Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Monday, October 31, 2011

Force 136 : Markas Baru Rejimen 505 Askar Wataniah (Batalion Kedua) Pahang

Force 136Sultan Ahmad Shah (tengah) bergambar bersama anggota Askar Wataniah selepas merasmikan Kem Angkatan 136 Rejimen 505

Kem Angkatan 136 (Force 136) Rejimen 505 dekat Sungai Miang di Pekan telah diumumkan sebagai markas utama latihan tentera sukarela di Pahang. Kem bernilai kira-kira RM26.1 juta yang dibina di atas tanah seluas 4.46 hektar ini mampu melatih seramai 500 orang anggota dalam satu masa.

Difahamkan Kem Rejimen 505 di Taman Gelora, Kuantan akan tetap beroperasi walaupun markas utama rejimen itu telah memulakan latihan di Pekan.

Rahsia Sebalik Nama Force 136

British Special Operations Executive (SOE's) Force 136 merupakan nama samaran kepada operasi sulit tentera British di seluruh Asia Tenggara pada tahun 1941 – 1945. Pasukan ini yang ditubuhkan pada 16 Mac 1944 boleh dianggap sebagai pelopor kepada sejarah moden pasukan khas dan elit yang lain di Malaysia seperti Senoi Praaq (1956), Grup Gerak Khas (1965), VAT 69 (1969), Unit Tindakan Khas (1975) dan lain-lain yang tak dapat dikongsikan disini atas faktor kerahsiaan.

Semasa era Perang Dunia Kedua, pihak SOE telah menubuhkan beberapa pasukan sulit seperti ini di beberapa buah negara lain seperti di Timur Tengah (Force 133), Australia (Force 137), Benua Amerika (Force 266) dan Balkan (Force 399).

Force 136 dan Kesultanan Pahang

Pasukan 136 ini pernah mencatatkan sejarah besar di Pahang apabila mereka dengan beraninya menculik Almarhum Baginda Sultan Pahang Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Muadzam Shah ibni Almarhum al-Mua'adzam al-Mu'tasim Billah al-Sultan Abdullah. Peristwa berlaku pada 17 Ogos 1945 tatkala KDYMM Tuanku bersama dengan Dato’ Mahmud bin Mat berangkat dari Kuala Lipis menuju ke Pekan. Ketika kenderaan baginda tiba berhampiran Kuantan, baginda berhenti untuk mendengar siaran radio. Di situ, beberapa orang pasukan Force 136 yang lengkap bersenjata dan memakai pakaian seragam telah menculik baginda.

Seorang daripada ketua Force 136 itu mengatakan bahawa mereka menjalankan tindakan menurut perintah pihak berkuasa tertinggi tentera British South East Asia Command (SEAC) yang berpangkalan di Pulau Ceylon dengan memberi alasan bimbangkan keselamatan baginda dibunuh atau dicederakan tentera Jepun. Hal ini ada asasnya kerana baginda merupakan penerima anugerah Knight Grand Cross : The Most Distinguished Order of Saint Michael and Saint George (GCMG) dari Ratu England yang perlu dilindungi.

Baginda telah dibawa oleh pasukan Force 136 ke tempat perkhemahan mereka dalam hutan yang terletak 3 batu dari jalan raya. Hampir tiga minggu baginda tinggal dalam hutan dan bercampur dengan anggota Force 136 yang terdiri daripada 80 orang Cina yang mencari perlindungan di Pahang.

Pada 8 September 1945, barulah baginda sampai kembali ke Pekan dan disambut oleh ribuan rakyat jelata yang menyatakan kesyukuran atas keselamatan baginda (rujuk : "Ruler Who Was Kidnapped" oleh Harry Miller : The Straits Times, 29 Mei 1957).

Sudah pastinya nama Kem Angkatan 136 (Force 136) mencatat kenangan tersendiri buat KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah terhadap Almarhum Paduka Ayahanda tercinta…

Gempur Wira...

1 comment:

  1. sila lihat analisis saya terhadap Force 136 dalam buku saya terbaharu" Rona-Rona Pengembaraan Pahang Dari Tahun 1889-1952" serta juga buku saya yang akan dikeluarkan berjudul "Biografi Mejar (B)Abdillah " yang berkhidmata di AW 505.

    ReplyDelete