ruf” (Surah al-Baqarah : 223).

Dalam kitab al-Ahkam, Imam al-Qaraifi al-Maliki menjelaskan bahawa memperlekehkan hukum-hukum yang dasarnya ‘urf dan adat sedangkan adat kebiasaan sentiasa berubah adalah menyalahi ijma’ dan tidak mengetahui agama.[18] Orang ramai boleh beramal dengannya dalam syarak dan syarak menganggapnya sebagai dalil.[19] ‘Urf juga dijadikan panduan kepada hakim atau mufti berdasarkan perbezaan tabiat atau maslahat manusia seperti ukuran jenayah ta’zir sepertimana ungkapan al-‘adah muhakkamah.

Hubungan Nilai-Nilai Adat Melayu Dengan Amal Ibadat

Hubungkait antara Islam dan adat masyarakat Melayu mungkin banyak boleh dilihat dalam ruang lingkup ibadat. Hakikat ini mempunyai kaitan dengan teori perkembangan Islam di Nusantara yang dipelopori oleh pendakwah Sufi yang dikatakan lebih cenderung kepada penumpuan terhadap perkara-perkara teologi dan kerohanian. Hubungan antara adat Melayu dan ibadat boleh dilihat dalam tiga dimensi :

i. Unsur Ibadat Dalam Adat

Dalam dimensi yang pertama ini, banyak adat Melayu yang pada asalnya merupakan adat dan tradisi semata-mata tetapi telah diislamkan dengan diselitkan unsur-unsur ibadat ke dalamnya.[20] Sebagai contoh, masyarakat Melayu merupakan masyarakat penyayang yang bersifat sentiasa meraikan anggotanya, sama ada ketika gembira ataupun duka. Sifat meraikan ini kebiasaannya dimanifestasikan dengan mengadakan kenduri atau jamuan. Institusi kenduri merupakan salah satu adat Melayu atau upacara sosial[21] yang diamalkan turun temurun sebelum kedatangan Islam lagi.[22] Justeru bagi melihatkan wajah Islam terhadap institusi kenduri ini, beberapa unsur ibadah seperti doa, zikir, bacaan Yaasin, selawat dan berzanji telah dimasukkan.[23]

ii. Unsur Adat Dalam Ibadat

Hubungan yang erat antara adat dan juga ibadat dalam masyarakat Melayu telah mewujudkan satu fenomena ibadat yang dipengaruhi oleh unsur-unsur adat. Kebiasaannya ibadat yang diresapi oleh elemen adat ini ialah ibadat-ibadat sunat yang tidak ditentukan kaifiatnya seperti zikir, doa dan membaca al-Quran. Manakala ibadat-ibadat fardhu pula dilihat tidak dikesani oleh pengaruh adat. Antara ibadat yang dilihat sebagai terhasil kesan pengaruh adat ialah amalan tahlil, zikir nyaring beramai-ramai selepas solat fardhu berjemaah, membaca Yaasin beramai-ramai, zikir dan selawat antara Terawih dan lain-lain lagi. Ada juga ibadat yang diupacarakan atau diraikan dalam masyarakat seperti berkhatam al-Quran dan berkhatan anak lelaki, yang kebiasaannya diraikan dengan kenduri.[24]

iii. Adat Yang Dimanifestasikan Oleh Ibadat

Amal ibadat yang dilakukan oleh masyarakat Melayu tidak terhenti setakat ritual sahaja, sebaliknya ia mendatangkan kesan yang mendalam dalam jiwa dan peradaban mereka. Ini dapat dilihat melalui banyak adat resam yang lahir dari kesan pengaruh amal ibadat yang dilaksanakan.[25] Antara adat yang timbul kesan dari ibadat termasuklah adat yang berhubungkait dengan puasa dan hari raya. Contoh lain termasuklah jamuan selepas solat Terawih yang dikenali sebagai moreh.[26] Satu lagi contoh lain yang berkaitan ialah berzanji dan marhaban ketika mengadakan kenduri akikah atau yang dikenali sebagai kenduri potong jambul. Mengadakan kenduri akikah adalah satu ibadat tanda kesyukuran kerana dikurniakan zuriat, dan untuk meraikannya supaya lebih meriah upacara berzanji dan marhaban dilakukan.[27]

Penilaian dan Justifikasi

Daripada analisis terhadap latar belakang hubungan antara adat Melayu dan ibadat seperti di atas, dua bentuk penilaian hukum boleh dilakukan khususnya dalam melihat sama ada asimilasi adat ke dalam ibadat itu menepati prinsip syariat atau tidak.

1. Dalam membina atau mempengaruhi pembinaan budaya baru, hukum Islam tidak bersikap menolak semua sekali budaya yang sudah dihayati oleh masyarakat. Malah, kelaziman ataupun ‘urf telah diterima sebagai salah satu sumber hukum Islam. Bagaimanapun, adalah penting bahawa ‘urf atau kelaziman berkenaan tidak bertentangan dengan nas syarak atau prinsip umum syariat Islam. Kalau ianya bertentangan dengan hal-hal berkenaan, ia mesti diabaikan. Dalam bahasa para fuqaha, ‘urf seperti itu dikenali sebagai ‘urf fasid, iaitu kelaziman buruk dan tidak diterima sebagai sumber hukum.[28]

Sebagai suatu sumber hukum, ‘urf mempunyai kedudukan yang kukuh dalam proses pengajian hukum (tafaqquh) dan ijtihad. Sesuai dengan ini, terdapat di kalangan para fuqaha ungkapan-ungkapan popular yang menggambarkan kedudukan tersebut. Antaranya ialah :

Adat itu mengikat

Apa yang sabit berdasarkan ‘urf sebenarnya sabit berdasarkan dalil syarak

Apa yang sabit dengan ‘urf samalah dengan apa yang sabit dengan nas.”

Apa saja yang disebut oleh syarak secara terbuka tanpa indikasi dalam sebutan itu sendiri ataupun dalam bahasa perlu dirujuk kepada ‘urf

dan banyak lagi.[29] Dalam kitab-kitab fiqh klasik, banyak contoh di mana ‘urf diutamakan daripada qiyas sendiri. Malah ia boleh menjadi asas kepada pengkhususan erti bagi nas syarak. Ini sesuai dengan prinsip :

Mengelak keserbasalahan dan kesukaran serta mewujudkan kebaikan”.[30]

Oleh kerana ‘urf itu sesuatu yang selalu berubah kerana perubahan masa dan keadaan, maka hukum yang berdasarkan kepadanya perlu turut berubah. Berasaskan kepada kaedah ini para fuqaha menyebut : “Perubahan hukum kerana perubahan masa”. Antara ungkapan yang Iain juga popular di kalangan mereka ialah : “Ini berasaskan kepada perbezaan keadaan dan zaman, bukan perbezaan hujah dan alasan.”[31]

2. Kebiasaan Islamik yang diterima umum secara meluas akan membentuk kelaziman atau ‘urf yang Islamik. Apabila kelaziman yang Islamik itu berakar umbi, ia akan membentuk budaya Islam. Berasaskan budaya Islam, akan terbinalah kelak sebuah tamadun Islam. Justeru sebarang hukum – meskipun disebut sebagai arahan Tuhan yang berkait dengan perbuatan manusia secara individu (al-mukallafin) – kesan dan pengaruhnya terhadap budaya dan tamadun adalah sangat jelas. Dalam sejarah awal Islam, perubahan budaya telah berlaku dalam masyarakat Arab apabila hukum diperkenalkan, baik di Mekah mahupun di Madinah. Perbezaan antara budaya Islam di Hijaz dan budaya Islam di Iraq boleh menjadi contoh kepada kenyataan ini.

Di Madinah misalnya, pembudayaan hukum Islam pada zaman awal Islam berlaku dengan begitu intensif sekali sehingga ia membina keseluruhan perwatakan para penduduknya dalam tempoh berkenaan. Sebagai pengiktirafan kepada fenomena ini, maka Imam Mazhab besar pertama dalam sejarah Islam iaitu Imam Malik telah menerima amalan atau budaya penduduk Madinah sebagai sumber hukum Islam.[32]

Bagi Imam Malik, logiknya penerimaan budaya Madinah sebagai sumber hukum amat jelas. Menurut beliau, al-Quran telah diturunkan di Madinah. Hadis-hadis Rasulullah s.a.w juga diperkenalkan di Madinah. Masyarakat Madinah merupakan masyarakat yang menghayati sendiri detik-detik penurunan wahyu ini dan proses anjakan paradigma sesuai dengan kehendaknya dalam setiap aspek hidup. Bagi Imam Malik, tindakan mereka merupakan suatu penghayatan yang jelas kepada kehendak wahyu itu dan lebih dekat kepada maksudnya yang sebenar. Berasaskan kepada hakikat ini, Imam Malik melangkah lebih jauh dengan menerima amalan atau budaya penduduk Madinah, walaupun terpaksa menolak hadis-hadis tertentu yang kelihatan bertentangan dengannya.[33]

Kesimpulan

Pengislaman tidak bererti penghapusan secara total budaya tempatan. Memang Islam tidak bermaksud menghapuskan segala yang bersifat kebudayaan peribumi. Tidak semua unsur budaya peribumi itu negatif, malah sebaliknya banyak yang positif. Dalam hal-hal keduniaan Islam mengamalkan prinsip yang disebut al-bara’ah al-asliyyah atau al-ibahat al-asliyyah yang membawa maksud bahawa semuanya dibolehkan, kecuali yang dilarang.

