Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Saturday, October 29, 2011

Peristiwa Kg. Batu Hampar, Gajah Mati

Saya tertarik dengan berita di Sinar Harian hari ini :

MENTAKAB - Pengkaji sejarah diminta membuat kajian berkaitan penemuan 14 kubur di Kampung Batu Hampar, Gajah Mati, dekat sini yang dikatakan milik pahlawan ketika zaman penjajahan British.

Mantan Penghulu Mukim Mentakab, Johar Zabidin berkata, mengikut sejarah yang diperkatakan daripada nenek moyang terdahulu, kawasan perkuburan itu adalah tempat terakhir Datuk Bahaman tinggal bersama rakannya sebelum berhijrah ke Terengganu.

Terus terang, kisah yang berlaku di Batu Hampar tersebut bukanlah sebuah kisah yang selesa untuk kita gembar-gemburkan. Sebagai generasi baru, terlalu banyak perkara tersirat disebalik yang tersurat. Saya tampilkan di sini sedikit catatan untuk sama-sama dibuat pertimbangan.

Penentangan Inggeris di Pahang

Setelah dua tahun British campurtangan dalam pemerintahan di negeri Pahang, Orang-Orang Besar Pahang telah menjadi tidak puas hati kepada cara pemerintahan British itu. Antara yang tidak berpuas hati ialah Yang Hormat Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan Dato’ Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh (Tok Bahaman). Bermula Disember 1890, Tok Bahaman telah mula bersengketa dengan Majistret British (juga dikenali sebagai Pemungut dan Pengadil Daerah) di Temerloh ketika itu iaitu E.A Wise yang ingin membina sebuah Balai Polis di Mempateh.

Selepas itu, Dato' Bahaman berbalah pula dengan seorang lagi Majistret British di Temerloh iaitu J.F Owen berkaitan prosedur baru pengeluaran hasil hutan Semantan yang perlu mendapat kebenaran dan kelulusan pegawai British.

Dek kerana persengketaan ini, pegawai-pegawai British tersebut telah membuat aduan kepada Sir Hugh Charles Clifford (Hugh CliffordResiden British) yang berada di Pekan. Clifford (gambar sebelah) telah bertindak menulis sepucuk surat aduan kepada KDYMM Sultan Ahmad al-Muazzam Shah (memerintah 1863 – 1914) yang ketika itu bersemayam di Pulau Tawar, Jerantut berkenaan sikap penentangan Tok Bahaman ini. Akhirnya, Tok Bahaman telah dititahkan mengadap, dan setelah memberi penjelasan kepada baginda, KDYMM Tuanku telah menitahkan Tok Bahaman agar berjumpa sendiri dengan Clifford di Pekan bagi menerangkan duduk perkara sebenar. Namun atas dasar prinsip serta maruah, Tok Bahaman mengengkari titah ini...

Apabila KDYMM Tuanku mendapat maklum yang Tok Bahaman tidakTok Raja ke Pekan berjumpa Clifford, lantas baginda menitahkan Yang Di Hormat Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai (Tok Raja) Dato’ Wan Muhammad bin Wan Idris (gambar sebelah) supaya segera ke Semantan bagi mengambil Tok Bahaman untuk dibawa mengadap tuanku di Pulau Tawar. Ketika inilah Tok Bahaman dikatakan telah melarikan diri ke hutan dan disinilah bermulanya episod penentangan British di Pahang yang membawa kepada peristiwa di Batu Hampar ini (rujuk A History of Pahang, W. Linehan : dalam Journal of The Malayan / Malaysia Branch Royal Asiatic Society (JMBRAS), jld. XIV, bhg. II , Jun 1936, hlm. 140).

Rentetan dari tindakan melarikan diri Tok Bahaman ini, atas 'nasihat' Residen British; beliau telah dilucutkan serta merta gelaran Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan dan salinan surat perintah itu beserta cap mohor Sultan telah diedarkan di Mukim Semantan (rujuk A History of Pahang, W. Linehan : dalam JMBRAS, jld. XIV, bhg. II, Jun 1936, hlm. 137 - 138).

