Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Saturday, June 18, 2011

India Benam Malaysia

Impian Malaysia untuk ke peringkat akhir Polo Piala Dunia FIP di San Luis, Argentina pada 11 – 25 Oktober nanti dinafikan oleh India selepas pasukan itu menewaskan Malaysia 5 – 12 semalam.

Pasukan Malaysia yang melengkapkan pusingan awal kejohanan dengan berbekalkan dua mata hasil kemenangan ke atas New Zealand 9 – 8 pada perlawanan pertama. Namun, kekalahan yang agak besar pada perlawanan dengan India ini telah meninggalkan Malaysia dengan perbezaan - 6 gol.

Dalam perlawanan tersebut, Huzaini Yunus telah berhasil meledakkan lima gol, manakala dua gol lain disumbangkan oleh Shaik Reismann dan Tengku Ahmad Shazril.

Samir Suhag Seperti dijangka, skipper pasukan India Samir Suhag (+5) berjaya menjaringkan tujuh gol sementara gol-gol yang lain diledakkan oleh kapten pasukan Kolonel Tarun Sirohi (+3), Simran Shergill (+4) dan Mejar Vishal Chauhan (+2). Pada penghujung chukka ketiga sahaja pasukan India telah mendahului Malaysia dengan 6 – 2.

Kekalahan Malaysia kepada India sebenarnya tidaklah mengejutkan Panca Persada. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, pasukan India bukanlah calang-calang pasukan kerana mereka pernah bermain sebanyak dua kali di peringkat akhir Polo Piala Dunia FIP iaitu pada tahun 1995 dan 2001. Kedudukan terbaik dalam kejohanan ini adalah di tempat kelima iaitu pada tahun 1995.

Selain itu, mereka juga telah membuat persiapan yang amat rapi untuk kejohanan ini apabila telah menjalani latihan intensif termasuklah sesi penyesuaian cuaca di Nusantara Polo Club, Indonesia sejak 20 Mei hingga 10 Jun yang lalu.

Kehebatan pasukan India juga mungkin ada kaitan dengan susur galur sejarah sukan polo itu sendiri. Dari sudut sejarah, walaupun permainan polo versi moden dipopularkan oleh orang-orang British, namun dari sudut sejarah ia sebenarnya bermula di Manipur (salah sebuah negeri di India). Masyarakat tempatan di Manipur memanggil permainan ini dengan ‘Sagol Kangjei’ atau ‘Kanjai-Bazee’. Bukan setakat itu sahaja, kelab polo berciri moden yang pertama juga telah ditubuhkan di Assam, India pada tahun 1834.

Sementara itu pasukan yang belum pernah kalah setakat ini iaitu Afrika Selatan dan Pakistan akan bertemu hari ini untuk melengkapkan pusingan awal masing-masing. Kemenangan besar mereka ke atas Nigeria dengan jaringan 13 – 5 and 15½ - 7 menjadikan mereka begitu selesa untuk menjadi pilihan ke Piala Dunia FIP.

Selain itu, pasukan Australia yang merupakan pasukan pilihan kejohanan, kembali memperolehi semangat baru selepas kemenangan 7 – 5 ke atas New Zealand.

Kepada pasukan Malaysia, usah kecewa. Kita meriahkan Kejohanan Polo Liga Kebangsaan Royal Pahang 2011 yang akan berlangsung pada 1 hingga 10 Julai 2011 nanti…

Friday, June 17, 2011

Malaysia vs India

Selepas mendapat vitamin tatkala memperolehi kemenangan ke atas lawan masing-masing dalam perlawanan pembukaan, Malaysia dan India akan berentap pada jam 3.00 petang ini bagi merebut kedudukan empat pasukan teratas yang sekaligus boleh melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Kejohanan Polo Asia-Australasia-Afrika.

Kedua-dua pasukan ini ternyata memiliki kelebihan masing-masing memandangkan pasukan Malaysia berjaya menewaskan New Zealand 9 – 8 yang mana perlu diingat bahawa New Zealand adalah Naib Juara pada kejohanan lepas. Sementara itu India pula berjaya menjinakkan pasukan pilihan kejohanan ini iaitu Australia dengan ledakan 5 ½ – 5. Justeru antara Malaysia dan India, kedua-duanya memiliki latar belakang kejayaan yang hampir sama.

