Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Tuesday, July 12, 2011

Jengka : “Land for the Landness”

Tun Razak

Baru-baru ini diadakan Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan di Bandar Tun Razak, Jengka. Jika bercakap mengenai FELDA, Pahang tidak dapat dipisahkan dengan program pembangunan tanah yang dianggap sebagai terbesar di dunia itu. Kisah FELDA di Pahang seakan-akan mengulangi kembali episod golongan Ansar yang pernah menyambut kehadiran golongan Muhajirin ke Madinah tatkala peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w.

Bermula dengan Bilut Valley yang dibuka di Bentong pada tahun 1956, kerajaan Pahang setakat ini telah merelakan tanah pusakanya seluas 185,380.23 hektar bagi dimajukan oleh para peneroka. Perlu diingat, keluasan ini menyamai keluasan Pulau Pinang (104,630 hektar) dan Perlis (80,302 hektar) jika digabungkan dengan jumlah peneroka seramai 43,124 orang.

Daripada jumlah tersebut, seluas 175,120.68 hektar dimajukan dengan tanaman kelapa sawit manakala selebihnya iaitu 10,259.55 hektar diusahakan untuk tanaman getah.

Menurut pecahan, anak Pahang jati yang menjadi peneroka di bumi sendiri hanyalah seramai 14,111 orang sahaja, manakala 29,013 orang lagi adalah para muhajirin dari luar Pahang. Setelah begitu lama bermastautin di Pahang, perlu diakui bahawa golongan peneroka ini sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada watak-watak yang mewarnai perjalanan sejarah negeri Pahang Darul Makmur.

Bandar Tun Razak (BANTURA), Jengka

Pembangunan Jengka Triangle melibatkan keluasan 64,117.05 hektar tanah pusaka Negeri Pahang. Kawasan yang luas ini sebenarnya membabitkan pengambilan tanah di 3 buah daerah berhampiran dengan Jengka iaitu Maran (116,146 hektar), Temerloh (32,448 hektar) dan Jerantut (48,134 hektar). Daripada 37 buah tanah rancangan di Jengka; 26 daripadanya terletak dalam daerah Maran, 9 rancangan di Jerantut sementara 2 lagi di Temerloh.

Pembangunan tanah berskala raksaksa ini mencatatkan sejarah tersendiri kepada FELDA memandangkan sebelum ini pihak mereka menjalankan projek secara bertaburan dan secara bersendirian untuk satu-satu tanah rancangan. Pelbagai rintangan terpaksa dihadapi dalam usaha membangunkan kawasan ini. Namun menurut bekas Pengerusi FELDA; Tan Sri Raja Muhammad Alias bin Raja Muhammad Ali, galakan dan sorakan rakyat serta kerajaan Negeri Pahang telah berjaya menambahkan semangat FELDA untuk mengorak langkah kejayaan.

Menurut Raja Alias, tatkala KDYMM Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Muadzam Shah Ibni Almarhum Al-Mustasim Billah Al-Sultan Abdullah berangkat ke Jengka pada tahun 70-an, ketika dalam Land Rover baginda telah melafazkan kepada beliau :

Di Jengka ini, FELDA bukan membuka rancangan…Sebenarnya FELDA membuka negeri…”

Sejak memulakan rancangan pertamanya di Kampung Awah pada tahun 1960, Wilayah Jengka telah memajukan seluas 62,000 ekar bagi tanaman kelapa sawit dan 35,000 ekar bagi getah. Kini, seramai 14,957 orang telah mendiami keseluruhan wilayah ini.

Sebagai anak kelahiran daerah Maran (yang berjiran dengan Jengka), dulu kami mengenali Jengka sebagai Pekan Kanada. Ini kerana pada waktu dahulu Jengka diteroka oleh pihak industri pembalakan yang dikenali sebagai Regional Centre. Terdapat ramai warga Kanada dan Filipina yang bekerja di situ bagi memberi tunjuk ajar teknik penggunaan jentera berat kepada penduduk tempatan. Disebabkan oleh susahnya menyebut perkataan Regional Centre, justeru para pekerja tempatan lebih selesa menggelarkan tempat kerja mereka sebagai Pekan Kanada sahaja.

Selamat Hari Peneroka.

Ucapan Tun Razak

Kata-Kata Aluan Almarhum Tun Haji Abdul Razak bin YDH Dato' Hussein dalam buku “Pembangunan Pahang 1961 – 1965” terbitan Jawatankuasa Penerangan dan Seranta Negeri Pahang

No comments:

Post a Comment