Sebahagian kepercayaan dan adat Melayu pra-Islam memang karut, sesat dan perlu dihapuskan. Ia mungkin bersumber dari pengaruh Hindu, Buddha, animisma atau kepercayaan-kepercayaan keperibumian lainnya.[34] Tetapi terdapat juga adat budaya yang tidak bertentangan dangan hukum atau nilai-nilai Islam, terutama adat yang lahir dari pemerhatian terhadap alam. Memang alam adalah sumbar penting penciptaan budaya, malah bagi orang Melayu alam adalah guru sebagaimana yang terungkap dalam fatwa adat berikut :

Panakiak pisau sirauit,
ambiak guluh batang lintabuang
salodang ambiak ke nyiru
nan satitik jadikan lauit
nan sakapa jadikan gunuang
alam takambang jadikan guru

Ungkapan alam terkembang jadikan guru bererti belajar dari alam dengan implikasi bahawa sebahagian adat budaya Melayu tercipta dari pemerhatian tarhadap ayat al-Kawn yang juga merupakan sejenis kitab berisi tanda-tanda (ayat) kebesaran Tuhan. Alam dangan segala keindahan flora dan faunanya banyak sekali membentuk cara hidup dan peribadi Melayu, sebagaimana filsafat yang tersirat di balik motif flora dalam seni ukir Melayu :

Tumbuh berpunca,
punca penuh rahsia,
tumbuh tidak menunjak kawan,
memanjat tidak memaut lawan,
tetapi melingkar penuh mesra

Ungkapan “biar mati anak, jangan mati adat” tidak harus disalahtafsirkan sebagai sikap fanatik Melayu terhadap adat dalam erti tradisi warisan nenek-moyang. Yang dinamakan adat bukan cuma itu. Dalam kebudayaan Melayu terdapat empat kategori adat[35] :

1. Adat yang sebenar adat,

2. Adat yang diadatkan,

3. Adat yang teradat,

4. Adat istiadat.

Adat yang dimaksudkan dalam ungkapan “biar mati anak jangan mati adat” itu sebenarnya merujuk jenis adat yang sebenar adat, iaitu sunnatullah (undang-undang alam) dan hukum Allah (al-Kitab dan al-Sunnah). Dengan demikian ungkapan tersebut membawa implikasi bahawa andainya terpaksa memilih antara menyelamatkan anak dengan mencabul hukum (undang-undang) atau mengorbankan anak demi mendaulatkan hukum, maka prinsipnya adalah biar mati anak jangan mati adat. Prinsip inilah yang dilaksanakan oleh Sultan lskandar Muda Mahkota Alam (Aceh) yang sanggup menghukum mati puteranya sendiri (yang bersalah melakukan zina) demi kedaulatan hukum dan undang-undang.

Demikianlah semangat kesalingan yang terjalin di antara Islam dengan budaya peribumi. Dalam pertembungannya dengan adat, Islam tidak terus membanterasnya, tetapi tidak pula terus menerimanya. Dengan bijaksana dan penuh pengertian adat peribumi diubahsuai agar tidak menyalahi ajaran Islam, dan sesudah itu diberikan kesempatan untuk terus hidup selama ia diperlukan oleh pengamal-pengamalnya. Di pihak adat, ia tidak merasa dimusuhi atau diremehkan. Sebaliknya, merasa dibina dan disempurnakan, lalu dengan rela menerima perubahan-perubahan. Memang daya tahan sesuatu adat budaya sehingga tak lakang dek paneh, tak lapuak diujan tergantung pada kesanggupannya menyesuaikan diri dengan perubahan. Bagaimanapun, perubahan tidak pula sampai terlepas dari kawalan. Mungkin inilah semangat yang tersirat di sebalik perbilangan adat :

Sakali aia gadang
sakali tapian baranjak,
walaupun baranjak
dilapiak sa’alai juo.

Usang-usung dipabahurui,
lapuak-lapuak dikajangi,
nan elok dipakai,
nan buruak dibuang,
kok singkek mintak diuleh,
panjang mintak dikarek,
nan umpang mintak disisit


Bibliografi

Al-Quran al-Karim.

A. Aziz Deraman (1992), Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia, Kuala Lumpur : Arena Ilmu.

_______________ & Wan Ramli Wan Mohamad (1995), Perayaan Orang Melayu, Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti.

_______________ & Wan Ramli Wan Mohamad (1995), Adat dan Pantang Larang Orang Melayu, Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti.

Al-Jidi, Umar bin Abd. Karim (1984M/1404H), Al-‘Urf wa al-‘Amal fi al-Mazhab al-Maliki wa Mafhumha Lada UIama’ al-Ma’rab, Muhammadiyyah al-Maghrib.

Al-Jurjani (1983), Kitab al-Ma’rifat, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Al-Mawardi (1909), Al-Ahkam aI-Sultaniyyah, Kaherah.

Al-Zarqa’, Mustafa Muhammad (1967), Al-Fiqh al-Islami fi Tawbih al-Jadid, juz. I, Dimasyq.

Al-Qarafi (1345H), Al-Furuq, Kaherah : Bulaq.

Al-Suyuti (t.t), Al-Asybah Wa an-Nazaair, Kaherah : al-Maktabah al-Tijairiyyah.

Al-Tufi (1954), Risalah fi al-Maslahah, Kaherah.

Ismail Hamid (1991), Masyarakat dan Budaya Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Ibn Hanbal (t.t), Musnad, Kaherah : Dar al-Fikr, jld. 1.

Ibn Munzir, Lisan al-‘Arab al-Muhit, vol. II.

Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1968), I’lam al-Muwaqqi'iin, Kaherah : Maktabah al-Kuliyyat al-Azhariyyah, jld. 3.

Jurji Zaydan (t.t), Tarikh al-Tamaddun al-lslami, juz. 2, Kaherah : Dar al-Hilal.

Luis Ma’Iuf (1952), Al-Munjid, Beirut.

Mohd. Taib Osman (1989), Agama dan Kepercayaan Orang Melayu, Kuala Lumpur : DBP.

Muhammad Abu Zahrah (t.t), Usul al-Fiqh, Kaherah : Dar al-Fikr al-Arabi.

___________________ (t.t), Tarikh al-Mazaahib al-Islamiyyah, Kaherah : Dar al-Fikr al-Arabi, jld. 2.

Muhammad al-Jurjani (1233H), Kitab al-Ta’rifat, Kaherah.

Norazit Selat (1989), Konsep Asas Antropologi, Kuala Lumpur : DBP.

Norhalim Hj. Ibrahim (1993), Adat Pepatih Perbezaan dan Persamaan Dengan Adat Temenggong, Fajar Bakti Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Rahim Syam & Norhale (1988), Mendekati Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti.

Syed Husin Ali (1981), The Malays : Their Problems and Future, Kuala Lumpur : Heinemann Asia.


[1] Norhalim Hj. Ibrahim, Adat Pepatih Perbezaan dan Persamaan Dengan Adat Temenggong, Fajar Bakti Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1993, hlm. 5.

[2] Al-Zarqa’, Mustafa Muhammad (1967), al-Fiqh al-Islami fi Tawbih al-Jadid, juz. I, Dimasyq, hlm. 3.

[3] Al-Jurjani (1983), Kitab al-Ma’rifat, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm. 838.

[4] Norhalim Hj. Ibrahim, Adat Pepatih Perbezaan dan Persamaan Dengan Adat Temenggong, Fajar Bakti Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1993, hlm. 5.

[5] Ismail Hamid, Masyarakat dan Budaya Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991, hlm. 91.

[6] Ibn Munzir, Lisan al-‘Arab al-Muhit, vol. II, hlm. 747.

[7] Lihat al-Quran, (2) : 177, 178, 179, 180, 227, 228, 229, 231 – 233, 234, 240, 241, 263; (3) : 104, 110, 114; (4) : 6, 19, 25, 114; dan (7) : 119, 199, 157; (9) : 67, 71, 112; (22) : 41; (31) : 17; (47) : 21; (60) : 12; (65) : 2, 6.

[8] Luis Ma’Iuf (1952), al-Munjid, Beirut, hlm. 521.

[9] Lihat ‘AIal al-Fasi, op.cit., hlm. 151; lihat juga Muhammad al-Jurjani (1233H), Kitab al-Ta’rifat, Kaherah, hlm. 99.

[10] Al-Jidi, Umar bin Abd. Karim (1984M/1404H), al-‘Urf wa al-‘Amal fi al-Mazhab al-Maliki wa Mafhumha Lada UIama’ al-Ma’rab, Muhammadiyyah al-Maghrib, hlm. 37.

[11] Ibn ‘Abidin, op.cit., hlm. 199, 206, 207 dan 225.

[12] Ibid., hlm. 199, 206, 209, 210, 214; lihat juga Abu Sannah, al-‘Urf wa al-‘Adah fi Ra’y al-Fuqaha’, Kaherah : Matba’ah al-Azhar, hlm. 8.

