Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Monday, October 31, 2011

Labbaikallah…

YAB Perdana Menteri Malaysia, Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak bersama dengan Toh Puan Indera Dato’ Sri Hajjah Rosmah binti Mansor berlepas ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji.

Panca Persada mendoakan agar kedua-duanya selamat kembali sebagai hamba yang benar-benar bertaqwa lahir dan batin, serta diterima Allah segala doa dan pengharapan.

Hajar Aswad

Force 136 : Markas Baru Rejimen 505 Askar Wataniah (Batalion Kedua) Pahang

Force 136Sultan Ahmad Shah (tengah) bergambar bersama anggota Askar Wataniah selepas merasmikan Kem Angkatan 136 Rejimen 505

Kem Angkatan 136 (Force 136) Rejimen 505 dekat Sungai Miang di Pekan telah diumumkan sebagai markas utama latihan tentera sukarela di Pahang. Kem bernilai kira-kira RM26.1 juta yang dibina di atas tanah seluas 4.46 hektar ini mampu melatih seramai 500 orang anggota dalam satu masa.

Difahamkan Kem Rejimen 505 di Taman Gelora, Kuantan akan tetap beroperasi walaupun markas utama rejimen itu telah memulakan latihan di Pekan.

Rahsia Sebalik Nama Force 136

British Special Operations Executive (SOE's) Force 136 merupakan nama samaran kepada operasi sulit tentera British di seluruh Asia Tenggara pada tahun 1941 – 1945. Pasukan ini yang ditubuhkan pada 16 Mac 1944 boleh dianggap sebagai pelopor kepada sejarah moden pasukan khas dan elit yang lain di Malaysia seperti Senoi Praaq (1956), Grup Gerak Khas (1965), VAT 69 (1969), Unit Tindakan Khas (1975) dan lain-lain yang tak dapat dikongsikan disini atas faktor kerahsiaan.

Semasa era Perang Dunia Kedua, pihak SOE telah menubuhkan beberapa pasukan sulit seperti ini di beberapa buah negara lain seperti di Timur Tengah (Force 133), Australia (Force 137), Benua Amerika (Force 266) dan Balkan (Force 399).

Force 136 dan Kesultanan Pahang

Pasukan 136 ini pernah mencatatkan sejarah besar di Pahang apabila mereka dengan beraninya menculik Almarhum Baginda Sultan Pahang Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Muadzam Shah ibni Almarhum al-Mua'adzam al-Mu'tasim Billah al-Sultan Abdullah. Peristwa berlaku pada 17 Ogos 1945 tatkala KDYMM Tuanku bersama dengan Dato’ Mahmud bin Mat berangkat dari Kuala Lipis menuju ke Pekan. Ketika kenderaan baginda tiba berhampiran Kuantan, baginda berhenti untuk mendengar siaran radio. Di situ, beberapa orang pasukan Force 136 yang lengkap bersenjata dan memakai pakaian seragam telah menculik baginda.

Seorang daripada ketua Force 136 itu mengatakan bahawa mereka menjalankan tindakan menurut perintah pihak berkuasa tertinggi tentera British South East Asia Command (SEAC) yang berpangkalan di Pulau Ceylon dengan memberi alasan bimbangkan keselamatan baginda dibunuh atau dicederakan tentera Jepun. Hal ini ada asasnya kerana baginda merupakan penerima anugerah Knight Grand Cross : The Most Distinguished Order of Saint Michael and Saint George (GCMG) dari Ratu England yang perlu dilindungi.

Baginda telah dibawa oleh pasukan Force 136 ke tempat perkhemahan mereka dalam hutan yang terletak 3 batu dari jalan raya. Hampir tiga minggu baginda tinggal dalam hutan dan bercampur dengan anggota Force 136 yang terdiri daripada 80 orang Cina yang mencari perlindungan di Pahang.

