Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Thursday, December 30, 2010

Tahniah Skuad Harimau

DSN2

YAB Perdana Menteri, Orang Kaya Indera Shahbandar Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak mengisytiharkan Jumaat ini, 31 Disember 2010 sebagai cuti umum untuk meraikan kemenangan sulung pasukan bola sepak Malaysia menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir bola sepak Piala AFF Suzuki 2010.

Kemenangan itu mengakhiri penantian Malaysia selama 14 tahun untuk memenangi piala tersebut.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Skuad Harimau Malaysia berjaya menewaskan pasukan Indonesia menerusi agregat 4-2.

DSN1 YAB Perdana Menteri melahirkan rasa bangga serta gembira atas kejayaan Skuad Harimau Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dan skuad negara telah bermain dengan baik sebagai satu pasukan sehingga berjaya menjulang piala berkenaan. “Saya berasa begitu gembira dan bangga atas kejayaan yang diraih oleh pasukan muda Malaysia. Syabas Harimau Malaya! Kamu semua telah membanggakan negara. Tahniah,” katanya menerusi pesanan ringkas dalam laman sosialnya di Twitter dan Facebook.

Malaysia adalah negara keempat di rantau ini yang berjaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

Dalam satu kenyataannya menerusi Bernama pula, Najib berkata, kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki-AFF adalah sesuatu yang dibanggakan.

“Ini adalah malam paling gemilang dalam bola sepak Malaysia. Pasukan muda telah memberikan kita kebanggaan dan kita mesti bina kejayaan ini untuk menggerakkan bola sepak maju ke hadapan pada tahap yang lebih tinggi. Apa yang kita capai malam ini bukan satu yang sepintas lalu tetapi permulaan dalam sejarah bola sepak kita sebagai yang besar,” katanya.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah di atas kejayaan skuad Harimau Malaya yang melakar sejarah.

Beliau berkata kejayaan malam ini merupakan satu pencapaian yang lebih manis bagi pasukan bola sepak negara selepas 14 tahun menunggu untuk muncul sebagai negara keempat merebut kejuaraan itu selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar idamkan kemenangan. Segala usaha, penat lelah dan pengorbanan setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan jelas terhasil dengan kejayaan ini.

“Tentunya pelbagai perasaan melanda setiap rakyat Malaysia – megah, terharu dan paling utama, semua merasa bersyukur kerana kejayaan ini memperlihatkan kesungguhan mereka yang terbabit, terutamanya para pemain dan jurulatih K.Rajagobal bagi mendapatkan kejuaraan,” katanya .

Muhyiddin berharap kemenangan itu tidak akan melekakan pemain, jurulatih dan pegawai skuad kebangsaan kerana persaingan tentu akan menjadi lebih sengit pada masa akan datang.

“Saya ingin menggesa para pemain untuk terus mengekalkan prestasi sekaligus meningkatkan kecemerlangan yang dicapai agar Malaysia terus gah di persada antarabangsa.

“Saya berharap lebih banyak kejayaan akan direkodkan pada masa hadapan dan pada masa yang sama, mendoakan agar mutu sukan bola sepak Malaysia kembali dihormati dan digeruni, bukan sahaja di Asia Tenggara, malah di seluruh dunia,” katanya.

Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih dan tBola1ahniah kepada penyokong yang telah memberi galakan serta dorongan tidak berbelah bahagi terhadap skuad kebangsaan. Beliau berkata aspirasi inilah yang diperlukan untuk terus membakar semangat wira bola sepak negara bagi mengecapi kemenangan berikutnya. “Penghargaan juga ditujukan kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah* yang telah berjaya menerajui bola sepak Malaysia dan usaha-usaha selama ini sehingga berjaya mengecapi kejayaan ini,” katanya.

Pandangan Panca Persada

Saya yakin kebanyakan rakyat Malaysia yang bergembira dengan kejayaan ini bukan kerana mereka berminat sangat dengan bola sepak, tetapi kerana perasaan bangga dan cintakan tanahair. Negara kita, tanah tumpah darah kita…

su_03_1

* Tidak ramai yang mengetahui bahawa semasa kerancakan kempen Piala AFF Suzuki, KDYMM Sultan Pahang sedang berada di London. Apa yang menarik, semasa perlawanan akhir pusingan pertama di Stadium Bukit Jalil, KDYMM Tuanku membuat kejutan apabila pulang semula ke tanah air semata-mata kerana cinta baginda kepada bola sepak dan juga ingin meniup semangat kepada Skuad Harimau. Pada hari tersebut, baginda tiba di Kuala Lumpur pada jam 6.15 petang dan terus berangkat ke Stadium Bukit Jalil. Pada jam 8.00 malam, baginda menonton perlawanan serta memberikan sokongan. Dan selepas perlawanan (lebih kurang jam 12 tengah malam)…baginda berangkat semula ke London…

Istiadat Berandam Suri

Baru-baru ini saya menerima pertanyaan daripada seorang pemantau Panca Persada berkenaan salah satu adat istiadat istana iaitu Berandam Suri.

Istiadat Berandam Suri ini kebiasaannya dilakukan kepada putera dan puteri seseorang keturunan diraja. Adat ini dijalankan sebagai menunjukkan rasa sukacita, gambaran kasih sayang serta kesyukuran yang tidak terhingga atas kurniaan Allah menambahkan bilangan keluarga diraja.