Skipper Malaysia, Shaik Reismann berharap agar penyokong Malaysia tidak terlalu asyik dibuai keindahan selepas berhasil menewaskan New Zealand tempoh hari. Keupayaan pasukan India sememangnya tidak boleh dipandang rendah.

Komen Pasukan India

Menurut Pengurus Pasukan Polo India, Kapten (B) Vikram Singh Rathore; kekalahan Australia kepada India adalah kerana kelemahan mereka dari sudut ‘marking’ para pemain lawan. Pasukan India menggunakan taktik “jaga orang dahulu, bola kemudian” dan strategi ini begitu menjadi semasa perlawanan tersebut.

Menurut beliau lagi, dalam konteks perlawanan Malaysia dengan New Zealand, kelemahan paling utama adalah pasukan New Zealand amat lemah dari sudut ‘marking’. “Bayangkan, Huzaini Yunos (ayam tambatan Malaysia) langsung tidak dikawal. Gary Vickers (posisi no. 4) ternyata gagal mengawal pergerakan Huzaini dan kami (pasukan India) sama sekali tidak akan membenarkan perkara ini berlaku” ujar Vikram.

Untuk rekod, India pernah bermain sebanyak dua kali di peringkat akhir Polo Piala Dunia FIP iaitu pada tahun 1995 dan 2001. Kedudukan terbaik dalam kejohanan ini adalah di tempat kelima pada tahun 1995.

Panca Persada berharap agar pemain Malaysia meningkatkan kawalan khasnya terhadap Samir Suhag (handicap 5) yang sebelum ini berjaya menakuk 4 gol dalam perlawanan menentang Australia.

Selamat berjuang...

Rahsia Kejayaan Pasukan Polo Malaysia

rajafirhad

Di sebalik cakap-cakap tentang kejayaan pasukan Malaysia menewaskan New Zealand baru-baru ini, tiba-tiba muncul nama Raja Mohammad Firhad bin Raja Azidin (gambar kiri). Selain perancangan cemerlang jurulatih Carlos Pando serta kegigihan para pemain, ramai yang tidak menyedari bahawa peranan seorang anak Malaysia yang bertugas sebagai Jurulatih Kecergasan bagi pasukan Polo Malaysia sebenarnya merupakan ‘buah sulit’ kepada peningkatan prestasi pasukan Malaysia.

Perlantikan beliau sebagai Jurulatih Kecergasan pasukan Polo Malaysia adalah atas titah Presiden Royal Malaysian Polo Association, KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah sendiri. Timbul pertanyaan, mengapa beliau dipilih? Firhad yang masih bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam ini sebenarnya bukanlah calang-calang jurulatih.

Berasal dari Johor Bharu, Firhad yang baru berusia 36 tahun rupa-rupanya adalah bekas Jurulatih Kecergasan pasukan bolasepak Laos semasa Sukan SEA 2009 di Vientiane. Segalanya bermula apabila tuan rumah Sukan SEA ke-25 itu meminta Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mencarikan seorang jurulatih kecergasan bagi pasukan bolasepaknya. Kebangkitan pasukan bola sepak Laos yang berjaya buat pertama kalinya layak ke pusingan separuh akhir ketika itu mengejutkan banyak pihak. Namun akhirnya mereka ditewaskan oleh pasukan bolasepak Malaysia dengan jaringan 3 – 1.

Selain Laos, beliau juga berkesempatan menimba pengalaman selama tiga bulan di Kelab Hoang Anh Gia Lai, sebuah kelab bolasepak terkemuka di Vietnam. Bersempena dengan temasya Sukan SEA di Indonesia pada bulan Disember ini, Firhad sekali lagi telah ditawarkan oleh Laos untuk membantu pasukan bolasepak mereka namun ditolak memandangkan beliau berhasrat untuk menyambung pengajian ijazah kedoktoran dalam bidang Sains Sukan sama ada di Australia atau di England pada penghujung tahun ini.

Kepakaran beliau ini telah berjaya dihidu oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang. Lantas sejak bulan lalu, Firhad telah dipanggil untuk membantu pasukan polo semasa berlangsungnya Terengganu Open Polo Championships.