Pada 8 September 1945, barulah baginda sampai kembali ke Pekan dan disambut oleh ribuan rakyat jelata yang menyatakan kesyukuran atas keselamatan baginda (rujuk : "Ruler Who Was Kidnapped" oleh Harry Miller : The Straits Times, 29 Mei 1957).

Sudah pastinya nama Kem Angkatan 136 (Force 136) mencatat kenangan tersendiri buat KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah terhadap Almarhum Paduka Ayahanda tercinta…

Gempur Wira...

Saturday, October 29, 2011

Peristiwa Kg. Batu Hampar, Gajah Mati

Saya tertarik dengan berita di Sinar Harian hari ini :

MENTAKAB - Pengkaji sejarah diminta membuat kajian berkaitan penemuan 14 kubur di Kampung Batu Hampar, Gajah Mati, dekat sini yang dikatakan milik pahlawan ketika zaman penjajahan British.

Mantan Penghulu Mukim Mentakab, Johar Zabidin berkata, mengikut sejarah yang diperkatakan daripada nenek moyang terdahulu, kawasan perkuburan itu adalah tempat terakhir Datuk Bahaman tinggal bersama rakannya sebelum berhijrah ke Terengganu.

Terus terang, kisah yang berlaku di Batu Hampar tersebut bukanlah sebuah kisah yang selesa untuk kita gembar-gemburkan. Sebagai generasi baru, terlalu banyak perkara tersirat disebalik yang tersurat. Saya tampilkan di sini sedikit catatan untuk sama-sama dibuat pertimbangan.

Penentangan Inggeris di Pahang

Setelah dua tahun British campurtangan dalam pemerintahan di negeri Pahang, Orang-Orang Besar Pahang telah menjadi tidak puas hati kepada cara pemerintahan British itu. Antara yang tidak berpuas hati ialah Yang Hormat Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan Dato’ Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh (Tok Bahaman). Bermula Disember 1890, Tok Bahaman telah mula bersengketa dengan Majistret British (juga dikenali sebagai Pemungut dan Pengadil Daerah) di Temerloh ketika itu iaitu E.A Wise yang ingin membina sebuah Balai Polis di Mempateh.

Selepas itu, Dato' Bahaman berbalah pula dengan seorang lagi Majistret British di Temerloh iaitu J.F Owen berkaitan prosedur baru pengeluaran hasil hutan Semantan yang perlu mendapat kebenaran dan kelulusan pegawai British.

Dek kerana persengketaan ini, pegawai-pegawai British tersebut telah membuat aduan kepada Sir Hugh Charles Clifford (Hugh CliffordResiden British) yang berada di Pekan. Clifford (gambar sebelah) telah bertindak menulis sepucuk surat aduan kepada KDYMM Sultan Ahmad al-Muazzam Shah (memerintah 1863 – 1914) yang ketika itu bersemayam di Pulau Tawar, Jerantut berkenaan sikap penentangan Tok Bahaman ini. Akhirnya, Tok Bahaman telah dititahkan mengadap, dan setelah memberi penjelasan kepada baginda, KDYMM Tuanku telah menitahkan Tok Bahaman agar berjumpa sendiri dengan Clifford di Pekan bagi menerangkan duduk perkara sebenar. Namun atas dasar prinsip serta maruah, Tok Bahaman mengengkari titah ini...

Apabila KDYMM Tuanku mendapat maklum yang Tok Bahaman tidakTok Raja ke Pekan berjumpa Clifford, lantas baginda menitahkan Yang Di Hormat Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai (Tok Raja) Dato’ Wan Muhammad bin Wan Idris (gambar sebelah) supaya segera ke Semantan bagi mengambil Tok Bahaman untuk dibawa mengadap tuanku di Pulau Tawar. Ketika inilah Tok Bahaman dikatakan telah melarikan diri ke hutan dan disinilah bermulanya episod penentangan British di Pahang yang membawa kepada peristiwa di Batu Hampar ini (rujuk A History of Pahang, W. Linehan : dalam Journal of The Malayan / Malaysia Branch Royal Asiatic Society (JMBRAS), jld. XIV, bhg. II , Jun 1936, hlm. 140).