Istiadat ini sebenarnya telah bermula semenjak saat sebelum kelahiran putera atau puteri itu lagi yang boleh disenaraikan seperti berikut :

Istiadat Sebelum Bersalin

Sebelum bersalin, seorang bidan akan ditempah. Justeru, alat-alat berikut diperlukan bagi menjalankan upacara ini iaitu :

  1. Kain alasan 44 helai (kain-kain berkualiti tinggi seperti kain emas dan lain-lain).
  2. Lampan berisi air zam zam, emas, perak dan buah kurma bagi upacara belah mulut.

Istiadat 1 Istiadat 3Istiadat 2 Contoh Istiadat Menempah Bidan di Istana Negara pada 25 Mac 1983

Istiadat Selepas Bersalin

Setelah lahir, putera atau puteri tersebut akan dikerat pusat, disiram dan dipersalin dengan pakaian selengkapnya. Putera atau puteri tersebut akan diletakkan di atas 44 helai kain jung, sarat dengan brang-barang kemas. Selepas itu sebanyak 16 das tembakan dilepaskan*.

Selepas itu, putera atau puteri tersebut akan dibawa ke tengah majlis di dalam istana. Azan dan iqamat dikumandangkan. Upacara belah mulut dilangsungkan dengan menggunakan air zam zam, buah kurma, asam, garam, emas dan perak. Kemudian, doa dibacakan oleh golongan ulama’ (kebiasaannya oleh Sahibus Samahah Mufti atau al-Fadhil Qadhi). Selesai istiadat tersebut, barulah putera atau puteri itu dibawa masuk ke tempat yang dikhaskan.

Istiadat Berandam Suri

Setelah berlangsung 2 istiadat di atas, maka barulah dilangsungkan pula Istiadat Berandam Suri. Pada kebiasaannya istiadat ini akan dilangsungkan dalam masa 7 hari pertama selepas putera atau puteri itu dilahirkan. Namun kebiasaannya di Pahang, upacara ini diadakan dalam masa 40 hari putera atau puteri itu berumur dan disambut sekali dengan majlis akikah.

* Peringatan

Sekiranya putera atau puteri tersebut mangkat semasa lahir atau sebelumnya (dalam perut), maka kurniaan 16 das tembakan meriam masih terkanun dan perkabungan akan berlaku jua.

Wednesday, December 8, 2010

Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Pahang 1432H

Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Pahang telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan. KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan berangkat menyempurnakan majlis tersebut.

Ketibaan

Turut kelihatan menyambut – dari kiri - Y.B. Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail (Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang), YB Dato' Haji Mohamad Sahfri bin Ab. Aziz (Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-badan Bukan Kerajaan), YH Dato’ Haji Muhammad bin Ubaidullah (Pengarah Jabatan agama Islam Pahang) dan YS Timbalan Pesuruhjaya Polis Dato’ Sharifuddin bin Abd. Ghani (Ketua Polis Pahang).

Titah

Dalam titah DiRaja, KDYMM Tuanku telah memberikan penekanan kepada soal peri pentingnya penyatuan umat Islam tanpa mengira ideologi politik, negeri asal atau status kedudukan. Ternyata, KDYMM Tuanku begitu prihatin atas perselisihan dikalangan umat Islam khusus dikalangan orang Melayu dan berharap perkara sebegitu tidak melarat ke negeri Pahang.Pada majlis tersebut juga, KDYMM telah berkenan mengurniakan anugerah Tokoh Ma’al Hijrah 2010 Negeri Pahang kepada Bekas Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Pahang, YH Dato’ Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Rahman atas sumbangan besar beliau dalam bidang perundangan Islam di negeri ini.

Selain itu, bekas Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang YH Dato’ Haji Abdul Rahim bin Jaafar pula dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah kategori Sumbangan Individu atas jasa-jasa beliau terlibat sebagai Hakim Tilawah al-Quran hingga ke peringkat kebangsaan.

Bagi kategori jabatan kerajaan pula, Markas 4 Briged Mekanisme yang diwakili oleh Panglimanya, Brigadier General Zamrose bin Mohd. Zin telah diberi penghargaan khas atas sumbangan mereka yang begitu aktif mengadakan program-program keagamaan kepada anggota dan masyarakat sekitar.

Persembahan Ceramah

Sepertimana tradisi sebelumnya, Sambutan Ma’al Hijrah akan menyajikan santapan rohani berbentuk Ceramah Khas. Kali ini tibalah giliran YH Dato’ Mohd. Zawawi bin Yusoh, Ketua Fasilitator dan Penceramah Human Touch Consultant (HTC) menyampaikan syarahan. Beliau yang merupakan bekas pensyarah di Universiti Islam Malaysia adalah seorang penceramah nasional yang dikenali ramai. Ini merupakan penampilan sulung beliau di Pahang selepas dianugerahkan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Kedua, Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) sempena ulang tahun ke-80 Hari Keputeraan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah baru-baru ini.

Dato Zawawi

YH Dato’ Mohd. Zawawi bin Yusoh sewaktu tiba di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan untuk menyampaikan ceramah