The Royal Pahang Classic (kejohanan 14 Gol) kini kembali ke gelanggang Royal Pahang Polo Club, Pekan mulai 11 hingga 21 April ini. Tujuh pasukan terhebat dijangka menghangatkan pertarungan.
Juara Thai Open, La Sarita bakal menurunkan buat julung-julung kalinya di Malaysia gabungan mantap bapa dan anak yang merupakan juara tiga kali Argentina Open iaitu Benjamin Araya Senior (7 gol) dan anak sulungnya Benjamin Araya Junior (6).
Pasukan Thai Polo pula akan menampilkan Dato’ Harald Link bergandingan dengan peledak 6 gol setakat ini iaitu Carlos Pando dan Laplacette Raul.
Seperti Thai Polo, pasukan Ranhill yang diketuai tokoh korporat Tan Sri Hamdan Mohammad juga merupakan pesaing yang kuat kerana mereka juga menurunkan sebuah pasukan dengan tiga orang pemain profesional. Peledak 6 gol, Horatio Etcheverry (6) yang beraksi cemerlang semasa kejohanan di Thailand, telah dijemput kembali untuk bermain dengan pasukan Ranhill. Simran Shergill pula yang berpengalaman bermain selama 1 musim di Malaysia akan digandingkan dengan bintang Piala Dunia Malaysia iaitu Huzaini Yunos.
Atas kertas, pasukan Jogo Polo menerusi Quzier Ambak pula nampaknya kelihatan begitu kuat. Dengan gandingan dua Pablo iaitu Pablo Dorignac (6) dan juga Pablo Jauretche (7), pasukan ini dilihat mampu mencipta kejutan. Berdasarkan rekod, Dorignac pernah beraksi cemerlang dengan pasukan Head Hunters semasa kejohanan Terengganu Open pada Mei 2011 serta pernah menjadi juara Thai Open semasa bersama La Sarita di Terbuka Thailand pada Januari 2012. Seorang lagi ahli pasukan ini adalah Ali Mazlan (Tanamera).
BRDB-Ibil pula akan menurunkan pasukan yang kesemuanya terdiri daripada pemain-pemain tempatan. Penaung Bersama pasukan, Dato’ Mohd. Zekri Ibrahim akan turun bersama-sama dengan Saladin Mazlan, Shaik Reismann dan Edham Shaharuddin. Namun terdapat khabar angin mengatakan mereka akan turut disertai oleh FIP Horse Master semasa kejohanan FIP Polo World Cup Zone D Play-offs 2011, Bargallo Gines.
Dalam pada itu; Penaja Bersama pasukan BRDB-Ibil, Dato’ Mohamed Moiz dilaporkan menyertai pasukan Royal Pahang. Presiden Royal Pahang Club, KDYTM Tengku Abdullah tidak akan bermain pada musim ini, dan telah menitahkan Dato’ Mohamed menggantikan baginda bersama-sama dengan YAM Tengku Muhammad (putera Tengku Mahkota), Gaston Moore (7) dan Tomas Gandara (6).
Royal Pahang juga akan menurunkan pasukan keduanya, Kota SAS yang diketuai oleh YAM Tengku Amir bergandingan dengan Tengku Shazril (3), Manuel Crespo (7) dan Alvaro Ara (4).
Royal Malaysian Polo Association akan menggunakan khidmat pengadil profesional, Juan Jose Diaz Alberdi dan juga Scortichinni Nicholas. Kedua-duanya berpengalaman mengendalikan kejohanan 40-Goal Argentine Open dan juga FIP Polo World Cup Zone D Play-offs pada bulan Jun 2011 yang lalu.
Let’s ride-off…
No comments:
Post a Comment