Rentetan dari tindakan melarikan diri Tok Bahaman ini, atas 'nasihat' Residen British; beliau telah dilucutkan serta merta gelaran Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan dan salinan surat perintah itu beserta cap mohor Sultan telah diedarkan di Mukim Semantan (rujuk A History of Pahang, W. Linehan : dalam JMBRAS, jld. XIV, bhg. II, Jun 1936, hlm. 137 - 138).

Tindakan ini diambil beberapa ketika selepas selesainya Majlis Mesyuarat Negeri ke-5 pada 8 Oktober 1891. Sejak dari itulah, mengikut Hikayat Pahang, namanya kembali mengikut nama asal iaitu Bahaman sahaja (rujuk Hikayat II).

Peristiwa Batu Hampar

Ada beberapa peristiwa yang membawa kepada pertempuran di Batu Hampar ini (rujuk A History of Pahang, W. Linehan : dalam JMBRAS, jld. XIV, bhg. II, Jun 1936, hlm. 140 - 141) :

1. Peristiwa serang hendap terhadap C.E.M Desborough yang merupakan Pemangku Pemungut Cukai Tanah di Mukim Semantan serta seorang inspektor lombong beserta 15 orang mata-mata bangsa Sikh dan 6 orang mata-mata bangsa Melayu. Serang hendap berlaku pada 16 Disember 1891 ketika rombongan itu sedang mudik Sungai Semantan menuju ke Lubuk Terua.

2. Serangan terhadap balai polis Lubuk Terua.

3. Menawan rumah stor kepunyaan syarikat lombong di Raub dan Bentong bagi tujuan mengambil stok makanan. Ketika inilah Tok Bahaman mengisytiharkan secara rasmi penentangan bersenjata terhadap British. Tatkala itu pengikut Tok Bahaman telah meningkat kepada 600 orang (sebelumnya hanya 100 orang sahaja) yang terdiri daripada orang-orang Melayu dari Semantan, Bentong dan 100 orang Asli.

4. Serangan di Temerloh yang berhasil mendapat empat pucuk senapang milik polis. Pada ketika itu, Tok Bahaman dan pengikutnya telah berjaya menguasai kawasan di Sungai Semantan hingga ke Temerloh.

Natijah

Kesan dari rentetan peristiwa ini, pada 21 Disember 1891; Sir John Pickersgill Rodger yang merupakan Pemangku Residen British di Selangor telah bergerak ke Raub bersama-sama dengan Kapten H.C. Syers (Penguasa Polis Selangor). Di sana, mereka telah mengadakan perbincangan dengan Clifford, Wise, Inspektor Fleming (Ketua Polis Hulu Pahang) beserta 25 orang mata-mata Sikh.

Kata sepakat dicapai, mereka lantas mengadap KDYMM Sultan Ahmad memohon kerjasama istana untuk berlawan dengan kumpulan Tok Bahaman.

Pada 29 Disember 1891, Clifford bersama-sama dengan Yang Mulia Tengku Besar Pahang Tengku Mahmud Ibni Sultan Ahmad al-Muazzam Shah dan pasukan seramai 60 orang mata-mata Sikh dan 200 orang Melayu; telah bergerak ke Semantan melawan Tok Bahaman. Balai polis di sekitar Semantan seperti di Bentong, Teras, Raub, Kuala Lipis dan Kuala Tembeling telah dipertingkatkan anggotanya.

Pertempuran Sebelum Batu Hampar

1. Kubu pertama Tok Bahaman telah ditinggalkan kosong. Pasukan Clifford bergerak pula ke kubu kedua di Kg. Kelubi. Berlaku pertempuran, namun Tok Bahaman berjaya mematahkan serangan. Pasukan Clifford berundur semula ke Temerloh (rujuk A History of Pahang, W. Linehan : dalam JMBRAS, jld. XIV, bhg. II, Jun 1936, hlm. 141 - 142).

