Hari ini saya menerima pertanyaan yang agak pelik. Kebetulan tengahari tadi ada sebuah rancangan bual bicara yang menemuramah seorang pembawa gelaran ‘Dame’ di Malaysia. Maaf, kebetulan saya tidak berkesempatan menonton rancangan tersebut. Pemantau setia Panca Persada itu bertanya tentang gelaran ‘Dame’. Apakah jenis bintang kebesaran yang melayakkan seseorang menerima gelaran tersebut.
Bintang Kebesaran Empayar British
Secara umumnya, gelaran ‘Dame’ merupakan protokol formal khusus untuk wanita yang pada asalnya adalah ditujukan kepada kesatria atau baronet yang berjasa kepada Ratu England semasa zaman peperangan dahulu kala. Gelaran ini setaraf dengan anugerah kesatria dalam kategori bintang Order of Chivalry. Penerima anugerah ini dibenarkan untuk menggunakan gelaran ‘Dame’ pada pangkal namanya beserta dengan jenis bintang yang dikurniakan. Sebagai contoh : “Dame Fulanah binti Fulan, DBE (Dame Commander of the Order of the British Empire)”.
Gelaran ‘Dame’ ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu ‘Dame Grand Cross’ dan ‘Dame Commander’ dan dipecahkan kepada empat kelas yang berbeza iaitu :
1. GCB dan DCB (Order of the Bath),
2. GCMG dan DCMB (Order of St. Michael & St. George),
3. GCVO dan DCVO (Royal Victorian Order)
4. GBE dan DBE (Order of the British Empire).
Huraiannya adalah seperti berikut :1. Knight Grand Cross of the Order of the British Empire (GBE) atau Dame Grand Cross of the Order of the British Empire (GBE)
2. Knight Commander of the Order of the British Empire (KBE) atau Dame Commander of the Order of the British Empire (DBE)
Bagi bintang kebesaran kategori Royal Victorian Order (RVO) pula, penerimanya boleh juga membawa gelaran ‘Dame’ pada pangkal nama mereka, namun pada protokolnya penerimanya lebih tepat dipanggil ‘Dame Grand Cross’ atau ‘Dame Commander’. Bagi penerima lelaki pula akan dipanggil ‘Knight’.
Selain kategori ini, satu lagi jenis anugerah yang juga boleh membawa gelaran ‘Dame’ ialah bintang kategori Order of the Indian Empire. Dua jenis anugerah dalam kategori ini ialah Knight Grand Commander (GCIE) atau Knight Commander (KCIE) yang membawa gelaran Knight dan Dame Grand Commander. Namun penganugerahan bintang Order of the Indian Empire ini telah tidak aktif sejak tahun 1947 lagi.
Berdasarkan maklumat Debrett's Peerage and Baronetage, sehingga kini masih ada seramai 3,000 orang pemegang gelaran ‘Sir’ dan ‘Dame’ yang masih hidup. Semua rekod senarai penerima gelaran ‘Dame’ ini boleh disemak di Central Chancery of the Orders of Knighthood, St. James’s Palace, London.
Kebiasaannya Ratu England akan mengadakan istiadat penganugerahan bintang serta darjah kebesaran Empayar British di ballroom Istana Buckingham sebanyak 14 kali setahun : 6 majlis antara bulan Februari hingga Mac, 2 majlis pada bulan Julai dan 6 majlis lagi antara bulan Oktober hingga Disember. Sekiranya Ratu England di luar negara, anugerah akan disampaikan oleh kerabat terdekat.
Anugerah “Knights of Charity”
Berdasarkan maklumat yang saya terima daripada e-mail penanya soalan tersebut (rujuk gambar bawah), anugerah yang membawa gelaran ‘Dame’ kepada tetamu wanita dalam program bual-bicara tersebut dikeluarkan oleh sebuah perkumpulan yang dinamakan The Ecumenical Medical - Humanitarian Order. Kumpulan ini telah menganugerahkan beliau “Knights of Charity (Knights of Saint John of Jerusalem)”.
Pada hemat saya, anugerah ini tiada kaitan dengan anugerah daripada pihak Istana Buckingham kerana tiada satu pun keterangan dalam watikah (rujuk gambar bawah) yang menunjukkan kepada kategori darjah sama ada Order of the Bath, Order of St. Michael & St. George, Royal Victorian Order, Order of the British Empire ataupun Order of the Indian Empire.
Selain itu, berdasarkan gambar majlis penganugerahan yang di emailkan; didapati telah diadakan upacara “Knighthood Ceremony”. Sekadar perkongsian maklumat, berdasarkan adat istiadat istana Inggeris; seorang penerima ‘Knightage’ wanita tidak perlu menjalani upacara ‘accolade’ (meletakkan pedang di kedua-dua bahu). Setiausaha Central Chancery of the Orders of Knighthood akan meletakkan medal pada sebuah kusyen untuk dipersembahkan kepada Ratu bagi istiadat pengurniaan.
Apa yang boleh saya katakan, berdasarkan pemerhatian kepada insignia yang terdapat pada mantel atau jubah penerima, kemungkinan besar bintang yang diterima itu sebenarnya adalah anugerah “Most Venerable Order of the Hospital of Saint John of Jerusalem” gred II atau ringkasnya “The Order of St. John”.
Bagi anugerah “The Order of St. John” gred I, penerimanya akan membawa gelaran ‘Dame Grand Cross’. Bagi gred II, gelaran selengkapnya ialah ‘Dames of Justice’ atau ‘Grace’ sahaja. Berdasarkan sejarah yang panjang, anugerah ini memang ada kaitan dengan Empayar British namun bukan dalam bentuk secara langsung. Hingga kini seramai 25,000 orang di seluruh dunia yang telah menerima anugerah ini. Pada kebiasaannya, penerima anugerah “The Order of St. John” akan menerima terlebih dahulu pingat “Distinguished Conduct Medal” (DCM) dan “Royal Red Cross” (kelas II) (ARRC).
Tahniah, sekian dan selamat berpuasa.
Salam.... Ye Ustaz, saya pun keliru jugak bila sempat tgk rancangan tu semalam... Punya bangga dia cakap dia dapat Dame dan dikatakan dapat dari England.... Baca punya baca, saya jumpa ni : http://mna.org.my/MNAActivity.asp?keyid=1234&idaktiviti=1000000002 -- Mungkin sama apa yang ustaz jumpa.... Sekali tgk mcm masonry punya majlis jer...
ReplyDeleteMemang gelaran tu dari England, tapi bukan dari pihak Istana Buckingham.
ReplyDeleteNak bukti jelas, boleh rujuk senarai penerima yang disimpan rekodnya di Central Chancery of the Orders of Knighthood, St. James’s Palace, London