[13] Al-Qaradawi, Khasaais, hlm. 253; lihat juga Jurji Zaydan (t.t), Tarikh al-Tamaddun al-lslami, juz. 2, Kaherah : Dar al-Hilal, hlm. 138 – 153.

[14] Lihat Abi Sannah (1949), al-‘Urf wa al-‘Aadah fi Ra’y al-Fuqaha’, Kaherah, hlm. 32.

[15] Al-Tufi (1954), Risalah fi al-Maslahah, Kaherah, hlm. 16.

[16] Al-Mawardi (1909), al-Ahkam aI-Sultaniyyah, Kaherah, hlm. 70, 71; lihat juga jld. II, hlm. 197, 198, 203 – 206; jld. III, hlm. 78 – 84.

[17] Berhubung hadis ini, al-Zaira’ie berkata : Gharib marfuk. Yang benar, mauquf kepada Ibn Mas’ud. Lihat Nasab al-Ghayah, IV, hlm. 33 (diriwayatkan juga oleh Ahmad al-Bazzar dan al-Tabrani dalam kitab al-Kabir).

[18] Al-Qaradawi, Khasaais, hlm. 246.

[19] Lihat Abu Sannah (1381H/1962), Madkhal al-Fiqh aI-lsIami, sepertimana dipetik oleh Hassan Haji Salleh, aI-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 105.

[20] Lihat A. Aziz Deraman (1992), Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia, Kuala Lumpur : Arena Ilmu, hlm. 25 – 29.

[21] Norazit Selat (1989), Konsep Asas Antropologi, Kuala Lumpur : DBP, hlm. 73.

[22] Lihat Rahim Syam & Norhale (1988), Mendekati Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti, hlm. 132.

[23] A. Aziz Deraman & Wan Ramli Wan Mohamad (1995), Perayaan Orang Malayu, Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti, hlm. 70 – 71.

[24] A. Aziz Deraman & Wan Ramli Wan Mohamad (1995), Adat dan Pantang Larang Orang Melayu, Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti, hlm. 29 – 31.

[25] Mohd. Taib Osman (1989), Agama dan Kepercayaan Orang Melayu, Kuala Lumpur : DBP, hlm. 175.

[26] A. Aziz Deraman & Wan Ramli Wan Mohamad, Perayaan Orang Melayu, op. cit., hlm. 10 – 11.

[27] Ibid., hlm. 19 – 40.

[28] Muhammad Abu Zahrah (t.t), Usul al-Fiqh, Kaherah : Dar al-Fikr al-Arabi, hlm. 274.

[29] Al-Suyuti (t.t), al-Asybah Wa an-Nazaair, Kaherah : al-Maktabah al-Tijairiyyah, hlm. 80 – 88; al-Qarafi (1345H), al-Furuq, Kaherah : Bulaq, jId. 2, hlm. 283.

[30] Al-Syatibi, op.cit., jld. 2, hlm, 279 – 288.

[31] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1968), I’lam al-Muwaqqi'iin, Kaherah : Maktabah al-Kuliyyat al-Azhariyyah, jld. 3, hlm. 14 – 70.

[32] Muhammad Abu Zahrah (t.t), Tarikh al-Mazaahib al-Islamiyyah, Kaherah : Dar al-Fikr al-Arabi, jld. 2, hlm. 234.

[33] Ibid. hlm. 235.

[34] Syed Husin Ali (1981), The Malays : Their Problems and Future, Kuala Lumpur : Heinemann Asia, hlm. 42 – 47

[35] Adat ini merupakan nilai yang bersifat mutlak dan dominan dan ia ditentukan oleh adat yang diadatkan. Nilai tokok tambah diberi oleh adat istiadat dan adat resam.

* Artikel ini diterbitkan sempena Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Negeri Pahang 1433H

Monday, October 31, 2011

Labbaikallah…

YAB Perdana Menteri Malaysia, Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak bersama dengan Toh Puan Indera Dato’ Sri Hajjah Rosmah binti Mansor berlepas ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji.

Panca Persada mendoakan agar kedua-duanya selamat kembali sebagai hamba yang benar-benar bertaqwa lahir dan batin, serta diterima Allah segala doa dan pengharapan.

Hajar Aswad

Force 136 : Markas Baru Rejimen 505 Askar Wataniah (Batalion Kedua) Pahang

Force 136Sultan Ahmad Shah (tengah) bergambar bersama anggota Askar Wataniah selepas merasmikan Kem Angkatan 136 Rejimen 505

Kem Angkatan 136 (Force 136) Rejimen 505 dekat Sungai Miang di Pekan telah diumumkan sebagai markas utama latihan tentera sukarela di Pahang. Kem bernilai kira-kira RM26.1 juta yang dibina di atas tanah seluas 4.46 hektar ini mampu melatih seramai 500 orang anggota dalam satu masa.

Difahamkan Kem Rejimen 505 di Taman Gelora, Kuantan akan tetap beroperasi walaupun markas utama rejimen itu telah memulakan latihan di Pekan.

Rahsia Sebalik Nama Force 136

British Special Operations Executive (SOE's) Force 136 merupakan nama samaran kepada operasi sulit tentera British di seluruh Asia Tenggara pada tahun 1941 – 1945. Pasukan ini yang ditubuhkan pada 16 Mac 1944 boleh dianggap sebagai pelopor kepada sejarah moden pasukan khas dan elit yang lain di Malaysia seperti Senoi Praaq (1956), Grup Gerak Khas (1965), VAT 69 (1969), Unit Tindakan Khas (1975) dan lain-lain yang tak dapat dikongsikan disini atas faktor kerahsiaan.

Semasa era Perang Dunia Kedua, pihak SOE telah menubuhkan beberapa pasukan sulit seperti ini di beberapa buah negara lain seperti di Timur Tengah (Force 133), Australia (Force 137), Benua Amerika (Force 266) dan Balkan (Force 399).

Force 136 dan Kesultanan Pahang

Pasukan 136 ini pernah mencatatkan sejarah besar di Pahang apabila mereka dengan beraninya menculik Almarhum Baginda Sultan Pahang Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Muadzam Shah ibni Almarhum al-Mua'adzam al-Mu'tasim Billah al-Sultan Abdullah. Peristwa berlaku pada 17 Ogos 1945 tatkala KDYMM Tuanku bersama dengan Dato’ Mahmud bin Mat berangkat dari Kuala Lipis menuju ke Pekan. Ketika kenderaan baginda tiba berhampiran Kuantan, baginda berhenti untuk mendengar siaran radio. Di situ, beberapa orang pasukan Force 136 yang lengkap bersenjata dan memakai pakaian seragam telah menculik baginda.

Seorang daripada ketua Force 136 itu mengatakan bahawa mereka menjalankan tindakan menurut perintah pihak berkuasa tertinggi tentera British South East Asia Command (SEAC) yang berpangkalan di Pulau Ceylon dengan memberi alasan bimbangkan keselamatan baginda dibunuh atau dicederakan tentera Jepun. Hal ini ada asasnya kerana baginda merupakan penerima anugerah Knight Grand Cross : The Most Distinguished Order of Saint Michael and Saint George (GCMG) dari Ratu England yang perlu dilindungi.

Baginda telah dibawa oleh pasukan Force 136 ke tempat perkhemahan mereka dalam hutan yang terletak 3 batu dari jalan raya. Hampir tiga minggu baginda tinggal dalam hutan dan bercampur dengan anggota Force 136 yang terdiri daripada 80 orang Cina yang mencari perlindungan di Pahang.

Pada 8 September 1945, barulah baginda sampai kembali ke Pekan dan disambut oleh ribuan rakyat jelata yang menyatakan kesyukuran atas keselamatan baginda (rujuk : "Ruler Who Was Kidnapped" oleh Harry Miller : The Straits Times, 29 Mei 1957).

Sudah pastinya nama Kem Angkatan 136 (Force 136) mencatat kenangan tersendiri buat KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah terhadap Almarhum Paduka Ayahanda tercinta…

Gempur Wira...

Saturday, October 29, 2011

Peristiwa Kg. Batu Hampar, Gajah Mati

Saya tertarik dengan berita di Sinar Harian hari ini :

MENTAKAB - Pengkaji sejarah diminta membuat kajian berkaitan penemuan 14 kubur di Kampung Batu Hampar, Gajah Mati, dekat sini yang dikatakan milik pahlawan ketika zaman penjajahan British.

Mantan Penghulu Mukim Mentakab, Johar Zabidin berkata, mengikut sejarah yang diperkatakan daripada nenek moyang terdahulu, kawasan perkuburan itu adalah tempat terakhir Datuk Bahaman tinggal bersama rakannya sebelum berhijrah ke Terengganu.

Terus terang, kisah yang berlaku di Batu Hampar tersebut bukanlah sebuah kisah yang selesa untuk kita gembar-gemburkan. Sebagai generasi baru, terlalu banyak perkara tersirat disebalik yang tersurat. Saya tampilkan di sini sedikit catatan untuk sama-sama dibuat pertimbangan.