2. Tanggal 14 Januari 1892, KDYMM Sultan Ahmad berangkat dari Pulau Tawar ke Kuala Semantan mengetuai sendiri angkatan kerajaan melawan pihak yang menentang British.

3. 15 Januari 1892, KDYMM Sultan Ahmad bersama-sama dengan J.P Rodger, Yang Mulia Tengku Muda Pahang Tengku Ali Ibni Sultan Ahmad al-Muazzam Shah dan seramai 1,000 orang pasukan telah tiba di lembahan Sungai Semantan. Hugh Clifford ketika itu berkawal di Kuala Lipis sementara Yang Mulia Tengku Besar Pahang Tengku Mahmud sedang gering di Pekan.

4. Kubu pertama Tok Bahaman di Batu Hampar telah berjaya dihancurkan oleh pasukan Sultan Ahmad. Kubu yang diketuai oleh Tok Muda Bidin (Kg. Teris) itu binasa dek kerana pasukan Tok Bahaman tidak tergamak menyerang balas serangan KDYMM Sultan.

5. Serangan seterusnya dilakukan terhadap kubu Tok Bahaman di Semantan. Selepas hampir setengah bulan melancarkan serangan, sebanyak 12 kubu Tok Bahaman telah dihancurkan seluruhnya.

Serangan Balas

1. Pada bulan April atau awal bulan Mei 1892, Tok Bahaman yang selama ini menyembunyikan diri di hutan telah menyerang semula Batu Hampar dan Lubuk Terua. Pasukan Sultan Pahang yang mengawal kubu telah bertindak melarikan diri.

2. Tanggal 8 Mei 1892, Yang Mulia Tengku Muda Pahang Tengku Ali dan Yang Hormat Orang Kaya Indera Gajah Pahang Dato’ Imam Rasu bin Shahrum (Tok Gajah) dengan pasukan seramai 300 orang telah bertempur dengan pasukan Tok Bahaman di Batu Hampar dan salah seorang anak Tok Bahaman terbunuh di situ.

3. Seterusnya, gerakan diteruskan ke Lubuk Terua dan tatkala itu pasukan Sultan telah bergabung dengan pasukan orang Melayu yang dibawa oleh Wise (kini Pegawai daerah Temerloh yang baru). Lubuk Terua ditawan, dan Tok Bahaman sekali lagi berjaya melarikan diri.

4. Selepas batu Hampar dan Lubuk Terua berjaya ditawan; Haji Muhammad Nor bin Haji Abd. Hamid (Pegawai Khas KDYMM Sultan Pahang), Yang Hormat Imam Perang Sanggang Imam Teh bin Qadhi Abu Bakar, Yang Hormat Orang kaya Indera Segara Temerloh, Tok Umbi, Pahlawan Lawi, Tok Jenid Chenor, Wan Ahmad Tembeling dan Panglima Raja Ya’akob telah membawa satu pasukan besar bagi mengejar para pengikut Tok Bahaman yang lari dalam hutan antara Semantan hinggalah ke Lipis.

5. Pertengahan bulan Jun 1892, barulah pasukan kerajaan ini selesai menamatkan operasi memburu pengikut-pengikut Tok Bahaman di hutan tersebut.

Renung-renungkan…

Wednesday, October 26, 2011

Yang Tersurat dan Tersirat

Ramai yang bertanya kepada saya, apa erti disebalik gambar dalam post saya semalam. Baiklah, ini semua berkaitan etika pemakaian keris. Keris yang dipakai bukanlah simbol semata-mata. Cara pemakaian keris menggambarkan maksud pemakainya.

