Berikut merupakan petikan berita daripada lamanweb Khabar Pahang berkaitan dengan Titah KDYTM Tengku Mahkota Pahang Sempena Keputeraan Ayahanda di Istana Abu Bakar, Pekan. Laman ini dikendalikan oleh Pejabat YAB Menteri Besar Pahang dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Bil. 02/Okt/2010, 16 – 31 Oktober 2010.
BALAIRUNG SERI, ISTANA ABU BAKAR, BANDAR DIRAJA PEKAN -
"Adalah menjadi tanggungjawab seorang Raja membela nasib rakyat berbilang kaum di negeri Pahang," titah KDYTM Tengku Mahkota Pahang dalam perutusan sempena Hari Keputeraan ke-80 KDYMM Sultan Pahang pagi Ahad, 24 Oktober, di sini.
"Ini adalah juga satu wasiat keturunan Raja-raja Pahang yang terdahulu," titah Baginda yang mewakili Kerabat-kerabat Bergelar, Kerabat-kerabat, Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Diraja, Orang Besar-Besar Negeri dan Dato'-Dato'.
"Ini termaktub dalam Wasiat Raja-raja Melayu para ke-7 yang diperkenankan pada 5 Ogos 1957, diantara Raja-Raja Melayu dan British.
"Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (termasuk kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)," titah Baginda.
Dalam lenggok yang kira-kira serupa, Baginda menyarankan agar seluruh rakyat negeri ini terus menghayati dan memahami kepentingan institusi beraja yang terbina atas semangat 'Raja Adalah Payung Kepada Rakyat'.
Raja Penyelamat Agama dan Bangsa
Pemerintahan beraja ini pula titah Baginda lagi, telah wujud sejak abad ke-13 serta telah banyak membawa kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat sekelian.
"Pelbagai rintangan telah diharungi, termasuk peperangan menentang penjajahan Aceh, Belanda dan Inggeris; serta pergolakan politik. Namun, Kesultanan Negeri Pahang Darul Makmur ini kekal memerintah hingga ke hari ini kerana mempertahankan agama, bangsa dan negeri Pahang tercinta ini.
"Justeru, patik ingin menegaskan bahawa pemerintahan beraja ini perlu diteruskan kesinambungannya. Pepatah juga menyatakan bahawa raja dan rakyat berpisah tiada.
"Di saat genting di mana berlakunya pergolakan politik, maka rajalah menjadi penyelamat agama dan bangsa," tegas Baginda memperihalkan peranan penting Raja-Raja Melayu kita.
"Peristiwa yang berlaku kebelakangan ini di mana ada yang tidak lagi menghormati institusi beraja adalah amat merbahaya kepada masa depan agama dan bangsa. "Situasi seumpama ini harus dijadikan teladan semoga ianya tidak merebak ke negeri ini," titah KDYMM Tengku Mahkota lagi.
Kelemahan Diperbaiki Dari Masa Ke Semasa
Dalam pada itupun Baginda akui, berlaku kelemahan tertentu yang tidak disedari oleh pemerintahan Kesultanan Negeri semasa hendak menyempurnakan peranannya dengan penuh hemah dan bertanggungjawab.
"Justeru, kelemahan seumpama ini akan diperbaiki dari masa ke semasa, demi kesinambungan kesejahteraan rakyat," titah Baginda.
Sepanjang 36 tahun pemerintahan KDYMM Sultan Pahang (sejak 1974) titah Baginda lagi, KDYMM Tuanku merupakan Raja Pemerintah yang amat dikasihi lagi dikagumi oleh rakyat-jelata.
KDYMM Tuanku juga merupakan Raja yang amat mengambil berat terhadap soal kesempurnaan prasarana yang rakyat nikmati dengan Baginda sendiri berangkat ke setiap pelosok negeri bagi memastikannya.
Pengiktirafan dan Penghargaan
Selain itu titah Baginda, KDYMM Tuanku turut menghargai sumbang-bakti para pembesar negeri serta rakyat keseluruhannya.
"Sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbang-bakti mereka, maka pada pagi yang mulia ini, Seri Paduka Ayahanda memperkenankan penganugerahan tertinggi iaitu Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Dimulia - Peringkat Pertama Sri DiRaja Sultan Ahmad Shah (SDSA) yang membawa gelaran Dato' Sri DiRaja.
"Ini membuktikan bahawa Seri Paduka Ayahanda amat menghargai dan mengiktiraf jasa bakti yang dicurahkan oleh pembesar-pembesar negeri dan rakyat negeri Pahang," titah Baginda.
