Persoalan yang dilontarkan oleh seorang pemantau senyap Panca Persada ini kedengarannya agak ringkas, namun sebenarnya memiliki signifikan yang besar kepada pencinta warisan dan sejarah. Hasil penelitian, saya temui dua kisah tentang rahsia pemilihan ‘daun kopi’ sebagai jata atau logo negeri Pahang. Terpulanglah kepada kita untuk menilai kedua-dua cerita ini.
Cerita Pertama
Pahang merupakan negeri pertama yang menentang penjajahan Inggeris dalam bentuk penggunaan persenjataan moden. Mislanya semasa pertempuran di Jeram Ampai pada 28 Jun 1894, pahlawan Pahang telah berjaya memperolehi senjata api yang diseludup oleh seorang saudagar Kelantan bernama Awang Ngah (Sejarah Pahang, hlm. 349 - 351).
Dikatakan bahawa antara punca Wan Ahmad mampu membeli kelengkapan senjata api melalui saudagar Cina di Singapura adalah kerana hasil jualan kopinya. Baginda yang merupakan antara orang Melayu terkaya di Tanah Melayu pada masa itu dikatakan memiliki ladang kopi yang luas. Justeru, lambang ‘daun kopi’ diabadikan oleh baginda sebagai lambang kebesaran keluarganya.
Cerita Kedua
Pada bulan Jun atau Julai 1862, Wan Ahmad telah mengadap Sultan Terengganu (Baginda Umar) yang berkenan memberi sumbangan kelengkapan senjata dan wang perbelanjaan untuk membantu Wan Ahmad menyerang Pahang. Semasa di Kuala Terengganu, tatkala Wan Ahmad sedang minum kopi; ketika itulah terfikir olehnya beberapa taktik dan strategi baru dalam mengatur serangannya bagi mengalahkan Pahang. Itulah sebabnya apabila Wan Ahmad memerintah Pahang, lambang ‘daun kopi’ diabadikan oleh baginda sebagai lambang kebesaran keluarganya (Sejarah Pahang, hlm. 166 - 167)
No comments:
Post a Comment