Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Wednesday, July 6, 2011

Peraturan Adat Mengangkat Sembah di Pahang

Bebaru ini saya mendapat pertanyaan daripada saudara Seruling Senja :

Boleh saya dapatkan penjelasan berkenaan tatacara mengangkat sembah kepada KDYMM Sultan dan KDYTM TG. Mahkota, beserta gambar [jika ada]

Jawapan :

Menurut adat istiadat turun temurun yang ada di Pahang, mengangkat sembah sebenarnya hanya dibuat kepada :

1. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan
2. Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota (Bakal Raja)
3. Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara (Ketua Istiadat)
4. Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong (Pen. Ketua Istiadat)

Dalam mana-mana majlis sama ada di istana, Balai Rong atau di tempat-tempat lain yang dihadiri oleh Baginda Sultan; maka hendaklah diangkat sembah kepada Baginda sahaja dan tidak boleh diangkat sembah kepada yang lain.

Mana-mana majlis yang tidak dihadiri oleh Baginda Sultan, maka mengangkat sembah boleh dilakukan kepada mana-mana kerabat diraja terkanan sekali (mengikut susunan di atas). Hanya seorang kerabat diraja terkanan sahaja yang perlu diangkat sembah.

Apabila berangkat dua orang Sultan (dari negeri berbeza) dalam sebuah majlis, maka menurut adat istiadat Pahang hendaklah mengangkat sembah kepada Sultan yang memerintah negeri itu sahaja. Tidak boleh mengangkat sembah kepada dua orang Sultan dalam satu majlis.

Tatacara Mengangkat Sembah di Pahang

1. Cara Untuk Baginda Sultan

Sepuluh jari tangan disusun rapat, kemudian di angkat ke dahi dengan pangkal dua ibu jari tangan jejak antara dua kening.

2. Cara Untuk Tengku Mahkota

Pangkal dua ibu jari hendaklah terkebawah sedikit antara dua kening

3. Cara Untuk Tengku Arif Bendahara / Tengku Arif Temenggong

Pangkal dua ibu jari hendaklah jejak pada paras mata.

Rujuk : Peraturan Adat Istiadat Raja-Raja Negeri Pahang, YAM Tengku Arif Bendahara, Tengku Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (1971), hlm. 43 – 44.    

 

No comments:

Post a Comment