“Saya minta pihak yang mendakwa pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) layak digelar pahlawan kemukakan bukti sebelum berani berkata demikian…” (petikan akhbar harian)
Apakah yang dimaksudkan dengan istilah Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM)? Saya tampilkan disini catatan Chin Kee Onn (1946), Malaya Upside Down dalam lampiran A dan catatan Harry Miller (1954), The Communist Menace In Malaya, hlm. 170.
Secara umumnya, kompeni adalah satu unit di dalam sesebuah pasukan tentera. Kompeni dipecahkan menjadi 3 ataupun 4 platun. Sebaliknya, 3 ataupun 4 Kompeni digabungkan menjadi satu batalion. Lazimnya, satu kompeni dianggotai oleh 110 hingga 200 orang anggota, tertakluk kepada peranan dan penyusunan serta kelengkapan kompeni tersebut disusun. Bilangan anggota berubah mengikut tugasan dan formasi tentera yang terlibat. Satu Kompeni biasanya diperintah oleh seorang Mejar, dan kadangkala oleh seorang Kapten.
Dalam konteks Kompeni Pasukan Ke-4 PKM pula, segalanya bermula pada bulan Mac 1943, yang mana ketika itu ramai orang Cina yang terdiri dari pimpinan Parti Komunis Malaya di Singapura telah dibunuh oleh tentera Jepun. Dari sana, serpihan anggota-anggota komunis ini telah menyusup masuk ke hutan-hutan Semenanjung Tanah Melayu dan seterusnya menubuhkan pula Malayan Peoples' Anti-Japanese Army (MPAJA) dan mendapat latihan serta bantuan British. Sejak tahun 1941 lagi, British telah melatih pemuda komunis di Singapura menentang Jepun. Pusat latihan mereka terletak di No. 101 Special Training School dan antara jurulatihnya ialah Lt. Kol. Frederick Spencer Chapman (gambar atas).
Ketika anggota pasukan MPAJA ini dihantar ke hutan, mereka telah dibahagikan kepada beberapa pasukan :
1. Pasukan 1 di Selangor
2. Pasukan 2 di Negeri Sembilan
3. Pasukan 3 di Johor Utara
4. Pasukan 4 di Johor Selatan (Kompeni Pasukan Ke-4 PKM)
5. Pasukan 5 di Perak
6. Pasukan 7 di Terengganu dan Kelantan
7. Pasukan 8 di Kedah
Dalam konteks Pahang, pasukan MPAJA yang menjalankan perang gerila menentang Jepun adalah Pasukan Yang Ke-6 dan markasnya ketika itu adalah di daerah yang bersempadanan dengan jalan Bentong – Karak – Manchis.
Apabila tentera Jepun menyerah kalah, pasukan-pasukan ini tetap dikekalkan bagi memperjuangkan cita-cita bagi penubuhan Republik Rakyat Malaya berfahaman komunis pula (Harry Miller, The Communist Menace In Malaya, hlm. 43).
No comments:
Post a Comment