Penentangan Inggeris di Pahang

Setelah dua tahun British campurtangan dalam pemerintahan di negeri Pahang, Orang-Orang Besar Pahang telah menjadi tidak puas hati kepada cara pemerintahan British itu. Antara yang tidak berpuas hati ialah Yang Hormat Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan Dato’ Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh (Tok Bahaman). Bermula Disember 1890, Tok Bahaman telah mula bersengketa dengan Majistret British (juga dikenali sebagai Pemungut dan Pengadil Daerah) di Temerloh ketika itu iaitu E.A Wise yang ingin membina sebuah Balai Polis di Mempateh.

Selepas itu, Dato' Bahaman berbalah pula dengan seorang lagi Majistret British di Temerloh iaitu J.F Owen berkaitan prosedur baru pengeluaran hasil hutan Semantan yang perlu mendapat kebenaran dan kelulusan pegawai British.

Dek kerana persengketaan ini, pegawai-pegawai British tersebut telah membuat aduan kepada Sir Hugh Charles Clifford (Hugh CliffordResiden British) yang berada di Pekan. Clifford (gambar sebelah) telah bertindak menulis sepucuk surat aduan kepada KDYMM Sultan Ahmad al-Muazzam Shah (memerintah 1863 – 1914) yang ketika itu bersemayam di Pulau Tawar, Jerantut berkenaan sikap penentangan Tok Bahaman ini. Akhirnya, Tok Bahaman telah dititahkan mengadap, dan setelah memberi penjelasan kepada baginda, KDYMM Tuanku telah menitahkan Tok Bahaman agar berjumpa sendiri dengan Clifford di Pekan bagi menerangkan duduk perkara sebenar. Namun atas dasar prinsip serta maruah, Tok Bahaman mengengkari titah ini...

Apabila KDYMM Tuanku mendapat maklum yang Tok Bahaman tidakTok Raja ke Pekan berjumpa Clifford, lantas baginda menitahkan Yang Di Hormat Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai (Tok Raja) Dato’ Wan Muhammad bin Wan Idris (gambar sebelah) supaya segera ke Semantan bagi mengambil Tok Bahaman untuk dibawa mengadap tuanku di Pulau Tawar. Ketika inilah Tok Bahaman dikatakan telah melarikan diri ke hutan dan disinilah bermulanya episod penentangan British di Pahang yang membawa kepada peristiwa di Batu Hampar ini (rujuk A History of Pahang, W. Linehan : dalam Journal of The Malayan / Malaysia Branch Royal Asiatic Society (JMBRAS), jld. XIV, bhg. II , Jun 1936, hlm. 140).

Rentetan dari tindakan melarikan diri Tok Bahaman ini, atas 'nasihat' Residen British; beliau telah dilucutkan serta merta gelaran Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan dan salinan surat perintah itu beserta cap mohor Sultan telah diedarkan di Mukim Semantan (rujuk A History of Pahang, W. Linehan : dalam JMBRAS, jld. XIV, bhg. II, Jun 1936, hlm. 137 - 138).

Tindakan ini diambil beberapa ketika selepas selesainya Majlis Mesyuarat Negeri ke-5 pada 8 Oktober 1891. Sejak dari itulah, mengikut Hikayat Pahang, namanya kembali mengikut nama asal iaitu Bahaman sahaja (rujuk Hikayat II).

Peristiwa Batu Hampar

Ada beberapa peristiwa yang membawa kepada pertempuran di Batu Hampar ini (rujuk A History of Pahang, W. Linehan : dalam JMBRAS, jld. XIV, bhg. II, Jun 1936, hlm. 140 - 141) :

1. Peristiwa serang hendap terhadap C.E.M Desborough yang merupakan Pemangku Pemungut Cukai Tanah di Mukim Semantan serta seorang inspektor lombong beserta 15 orang mata-mata bangsa Sikh dan 6 orang mata-mata bangsa Melayu. Serang hendap berlaku pada 16 Disember 1891 ketika rombongan itu sedang mudik Sungai Semantan menuju ke Lubuk Terua.

2. Serangan terhadap balai polis Lubuk Terua.

3. Menawan rumah stor kepunyaan syarikat lombong di Raub dan Bentong bagi tujuan mengambil stok makanan. Ketika inilah Tok Bahaman mengisytiharkan secara rasmi penentangan bersenjata terhadap British. Tatkala itu pengikut Tok Bahaman telah meningkat kepada 600 orang (sebelumnya hanya 100 orang sahaja) yang terdiri daripada orang-orang Melayu dari Semantan, Bentong dan 100 orang Asli.

4. Serangan di Temerloh yang berhasil mendapat empat pucuk senapang milik polis. Pada ketika itu, Tok Bahaman dan pengikutnya telah berjaya menguasai kawasan di Sungai Semantan hingga ke Temerloh.

Natijah

Kesan dari rentetan peristiwa ini, pada 21 Disember 1891; Sir John Pickersgill Rodger yang merupakan Pemangku Residen British di Selangor telah bergerak ke Raub bersama-sama dengan Kapten H.C. Syers (Penguasa Polis Selangor). Di sana, mereka telah mengadakan perbincangan dengan Clifford, Wise, Inspektor Fleming (Ketua Polis Hulu Pahang) beserta 25 orang mata-mata Sikh.

Kata sepakat dicapai, mereka lantas mengadap KDYMM Sultan Ahmad memohon kerjasama istana untuk berlawan dengan kumpulan Tok Bahaman.

Pada 29 Disember 1891, Clifford bersama-sama dengan Yang Mulia Tengku Besar Pahang Tengku Mahmud Ibni Sultan Ahmad al-Muazzam Shah dan pasukan seramai 60 orang mata-mata Sikh dan 200 orang Melayu; telah bergerak ke Semantan melawan Tok Bahaman. Balai polis di sekitar Semantan seperti di Bentong, Teras, Raub, Kuala Lipis dan Kuala Tembeling telah dipertingkatkan anggotanya.

Pertempuran Sebelum Batu Hampar

1. Kubu pertama Tok Bahaman telah ditinggalkan kosong. Pasukan Clifford bergerak pula ke kubu kedua di Kg. Kelubi. Berlaku pertempuran, namun Tok Bahaman berjaya mematahkan serangan. Pasukan Clifford berundur semula ke Temerloh (rujuk A History of Pahang, W. Linehan : dalam JMBRAS, jld. XIV, bhg. II, Jun 1936, hlm. 141 - 142).

2. Tanggal 14 Januari 1892, KDYMM Sultan Ahmad berangkat dari Pulau Tawar ke Kuala Semantan mengetuai sendiri angkatan kerajaan melawan pihak yang menentang British.

3. 15 Januari 1892, KDYMM Sultan Ahmad bersama-sama dengan J.P Rodger, Yang Mulia Tengku Muda Pahang Tengku Ali Ibni Sultan Ahmad al-Muazzam Shah dan seramai 1,000 orang pasukan telah tiba di lembahan Sungai Semantan. Hugh Clifford ketika itu berkawal di Kuala Lipis sementara Yang Mulia Tengku Besar Pahang Tengku Mahmud sedang gering di Pekan.

4. Kubu pertama Tok Bahaman di Batu Hampar telah berjaya dihancurkan oleh pasukan Sultan Ahmad. Kubu yang diketuai oleh Tok Muda Bidin (Kg. Teris) itu binasa dek kerana pasukan Tok Bahaman tidak tergamak menyerang balas serangan KDYMM Sultan.

5. Serangan seterusnya dilakukan terhadap kubu Tok Bahaman di Semantan. Selepas hampir setengah bulan melancarkan serangan, sebanyak 12 kubu Tok Bahaman telah dihancurkan seluruhnya.

Serangan Balas

1. Pada bulan April atau awal bulan Mei 1892, Tok Bahaman yang selama ini menyembunyikan diri di hutan telah menyerang semula Batu Hampar dan Lubuk Terua. Pasukan Sultan Pahang yang mengawal kubu telah bertindak melarikan diri.

2. Tanggal 8 Mei 1892, Yang Mulia Tengku Muda Pahang Tengku Ali dan Yang Hormat Orang Kaya Indera Gajah Pahang Dato’ Imam Rasu bin Shahrum (Tok Gajah) dengan pasukan seramai 300 orang telah bertempur dengan pasukan Tok Bahaman di Batu Hampar dan salah seorang anak Tok Bahaman terbunuh di situ.

3. Seterusnya, gerakan diteruskan ke Lubuk Terua dan tatkala itu pasukan Sultan telah bergabung dengan pasukan orang Melayu yang dibawa oleh Wise (kini Pegawai daerah Temerloh yang baru). Lubuk Terua ditawan, dan Tok Bahaman sekali lagi berjaya melarikan diri.

4. Selepas batu Hampar dan Lubuk Terua berjaya ditawan; Haji Muhammad Nor bin Haji Abd. Hamid (Pegawai Khas KDYMM Sultan Pahang), Yang Hormat Imam Perang Sanggang Imam Teh bin Qadhi Abu Bakar, Yang Hormat Orang kaya Indera Segara Temerloh, Tok Umbi, Pahlawan Lawi, Tok Jenid Chenor, Wan Ahmad Tembeling dan Panglima Raja Ya’akob telah membawa satu pasukan besar bagi mengejar para pengikut Tok Bahaman yang lari dalam hutan antara Semantan hinggalah ke Lipis.

5. Pertengahan bulan Jun 1892, barulah pasukan kerajaan ini selesai menamatkan operasi memburu pengikut-pengikut Tok Bahaman di hutan tersebut.