Terdapat sebuah talibun (puisi lama terdiri daripada 4, 16, 20 baris dan bersajak diakhirnya) yang menggariskan tatacara pemakaian keris seperti berikut :

Kalau memakai keris
Keris tersisip sebelah kiri
Keris beradat berlembaga

Kalau memakai keris telentang
Itu tanda mencari lawan
Bagai ayam kokok berdentang
Bagai hulubalang masuk gelanggang
Elok dipakai ditengah hutan
Atau belayar tengah laut
Untuk menjaga jaga diri

Kalau keris sampir terlungkup
Keris tidak mencari lawan
Keris tidak mencari musuh
Yang dipakai dalam jamuan
Yang dipakai pergi bertandang

Berbelit punca wali
Berselubung sampai ke hulu
Tanda beradat berketurunan
Patut disebut keris terap

Keris yang dipakai hulunya mengadap tubuh atau terlangkup biasanya dipakai ketika berada dalam majlis sosial atau semasa mengadap Sultan. Ini kerana secara adat dan adab sebagai isyarat tidak mahu pergaduhan dan menunjukkan pemakainya tidak berniat jahat kerana posisi keris yang tidak bersedia untuk digunakan.

Adat KerisPerhatiakan kedudukan hulu keris yang berbeza antara KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah dengan Orang Kaya Indera Shahbandar Dato' Seri Haji Mohd. Najib

Tetapi keris apabila diterlentangkan maka dikatakan sebagai mencari lawan kerana posisi keris mudah dipegang dan dihunus untuk menikam. Dalam kes ini, perhatikan kedudukan sampir (warangka) dan hulu Paul Wayne Jones yang mengadap luar tubuh atau terlentang (gambar bawah). Secara adatnya, pemakaian keris sebegini adalah isyarat untuk bersiap sedia menghadapi musuh.

Ambassador

Sewajarnya Penghulu Balai melarang atau menegur pemakaian yang kurang beradab sebegini kerana ianya merupakan peraturan yang termaktub dalam Peraturan Adat Istiadat Raja-Raja Negeri Pahang, YAM Tengku Arif Bendahara, Tengku Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (1971), hlm. 31 yang mencatatkan :

Memakai Keris

Keris Ulu Menerungkup :
Untuk dipakai oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan sahaja

Keris Ulu Melintang Dengan Sampir Keluar :
Untuk dipakai oleh Kerabat-Kerabat dan Orang-Orang Besar Negeri

Keris Ulu Melintang & Sampirnya Bertutup Dengan Kain Sarung :
Untuk dipakai oleh orang ramai

Ambassador JJ

Mungkin Jones memakai cara sebegini sebagai membalas cara Dato' Sri Dr. Jamaluddin Jarjis yang juga telah menelentangkan kerisnya semasa bertemu Obama di The Oval Office, White House dahulu (gambar atas).

Namun menarik juga bila melihat Orang Kaya Indera Shahbandar Dato' Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abd. Razak juga sedang bersiap siaga dengan menelentangkan kerisnya semasa berbicara dengan Jones….

Just my 2 cents…

Tuesday, October 25, 2011

Sepersalinan Pahang


Erti disebalik gambar…

1. Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tuan Yang Terutama Yang Berhormat Dato' Sri Dr. Jamaluddin Jarjis yang berjaya membawa masuk keris Melayu menembusi The Oval Office di White House semasa upacara perlantikan duta baru pada 4 November 2009.

2. United State of America Ambassador Paul Wayne Jones yang segak berpakaian lengkap sepersalinan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan pada 24 Oktober 2011. Perhatikan tanjak ikatan gaya Lang Menyungsung Angin yang diperbuat daripada kain songket yang berwarna natarnya kelabu, bersulam benang kencana.

Wednesday, October 12, 2011

KDYMM Sultan Pahang Dirawat di Hospital Ampang Puteri

SHASKDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri petang kelmarin. Atas sebab inilah, baginda tidak dapat berangkat ke Majlis jamuan Rakyat dan Ramah Mesra Parlimen Rompin di Bandar Tun Razak, Keratong. Mengikut jangkaan, baginda dijadualkan discharge Insya-Allah pada 14 Oktober nanti.