Memetik titah KDYTM Tengku Mahkota Pahang tentang prestasi kerja Firhad : “Firhad has done a world of good in terms of fitness”…

Syabas…

Wednesday, June 15, 2011

Malaysia Berjaya Menundukkan New Zealand

Pasukan Polo Malaysia berjaya mencipta kejayaan tipis tetapi amat bermakna apabila menewaskan pasukan handalan New Zealand 9 – 8 dalam pertarungan sulung mereka di Kejohanan Asian-Australasian-African Polo di gelanggang Royal Pahang Polo, Pekan.

Ia merupakan perlawanan yang begitu hebat dari kedua-dua pasukan dengan aksi, kemahiran serta semangat juang yang menakjubkan. Ini terbukti apabila kedua-dua pasukan saling terikat 2 – 2 dalam chukka yang pertama dan seterusnya berkedudukan 4 – 4 semasa chukka kedua.

Begitu juga semasa chukka ketiga, kedudukannya adalah 6 – 6 sehinggalah pasukan New Zealand berjaya mendahului 8 – 6 semasa chukka keempat.

Ketika ini pasukan Malaysia telah meningkatkan serangan, danMalaysia hasilnya Huzaini Yunos telah berjaya membuat dua rembatan gol sejauh 60 ela. Kejayaan ini berjaya meningkatkan semangat pasukan Malaysia. Selepas itu, kapten pasukan Shaik Reismann (gambar kanan)pula berhasil meletakkan Malaysia di depan sewaktu perlawanan hanya berbaki 3 minit 45 saat. Pada ketika ini juga seluruh pasukan telah menukar corak permainan kepada bertahan dan ini amat menyukarkan pasukan New Zealand untuk menyamakan kedudukan.

Huziani Yunos (handicap 4) menjadi wira negara apabila menyumbangkan lima gol iaitu setiap satunya semasa tiga chukka pertama dan selebihnya semasa chukka keempat.

Selain itu, Edham Shahruddin (handicap 4) posisi No 2 juga menyumbangkan 2 gol selain Tengku Ahmad Shazril posisi No 1 menyumbangkan 1 gol padang.

Sementara itu Andrew Parrott (handicap 5) di pihak New Zealand juga menyumbangkan lima gol selain Kit Brooks (2 gol) dan Gary Vickers (1 gol).

Apa yang menarik, KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku Presiden Royal Malaysian Polo Association turut tidak dapat menyembunyikan kegembiraan baginda apabila meninggalkan kerusi diraja dan terus bersama-sama dengan penyokong melompat kegirangan sebaik wisel penamat ditiup.

Tahniah Malaysia!!...

Tuesday, June 14, 2011

Kejohanan Polo Liga Kebangsaan Royal Pahang 2011

TM 4 Selepas tamat penganjuran Pusingan Kelayakan Polo Piala Dunia FIP pada 25 Jun nanti, gelanggang Royal Pahang Polo Club di Pekan sekali lagi akan digegarkan dengan penganjuran Kejohanan Polo Liga Kebangsaan Royal Pahang 2011 yang akan berlangsung pada 1 hingga 10 Julai 2011.

Presiden Royal Malaysian Polo Association, KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (gambar atas) telah menzahirkan perkenan bagi melangsungkan kejohanan ini di Pahang dan Royal Pahang Polo Club akan mengambil tanggungjawab sebagai tuan rumah pertama Liga Nasional untuk musim ini.

Setakat ini beberapa pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka, antaranya :

  1. BRDB Hookahs
  2. 1 Selangor
  3. BP Polo
  4. La Pampa - SMP
  5. 1 Pahang
  6. Kiara Polo
  7. Head Hunters
  8. T Satrias
  9. Primero
  10. Royal Pahang Polo Club

Pengundian akan dijalankan pada 18 Jun 2011 di Royal Pahang Polo Club sejurus selepas tamat perlawanan FIP Polo World Cup pada hari tersebut.

