Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Wednesday, December 8, 2010

Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Pahang 1432H

Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Pahang telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan. KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan berangkat menyempurnakan majlis tersebut.

Ketibaan

Turut kelihatan menyambut – dari kiri - Y.B. Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail (Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang), YB Dato' Haji Mohamad Sahfri bin Ab. Aziz (Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-badan Bukan Kerajaan), YH Dato’ Haji Muhammad bin Ubaidullah (Pengarah Jabatan agama Islam Pahang) dan YS Timbalan Pesuruhjaya Polis Dato’ Sharifuddin bin Abd. Ghani (Ketua Polis Pahang).

Titah

Dalam titah DiRaja, KDYMM Tuanku telah memberikan penekanan kepada soal peri pentingnya penyatuan umat Islam tanpa mengira ideologi politik, negeri asal atau status kedudukan. Ternyata, KDYMM Tuanku begitu prihatin atas perselisihan dikalangan umat Islam khusus dikalangan orang Melayu dan berharap perkara sebegitu tidak melarat ke negeri Pahang.Pada majlis tersebut juga, KDYMM telah berkenan mengurniakan anugerah Tokoh Ma’al Hijrah 2010 Negeri Pahang kepada Bekas Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Pahang, YH Dato’ Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Rahman atas sumbangan besar beliau dalam bidang perundangan Islam di negeri ini.

Selain itu, bekas Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang YH Dato’ Haji Abdul Rahim bin Jaafar pula dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah kategori Sumbangan Individu atas jasa-jasa beliau terlibat sebagai Hakim Tilawah al-Quran hingga ke peringkat kebangsaan.

Bagi kategori jabatan kerajaan pula, Markas 4 Briged Mekanisme yang diwakili oleh Panglimanya, Brigadier General Zamrose bin Mohd. Zin telah diberi penghargaan khas atas sumbangan mereka yang begitu aktif mengadakan program-program keagamaan kepada anggota dan masyarakat sekitar.

Persembahan Ceramah

Sepertimana tradisi sebelumnya, Sambutan Ma’al Hijrah akan menyajikan santapan rohani berbentuk Ceramah Khas. Kali ini tibalah giliran YH Dato’ Mohd. Zawawi bin Yusoh, Ketua Fasilitator dan Penceramah Human Touch Consultant (HTC) menyampaikan syarahan. Beliau yang merupakan bekas pensyarah di Universiti Islam Malaysia adalah seorang penceramah nasional yang dikenali ramai. Ini merupakan penampilan sulung beliau di Pahang selepas dianugerahkan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Kedua, Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) sempena ulang tahun ke-80 Hari Keputeraan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah baru-baru ini.

Dato Zawawi

YH Dato’ Mohd. Zawawi bin Yusoh sewaktu tiba di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan untuk menyampaikan ceramah

No comments:

Post a Comment