Untuk mendapat maklumat minute-to-minute, sila ziarahi :

http://tengkusyah.blogspot.com/2011/10/sultan-pahang-mendapat-rawatan-biasa-di.html

Friday, October 7, 2011

Tugas Pembesar Istana Semasa Istiadat di Balairong Seri Istana Abu Bakar

Pada kebiasaannya, terdapat 27 jenis tugas berasingan yang perlu diselesaikan oleh setiap Pembesar Istana yang dibahagi-bahagikan kepada beberapa pengkhususan (sila rujuk : YH Dato’ Setia Amar Segara Dato’ Haji Halim bin Haji Ibrahim (2010), "Raja & Rakyat Berpisah Tiada" Bab “Peranan Kerabat & Para Pembesar Negeri Pahang” hlm. 154 - 157). Panca Persada hanya menyenaraikan sebahagian sahaja seperti berikut :

1. Pengerusi Istiadat Balairong Seri

Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang
Tengku Dato' Ibrahim bin Tengku Besar Sulaiman, DIMP., SAP.

2. Timbalan Pengerusi Istiadat Balairong Seri

Yang Dihormat Orang Kaya Indera Pahlawan
Dato' Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, SSAP., SIMP., DSAP., SAP., JSM., AMP.

3. Sanggamara

Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang
Tengku Kamil Ismail bin Tengku Seri Paduka Shahbandar Idris Shah, SSAP., SIMP.

4. Ketua Menjalankan Adat Istiadat

Yang Mulia Datuk Paduka Maharajalela
Yang Dihormat Orang Kaya Indera Segara Tengku Dato’ Haji Asmawi bin Tengku Haji Husin, DSAP., DIMP., SAP., AMN.

5. Timbalan Ketua Menjalankan Adat Istiadat

Yang Mulia Tengku Dato’ Ibrahim @ Alam Shah bin Tengku Abdul Ghani, DIMP.

6. Juruseru

Yang Hormat Dato’ Setia Segara
Dato' Haji Halim bin Haji Ibrahim, DSAP., DIMP., SMP., PKC.

7. Kerabat Pengiring (6 orang)

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Sri Haji Kamal Baharin ibni al-Marhum Sultan Abu Bakar, SSAP., DIMP. (adinda KDYMM Sultan Pahang yang memiliki bentuk fizikal seperti Almarhum Sultan Abu Bakar)

Yang Amat Mulia Left. Kol.Tengku Dato’ Sri Kamarulzaman Alhaj Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar SSAP., DSAP., SIMP., DIMP.

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Sulaiman ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, DIMP. (juga dikenali sebagai Tengku Simon)

Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Idris ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, DIMP.

Yang Mulia Tengku Dato’ Zulkifli bin Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Tengku Ahmad, DIMP. (cucuanda kepada Sultan Pahang ke-3, Almarhum Sultan Abdullah).

Yang Mulia Raja Dato’ Abu Bakar Shah bin Raja Dato’ Jalil Shah, DIMP. (anakanda kepada Yang Amat Mulia Tengku Sri Nila Utama Tengku Putri Hjh. Ainul Jamal binti Almarhum Sultan Abu Bakar)

8. Persembahan Nama-Nama Penerima Darjah Kebesaran Kepada KDYMM Tuanku Sultan

Yang Hormat Dato’ Setia Muda
Dato’ Haji Wan Jasmin bin Dato’ Haji Wan Badiuzzaman, DIMP.

9. Bacaan Doa Majlis Santapan dan Majlis Tengah Hari

Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang
Yang Hormat Dato’ Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, DSAP., DIMP., SMP., AMP., PKC.

10. Pemerhati dan Pengawas Pakaian Istiadat Hadirin (7 orang)

Ketua Polis Daerah Pekan
Yang Setia Supt. Yahaya bin Othman, AAP.