Pasukan Royal Pahang Polo Club

1. KDYTM Tengku Mahkota Pahang (1)
2. Marcos Araya (6)

3. Tomas Gandara (6)
4. Syed Rahimi (1)

Handicap Pasukan : 14

Trivia Tentang Polo

1. Polo berasal dari bahasa Tibet iaitu “Pulu” yang bermaksud “bola”.

2. Polo dikatakan sukan berpasukan tertua dalam sejarah. Perlawanan polo pertama didakwa berlangsung di Parsi lebih 2,500 tahun lalu. Namun dari mana ia berasal secara tepatnya tidak dapat dipastikan. Dari mana pun asalnya, sukan ini pantas berkembang di serata Iran, Amerika dan benua kecil India, di mana polo versi moden dikatakan bermula.

3. Kata-kata “Let other people play at other things - The King of Games is still the Game of Kings” (biarkan yang lain dengan permainan lain, raja segala permainan tetap menjadi permainan diraja) merupakan tulisan lama yang terpahat di atas batu yang dijumpai berhampiran padang polo di bahagian utara Kashmir, Pakistan.

4. Polo juga popular sebagai aktiviti masa lapang keluarga diraja China. Dipercayai, mereka mempelajarinya dari bangsawan Iran yang berlindung sebagai pelarian di wilayah China selepas kejatuhan Empayar Iran oleh orang Arab.

5. Gelanggang polo diraja tertua terletak di Maidan-Shah di Isfahan, Iran yang wujud sejak kurun ke-16.

6. Kelab polo paling tua iaitu Kelab Polo Calcutta yang dibina pada 1862 dan masih wujud hingga hari ini.

7. Padang polo tertinggi di dunia terletak di atas Penara Baltistan, Pakistan dengan ketinggian 4,307 meter dari aras laut.

8. Polo harus dimain menggunakan tangan kanan. Permainan menggunakan tangan kiri dimansuhkan pada 1975 atas sebab keselamatan. Dalam kejohanan dunia, hanya ada tiga pemain kidal.

9. Takhta juara dunia masih menjadi milik Argentina sejak 1949 dan negara ini memiliki pemain terhebat dunia yang paling ramai.

10. Dalam perlawanan profesional, pemain akan bertukar kuda pada setiap chukkers kerana permainan ini dimainkan begitu pantas dan kuda yang digunakan bergerak sangat agresif. Pada peringkat kelab pula, kebiasaannya seekor kuda digunakan untuk dua chukkers.

11. Permainan polo terbahagi kepada beberapa sesi. Setiap sesi dipanggil chukkers yang tempoh masanya tujuh minit dan kebiasaannya terdapat enam chukkers dalam satu perlawanan.

12. Kuda polo kebiasaannya diimport dari Australia atau Argentina yang berharga antara RM30,000 dan RM60,000. Kos memeliharanya pula menelan belanja RM2,000 sebulan.

13. Keempat-empat kaki kuda polo yang digunakan akan dibalut untuk melindungi daripada kecederaan manakala ekor mereka diikat untuk meminimumkan gangguan ketika perlawanan berlangsung.

14. Selain berkuda, setiap pemain perlu menggunakan kayu pemukul berukuran 122.5 sentimeter (49 inci) hingga 132 sm (53 inci) yang diperbuat daripada buluh atau damar manakala bahagian tukulnya daripada pokok dedalu atau mapel.

15. Bola polo diperbuat sama ada daripada buluh, dedalu, damar atau kulit dengan diameter kira-kira 8.75 sm (3.5 inci) dan berjisim (4.5 auns).

16. Pemain juga harus lengkap memakai helmet dan pelapik lutut. Peralatan asas seperti helmet, perisai muka, pelana, kayu pemukul, seluar khas, kasut but dan tali kekang ini bernilai sekurang-kurangnya RM1,000.

17. Golongan DiRaja Malaysia yang aktif dalam sukan polo termasuklah KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar Al-Haj, YAM Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah, Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Seri Panglima Raja Tengku Baderulzaman ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah (adinda ketiga Tuanku Mizan) dan ramai lagi.

Monday, May 23, 2011

Pusingan Kelayakan Polo Piala Dunia FIP di Pekan

World Cup LogoPasukan Malaysia akan memberikan persembahan terbaik dalam pusingan kelayakan Polo Piala Dunia FIP dari 13 hingga 25 Jun ini di Pekan bagi menempah tiket ke perlawanan akhir yang akan berlangsung di San Luis, Argentina pada 11 hingga 25 Oktober nanti.