Renung-renungkan…

Wednesday, October 26, 2011

Yang Tersurat dan Tersirat

Ramai yang bertanya kepada saya, apa erti disebalik gambar dalam post saya semalam. Baiklah, ini semua berkaitan etika pemakaian keris. Keris yang dipakai bukanlah simbol semata-mata. Cara pemakaian keris menggambarkan maksud pemakainya.

Terdapat sebuah talibun (puisi lama terdiri daripada 4, 16, 20 baris dan bersajak diakhirnya) yang menggariskan tatacara pemakaian keris seperti berikut :

Kalau memakai keris
Keris tersisip sebelah kiri
Keris beradat berlembaga

Kalau memakai keris telentang
Itu tanda mencari lawan
Bagai ayam kokok berdentang
Bagai hulubalang masuk gelanggang
Elok dipakai ditengah hutan
Atau belayar tengah laut
Untuk menjaga jaga diri

Kalau keris sampir terlungkup
Keris tidak mencari lawan
Keris tidak mencari musuh
Yang dipakai dalam jamuan
Yang dipakai pergi bertandang

Berbelit punca wali
Berselubung sampai ke hulu
Tanda beradat berketurunan
Patut disebut keris terap

Keris yang dipakai hulunya mengadap tubuh atau terlangkup biasanya dipakai ketika berada dalam majlis sosial atau semasa mengadap Sultan. Ini kerana secara adat dan adab sebagai isyarat tidak mahu pergaduhan dan menunjukkan pemakainya tidak berniat jahat kerana posisi keris yang tidak bersedia untuk digunakan.

Adat KerisPerhatiakan kedudukan hulu keris yang berbeza antara KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah dengan Orang Kaya Indera Shahbandar Dato' Seri Haji Mohd. Najib

Tetapi keris apabila diterlentangkan maka dikatakan sebagai mencari lawan kerana posisi keris mudah dipegang dan dihunus untuk menikam. Dalam kes ini, perhatikan kedudukan sampir (warangka) dan hulu Paul Wayne Jones yang mengadap luar tubuh atau terlentang (gambar bawah). Secara adatnya, pemakaian keris sebegini adalah isyarat untuk bersiap sedia menghadapi musuh.

Ambassador

Sewajarnya Penghulu Balai melarang atau menegur pemakaian yang kurang beradab sebegini kerana ianya merupakan peraturan yang termaktub dalam Peraturan Adat Istiadat Raja-Raja Negeri Pahang, YAM Tengku Arif Bendahara, Tengku Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (1971), hlm. 31 yang mencatatkan :

Memakai Keris

Keris Ulu Menerungkup :
Untuk dipakai oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan sahaja

Keris Ulu Melintang Dengan Sampir Keluar :
Untuk dipakai oleh Kerabat-Kerabat dan Orang-Orang Besar Negeri

Keris Ulu Melintang & Sampirnya Bertutup Dengan Kain Sarung :
Untuk dipakai oleh orang ramai

Ambassador JJ

Mungkin Jones memakai cara sebegini sebagai membalas cara Dato' Sri Dr. Jamaluddin Jarjis yang juga telah menelentangkan kerisnya semasa bertemu Obama di The Oval Office, White House dahulu (gambar atas).

Namun menarik juga bila melihat Orang Kaya Indera Shahbandar Dato' Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abd. Razak juga sedang bersiap siaga dengan menelentangkan kerisnya semasa berbicara dengan Jones….

Just my 2 cents…

Tuesday, October 25, 2011

Sepersalinan Pahang


Erti disebalik gambar…

1. Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tuan Yang Terutama Yang Berhormat Dato' Sri Dr. Jamaluddin Jarjis yang berjaya membawa masuk keris Melayu menembusi The Oval Office di White House semasa upacara perlantikan duta baru pada 4 November 2009.

2. United State of America Ambassador Paul Wayne Jones yang segak berpakaian lengkap sepersalinan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan pada 24 Oktober 2011. Perhatikan tanjak ikatan gaya Lang Menyungsung Angin yang diperbuat daripada kain songket yang berwarna natarnya kelabu, bersulam benang kencana.

Wednesday, October 12, 2011

KDYMM Sultan Pahang Dirawat di Hospital Ampang Puteri

SHASKDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri petang kelmarin. Atas sebab inilah, baginda tidak dapat berangkat ke Majlis jamuan Rakyat dan Ramah Mesra Parlimen Rompin di Bandar Tun Razak, Keratong. Mengikut jangkaan, baginda dijadualkan discharge Insya-Allah pada 14 Oktober nanti.

Untuk mendapat maklumat minute-to-minute, sila ziarahi :

http://tengkusyah.blogspot.com/2011/10/sultan-pahang-mendapat-rawatan-biasa-di.html

Friday, October 7, 2011

Tugas Pembesar Istana Semasa Istiadat di Balairong Seri Istana Abu Bakar

Pada kebiasaannya, terdapat 27 jenis tugas berasingan yang perlu diselesaikan oleh setiap Pembesar Istana yang dibahagi-bahagikan kepada beberapa pengkhususan (sila rujuk : YH Dato’ Setia Amar Segara Dato’ Haji Halim bin Haji Ibrahim (2010), "Raja & Rakyat Berpisah Tiada" Bab “Peranan Kerabat & Para Pembesar Negeri Pahang” hlm. 154 - 157). Panca Persada hanya menyenaraikan sebahagian sahaja seperti berikut :

1. Pengerusi Istiadat Balairong Seri

Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang
Tengku Dato' Ibrahim bin Tengku Besar Sulaiman, DIMP., SAP.

2. Timbalan Pengerusi Istiadat Balairong Seri

Yang Dihormat Orang Kaya Indera Pahlawan
Dato' Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, SSAP., SIMP., DSAP., SAP., JSM., AMP.

3. Sanggamara

Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang
Tengku Kamil Ismail bin Tengku Seri Paduka Shahbandar Idris Shah, SSAP., SIMP.

4. Ketua Menjalankan Adat Istiadat

Yang Mulia Datuk Paduka Maharajalela
Yang Dihormat Orang Kaya Indera Segara Tengku Dato’ Haji Asmawi bin Tengku Haji Husin, DSAP., DIMP., SAP., AMN.

5. Timbalan Ketua Menjalankan Adat Istiadat

Yang Mulia Tengku Dato’ Ibrahim @ Alam Shah bin Tengku Abdul Ghani, DIMP.

6. Juruseru

Yang Hormat Dato’ Setia Segara
Dato' Haji Halim bin Haji Ibrahim, DSAP., DIMP., SMP., PKC.

7. Kerabat Pengiring (6 orang)

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Sri Haji Kamal Baharin ibni al-Marhum Sultan Abu Bakar, SSAP., DIMP. (adinda KDYMM Sultan Pahang yang memiliki bentuk fizikal seperti Almarhum Sultan Abu Bakar)

Yang Amat Mulia Left. Kol.Tengku Dato’ Sri Kamarulzaman Alhaj Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar SSAP., DSAP., SIMP., DIMP.

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Sulaiman ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, DIMP. (juga dikenali sebagai Tengku Simon)

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Idris ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, DIMP.

Yang Mulia Tengku Dato’ Zulkifli bin Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Tengku Ahmad, DIMP. (cucuanda kepada Sultan Pahang ke-3, Almarhum Sultan Abdullah).

Yang Mulia Raja Dato’ Abu Bakar Shah bin Raja Dato’ Jalil Shah, DIMP. (anakanda kepada Yang Amat Mulia Tengku Sri Nila Utama Tengku Putri Hjh. Ainul Jamal binti Almarhum Sultan Abu Bakar)

8. Persembahan Nama-Nama Penerima Darjah Kebesaran Kepada KDYMM Tuanku Sultan

Yang Hormat Dato’ Setia Muda
Dato’ Haji Wan Jasmin bin Dato’ Haji Wan Badiuzzaman, DIMP.

9. Bacaan Doa Majlis Santapan dan Majlis Tengah Hari

Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang
Yang Hormat Dato’ Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, DSAP., DIMP., SMP., AMP., PKC.

10. Pemerhati dan Pengawas Pakaian Istiadat Hadirin (7 orang)

Ketua Polis Daerah Pekan
Yang Setia Supt. Yahaya bin Othman, AAP.

Yang Hormat Dato' Setia Penggawa
Yang Mulia Ungku Dato' Hakim bin Ungku Mohamad, DSAP., DIMP., JSD., PJK., PPS.

Yang Mulia Tengku Dato’ Ibrahim @ Alam Shah bin Tengku Abdul Ghani, DIMP.

Yang Hormat Tok Aria Rakna
Dato' Haji Abdul Murad bin Abdul Rani, DIMP., AAP., AMP., PJK.

Yang Mulia Tengku Rohsita binti Yang Amat Mulia Tengku Aria Di-Raja Tengku Dato’ Haji Abdul Hamid, AMP. (cucuanda kepada Sultan Pahang ke-3, Almarhum Sultan Abdullah).

Yang Hormat Tok Luar
Wan Nor Anua bin Wan Mansor, SMP., PKT., PJK.

