Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Wednesday, May 2, 2012

Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2012 (World Fire Fighters Day 2012)

Hari Bomba
Negeri Pahang akan menjadi tuan rumah sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2012 (World Fire Fighters Day 2012) yang bakal diadakan pada 4 hingga 6 Mei 2012 bertempat di Dataran Pekan. Majlis sambutan akan disempurnakan oleh KDYMM Sultan Pahang. Bersempena sambutan tersebut, hamba kongsikan sedikit cuplikan kecil sejarah bomba di Pahang. Untuk pembacaan lanjut, sila rujuk Buku Kemajuan Negeri Pahang 1961 - 1965 (1966), Jawatankuasa Penerangan dan Seranta Negeri Pahang, hlm. 342 – 347). 

Sejarah Bomba di Pahang 

Perkhidmatan bomba di Pahang mengalami kacau bilau sejak tahun 1945 khususnya selepas zaman peperangan. Ketika itu pasukan bomba yang dikenali sebagai “Malayan Union Fire Services” tidak diterima kewujudannya di Pahang. Maka pasukan ini dipulangkan semula kepada pentadbiran persekutuan pada tahun 1948.

Pada tahun 1952, Ketua Merinyu Perkhidmatan Bomba Persekutuan mencadangkan agar pasukan bomba diserapkan ke pentadbiran negeri. Selepas beberapa perbincangan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 1958 bersetuju meletakkan perkhidmatan bomba dibawah pentadbiran Majlis Bandaran (Town Council).

Pada 1 Februari 1960, pasukan bomba beralih pula kepada pentadbiran Pegawai Daerah. Ketika ini sistem pentadbirannya begitu kelam kabut memandangkan pengurusannya yang berbeza dan berselerak. Maka, dibuat keputusan untuk mengalihkan semula tanggungjawab itu kepada kerajaan negeri lalu tertubuhlah Perkhidmatan Bomba Negeri Pahang mengikut kaedah-kaedah pertukaran Pentadbiran Merdeka Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Setelah Jabatan Bomba Negeri Pahang berdiri dengan sendirinya, maka Pegawai Bomba Negeri telah diarahkan membuat kajian bagi memohon peruntukan untuk memajukan prasarana bomba yang ketika itu amat mundur dalam serba serbi.

Dalam usaha bagi memajukan perkhidmatan bomba ini, kerajaan Pahang menerusi Rancangan Kemajuan Kerajaan Negeri Ke-2 bagi tahun 1961 – 1965, telah mengemukakan satu cadangan untuk membuat pinjaman sebanyak RM 1,000,000.00 dari Kerajaan Pusat. Malangnya Kerajaan Pusat menolak permohonan ini.

Pada tahun 1961, Jawatankuasa Iktisad Negeri Pahang telah membincangkan kedudukan serta masa depan perkhidmatan bomba di Pahang memandangkan Kerajaan Pusat menolak permohonan pinjaman tersebut. Hasilnya, kerajaan negeri bersetuju menyediakan peruntukan negeri sebanyak RM 1,000,000.00 tersebut dan dimasukkan dalam Rancangan Kemajuan Kerajaan Negeri 1961 – 1965. Butirannya adalah seperti dibawah : 

a. Bangunan Bomba (TOTAL : RM 514,913.72) 

Cameron Highlands : RM 83,900.00
Bentong : RM 185,531.72
Pekan : RM 121,830.00
Temerloh : RM 63,752.00
Kuala Lipis : RM 37,400.00
Rompin : RM 11,500.00
Triang : RM 11,000.00

Bomba Temerloh
Balai Bomba Temerloh

Perasmian Temerloh
KDYMM Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Mu'adzam Shah memakai uniform Askar Melayu DiRaja berpangkat Kolonel semasa merasmikan pembukaan Balai Bomba Temerloh

Bomba Triang 
KDYMM Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Mu'adzam Shah bertitah sebelum merasmikan pembukaan Balai Bomba Triang. Perhatikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Haji Ahmad Shah berada dibelakang

b. Jentera dan Alatan Bomba (TOTAL : RM 509,720.00) 

1961 : 3 buah jentera bomba bernilai RM 54,000.00
1962 : 9 buah jentera bomba bernilai RM 269,372.00
1963 : 4 foam trailer dan peralatannya bernilai RM 41,717.00
1964 : 4 buah jentera bomba bernilai RM 144,631.00

Jeep Bomba
Tiga buah kereta bomba yang dibeli dengan harga RM 54,000.00 untuk Balai Bomba Kuantan

c. Tambahan Jawatan (1961 – 1965) 

1 Pegawai Bomba
6 Pegawai Rendah Bomba
16 Ahli Bomba Kanan
30 Ahli Bomba
1 Kerani Bahagian Rendah

Bomba Bentong
KDYMM Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Mu'adzam Shah memeriksa barisan kehormatan ahli-ahli bomba semasa perasmian Balai Bomba Bentong

Semenjak daripada tarikh peralihan pentadbiran, Perkhidmatan Bomba telah berubah corak dari serata segi. Kakitangan Bomba telah semakin bertambah dan banyak jentera yang diganti baru. Hingga kini, pasukan bomba di Pahang telah mencapai tahap membanggakan.

Bomba

Selamat Menyambut Hari Bomba!…