Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Saturday, September 3, 2011

Mat Indera

Mat InderaDalam beberapa hari ini, kisah Mat Indera atau Allahyarham Ustaz Ahmad bin Indera al-Hafiz (gambar kiri)  menjadi perhatian. Semuanya gara-gara seorang ahli politikus sebuah partai siyasah yang telah mengangkat cuplikan kecil daripada kisah beliau itu ke permukaan tatkala menceterakan perihal siapa hero sebenar Bukit Kepong. Hasilnya, sepanjang 2 – 3 hari ini, berteriaklah segala pembela sejarah (baca : politikus partai siyasah) menghentam dari segenap sudut. Berpuluh aduan dibuat terhadap mata-mata di rumah pasung,  dan seperti biasa negaraku Malaysia ini memang kaya dengan undang-undang namun fakir dan papa kedana dalam tindakan.

Panca Persada tidak berminat mengotorkan diri dengan pertelingkahan dalam isu-isu ciptaan golongan politikus, namun tertarik untuk memandang isu ini dari sudut penafsiran sejarah.

1. Menuding jari kepada mana-mana pihak sebagai buta atau tidak memahami sejarah adalah gelaran yang tidak adil. Ini kerana sejarah difahami mengikut tafsiran dan fahaman seseorang. Perlu dijelaskan, fakta adalah fakta dan tidak semua orang ada kelayakan untuk menjadi pencatat sejarah. Pendekatan Herodotus, Ibn Khaldun dan Simon Schama perlu diserentakkan jika ingin menjadi pencatat sejarah yang jujur. Namun, dalam menafsir dan memahami fakta sejarah; tiada kepakaran diperlukan. Penafsiran boleh sahaja dibuat mengikut tahap dan kecenderungan masing-masing. Sedangkan al-Quran yang suci itu pun diizin untuk ditafsirkan mengikut tema-tema tertentu atau kecenderungan pengarang dalam membahaskan ayat al-Quran mengikut kebolehan  masing-masing.

Bagi seorang politikus, sesuatu fakta sejarah akan dibaca dan ditafsirkan dari sudut kompas dan haluan perjuangan partai siyasahnya…Bagi ahli sosiologi, sumber sejarah klasik akan diadun dan diuli dengan situasi masyarakat moden masa kini…Bagi seorang budayawan, sejarah akan dikaji dari sudut memastikan pengekalan keaslian sesuatu ritual atau seni…Begitulah seterusnya. Dalam isu yang sedang berbangkit sekarang ini, politikus tersebut tidak mahu menafsirkan sejarah Bukit Kepong mengikut teropong Western Orientalist Scholars. Trend reverse Gospel Truth sebegini memang digemari khususnya oleh pemidato.   

2. Penglibatan orang Melayu dalam perang gerila tidak boleh sewenang-wenangnya dianggap sebagai penganut doktrin komunis. Secara umumnya, kumpulan yang dinamakan sebagai Komunis Malaya adalah terdiri dari empat peringkat iaitu (rujuk Haji Buyong Adil, Sejarah Pahang, hlm. 421 – 422) :

1. Penganut tegar dan totok fahaman komunis

2. Orang Cina di Malaya terdiri dari puak Kuomintang (Guomindang) yang amat anti Jepun

3. Golongan kampung dan bandar yang ingin membalas dendam kepada kezaliman tentera Jepun terhadap diri atau keluarganya

4. Orang jahat, penyamun, perompak dan penjenayah yang ingin mencari kesempatan.

Dalam konteks orang Melayu, tidak dinafikan ramai yang terlibat dengan perjuangan ini. Namun mereka menyebelahi Parti Komunis Malaya (PKM) bukanlah kerana tertarik dengan doktrin komunis, tetapi  pada peringkat awalnya hanya kerana ingin menghalau golongan penjajah dari Semenanjung Tanah Melayu. Strateginya ialah dengan bekerjasama dengan pihak PKM yang rata-rata ketika itu memiliki askar dan senjata yang banyak. Bahkan jika ditinjau dari sudut sejarah, Pasukan 136 (Askar Melayu Setia) dan juga pasukan Gerila Wataniah Pahang itu pun pernah bersekutu dengan PKM bagi melawan tentera Jepun antara tahun 1942 – 1945. Bak kata mereka : “Jika hendak memburu harimau, mestilah ada anjing pemburu yang garang”…(Haji Buyong Adil, Sejarah Pahang, hlm. 433).

Namun sayang segalanya berubah apabila tentera Jepun menyerah kalah pada tanggal 14 Ogos 1945. PKM secara tiba-tiba menukar prinsip perjuangan mereka dan seterusnya mengisytiharkan pada tanggal 25 Januari 1949 untuk mengubah keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu kepada sebuah Republik Rakyat Demokratik. Enam hari selepas itu, PKM telah bertindak membubarkan pasukan The Malayan Peoples' Anti-Japanese Army (MPAJA) dan menubuhkan pula Malayan Races Liberation Army (MRLA). Pada masa itulah juga, PKM telah menubuhkan satu pasukan askar gerila di Pahang terdiri daripada orang-orang Melayu yang akan bekerjasama rapat dengan MRLA dan pasukan itu dikenali sebagai Askar Melayu Ke-10 (Harry Miller, The Communist Menace In Malaya, hlm. 91).

Chin Peng sendiri telah membawa anggota-anggota komunis lebih kurang seramai 2,000 orang dari Perak gunanya untuk memujuk orang-orang Melayu di Pahang khususnya di daerah Temerloh untuk menyebelahi komunis, membenci British dan Kerajaan Tanah Melayu dan seterusnya bangkit memberontak. Pejuang-pejuang Melayu yang dahulunya menentang British di Malaya sekarang telah dibawa masuk oleh Chin Peng ke negeri Pahang menjadi pemimpin Askar Melayu Ke-10 cawangan MRLA di negeri itu, iaitu seperti Abdullah C.D., Musa Ahmad, Manap Jepun, Shamsiah Pakeh, Wan Ali, Wahi Anuar dan Budin bin Chok (Harry Miller, The Communist Menace In Malaya, hlm. 119 dan Harry Miller, “Ruler Who Was Kidnapped” dalam The Straits Times, terbitan 29 Mei 1957).

3. Isu ini bukanlah perkara baru. Hal Allahyarham Ustaz Ahmad bin Indera al-Hafiz memilih untuk masuk ke hutan berjuang secara gerila pada bulan Jun 1948 pernah disiarkan oleh akhbar Berita Harian pada 13 Disember 2010. Untuk bacaan lanjut dan penilaian, sila rujuk :

http://www.bharian.com.my/articles/KopikecubungtewaskankekebalanMatIndera/Article/

No comments:

Post a Comment