Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Thursday, September 6, 2012

Telok Chempedak: The Vanishing Landscapes

Kiosk
Hari ini akhbar Sinar Harian menerusi ruangan Fokus Sentral (hlm. P3) telah melaporkan berkenaan rungutan para pengunjung pantai Telok Chempedak berkaitan kawasan peranginan itu yang kini semakin sesak dan padat dengan bangunan.

Hamba mengucapkan tahniah atas keprihatinan warga Kuantan serta pengunjungnya yang peka dengan perubahan yang berlaku. Sebenarnya kiosk yang terbina itu pernah mendapat perhatian akhbar-akhbar berbahasa Cina selepas ianya didapati tidak memenuhi standard yang ditetapkan. Surat arahan pemberhentian kerja oleh MPK juga ada disiarkan, namun kiosk tersebut tetap jua berdiri megah dan beroperasi pada penghujung Ramadhan lalu. Kini ada 5 buah kedai yang beroperasi di situ iaitu 7 Eleven, Tutti Frutti, Chatime, Fruice dan Hot & Roll.

The Vanishing Landscape of Telok Chempedak
TC

Kehilangan pemandangan menarik di Telok Chempedak sebenarnya merupakan suatu hal yang tidak dapat dielakkan dan ianya bukanlah sesuatu yang baru. Hamba meminjam istilah “The Vanishing Landscape” yang digunakan oleh saudara Chan Meng Sing dalam bukunya Early Kuantan in Pictures 1903 – 1963 halaman 263 - 273.

Sejak zaman berzaman lagi, Telok Chempedak terpaksa akur dengan perubahan masa serta ketamakan manusia. Hamba lampirkan beberapa keping gambar yang merupakan koleksi saudara Chan Meng Sing untuk sama-sama kita merentas terowong masa ke zaman-zaman indah pantai Telok Chempedak.
TC 1930
Telok Chempedak tahun 1930. Ketika ini jalan darat masih belum ada. Pelancong perlu menaiki bot untuk ke sana
TC 1954
Telok Chempedak tahun 1954. Ini merupakan kali pertama Telok Chempedak boleh ditembusi menerusi jalan darat (seperti sekarang)
TC 1973
Telok Chempedak tahun 1973. Penduduk kampung menggunakan pukat tarik untuk mendapatkan ikan
TC Pukat Tarik 1973
Telok Chempedak tahun 1973. Aktiviti menangkap ikan masih rancak ketika ini
The Vanishing Landscape of Kuantan
Sebenarnya kehilangan tempat-tempat menarik di Kuantan telah berlaku sejak berpuluh tahun lagi. Telok Chempedak hanyalah sebahagian kecil dari mangsa terbaru manusia.

Suatu ketika dulu, Kuantan bukan setakat memiliki Telok Chempedak bahkan ada beberapa lagi pantai yang amat indah. Ada yang masih terjaga, ada yang terbiar dan ada yang hilang terus dari pandangan mata.

Pantai Gebeng

Antara yang hilang terus dari pandangan mata adalah Pantai Gebeng. Suatu masa dulu, ianya merupakan antara pantai terindah di Kuantan. Selain pantainya yang memanjang, Gebeng juga memiliki teluk yang sedikit kecil dari Telok Chempedak. Namun sayang, kawasan ini terpaksa dikorbankan bagi memberi ruang kepada pembinaan Markas Wilayah Laut 1 dan juga Pelabuhan Kuantan.
Teluk Gebeng 1974
Telok Gebeng tahun 1974
Pantai Gebeng 1975
Pantai Gebeng tahun 1975
Pantai Tanjong Tembeling
Antara yang terbiar, adalah pantai ini. Walaupun ia berkembar dengan Telok Chempedak dan berdekatan dengan Taman Teruntum, namun amat kurang dikunjungi. Lokasi ini sekarang menjadi kegemaran Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang memandangkan ramai anak muda yang belum bernikah sering duduk berdua-duaan dalam kenderaan.
Tanjong Tembeling
Pantai Tanjong Tembeling tahun 1924
Pantai Telok Sisek
Lokasi ini berada dalam kategori terjaga dan juga terbiar. Suatu masa dahulu, penduduk Kuantan amat menggemari pantai Telok Sisek. Kini jika kita berkunjung ke sana, seakan tiada keinginan untuk mandi memandangkan pantainya agak kotor. Hamba berpandangan bahawa pihak berkenaan lebih menumpukan kepada pembangunan rekreasi Taman Gelora (nama baru Pantai Telok Sisek yang diberi pada tahun 1980) berbanding pantai Telok Sisek itu sendiri.
Telok Sisek-1
Pantai Telok Sisek tahun 1930 menjadi lokasi berkelah dan berenang warga Kuantan
Telok Sisek 2
Pantai Telok Sisek tahun 1932. Kelihatan sebuah pondok tempat pengunjung menukar pakaian.
Taman Gelora
Pantai Telok Sisek tahun 1932. Lokasi ini sekarang berhadapan dengan kampus IKIP 3

No comments:

Post a Comment