Sempena memuliakan Ulang Tahun ke-80 Keputeraan KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah, satu majlis pelancaran buku bertajuk Raja & Rakyat Berpisah Tiada telah diadakan secara gilang gemilang bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan. Buku tersebut yang merupakan hasil tulisan dan kajian oleh Yang Hormat Dato’ Setia Amar Segara Dato’ Haji Halim bin Haji Ibrahim (gambar kanan) telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang Dato' Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abd. Razak. KDYMM Sultan Pahang turut berkenaan berangkat ke majlis tersebut.
Menurut Dato’ Haji Halim, buku ini merupakan hasil cetusan idea dan titah daripada KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah. “Matlamat karya ini antara lain mengajak rakyat untuk mengenali sejarah susur galur Kesultanan Pahang yang merupakan kesinambungan kepada Kesultanan Melayu” katanya lagi.
Beliau menambah, “arus kemodenan masa kini telah menyaksikan keutuhan institusi beraja yang menjadi paksi kekuatan masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman tersentak seketika tatkala masyarakat di peringkat nasional sejak kebelakangan ini mula mempersoalkan kedaulatan dan kredibiliti raja-raja Melayu sekarang. Justeru, buku ini merungkai secara terperinci bagaimana raja-raja keseluruhannya termasuk peranan Sultan Ahmad Shah yang berjaya menyatupadukan rakyat di negara ini”.
Secara keseluruhannya juga, kehidupan Sultan Ahmad Shah menjalani kehidupan sehari-harinya dan paparan gambar-gambar istimewa baginda diketengahkan untuk renungan generasi akan datang. Ia diharap akan menjadi suatu momen paling indah untuk ditatap. Karya ini juga secara tidak langsung akan mendedahkan formula di sebalik kemajuan yang dicapai olah Negeri Pahang Darul Makmur dan juga merungkai persepsi rakyat terhadap Raja Pemerintah dan persepsi daripada kaca mata Raja Pemerintah terhadap rakyatnya.
Beliau yang juga merupakan Presiden Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM) berharap, semoga buku ini kelak menjadi satu rujukan penting kepada masyarakat, tanpa mengira asal dan keturunan.
Turut berangkat ke majlis tersebut adalah KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah, KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah binti Almarhum Sultan Iskandar, paduka-paduka anakanda dan juga Toh Puan Dato’ Seri Rosmah binti Mansor.
Ucapan Perasmian Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar YAB Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak
"Patik ingin terlebih dahulu menjunjung kasih atas perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku memuliakan majlis pelancaran buku 'Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada', nukilan Yang Hormat Dato' Setia Amar Segara, Dato' Haji Halim bin Haji Ibrahim yang akan disempurnakan oleh patik pada hari yang penuh bermakna ini.
Penerbitan buku "Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada" bersempena dengan ulang tahun hari keputeraan Tuanku adalah amat tepat pada masanya, ini kerana tahun ini menandakan tahun ke-36 Tuanku bersemayam di singgahsana pemerintahan negeri, sejak Tuanku dilantik sebagai Sultan Pahang Ke-5 pada 7 Mei 1974.
Oleh kerana buku yang bakal dilancarkan merupakan karya seorang individu yang boleh dikatakan akrab dengan Tuanku, maka ia sudah tentu memuatkan pelbagai peristiwa bersifat peribadi dan 'candid', yang selama ini tersembunyi dari umum. Karya ini akan membolehkan pembaca lebih mengenali secara dekat hati budi dan jiwa raga Tuanku. Patik percaya kisah-kisah “anecdotal” sebeginilah yang akan terus mendekatkan Tuanku kepada pembaca dan seterusnya rakyat jelata.
Personaliti Tuanku yang sentiasa ramah dan cepat mesra menjadikan Tuanku seorang raja yang dekat di hati rakyat. Setahu patik, tiada seorang pun yang tidak tertarik dengan personaliti Tuanku. Sebab itu, Tuanku adalah seorang yang teristimewa yang ramai peminatnya sama ada dikalangan yang tua mahupun yang muda.
Walaupun ia bukanlah buku yang pertama yang diterbitkan berkaitan Tuanku mahupun patik yakin ia bukan buku terakhir, namun ia tetap penting sebagai rekod tawarikh guna untuk teladan serta panduan bagi generasi hari ini mahupun untuk generasi mendatang. Sesungguhnya bangsa yang tidak tahu mahupun berminat terhadap sejarah warisan bangsanya sendiri adalah bangsa yang lemah dan miskin semangatnya.
Sebagai seorang yang pernah diamanahkan selaku Menteri Besar Pahang dalam usia yang agak muda, patik merasa bertuah untuk mendapat bimbingan Tuanku sejak awal kerjaya patik sehingga pada hari ini. Meskipun patik sudah sampai ke mercu pentadbiran kerajaan, tetapi patik merasa amat bertuah dapat bernaung di bawah payung Tuanku.
Ampun Tuanku,
Patik mohon perkenan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, untuk berucap sepatah dua kata kepada hadirin sekalian.
