Tanjak, tengkolok atau destar adalah salah satu busana pada bahagian kepala lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat bangsa Melayu. Tanjak pada kebiasaanya akan dipadankan dengan bengkung, sampin dan baju Melayu beserta keris selit bagi pakaian lelaki Melayu.
Secara ringkasnya, perbezaan antara tengkolok, destar dan tanjak ialah :
Tengkolok : Lilitannya meruncing ke atas, lilitan berlapis (tebal), kainnya bermutu.
Destar : Lilitannya rendah dan nipis.
Tanjak : Lilitannya macam tengkolok, tetapi lebih ringkas dan nipis.
Tanjak Pahang
Di Negeri Pahang Darul Makmur terdapat beberapa tanjak yang pernah dipakai oleh KeBawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang. Berdasarkan sejarah, setiap KeBawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang mempunyai corak ikatan kegemaran menurut citarasa masing-masing.
Sebagai contoh, KDYMM Almarhum Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah Ibni Almarhum Bendahara Ali (1882 -1914) amat berkenan dengan ikatan Sunda Menggamit. KDYMM Almarhum Sultan Mahmud Ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (1914 -1917) pula berkenan dengan ikatan Bugis Tak Balik. Bagi KDYMM Almarhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (1917 - 1932), ikatan Lang Menyunsung Angin adalah yang paling digemari. Ikatan jenis Sekelungsung Bunga pula amat digemari oleh Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah.
Selain tanjak-tanjak tersebut, terdapat juga beberapa jenis ikatan tanjak lagi yang turut dipakai di Pahang. Saya kongsikan disini koleksi gambar dan keterangan (dengan beberapa penambahan dan pembetulan) yang dihimpunkan oleh saudara Khairul Annuar Zainuddin menerusi blognya :
http://destarwarisanmalaysia.blogspot.com/2011/01/destar-pahang-darul-makmur.html
Tanjak Lang Menyungsung Angin
Tanjak Peribadi KDYMM Sultan dan KDYTM Tengku Mahkota Pahang (Lang Menyunsung Angin)
Tanjak ini diperbuat daripada kain songket yang berwarna natarnya biru kundang, bersulam benang kencana. Ikatan ini telah menjadi pakaian rasmi yang dipakai oleh KDYMM Sultan Pahang pada masa sekarang. Dari segi nama, ia sama dengan Tengkolok Lang Menyungsung Angin dari Perak, namun tanjak Pahang agak berbeza dari segi reka bentuknya yang melonjong ke atas.
Tanjak Raja Bersiram
Tanjak yang diperbuat daripada kain songket berwarna putih ini diberi nama Raja Bersiram. Secara tradisinya tanjak jenis ini hanya dipakai oleh Raja yang memerintah. Putera atau cucunda baginda tidak boleh memakai tanjak jenis ini. Namun berdasarkan catatan oleh Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar, tanjak jenis ini pernah juga dipakai oleh Mat Kilau (Peraturan Adat Istiadat Raja-Raja Negeri Pahang, 1971, hlm. 29).
Secara tradisinya, tanjak ini dipakai sebaik sahaja Raja berangkat naik daripada Istiadat Bersiram, sama ada sesudah selesai istiadat perkahwinan diraja ataupun pertabalan. Ia menandakan Raja tersebut telah selamat bersiram. Bentuk daunnya agak melonjong kehadapan dan terdapat dua pucuk tanjak yang disebut gading.
Tanjak Cogan Daun Kopi
Cogan Daun Kopi ialah nama khas bagi bentuk tanjak yang dipakai oleh KDYMM Sultan Pahang. Warna rasminya adalah kuning muda tetapi baginda selalunya memakai warna-warna latar yang gelap. Bentuk tanjak Pahang ini mudah dikenali daripada bentuknya yang segi tiga dan diikat secara menegak di atas dahi dan membiarkan bahagian kepala yang lain terdedah. Selain itu reka bentuk bunga atau daun itu terletak disebelah depan tanjak tersebut.
Tanjak Sekelungsung Bunga
Ikatan jenis ini antara yang digemari oleh para pembesar pada era pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah. Kebiasaannya ikatan ini khusus dipakai oleh kerabat diraja dan Orang Besar Berempat Negeri Pahang sahaja. Walaupun bentuknya agak ringkas dan bahagian daunnya melonjong ke atas dan bahagian bawahnya mengembang seperti sebuah sekelungsung bunga, tetapi terdapat perbezaan antara tanjak yang dipakai oleh kerabat diraja dengan orang biasa, khususnya dari sudut posisi daun dan pucuk tanjak yang dipanggil sula.
Dari sudut warna, ianya berbeza mengikut status dan kedudukan. Tanjak berwarna kuning adalah khusus untuk Sultan, hitam untuk Tengku Arif Bendahara, biru untuk Tengku Arif Temenggong dan merah untuk Panglima Perang serta Tengku Panglima Besar Pahang.
Tanjak Getam Budu
Tanjak ini adalah pakaian untuk Orang-Orang Besar di Istana Pahang pada satu masa dahulu. Bentuk tanjak ini menutup seluruh bahagian kepala pemakainya yang membawa maksud “menyimpan segala rahsia Raja”. Warna hijau adalah warna yang dikhaskan untuk Dato’-Dato’ dan Orang-Orang Besar Bergelar.
Aturan Pemakaian Tanjak
Menurut adat istiadat Pahang, majlis yang memerlukan pemakaian tanjak adalah semasa Istiadat DiRaja, Istiadat di Balai Rong Seri, Istiadat di Balai dan semasa Meletak Kerja. Bagi Orang-Orang Besar Berempat, pemakaian adalah dengan cara kedudukan hujung tanjak tepat dengan hidung iaitu bersetentang dengan hidung. Bagi rakyat jelata, pemakainya tidak boleh meletak tepat dengan hidung dan hendaklah serong ke kiri iaitu cuping tanjak sebaris tegak dengan mata kiri. Mana-mana majlis yang dihadiri oleh Sultan yang mana baginda memakai selengkapnya pakaian istiadat, maka tanjak hendaklah dipakai lengkap dengan berkeris (Peraturan Adat Istiadat Raja-Raja Negeri Pahang, 1971, hlm. 29).
Assalamualaikum Ustaz Badli Shah... Boleh saya dapatkan penjelasan berkenaan tatacara mengangkat sembah kepada KDYMM Sultan dan KDYTM TG. Mahkota, beserta gambar [jika ada]... Sekian, terima kasih.. (Seruling Senja)
ReplyDelete