Menurut Presiden Royal Malaysia Polo Association (RMPA) KDYTMRMPA Tengku Abdullah al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah, Malaysia merupakan negara yang terkenal dengan kehebatan sukan polo di Asia, namun sehingga kini belum pernah melayakkan diri ke peringkat kejohanan akhir yang diadakan setiap tiga tahun sekali itu. Pusingan kelayakan kali ini melibatkan tujuh buah negara iaitu Afrika Selatan, New Zealand, Australia, India, Pakistan, Nigeria dan Malaysia. Hanya tujuh buah Negara sahaja yang akan menyertai pusingan kali ini memandangkan Singapura telah menarik diri daripada menyertai kejohanan. Tiga pasukan yang teratas akan layak ke pusingan akhir Piala Dunia FIP di San Luis, Argentina pada 11 hingga 25 Oktober 2011 nanti.

Kesemua mereka akan berentap di tiga buah venue yang berbeza iaitu di Royal Pahang Polo Club di Pekan, Putrajaya Equestrian Park di Precint 5 dan juga Royal Selangor Polo Club.

Menurut KDYTM Tengku Abdullah lagi, pasukan Malaysia mempunyai harapan cerah melepasi pusingan kelayakan memandangkan banyak persiapan rapi telah dibuat sebelum ini. Selain menerima latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan selama dua bulan di Argentina pada pertengahan September sehingga November lalu, pasukan Malaysia juga turut giat menyertai dua kejohanan sebagai pemanas badan iaitu di kejohanan Polo Terbuka Malaysia dan Terbuka Terengganu.

Baru-baru ini juga, skuad negara telah menyertai Kejuaraan Polo Terbuka Thailand dan muncul naib juara setelah tewas kepada tuan rumah di final. Ditambah lagi dengan deretan penajaan daripada beberapa syarikat gergasi seperti Audi, Genting, Berjaya, Magnum, Sime Darby, Ranhill, Ibil, Eurocopter, 100 Plus dan juga Jaeger-LeCoultre; adalah dijangkakan Malaysia boleh mencipta kejutan kali ini.

Team MalaysiaSkuad negara (dari kiri) Amran Selamat, Edham Shaharuddin, Huzaini Yunos, Shaik Reismann (kapten), Saladin Mazlan dan Tengku Ahmad Shazril.

Sebagai makluman, pasukan Malaysia terdiri daripada Shaik Reismann, 35 tahun (Handicap 3), Amran Selamat, 32 tahun (Handicap 2), Muhammad Edham Shaharuddin, 35 tahun (Handicap 4), Saladin Mazlan, 30 tahun (Handicap 3) dan Tengku Ahmad Shazril (Handicap 3). Shaik Reismann yang merupakan kapten pasukan adalah pemain tunggal Malaysia yang pernah beraksi dalam Polo Piala Dunia FIP iaitu di Jaipur, India pada tahun 2000 di mana ketika itu beliau mewakili Singapura.

Pasukan negara di bawah tunjuk ajar jurulatih Carlos Pandor dari Argentina, dijadualkan bertemu dengan pasukan New Zealand dan India dalam pusingan pertama.

Atas kertas; Afrika Selatan, New Zealand dan Australia yang muncul tiga pasukan terbaik pada kelayakan kali terakhir di New Zealand, dilihat sebagai pasukan pilihan untuk mara ke final. Namun, tiada yang mustahil dalam mencipta kejayaan.