Yang Hormat Dato' Setia Penggawa
Yang Mulia Ungku Dato' Hakim bin Ungku Mohamad, DSAP., DIMP., JSD., PJK., PPS.

Yang Mulia Tengku Dato’ Ibrahim @ Alam Shah bin Tengku Abdul Ghani, DIMP.

Yang Hormat Tok Aria Rakna
Dato' Haji Abdul Murad bin Abdul Rani, DIMP., AAP., AMP., PJK.

Yang Mulia Tengku Rohsita binti Yang Amat Mulia Tengku Aria Di-Raja Tengku Dato’ Haji Abdul Hamid, AMP. (cucuanda kepada Sultan Pahang ke-3, Almarhum Sultan Abdullah).

Yang Hormat Tok Luar
Wan Nor Anua bin Wan Mansor, SMP., PKT., PJK.

Wakil Panglima Briged ke-4 Mekanis

11. Pemerhati dan Pengawas Hadirin Semasa Mengambil Gambar (5 orang)

Yang Mulia Tengku Dato’ Ibrahim @ Alam Shah bin Tengku Abdul Ghani, DIMP.

Yang Hormat Panglima Dalam
Mohd. Taib bin Abu Bakar, SMP., AMP.

Yang Hormat Tok Luar
Wan Nor Anua bin Wan Mansor, SMP., PKT., PJK.

Tuan Haji Zainal Azman bin Haji Bidin, AMP., PKT.
Ahli Jawatankuasa Jemaah Pangkuan DiRaja Negeri Pahang merangkap Penghulu Mukim Jenderak 1

Mohd. Malian bin Ismail
Penghulu Mukim Semantan Ulu dan Batu Talam

12. Pemerhati dan Pengawas Pawai-Pawai dan Jejawat (2 orang)

Yang Hormat Tok Muda Yang Mulia Tengku Haji Mohd. Mustaffa bin Tengku Dato' Haji Ibrahim, SMP., AMP.

Yang Hormat Tok Pentara Raja
Dato' Haji Ismail bin Marzuki, DIMP., SAP., AAP., AMP., PJK.

Yang Mulia Datuk Paduka Maharaja Lela Tengku Dato' Haji Asmawi Diisytihar Yang Dihormat Orang Kaya Indera Segara

Ku AsmawiYang Hormat Dato' Setia Perkasa (Orang Besar Berlapan Pahang), YM Tengku Dato' Haji Asmawi bin Tengku Haji Hussin, DSAP., DIMP., SAP., AMN. kini bergelar Yang Dihormat Orang Kaya Indera Segara. Gelaran Orang Besar Berempat (Four Noblemen of The Royal Court) ini dikurniakan kepada beliau selepas penyandangya, Tengku Dato' Haji Ibrahim bin Tengku Muhammad kembali ke Rahmatullah. Beliau yang juga merupakan Datuk Paduka Maharaja Lela (Lord Chamberlain of His Majesty's Household), adalah cucuanda kepada Almarhum Sultan Sir Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah (Sultan Pahang ke-3).

Kebiasaannya semasa adat istiadat rasmi di Istana Abu Bakar (IAB), selaku Ketua Menjalankan Adat Istiadat; beliau adalah antara pembesar istana yang paling sibuk menyelaraskan istiadat dalam istana. Namun memandangkan kini beliau bergelar Orang Besar Berempat, tidak dapat dipastikan bagaimana kedudukan beliau semasa istiadat Hari Kalung yang akan berlangsung di IAB pada 24 Oktober ini.

Dengan pengisytiharan ini, beliau secara tradisinya berkuasa di wilayah Temerloh bermula dari Kuala Tekoh ke Pasir Purun (Dr. W. Linehan, JMBRAS, vol. XIV, pt. II, 1936, hlm. 201).

Tahniah Dato’ Orang Kaya…