Wakil Panglima Briged ke-4 Mekanis

11. Pemerhati dan Pengawas Hadirin Semasa Mengambil Gambar (5 orang)

Yang Mulia Tengku Dato’ Ibrahim @ Alam Shah bin Tengku Abdul Ghani, DIMP.

Yang Hormat Panglima Dalam
Mohd. Taib bin Abu Bakar, SMP., AMP.

Yang Hormat Tok Luar
Wan Nor Anua bin Wan Mansor, SMP., PKT., PJK.

Tuan Haji Zainal Azman bin Haji Bidin, AMP., PKT.
Ahli Jawatankuasa Jemaah Pangkuan DiRaja Negeri Pahang merangkap Penghulu Mukim Jenderak 1

Mohd. Malian bin Ismail
Penghulu Mukim Semantan Ulu dan Batu Talam

12. Pemerhati dan Pengawas Pawai-Pawai dan Jejawat (2 orang)

Yang Hormat Tok Muda Yang Mulia Tengku Haji Mohd. Mustaffa bin Tengku Dato' Haji Ibrahim, SMP., AMP.

Yang Hormat Tok Pentara Raja
Dato' Haji Ismail bin Marzuki, DIMP., SAP., AAP., AMP., PJK.

Yang Mulia Datuk Paduka Maharaja Lela Tengku Dato' Haji Asmawi Diisytihar Yang Dihormat Orang Kaya Indera Segara

Ku AsmawiYang Hormat Dato' Setia Perkasa (Orang Besar Berlapan Pahang), YM Tengku Dato' Haji Asmawi bin Tengku Haji Hussin, DSAP., DIMP., SAP., AMN. kini bergelar Yang Dihormat Orang Kaya Indera Segara. Gelaran Orang Besar Berempat (Four Noblemen of The Royal Court) ini dikurniakan kepada beliau selepas penyandangya, Tengku Dato' Haji Ibrahim bin Tengku Muhammad kembali ke Rahmatullah. Beliau yang juga merupakan Datuk Paduka Maharaja Lela (Lord Chamberlain of His Majesty's Household), adalah cucuanda kepada Almarhum Sultan Sir Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah (Sultan Pahang ke-3).

Kebiasaannya semasa adat istiadat rasmi di Istana Abu Bakar (IAB), selaku Ketua Menjalankan Adat Istiadat; beliau adalah antara pembesar istana yang paling sibuk menyelaraskan istiadat dalam istana. Namun memandangkan kini beliau bergelar Orang Besar Berempat, tidak dapat dipastikan bagaimana kedudukan beliau semasa istiadat Hari Kalung yang akan berlangsung di IAB pada 24 Oktober ini.

Dengan pengisytiharan ini, beliau secara tradisinya berkuasa di wilayah Temerloh bermula dari Kuala Tekoh ke Pasir Purun (Dr. W. Linehan, JMBRAS, vol. XIV, pt. II, 1936, hlm. 201).

Tahniah Dato’ Orang Kaya…

Saturday, September 3, 2011

Kenali Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM)

Saya minta pihak yang mendakwa pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) layak digelar pahlawan kemukakan bukti sebelum berani berkata demikian…” (petikan akhbar harian)

Apakah yang dimaksudkan dengan istilah Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM)? Saya tampilkan disini catatan Chin Kee Onn (1946), Malaya Upside Down dalam lampiran A dan catatan Harry Miller (1954), The Communist Menace In Malaya, hlm. 170.

Secara umumnya, kompeni adalah satu unit di dalam sesebuah pasukan tentera. Kompeni dipecahkan menjadi 3 ataupun 4 platun. Sebaliknya, 3 ataupun 4 Kompeni digabungkan menjadi satu batalion. Lazimnya, satu kompeni dianggotai oleh 110 hingga 200 orang anggota, tertakluk kepada peranan dan penyusunan serta kelengkapan kompeni tersebut disusun. Bilangan anggota berubah mengikut tugasan dan formasi tentera yang terlibat. Satu Kompeni biasanya diperintah oleh seorang Mejar, dan kadangkala oleh seorang Kapten.

Dalam konteks Kompeni Pasukan Ke-4 PKM pula, segalanya bermula pada bulan Mac 1943, yang mana ketika itu ramai orang Cina yang terdiri dari pimpinan Parti KomunisLt Kol Frederick Spencer Chapman Malaya di Singapura telah dibunuh oleh tentera Jepun. Dari sana, serpihan anggota-anggota komunis ini telah menyusup masuk ke hutan-hutan Semenanjung Tanah Melayu dan seterusnya menubuhkan pula Malayan Peoples' Anti-Japanese Army (MPAJA) dan mendapat latihan serta bantuan British. Sejak tahun 1941 lagi, British telah melatih pemuda komunis di Singapura menentang Jepun. Pusat latihan mereka terletak di No. 101 Special Training School dan antara jurulatihnya ialah Lt. Kol. Frederick Spencer Chapman (gambar atas).

Ketika anggota pasukan MPAJA ini dihantar ke hutan, mereka telah dibahagikan kepada beberapa pasukan :

1. Pasukan 1 di Selangor
2. Pasukan 2 di Negeri Sembilan
3. Pasukan 3 di Johor Utara
4. Pasukan 4 di Johor Selatan (Kompeni Pasukan Ke-4 PKM)
5. Pasukan 5 di Perak
6. Pasukan 7 di Terengganu dan Kelantan 
7. Pasukan 8 di Kedah

Dalam konteks Pahang, pasukan MPAJA yang menjalankan perang gerila menentang Jepun adalah Pasukan Yang Ke-6 dan markasnya ketika itu adalah di daerah yang bersempadanan dengan jalan Bentong – Karak – Manchis.

Apabila tentera Jepun menyerah kalah, pasukan-pasukan ini tetap dikekalkan bagi memperjuangkan cita-cita bagi penubuhan Republik Rakyat Malaya berfahaman komunis pula (Harry Miller, The Communist Menace In Malaya, hlm. 43).

Kenali Para Patih dan Caturbasma KDYMM Sultan Pahang dan KDYTM Tengku Mahkota Pahang

YH Dato' Sabjan bin Sallahudin, DIMP., AMP.
Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang

Ahmad Khirrizal bin Ab. Rahman, AAP.
Setiausaha Sulit KDYMM Sultan Pahang

YH Dato' Ahmed Hassanein Bey bin Muhd. Ali Piah, DIMP., SMP., JSD.
Setiausaha Peribadi KDYMM Sultan Pahang

Puan Hajjah Noorlaily binti Haji Subki
Setiausaha Peribadi KDYMM Sultan Pahang

Yang Mulia Datuk Paduka Maharajalela
Yang Dihormat Orang Kaya Indera Segara Tengku Dato’ Haji Asmawi bin Tengku Haji Husin, DSAP., DIMP., SAP., AMN.
Datuk Paduka Maharajalela (setaraf dengan Lord Chamberlain of His Majesty's Household)

YH Dato' Setia Pahlawan Tengku Dato' Haji Iskandar Abu Bakar bin Tengku Ali, DSAP., DIMP., SAP., AMN., PJK.
Pegawai Protokol Istana

Lt. Kol. (B) Hj. Nor Hashim bin Abd. Aziz, SMP., KMN., AAP., AMP., PNBB.
Setiausaha Sulit Khas KDYMM Sultan Pahang (kini berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Khas Tengku Mahkota Pahang)

Lt. Kol. (B) Che Dan bin Mat
Setiusaha Sulit KDYTM Tengku Mahkota Pahang

YH Dato' Sabarudin bin Sulaiman, DIMP., AMP., PKC., PKT.
Setiausaha Jumaah Pangkuan Diraja Negeri

L/Lt. Kol. (TUDM) Nazatul Rina binti Mohd. Lasim
Aide De Coupe (ADC) / Juruiring Tentera KDYMM Sultan Pahang

YM Tengku Najirulzamal bin Tengku Jamaludin, AMP.
Juruiring KDYTM Tengku Mahkota Pahang

Abdul Rahman bin Endut, AMP.
Juruiring KDYTM Tengku Mahkota Pahang

RahmanAbdul Rahman bin Endut (baju Melayu biru) bersama YM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (kiri) dan YM Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah selepas solat Jumaat di Masjid Taqwa, Pekan

Sejarah Sambutan Raya di Istana Negara

ISTANA NEGARARakyat jelata membanjiri perkarangan Istana Negara

Raya 2011 aTuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah bersalaman dengan rakyat jelata yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara, Kuala Lumpur

Saban tahun Istana Negara akan menganjurkan majlis sambutan Hari Raya untuk rakyat jelata. Saya mendapat pertanyaan dari seorang sahabat, bilakah tradisi ini bermula?

Rakyat 2Secara ringkasnya, tradisi ini dimulakan oleh KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah al-Mustain Billah. Baginda yang ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada 29 Mac 1979 sehingga 25 April 1984 merupakan pemimpin tertinggi negara yang pertama membuka pintu istana untuk rakyat sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri pada tahun 1403 Hijrah (1983 Miladiah). Sebelum ini Istana Negara merupakan kawasan terkawal yang tidak boleh dimasuki oleh rakyat biasa.

