Saya pencinta warisan...Saya adalah warisan, dan warisan adalah saya. Walaupun tiada locus standi dari sudut akademik dalam bidang sejarah atau warisan, saya tetap mencintai warisan. Bagaimana mungkin saya tidak mencintai warisan, kerana saya juga adalah warisan yang sedang hidup...Saya adalah warisan nenek moyang yang dikatakan akarnya menjalar hingga ke Pagar Ruyung. Anak-anak saya di rumah juga sebahagian warisan saya. Kata-kata ini jugalah pernah saya ungkapkan di hadapan warga Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) semasa sesi pidato di Balai Seni Lukis Negara pada majlis sambutan Ma'al Hijrah KeKKWa 2 tahun yang lalu.
Bersempena memuliakan sambutan Hari Keputeraan ke-80 KDYMM Sultan Pahang, selama 2 hari saya bersama warga cendekiawan, sarjana dan intelektual sejarah serta warisan dalam Program Jejak Warisan Negeri Pahang : Wacana Mengingati Sejarah Ke Arah Kecemerlangan Masa Depan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) anjuran bersama UMP dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK). Hari ini merupakan hari terakhir wacana dan KDYMM Sultan Pahang berkenan menyempurnakan perasmian penutup.
Perjalanan program penutup hari ini memang baik, ditambah dengan alunan gamelan lagu Timang Burung, suasananya terasa amat mistikal. Namun alangkah baik jika dapat didatangkan sendiri Kumpulan Muzik Gamelan Muzium Pahang untuk mempersembahkan lagi alunan Perang Manggung, Antawada atau Gambus Menari. Anak-anak muda juga dapatlah melihat sendiri apa itu Demong, Saron, Kenong dan Gambang (kebetulan lokasi UMP pun di Gambang).
Kali pertama mendengar program ini, saya tersenyum sendirian. Kotak fikiran saya berputar memikirkan apa kaitannya UMP sebagai sebuah pusat pendidikan berasaskan kejuruteraan yang sinonim dengan bolts and nuts (hatta motonya pun ialah Engineering, Technology, Creativity) boleh terlibat dalam hal warisan dan pensejarahan?
Bila tiba di UMP, barulah saya mengerti...
Program ini secara asasnya merupakan inisiatif mulia jawatankuasa penyelidikan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan UMP dibawah teraju Dekannya, Prof. Dr. Abd. Jalil bin Borham yang telah melakukan pelbagai kajian berkaitan warisan Pahang sejak Januari 2010 lagi seperti kajian mengenai dialek rakyat Pahang, kajian tokoh pahlawan dan pemimpin, kajian berkaitan masyarakat orang Asli, kajian tentang rumah rakit dan juga sejarah perdagangan di Pahang. Hasilnya, bermula Ogos yang lalu, kajian-kajian kumpulan penyelidik tersebut telah dimasukkan sebagai salah satu kluster kumpulan fokus penyelidikan di bawah Pusat Penyelidikan UMP.
Namun selain itu rupa-rupanya matlamat teragung wacana ini adalah bagi mencari jalan bagaimana untuk meletakkan Pahang diktiraf sebagai peta warisan dunia oleh Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Namun selain itu rupa-rupanya matlamat teragung wacana ini adalah bagi mencari jalan bagaimana untuk meletakkan Pahang diktiraf sebagai peta warisan dunia oleh Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pada hemat saya, usaha ini perlu dibantu oleh setiap warga yang cintakan warisan dan budaya khususnya dikalangan anak-anak negeri Pahang. Namun, saya tidak dapat menyembunyikan rasa khuatir kerana umumnya selama ini pemahaman terhadap warisan majoritinya lebih menjurus kepada kewujudan bangunan lama tinggalan penjajah kolonial. Lihat sahaja Melaka dan Pulau Pinang, yang berhasil mendapat pengiktirafan UNESCO berkeMUNGKINan kerana memiliki bangunan warisan tinggalan penjajah kolonial yang banyak.