Tindakan ini diambil beberapa ketika selepas selesainya Majlis Mesyuarat Negeri ke-5 pada 8 Oktober 1891. Sejak dari itulah, mengikut Hikayat Pahang, namanya kembali mengikut nama asal iaitu Bahaman sahaja (rujuk Hikayat II).

Peristiwa Batu Hampar

Ada beberapa peristiwa yang membawa kepada pertempuran di Batu Hampar ini (rujuk A History of Pahang, W. Linehan : dalam JMBRAS, jld. XIV, bhg. II, Jun 1936, hlm. 140 - 141) :

1. Peristiwa serang hendap terhadap C.E.M Desborough yang merupakan Pemangku Pemungut Cukai Tanah di Mukim Semantan serta seorang inspektor lombong beserta 15 orang mata-mata bangsa Sikh dan 6 orang mata-mata bangsa Melayu. Serang hendap berlaku pada 16 Disember 1891 ketika rombongan itu sedang mudik Sungai Semantan menuju ke Lubuk Terua.

2. Serangan terhadap balai polis Lubuk Terua.

3. Menawan rumah stor kepunyaan syarikat lombong di Raub dan Bentong bagi tujuan mengambil stok makanan. Ketika inilah Tok Bahaman mengisytiharkan secara rasmi penentangan bersenjata terhadap British. Tatkala itu pengikut Tok Bahaman telah meningkat kepada 600 orang (sebelumnya hanya 100 orang sahaja) yang terdiri daripada orang-orang Melayu dari Semantan, Bentong dan 100 orang Asli.

4. Serangan di Temerloh yang berhasil mendapat empat pucuk senapang milik polis. Pada ketika itu, Tok Bahaman dan pengikutnya telah berjaya menguasai kawasan di Sungai Semantan hingga ke Temerloh.

Natijah

Kesan dari rentetan peristiwa ini, pada 21 Disember 1891; Sir John Pickersgill Rodger yang merupakan Pemangku Residen British di Selangor telah bergerak ke Raub bersama-sama dengan Kapten H.C. Syers (Penguasa Polis Selangor). Di sana, mereka telah mengadakan perbincangan dengan Clifford, Wise, Inspektor Fleming (Ketua Polis Hulu Pahang) beserta 25 orang mata-mata Sikh.

Kata sepakat dicapai, mereka lantas mengadap KDYMM Sultan Ahmad memohon kerjasama istana untuk berlawan dengan kumpulan Tok Bahaman.

Pada 29 Disember 1891, Clifford bersama-sama dengan Yang Mulia Tengku Besar Pahang Tengku Mahmud Ibni Sultan Ahmad al-Muazzam Shah dan pasukan seramai 60 orang mata-mata Sikh dan 200 orang Melayu; telah bergerak ke Semantan melawan Tok Bahaman. Balai polis di sekitar Semantan seperti di Bentong, Teras, Raub, Kuala Lipis dan Kuala Tembeling telah dipertingkatkan anggotanya.

Pertempuran Sebelum Batu Hampar

1. Kubu pertama Tok Bahaman telah ditinggalkan kosong. Pasukan Clifford bergerak pula ke kubu kedua di Kg. Kelubi. Berlaku pertempuran, namun Tok Bahaman berjaya mematahkan serangan. Pasukan Clifford berundur semula ke Temerloh (rujuk A History of Pahang, W. Linehan : dalam JMBRAS, jld. XIV, bhg. II, Jun 1936, hlm. 141 - 142).

2. Tanggal 14 Januari 1892, KDYMM Sultan Ahmad berangkat dari Pulau Tawar ke Kuala Semantan mengetuai sendiri angkatan kerajaan melawan pihak yang menentang British.

3. 15 Januari 1892, KDYMM Sultan Ahmad bersama-sama dengan J.P Rodger, Yang Mulia Tengku Muda Pahang Tengku Ali Ibni Sultan Ahmad al-Muazzam Shah dan seramai 1,000 orang pasukan telah tiba di lembahan Sungai Semantan. Hugh Clifford ketika itu berkawal di Kuala Lipis sementara Yang Mulia Tengku Besar Pahang Tengku Mahmud sedang gering di Pekan.