YAB Dato' Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob,
Menteri Besar Pahang
Yang Amat Mulia,
Kerabat-Kerabat Bergelar
YB Dato' Sri Muhammad Safian Bin Ismail,
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang
Yang Berhormat,
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Yang Hormat,
Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri
YH Dato' Setia Amar Segara Dato' Haji Halim bin Haji Ibrahim
Hadirin Sekalian
Sistem Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, merupakan antara teras-teras asas pentadbiran negara. Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT lipatan sejarah menunjukkan bahawa perjalanan negara ke arah sistem ini bersifat evolusi, bersandarkan muafakat dan berlatarbelakangkan ketertiban berbeza dengan sesetengah negara di dunia di mana ianya melibatkan revolusi dan anarki.
Di United Kingdom misalnya ia dibibitkan melalui krisis di antara para Barons dan Raja Inggeris pada ketika itu King John, krisis ini membuahkan Magna Carta sebuah piagam yang telah dimaktubkan pada tahun 1215 Masihi. Magna Carta menandakan bermulanya pemerintahan berperlembagaan, lahirnya institusi Parlimen, wujudnya prinsip kedaulatan undang-undang dan bermulanya bibit-bibit pengakhiran pemerintahan secara berwewenang atau “arbitrary rule”.
Proses ini tidak tamat dengan Magna Carta sebaliknya ia berterusan untuk lebih 700 tahun, sehingga lahirnya demokrasi moden seperti mana yang terdapat pada hari ini. Sepanjang tempoh tersebut ia telah melibatkan perang saudara, revolusi dan pembaharuan yang digerakkan rusuhan berdarah.
Berbeza dengan United Kingdom, di Malaysia sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang bermula dengan kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957. Ia diasaskan bukan di atas pertelingkahan di antara raja dan rakyat tetapi dibina di atas dasar saling memahami dan menghormati aspirasi masing-masing.
Sejarah telah menunjukkan apabila penjajah Inggeris cuba melemahkan institusi Raja-Raja Melayu melalui rancangan Perlembagaan Malayan Union pasca Perang Dunia Kedua, orang-orang Melayu sendiri yang telah bangkit menentangnya. Mereka telah bersatu di bawah kepimpinan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar dan payung UMNO untuk menggagalkan rancangan tersebut, dan menggantikannya dengan sistem pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu yang telah meletakkan Raja- Raja Melayu di tempat yang hak.
Sistem raja berperlembagaan di negara ini wujud hasil persetujuan dari Raja- Raja Melayu sendiri yang bermuafakat bersama-sama UMNO, serta Parti Perikatan yang mewakili rakyat. Berbeza dari sejarah United Kingdom sejarah Malaysia menunjukkan sikap berlapang dada Raja-Raja Melayu yang sanggup berkorban demi memenuhi aspirasi rakyat mereka.
Segala susun atur dan perjalanan sistem bernegara ini diasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara serta hasil ijmak semua pihak. Ia telah diperkukuhkan lagi dengan rukun negara yang merupakan ideologi kebangsaan. Kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang adalah tiga dari lima prinsip yang membentuk rukun negara.
Sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen ini telah membuahkan keamanan dan kestabilan politik semenjak merdeka. Ia telah membolehkan pembangunan dilaksanakan secara terancang dan tertib. Hasilnya taraf hidup rakyat telah berjaya ditingkatkan dengan ketaranya, dalam tempoh hanya 50 tahun.
Kita juga telah berjaya mentransformasikan negara dari sebuah negara pertanian yang berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi.
Terbukti ia sistem yang terbaik yang telah ternyata keberkesanannya. Ia mengadunkan warisan tradisi negara yang terbaik bersama-sama aspirasi rakyat terbanyak. Untuk itu semua rakyat perlu terus mempertahankan sistem yang terbukti berkesan membawa kestabilan ini. Tidak ada sebab untuk kita bersikap ibarat tikus membaiki labu.
Maka usaha menerbitkan buku ini boleh disifatkan sebagai memperkukuhkan kefahaman dan kepercayaan kepada institusi Raja berperlembagaan secara berterusan. Semoga Institusi Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen akan terus berkekalan selamanya.
Dengan doa tersebut, saya dengan lafaz mulia Bismillahirahmanirrahim melancarkan buku 'RAJA DAN RAKYAT BERPISAH TIADA' ini.
Ampun tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patik, mohon di ampun
Sekianlah sahaja ucapan patik kepada hadirin sekalian. Akhir kata Patik berdoa ke hadrat Allah Subhanahuwataala semoga Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan sihat walafiat, dilanjutkan usia, aman sentosa, dilimpahkan nikmat dan dimurahkan rezeki kekal bersemayam di atas singgahsana untuk patik semua dapat bernaung di bawah payung Tuanku.
Ke bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang; Ke bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang; serta semua kerabat diraja.
Ampun tuanku,
Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh".
Usaha yang baik lagi murni. Mendokumentasikan khazanah sejarah untuk rujukan masa depan. Di mana saya boleh mendapatkan buku ini untuk dibeli?
ReplyDeleteTelah pun ada di pasaran. Kalau di Hamid Bros, harganya RM 125.00 senaskhah. Sila call Hamid Bros (09-516 2119)sebelum pergi, kang penat carik parking jer :)
ReplyDelete