Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Saturday, July 30, 2011

Selamat Hari Ulangtahun Keputeraan ke-52 Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang

Birthday TM

Kenali KDYTM Tengku Mahkota Pahang

Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Abdullah al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Mustain Billah diputerakan pada hari Khamis, tanggal 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Bandar Di Raja Pekan.

Baginda merupakan anakanda keempat pasangan KDYMM Sultan Pahang dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Marhumah Tengku Ampuan Afzan binti Al-Marhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad. Susunan paduka kekanda KDYTM Tengku Mahkota Pahang adalah seperti berikut :

Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang, Tengku Tan Sri Hajjah Meriam

Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Dato' Hajjah Muhaini

Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Dato' Hajjah Aishah

Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah

Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman

Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang, Tengku Dato' Hajjah Nong Fatimah

Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang, Tengku Dato' Hajjah Shahariah

Baginda Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St. Thomas, Kuantan (1970-1971) dan di Sekolah Menengah St. Thomas, Kuantan (1972-1974). Semasa berusia 16 tahun, baginda telah dihantar menyambung pendidikannya di Aldenham School, Hertfordshire (1975-1978) dan kemudiannya di Davies Laing and Dick (DLD) College of London (1978-1979).

Pertabalan TM

Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Pahang pada 1 Julai 1975 (semasa usia baginda baru mencecah 15 tahun) dan upacara pertabalannya telah berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan pada 23 Oktober 1977. Seterusnya pada 28 April 1979, baginda telah ditabalkan sebagai Pemangku Raja Pahang selepas ayahandanya memikul tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-7 (29 Mac 1979 – 25 April 1984). Pada ketika ini jugalah baginda mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, England (1979-1980). Di sinilah baginda berpeluang bergaul mesra dan berkenalan dengan bakal pemimpin dari seluruh dunia.

Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang telah ditauliahkan oleh Ratu England, Queen Elizabeth II sebagai Leftenan Muda pada tahun 1980. Baginda kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Kehormat dalam Kor Kavalri Diraja (sekarang dikenali sebagai Kor Amor Diraja) Tentera Darat Malaysia dengan menyandang pangkat Kapten dan seterusnya pada 18 November 1987 baginda dianugerahkan pula pangkat Mejar Kehormat dalam Kor yang sama. Pada tahun 1999, baginda ditauliahkan sebagai Pegawai Sukarela berpangkat Leftenan Kolonel dan menyandang jawatan Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah (kini Brigadier Jeneral).

Baginda dipertemukan jodoh dengan YAM Tengku Puan Paduka Putri Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Sultan Mahmud Iskandar al-Haj pada 6 Mac 1986 dalam satu majlis gilang gemilang yang diadakan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. Baginda berdua dikurniakan seramai 4 orang putera dan 2 orang puteri iaitu (sila rujuk buku Perayaan Jubli Perak Pemerintahan KDYMM Sultan Pahang 1974 - 1999, terbitan Kerajaan Pahang 1999, hlm. 28) :

TM dan Anakanda

1. Yang Mulia Almarhum Tengku Ahmad Iskandar Shah bin Tengku Mahkota Tengku Abdullah (lahir dan meninggal dunia pada pada 24 Julai 1990).

2. Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah (diputerakan di Hospital Kuantan pada 17 September 1995. Pendidikan di Caldicott Boys’ Preparatory School di Crown Lane, Farnham Royal, Bucks).

3. Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah bin Tengku Mahkota Tengku Abdullah (lahir pada 3 Ogos 1997. Pendidikan di Caldicott Boys’ Preparatory School di Crown Lane, Farnham Royal, Bucks).

4. Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah bin Tengku Mahkota Tengku Abdullah (lahir pada 11 September 2001. Mempunyai pasangan kembar. Pendidikan di SRK St. Thomas Kuantan).

5. Yang Mulia Tengku Putri Afzan Amina Hafizatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah (lahir pada 11 September 2001. Mempunyai pasangan kembar).

6. Yang Mulia Tengku Putri Nur Jahan Khalsom Athiyatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah (lahir pada 27 April 2002).

KDYTM Tengku Puan Pahang bersama dengan Tengku Hassanal (kanan atas), Tengku Muhammad (kiri atas), Tengku Ahmad Ismail (jaket biru), Tengku Jahan dan Tengku Afzan (kacamata). Kredit gambar untuk http://radin87.blogspot.com/2009/05/pahang-royal-family.html

1. Yang Mulia Tengku Putri Iman Afzan binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah (anakanda bersama Cik Puan Julia. Bacaan lanjut sila rujuk buku Perayaan Jubli Perak Pemerintahan KDYMM Sultan Pahang 1974 - 1999, terbitan Kerajaan Negeri Pahang 1999, hlm. 28).

2. Yang Mulia Tengku Putri Illisha Amira binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah (anakanda bersama Cik Puan Julia. Ibid).

3. Yang Mulia Tengku Putri Ilyana binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah (anakanda bersama Cik Puan Julia. Ibid).

Baginda juga ada mengambil putera angkat pada tahun 1987 sebelum daripada kelahiran paduka putera-putera dan puteri-puteri baginda sendiri iaitu :

1. Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim bin Tengku Arif Bendahara Ibrahim (lahir pada 25 Ogos 1986. Merupakan putera bongsu YAM Almarhum Tengku Arif Bendahara Tengku Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar dan Czarina binti Abdullah. Ibid).

Semoga bertambah umur dalam keberkatan, dikurniakan taufik dan hidayah serta bertambah ketaqwaan.

No comments:

Post a Comment