4. Kubu pertama Tok Bahaman di Batu Hampar telah berjaya dihancurkan oleh pasukan Sultan Ahmad. Kubu yang diketuai oleh Tok Muda Bidin (Kg. Teris) itu binasa dek kerana pasukan Tok Bahaman tidak tergamak menyerang balas serangan KDYMM Sultan.

5. Serangan seterusnya dilakukan terhadap kubu Tok Bahaman di Semantan. Selepas hampir setengah bulan melancarkan serangan, sebanyak 12 kubu Tok Bahaman telah dihancurkan seluruhnya.

Serangan Balas

1. Pada bulan April atau awal bulan Mei 1892, Tok Bahaman yang selama ini menyembunyikan diri di hutan telah menyerang semula Batu Hampar dan Lubuk Terua. Pasukan Sultan Pahang yang mengawal kubu telah bertindak melarikan diri.

2. Tanggal 8 Mei 1892, Yang Mulia Tengku Muda Pahang Tengku Ali dan Yang Hormat Orang Kaya Indera Gajah Pahang Dato’ Imam Rasu bin Shahrum (Tok Gajah) dengan pasukan seramai 300 orang telah bertempur dengan pasukan Tok Bahaman di Batu Hampar dan salah seorang anak Tok Bahaman terbunuh di situ.

3. Seterusnya, gerakan diteruskan ke Lubuk Terua dan tatkala itu pasukan Sultan telah bergabung dengan pasukan orang Melayu yang dibawa oleh Wise (kini Pegawai daerah Temerloh yang baru). Lubuk Terua ditawan, dan Tok Bahaman sekali lagi berjaya melarikan diri.

4. Selepas batu Hampar dan Lubuk Terua berjaya ditawan; Haji Muhammad Nor bin Haji Abd. Hamid (Pegawai Khas KDYMM Sultan Pahang), Yang Hormat Imam Perang Sanggang Imam Teh bin Qadhi Abu Bakar, Yang Hormat Orang kaya Indera Segara Temerloh, Tok Umbi, Pahlawan Lawi, Tok Jenid Chenor, Wan Ahmad Tembeling dan Panglima Raja Ya’akob telah membawa satu pasukan besar bagi mengejar para pengikut Tok Bahaman yang lari dalam hutan antara Semantan hinggalah ke Lipis.

5. Pertengahan bulan Jun 1892, barulah pasukan kerajaan ini selesai menamatkan operasi memburu pengikut-pengikut Tok Bahaman di hutan tersebut.

Renung-renungkan…

5 comments:

  1. inilah peristiwa yang membawa Hugh Clifford mengejar Pahlawan Pahang hingga keTerengganu...segala analisis telah saya tulis dalam buku saya yang terbaharu " Rona-Rona Pengembaraan, Peristwa dan Pembangunan Pahang Dari Tahun 1889-1952".

    ReplyDelete
  2. melayu jugak yang membunuh melayu. berketurunan macam ni...

    ReplyDelete
  3. To steven: What are you implying with your statement? Unfair to say melayu jugak yg bunuh melayu.... Study history.... Chinese also killed Chinese (take eg Chinese Civil War 1927-1950).... whitemen also killed and fight among themselves... else there's no Civil War...
    It's human thing... study and think before you say

    ReplyDelete
  4. Kampung sy ni..tp sy x pernah pergi ke kubur tu yg sekarang dikenali sebagai kubur pahlawan medan..reason x pergi sbb sy ni perempuan..xde org nk ajak pergi..lagipun nak jalab nk ke lokasi adventure skit..masuk ke dalam hutan..teringin nyer nak pergi....

    ReplyDelete
  5. Kampung sy ni..tp sy x pernah pergi ke kubur tu yg sekarang dikenali sebagai kubur pahlawan medan..reason x pergi sbb sy ni perempuan..xde org nk ajak pergi..lagipun nak jalab nk ke lokasi adventure skit..masuk ke dalam hutan..teringin nyer nak pergi....

    ReplyDelete