Usaha untuk mengangkat Kuala Lipis kerana kononnya memiliki beberapa bangunan tinggalan penjajah kolonial, dilihat seakan-akan menurut jejak langkah Melaka dan Pulau Pinang. Adakah hanya kerana kewujudan kira-kira 14 bangunan warisan kolonial di Lipis seperti bangunan pentadbiran daerah (1919), Sekolah Menengah Clifford (1913), pejabat pos (1910) dan lain-lain; maka kita terus mengundang UNESCO memetakan warisan kolonial ini? Ke mana ingin kita humbankan berpuluh lagi ciri-ciri warisan di Pahang sama ada dari sudut senibina Melayu, permainan rakyat, kraftangan, muzik tradisional dan lagu rakyat Pahang?
Secara sinikal, mungkin ada yang berpendapat elemen-elemen yang saya nyatakan di atas agak sukar diberi penilaian oleh ahli-ahli International Council of Monument and Sites (ICOMOS) dan World Heritage Bureu (WHB) kerana tidak mewakili kemahakaryaan (masterpiece) yang genius. Namun perlu diingat, UNESCO tidak hanya menilai nilai estetika Tapak Warisan Budaya sahaja, tetapi Tapak Warisan Tabi'ie juga boleh dipertaruhkan untuk dinilai. Setakat ini diseluruh dunia, terdapat 19 Tapak Warisan Tabi'ie yang disenaraikan seperti Sanctuary Bersejarah Machu Picchu di Peru dan Laponia di Sweden.
Pahang dan Tapak Warisan Tabi'ie Dunia
Saya tertarik dengan kertas kerja Prof. Emeritus Dato' Dr. Nik Hassan Suhaimi bin Nik Abd. Rahman (gambar kanan) yang merupakan Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau menyarankan agar hutan Lipur Gunung Senyum di daerah Temerloh diangkat sebagai Tapak Warisan Tabi'ie Dunia. Ini kerana, Gunung Senyum merupakan warisan pra-sejarah yang selama ini kita terlepas pandang. Sebagai mantan Qadhi daerah Temerloh, saya bersetuju dengan pendapat beliau tersebut. Sebenarnya jarang orang mengetahui bahawa Kompleks Hutan Lipur Gunung Senyum ini pada hakikatnya terdiri daripada 3 buah bukit iaitu Gunung Jebak Puyuh, Gunung Senyum dan Gua Ular. Umumnya Gunung Senyum memang masyhur dengan gua-guanya seperti Gua Tok Long, Gua Kolam Tujuh, Gua Angin, Gua Terang Bulan, Gua Taman 1, Gua Taman 2, Gua Gajah, Gua Silat, Gua Tali Air, Gua Hidang, Gua Sara, Gua Danau Impian, Gua Gudang, Gua Kelawar, Gua Piala, Gua Tapa, Gua Nisan dan Gua Kambing. Dapatan terkini, jumlah gua yang ditemui dilihat semakin bertambah hasil dari kajian arkeologi. Misalnya di Gunung Jebak Puyoh sahaja, terdapat banyak gua-gua yang telah dan belum diterokai antaranya Gua Rangkak, Gua Terowong, Gua Kapal, Gua Mayat, Gua Candi, Gua Straw dan Gua Kerang. Beberapa buah gua lagi belum dapat diterokai akibat kepayahan untuk menerokainya.Selain itu, ketiga-tiga bukit ini iaitu Gunung Jebak Puyuh, Gunung Senyum dan Gua Ular yang terbentuk daripada batu kapur ini didapati telah lahir sejak 200 - 250 juta tahun dahulu. Batu kapurnya begitu kaya dengan tinggalan hidupan kuno (fosil) dan dipercayai keseluruhan kawasan ini dulunya merupakan laut kerana terdapat jenis kehidupan seperti foraminifera, algae bivalvia dan lain-lain.
Kedudukannya yang terdiri dari Kompleks Bukit Choras dan Bukit Sagu di sebelah Timur, Kompleks Kota Gelanggi di tengah, Kompleks Gua Kecil dan Cinta Manis di sebelah Barat dan Bukit Batu Kapur Lembah Sg. Tembeling di pedalaman sewajarnya diangkat sebagai Peta Warisan Dunia UNESCO - bukannya bangunan warisan penjajah kolonial!
No comments:
Post a Comment