Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Wednesday, October 26, 2011

Yang Tersurat dan Tersirat

Ramai yang bertanya kepada saya, apa erti disebalik gambar dalam post saya semalam. Baiklah, ini semua berkaitan etika pemakaian keris. Keris yang dipakai bukanlah simbol semata-mata. Cara pemakaian keris menggambarkan maksud pemakainya.

Terdapat sebuah talibun (puisi lama terdiri daripada 4, 16, 20 baris dan bersajak diakhirnya) yang menggariskan tatacara pemakaian keris seperti berikut :

Kalau memakai keris
Keris tersisip sebelah kiri
Keris beradat berlembaga

Kalau memakai keris telentang
Itu tanda mencari lawan
Bagai ayam kokok berdentang
Bagai hulubalang masuk gelanggang
Elok dipakai ditengah hutan
Atau belayar tengah laut
Untuk menjaga jaga diri

Kalau keris sampir terlungkup
Keris tidak mencari lawan
Keris tidak mencari musuh
Yang dipakai dalam jamuan
Yang dipakai pergi bertandang

Berbelit punca wali
Berselubung sampai ke hulu
Tanda beradat berketurunan
Patut disebut keris terap

Keris yang dipakai hulunya mengadap tubuh atau terlangkup biasanya dipakai ketika berada dalam majlis sosial atau semasa mengadap Sultan. Ini kerana secara adat dan adab sebagai isyarat tidak mahu pergaduhan dan menunjukkan pemakainya tidak berniat jahat kerana posisi keris yang tidak bersedia untuk digunakan.

Adat KerisPerhatiakan kedudukan hulu keris yang berbeza antara KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah dengan Orang Kaya Indera Shahbandar Dato' Seri Haji Mohd. Najib

Tetapi keris apabila diterlentangkan maka dikatakan sebagai mencari lawan kerana posisi keris mudah dipegang dan dihunus untuk menikam. Dalam kes ini, perhatikan kedudukan sampir (warangka) dan hulu Paul Wayne Jones yang mengadap luar tubuh atau terlentang (gambar bawah). Secara adatnya, pemakaian keris sebegini adalah isyarat untuk bersiap sedia menghadapi musuh.

Ambassador

Sewajarnya Penghulu Balai melarang atau menegur pemakaian yang kurang beradab sebegini kerana ianya merupakan peraturan yang termaktub dalam Peraturan Adat Istiadat Raja-Raja Negeri Pahang, YAM Tengku Arif Bendahara, Tengku Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (1971), hlm. 31 yang mencatatkan :

Memakai Keris

Keris Ulu Menerungkup :
Untuk dipakai oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan sahaja

Keris Ulu Melintang Dengan Sampir Keluar :
Untuk dipakai oleh Kerabat-Kerabat dan Orang-Orang Besar Negeri

Keris Ulu Melintang & Sampirnya Bertutup Dengan Kain Sarung :
Untuk dipakai oleh orang ramai

Ambassador JJ

Mungkin Jones memakai cara sebegini sebagai membalas cara Dato' Sri Dr. Jamaluddin Jarjis yang juga telah menelentangkan kerisnya semasa bertemu Obama di The Oval Office, White House dahulu (gambar atas).

Namun menarik juga bila melihat Orang Kaya Indera Shahbandar Dato' Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abd. Razak juga sedang bersiap siaga dengan menelentangkan kerisnya semasa berbicara dengan Jones….

Just my 2 cents…

4 comments:

  1. orang melayu sekarang pun dah tak tau cara nak pakai pakaian dan berkeris. sekarang, boleh pun pakai sedondon dlm istana. dulu raja tak bagi.

    ReplyDelete
  2. mohon dibantu catatan tentang talibun cara berkeris yagn disebutkan. ada juga terbaca catatan tenas effendy. adakah sumber sejarah negeri pahang sendiri begitu?

    ReplyDelete
  3. Ya, setakat pengetahuan sejengkal hamba...

    Peraturan yang senada dengan talibun tersebut ada dicatatkan dalam buku Peraturan Adat Istiadat Raja-Raja Negeri Pahang, susunan YAM Tengku Arif Bendahara, Tengku Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (cetakan tahun 1971), hlm. 31, Bab Memakai Keris.

    ReplyDelete
  4. assalam.. mohon kebenaran untuk copy paste beberapa artikel ustaz untuk hebahan dan sebaran di blog saya..
    http://pohpalehburger.blogspot.com

    ReplyDelete