Tindakan membenarkan rakyat memasuki Istana Negara diambil bagi merapatkan lagi hubungan antara Raja dan rakyat (rujuk apendiks C, halaman 229 – 236 wawancara Dr. Farish Ahmad Noor dengan KDYMM Sultan Pahang pada 19 Julai 2010 di Istana Pahang, Kuala Lumpur dalam “From Indrapura to Darul Makmur : A Deconstructive History of Pahang”).

Dikongsikan disini beberapa gambar untuk tatapan.

Rakyat 3

Rakyat 1

Goodies

Cenderamata turut disediakan untuk semua tetamu

Duit Raya

Duit raya bagi yang bertuah…

Pemangku Raja

KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota, Tengku Abdullah ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah turut menyampaikan cenderamata kepada tetamu

Royal Families

Keceriaan bersama Raja Permaisuri Agong, Almarhumah Tengku Hajjah Afzan binti Tengku Panglima Perang Muhammad

Milo

Mat Indera

Mat InderaDalam beberapa hari ini, kisah Mat Indera atau Allahyarham Ustaz Ahmad bin Indera al-Hafiz (gambar kiri)  menjadi perhatian. Semuanya gara-gara seorang ahli politikus sebuah partai siyasah yang telah mengangkat cuplikan kecil daripada kisah beliau itu ke permukaan tatkala menceterakan perihal siapa hero sebenar Bukit Kepong. Hasilnya, sepanjang 2 – 3 hari ini, berteriaklah segala pembela sejarah (baca : politikus partai siyasah) menghentam dari segenap sudut. Berpuluh aduan dibuat terhadap mata-mata di rumah pasung,  dan seperti biasa negaraku Malaysia ini memang kaya dengan undang-undang namun fakir dan papa kedana dalam tindakan.

Panca Persada tidak berminat mengotorkan diri dengan pertelingkahan dalam isu-isu ciptaan golongan politikus, namun tertarik untuk memandang isu ini dari sudut penafsiran sejarah.

1. Menuding jari kepada mana-mana pihak sebagai buta atau tidak memahami sejarah adalah gelaran yang tidak adil. Ini kerana sejarah difahami mengikut tafsiran dan fahaman seseorang. Perlu dijelaskan, fakta adalah fakta dan tidak semua orang ada kelayakan untuk menjadi pencatat sejarah. Pendekatan Herodotus, Ibn Khaldun dan Simon Schama perlu diserentakkan jika ingin menjadi pencatat sejarah yang jujur. Namun, dalam menafsir dan memahami fakta sejarah; tiada kepakaran diperlukan. Penafsiran boleh sahaja dibuat mengikut tahap dan kecenderungan masing-masing. Sedangkan al-Quran yang suci itu pun diizin untuk ditafsirkan mengikut tema-tema tertentu atau kecenderungan pengarang dalam membahaskan ayat al-Quran mengikut kebolehan  masing-masing.

Bagi seorang politikus, sesuatu fakta sejarah akan dibaca dan ditafsirkan dari sudut kompas dan haluan perjuangan partai siyasahnya…Bagi ahli sosiologi, sumber sejarah klasik akan diadun dan diuli dengan situasi masyarakat moden masa kini…Bagi seorang budayawan, sejarah akan dikaji dari sudut memastikan pengekalan keaslian sesuatu ritual atau seni…Begitulah seterusnya. Dalam isu yang sedang berbangkit sekarang ini, politikus tersebut tidak mahu menafsirkan sejarah Bukit Kepong mengikut teropong Western Orientalist Scholars. Trend reverse Gospel Truth sebegini memang digemari khususnya oleh pemidato.   

2. Penglibatan orang Melayu dalam perang gerila tidak boleh sewenang-wenangnya dianggap sebagai penganut doktrin komunis. Secara umumnya, kumpulan yang dinamakan sebagai Komunis Malaya adalah terdiri dari empat peringkat iaitu (rujuk Haji Buyong Adil, Sejarah Pahang, hlm. 421 – 422) :

1. Penganut tegar dan totok fahaman komunis

2. Orang Cina di Malaya terdiri dari puak Kuomintang (Guomindang) yang amat anti Jepun

3. Golongan kampung dan bandar yang ingin membalas dendam kepada kezaliman tentera Jepun terhadap diri atau keluarganya

4. Orang jahat, penyamun, perompak dan penjenayah yang ingin mencari kesempatan.

Dalam konteks orang Melayu, tidak dinafikan ramai yang terlibat dengan perjuangan ini. Namun mereka menyebelahi Parti Komunis Malaya (PKM) bukanlah kerana tertarik dengan doktrin komunis, tetapi  pada peringkat awalnya hanya kerana ingin menghalau golongan penjajah dari Semenanjung Tanah Melayu. Strateginya ialah dengan bekerjasama dengan pihak PKM yang rata-rata ketika itu memiliki askar dan senjata yang banyak. Bahkan jika ditinjau dari sudut sejarah, Pasukan 136 (Askar Melayu Setia) dan juga pasukan Gerila Wataniah Pahang itu pun pernah bersekutu dengan PKM bagi melawan tentera Jepun antara tahun 1942 – 1945. Bak kata mereka : “Jika hendak memburu harimau, mestilah ada anjing pemburu yang garang”…(Haji Buyong Adil, Sejarah Pahang, hlm. 433).

Namun sayang segalanya berubah apabila tentera Jepun menyerah kalah pada tanggal 14 Ogos 1945. PKM secara tiba-tiba menukar prinsip perjuangan mereka dan seterusnya mengisytiharkan pada tanggal 25 Januari 1949 untuk mengubah keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu kepada sebuah Republik Rakyat Demokratik. Enam hari selepas itu, PKM telah bertindak membubarkan pasukan The Malayan Peoples' Anti-Japanese Army (MPAJA) dan menubuhkan pula Malayan Races Liberation Army (MRLA). Pada masa itulah juga, PKM telah menubuhkan satu pasukan askar gerila di Pahang terdiri daripada orang-orang Melayu yang akan bekerjasama rapat dengan MRLA dan pasukan itu dikenali sebagai Askar Melayu Ke-10 (Harry Miller, The Communist Menace In Malaya, hlm. 91).

Chin Peng sendiri telah membawa anggota-anggota komunis lebih kurang seramai 2,000 orang dari Perak gunanya untuk memujuk orang-orang Melayu di Pahang khususnya di daerah Temerloh untuk menyebelahi komunis, membenci British dan Kerajaan Tanah Melayu dan seterusnya bangkit memberontak. Pejuang-pejuang Melayu yang dahulunya menentang British di Malaya sekarang telah dibawa masuk oleh Chin Peng ke negeri Pahang menjadi pemimpin Askar Melayu Ke-10 cawangan MRLA di negeri itu, iaitu seperti Abdullah C.D., Musa Ahmad, Manap Jepun, Shamsiah Pakeh, Wan Ali, Wahi Anuar dan Budin bin Chok (Harry Miller, The Communist Menace In Malaya, hlm. 119 dan Harry Miller, “Ruler Who Was Kidnapped” dalam The Straits Times, terbitan 29 Mei 1957).

3. Isu ini bukanlah perkara baru. Hal Allahyarham Ustaz Ahmad bin Indera al-Hafiz memilih untuk masuk ke hutan berjuang secara gerila pada bulan Jun 1948 pernah disiarkan oleh akhbar Berita Harian pada 13 Disember 2010. Untuk bacaan lanjut dan penilaian, sila rujuk :

http://www.bharian.com.my/articles/KopikecubungtewaskankekebalanMatIndera/Article/

Friday, August 12, 2011

KDYTM Tengku Puan Gering

GeringYang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim menemani bonda di Wad DiRaja, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan

KDYTM Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah binti al-Marhum Sultan Mahmud Iskandar al-Haj dimasukkan ke Wad Diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) semalam selepas mengalami kekejangan otot (muscle spasms).

Tunku Azizah mengalami kekejangan otot pada bahagian atas bahu (arms and armpit) selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Umar bin Abdul Aziz di Kampung Seri Ketumbit, Kerdau semalam bersama dengan KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Mustain Billah.

Baginda kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh sebelum dipindahkan ke HTAA Kuantan.

Tunku Azizah berkata, ketika sedang solat, baginda terasa sakit di bahagian lengan ke atas namun keadaan menjadi lebih teruk kerana tidak dapat menggerakkan badan.

Sebelum menghadiri majlis bersama rakyat di Kerdau, baginda dikatakan sakit di bahagian dada namun tidak mempedulikan keadaan itu dan meneruskan aktiviti yang dirancang.

“Mungkin kerana terlalu sibuk dengan aktiviti menyebabkan saya tidak mempunyai masa untuk berehat,” katanya.

Tunku Azizah berkata, kira-kira setahun lalu, baginda mengalami kesakitan di leher dan terpaksa menggunakan pendakap leher.

Panca Persada mendoakan kesembuhan dan kembali sihat.