Baginda seterusnya menzahirkan perasaan kebanggaan terhadap kecemerlangan pemerintahan ayahanda Baginda itu yang telah dapat menyatu-padukan seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira kaum dan ideologi politik.
"Ini amat bertepatan dengan semangat Satu Malaysia. Sesungguhnya perubahan dan kemajuan yang telah dicapai dalam negeri Pahang Darul Makmur amatlah membanggakan," titah KDYTM Tengku Mahkota.
Raja Melayu Mestilah Putera Melayu
Dalam nada yang bersantai pula, Baginda mengungkapkan kembali apa yang diistilahkan sebagai Melayu oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Dato' Sri Mohd. Najib Abdul Razak pada Perhimpunan Agung UMNO beberepa hari sebelum ini (21, 22 dan 23 Oktober), lalu dirujukkan kepada seorang Raja Melayu.
"Seorang Raja Melayu mestilah putera Melayu," titah Baginda sambil menyusur-galurkan perihal kisah ayahanda Baginda, KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah, yang diputerakan pada 1930, di Mahkotakan pada 1944, di Sultankan pada 1974 serta menjadi SPB Yang Dipertuan Agong antara 1978 dan 1983.
"Pemerintah Melayu, khalifah Melayu, pegawai tentera Rejimen Askar Melayu, bersekolah Melayu, bertutur Bahasa Melayu dan juga bahasa Jepun serta bahasa Inggeris.
"Suka santap makanan Melayu seperti kuih kacang, sambal, ikan patin tempoyak. Beristerikan orang Melayu, bonda Almarhumah Tengku Ampuan Afzan dan Sultanah Hajah Kalsom dari Pakistan juga Melayu menurut YAB Perdana Menteri.
"Tuanku juga penggalak seni warisan Melayu, suka menyanyi lagu Melayu, berpantun dan berseloka Melayu. Lebih-lebih lagi membela nasib orang Melayu. 'This is the paramount agenda as' Raja Melayu. Inilah satu agenda mutakhir (teragung) untuk membela nasib orang Melayu," titah Baginda lagi.
Kata-Kata Manis
Sebelum mengakhiri titah ucapan, KDYTM Tengku Mahkota telah menyembahkan kata-kata manis sebagai penghargaan terhadap KDYMM Sultan Pahang sempena Hari Keputeraan ke-80 ini, nukilan DYMM Sultanah Pahang, Perdana Menteri dan isteri, KDYTM Tengku Puan Pahang, serta padika-paduka anakanda iaitu :
YAM Tengku Puteri Lela Wangsa Pahang, YAM Tengku Puteri Seri Teja Pahang, YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, YAM Tengku Muda Pahang, YAM Tengku Seri Lela Manja Pahang, YAM Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang, serta YAM Tengku Arif Temenggong Pahang.
Antara yang menarik serta berunsur jenaka ialah oleh DYMM Sultanah Pahang yang menyebut : "Tuanku, you are not 80. You are 18 with 62 years experience" (Tuanku bukannya berumur 80 tahun. Tuanku cuma 18 tahun dengan 62 tahun pengalaman).
YAM Tengku Puteri Lela Wangsa Pahang pula menyebut : "Bok is so caring, loving, generous and understanding". (Bok [nama panggilan anakanda-anakanda terhadap KDYMM Sultan Pahang] sangat mengambil berat, penyayang, pemurah dan sangat memahami).
YAM Tengku Muda Pahang pula : "Not only a great father to all of us, but you also have the ability to draw people to respect you as a father to all walks of life..."(Bukan sekadar ayahanda yang hebat untuk kami semua, tetapi juga punya keupayaan menarik orangramai untuk menghormatimu sebagai ayahanda kepada semua daripada pelbagai latar kehidupan).
YAM Tengku Arif Temenggong Pahang pula : "Baba, you are very special to us, a special father and leader. You have instilled a legacy that none of us will forget. A legacy that will allow Pahang flourish and will be passed down to our future rulers. Happy birthday Baba. We love you" (Baba [nama panggilan terhadap KDYMM Sultan Pahang]…Ayahanda adalah teristimewa buat kami, ayahanda dan pemimpin yang istimewa. Ayahanda telah memupuk warisan yang tidak seorangpun antara kami akan lupai. Satu warisan yang akan membolehkan Pahang terus berkembang-maju, yang akan diperturunkan kepada pemerintah-pemerintah masa depan. Selamat hari keputeraan Baba. Kami cintakanmu).
No comments:
Post a Comment