Gering 2Sempat menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada rakyat di Kerdau sebelum jatuh gering

Wednesday, August 10, 2011

Keluarga DiRaja Berbuka di Padang MPK 2, Kuantan

Berbuka Padang

1. KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah binti al-Marhum Sultan Mahmud Iskandar al-Haj

2. Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim bin Tengku Arif Bendahara Ibrahim

3. Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah

4. Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah bin Tengku Mahkota Tengku Abdullah

5. Yang Mulia Tengku Putri Afzan Amina Hafizatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah (kembar)

6. Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah bin Tengku Mahkota Tengku Abdullah (kembar)

7. Yang Mulia Tengku Putri Nur Jahan Khalsom Athiyatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah

Dr. Farish Ahmad Noor dan Buku “From Indrapura to Darul Makmur : A Deconstructive History of Pahang”

frominderapuratodarulmakmurHujung minggu baru-baru ini saya telah diundang ke sebuah majlis iftar di Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur. Sementara menantikan waktu berbuka puasa, saya berkesempatan ke kedai buku MPH yang terletak di lobi utama Crowne Plaza. Tatkala melangkah masuk ke ruang utama, terus terpandang sebuah buku yang sewajarnya dimiliki oleh mana-mana pencinta sejarah dan warisan Pahang iaitu buku bertajuk “From Indrapura to Darul Makmur : A Deconstructive History of Pahang” terbitan Silverfish Books (cetakan kedua Februari 2011). Sebagai perkongsian maklumat, cetakan pertama buku ini pada Disember 2010 adalah cetakan edisi khas untuk Istana Pahang sahaja.  Baru tahun ini buku Dr. Farish tersebut diperkenan untuk edaran awam. Ada beberapa sebab mengapa buku ekslusif ini elok untuk dimiliki :

Sebab Pertama :

Pertama-tamanya kerana penulisnya ialah Dr. Farish Ahmad Noor, farishseorang ahli sains politik, sejarawan, aktivis dan cendekiawan muda Melayu bertaraf antarabangsa;  berasal dari Pulau Pinang yang terkenal agak ‘nakal’ dalam penulisannya. Saya sendiri secara peribadi ada masanya ‘senak perut’ membaca pemikirannya melalui tulisan-tulisan beliau di Harakah, The Malaysian Insider atau menerusi buku-buku beliau seperti “Di Balik Malaysia Dari Majapahit Ke Putrajaya” (2008), “Quran and Cricket : Travels Through the Madrasahs of Asia and Other Stories” (2009) atau koleksi  “What Your Teacher Didn't Tell You” (2009). Lupakan beliau dari sudut analisis politik kepartaiannnya – sebagai pemerhati bidang sosial dan sejarah; beliau saya kelaskan sebagai seorang yang berani, kritis serta berterus terang.

Kalau ada sejarawan mempertikaian kredibiliti Dr. Farish untuk bercakap soal sejarah, sila rujuk terlebih dahulu dengan Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, Ketua Jabatan Sejarah Universiti Malaya yang turut mengkagumi beliau. Tanyakan juga kepada Prof. Madya Dr. Azmi Sharom yang pernah semasa di Jogjakarta selama empat hari berturut-turut mendengar huraian Dr. Farish berkaitan sejarah dan budaya Jawa. Satu lagi perkara yang menjadikan beliau “penyimpan sejarah yang tegar” adalah kerana beliau tidak pernah menonton tv atau memiliki set televisyen sejak berusia 19 tahun serta hingga kini masih selesa mengutus surat kepada rakan-rakan menggunakan perantaraan Pos Malaysia!…

Dr. Farish pernah mengakui bahawa ikon beliau dalam penulisan sejarah terimbau kepada tuga tokoh iaitu Herodotus, Ibn Khaldun dan Simon Schama. Katanya, Herodotus banyak menulis sejarah popular, Schama pula menunjukkan bahawa sejarah popular perlu diselidik dengan kaedah yang menepati disiplin ilmu sementara Ibn Khaldun pula mencatat sejarah dengan penambahan ilmu sosiologi dengan cara mengembara dan melihat sendiri sejarah. Justeru tidak hairanlah, dipermulaan buku ini beliau berulangkali dalam bahasa yang mendesak, mempertahankan bahawa bumi bertuah Pahang telah wujud lebih awal dari penubuhan Malaysia. Justeru jangan ditenggelamkan sejarah Pahang dengan kisah versi kolonial semata-mata.

Sebab Kedua :

Gaya analisis sejarah beliau amat berbeza dengan mana-mana penulis sejarah khususnya dari sudut perspektif. Saya ringkaskan begini : Di saat kita kita sedang berbicara dengannya mengenai epik Star Wars, beliau akan mampu mengheret topik tersebut sampai ke mitos French New Wave Cinema yang pernah muncul sekitar tahun 1950-an. Kepakaran beliau yang saya lihat adalah kemampuannya mengadun sumber-sumber sejarah klasik yang akhirnya diuli pula dengan situasi masyarakat moden masa kini. Ternyata kaedah ini sebenarnya boleh membuka ruang-ruang baru khususnya dari sudut dokumentasi sejarah memandangkan pada kebiasaannya sejarawan sekarang amat bermazhab kepada teks yang diwarisi daripada kelompok Western Orientalist Scholars yang Dr. Farish buktikan bahawa kelompok kolonial inilah sebenarnya yang telah mengedit sesuka hati, membuang inti pati dan segala falsafah sebenar disebalik sejarah Melayu itu sendiri.

Sebagai contoh, pencarian dan pemahaman beliau tentang keheroan sebenar Laksamana Hang Tuah telah dibangkit dan digarap dalam bukunya “What Your Teacher Didn't TeacherTell You; Chapter 6 : Hang Tuah The Pacifist (orang yang menentang peperangan) : Deconstructing Our National Hero telah mengubah sedikit sebanyak pemahaman kita selama ini terhadap kesaktian Hang Tuah (tanpa perlu menghina peribadi Hang Tuah itu sendiri). Maka tidak hairanlah dalam buku “From Indrapura to Darul Makmur : A Deconstructive History of Pahang” ini, beliau menghargai usaha Abu Talib Ahmad yang berjaya membuat kajian serta pendedahan ekslusif bahawa beberapa buah muzium di Kelantan, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan juga Sabah mempunyai kecenderungan untuk menggunakan ‘maklumat sejarah’ yang sekadar diambil dari buku-buku teks sejarah semata-mata tanpa ada kajian sendiri secara konkrit (Abu Talib Ahmad, 2008 : “State Museum and their Representations of the Past in Malaysia”, Journal of the Malaysian Branch of The Royal Asiatic Society JMBRAS, hlm. 45 – 70 dalam “From Indrapura to Darul Makmur : A Deconstructive History of Pahang” hlm. 9.

Sebab Ketiga :

Methodologi penulisan beliau yang sering menyelitkan petikan wawancara ekslusif dan berani dengan tokoh yang berkaitan dengan tulisannya. Sebelum ini beliau pernah mewawancara Abu Bakar Bashir yang dikaitkan dengan Jemaah Islamiyah di Indonesia. Dr. Farish mewawancara beliau bagi pihak TV al-Jazeera pada tahun 2006 dan hasilnya juga beliau memasukkan dua bab daripada dapatan itu ke dalam bukunya “Quran and Cricket : Travels Through the Madrasahs of Asia and Other Stories” (2009).

Bagi edisi “From Indrapura to Darul Makmur : A Deconstructive History of Pahang” ini, beliau berjaya menemubual sendiri KDYMM Sultan Pahang pada 19 Julai 2010 di Istana Pahang, Kuala Lumpur (rujuk apendiks C, halaman 229 – 236). KDYMM Tuanku telah menjelaskan secara panjang lebar mengenai sejarah Pahang bermula dari era Darurat 1948 – 1960, sejarah penubuhan kampung-kampung baru di Pahang, era Konfrontasi dengan Indonesia, era pra dan pasca pertabalan baginda sebagai Sultan Pahang, isu tanah rancangan FELDA, nasib masyarakat Orang Asli, potensi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Pahang, masa depan Institusi DiRaja Pahang dan banyak lagi. Secara peribadi, inilah maklumat serta penjelasan ‘first hand’ terbaik berkenaan sejarah Pahang dari tokoh nombor satu di Pahang iaitu KDYMM Tuanku sendiri.

Selain itu juga, menerusi buku beliau ini telah dilampirkan beberapa kisah dan fakta menarik yang pernah dicatatkan oleh Sir Hugh Charles Clifford, Residen Inggeris di Pahang. Sepanjang perkhidmatannya di Pahang, Clifford telah mencatatkan beberapa anekdot yang menarik untuk dibaca oleh generasi sekarang dalam beberapa siri kompilasi : In A Corner of Asia (1899), The Further Side of Silence (1916), novel Saleh : Prince of Malaya (1926) dan beberapa penerbitan lain lagi. Dr. Farish memetik beberapa kisah untuk dimuatkan dalam buku beliau ini iaitu At The Court of Pelesu (1899), The Story of Ram Singh (1899), In The Central Gaol (1899), A Malayan Prison (1916), The Death-March of Kulop Sumbing (1899), The Further Side of Silence (1916), The Vigil of Pa’ Tua, the Thief (1899), A Daughter of the Muhammadans (1899) dan The Wages of Sin (1899).  

Kesimpulan

Buku setebal 273 halaman ini, dengan bibilografi rujukannya sahaja berjumlah 113 buah, dijual pula dengan harga RM 40.00, memang amat sesuai dimiliki dan juga dibaca oleh pencinta sejarah, budaya dan warisan Pahang Darul Makmur. Selamat membaca…