Kumpulan

Zon 1 : Australia, Malaysia

Zon 2 : New Zealand, India

Zon 3 : Afrika Selatan, Pakistan, Nigeria

Jadual

13 Jun : Afrika Selatan vs Nigeria

14 Jun : Australia vs India; Malaysia vs New Zealand

15 Jun : Pakistan vs Nigeria

17 Jun : Malaysia vs India; Australia vs New Zealand

18 Jun : Afrika Selatan vs Pakistan

21 Jun : Separuh Akhir

24 Jun : Tempat ketiga

25 Jun : Pusingan Akhir

fippolo

banner_index_02

Monday, May 16, 2011

Peraturan Pakaian Istiadat Pingat dan Darjah Kebesaran Pahang

Saya menerima sungguh banyak pertanyaan berkaitan pakaian istiadat yang perlu dipakai oleh bakal penerima Pingat dan Darjah Kebesaran Negeri Pahang. Kekeliruan ini membabitkan warna pakaian sama ada warna hitam sahajakah ataupun boleh warna-warna yang lain. Sila rujuk keterangan berikut :

Penerima Kurniaan Bukan Tentera / Polis Bangsa Melayu dan Bukan Melayu :

Bagi Penerima Melayu Yang Menerima Kurniaan SIMP dan DIMP

1. Penerima Lelaki Melayu Berpakaian Istiadat Melayu Pahang iaitu :

Pakaian Kebangsaan, Bertanjak *, Berkeris, Bersampin, Berbengkung, Stokin Hitam dan Sepatu Kulit Hitam. Tidak semestinya berwarna hitam iaitu boleh berwarna hijau, merah, biru dan sebagainya KECUALI warna putih, kuning (pekat atau cair) atau sedondon.

Penerima Wanita Melayu :

Baju Kurung Labuh / Baju Kebaya Labuh, Berkain Sarung Serta Bertudung Kemas / Berselendang Serta Bersepatu Wanita (tidak sedondon dan tidak berwarna putih atau kuning)

* Tanjak ikatan cara Pahang. Sila rujuk :

http://pancapersada.blogspot.com/2011/04/tanjak_09.html

Bagi Penerima Bukan Melayu Yang Menerima Kurniaan SIMP dan DIMP

1. Penerima Lelaki Bukan Melayu Memakai Pakaian Seragam Istiadat

2. Penerima Wanita Bukan Melayu Boleh Memilih :

Ceongsam Labuh, Sari, Kebaya Sarung Labuh (berlengan panjang, bahagian badan tidak terdedah, labuh ke kaki dan jika pakaian berbelah tidak dibenarkan melebihi paras atas lutut) dan bersepatu wanita.

Bagi Penerima Melayu Yang Menerima Kurniaan SAP., SMP., AAP., AMP., PKC., PKT., dan PJK.

1. Penerima Lelaki Melayu :

Pakaian Kebangsaan Hitam, Bersongkok Hitam, Bersampin, Stokin Hitam dan Sepatu Kulit Hitam.

2. Penerima Wanita Melayu :

Baju Kurung Labuh / Baju Kebaya Labuh, Berkain Sarung Serta Bertudung Kemas / Berselendang Serta Bersepatu Wanita (tidak sedondon dan tidak berwarna putih atau kuning)

Bagi Penerima Bukan Melayu Yang Menerima Kurniaan SAP., SMP., AAP., AMP., PKC., PKT. dan PJK.

1. Penerima Lelaki Bukan Melayu :

Lounge Suit * Warna Hitam, Baju Kemeja Lengan Panjang Putih, Bertali Leher, Bersongkok Hitam, Stokin Hitam dan Sepatu Kulit Hitam

2. Penerima Wanita Bukan Melayu Boleh Memilih :

Ceongsam Labuh, Sari, Kebaya Sarung Labuh (berlengan panjang, bahagian badan tidak terdedah, labuh ke kaki dan jika pakaian berbelah tidak dibenarkan melebihi paras atas lutut) dan bersepatu wanita.

* Coat / Blazer berwarna hitam atau biru gelap (blue black), kemeja lengan panjang berwarna atau cerah, seluar panjang dan tali leher berwarna hitam, serta memakai songkok hitam dan kasut hitam.

Penerima Kurniaan Tentera / Polis :

Bagi Penerima Kurniaan SIMP., DIMP., SAP., SMP., AAP., AMP., PKC., PKT., dan PJK.

1. Pakaian Seragam Istiadat (tanpa pedang)

Dif Jemputan atau Pengiring :

1. Dif-Dif Jemputan Lelaki Melayu :

Pakaian Kebangsaan, Bersongkok Hitam, Bersampin, Stokin Hitam dan Sepatu Kulit Hitam (tidak sedondon dan tidak berwarna putih atau kuning)

2. Dif-Dif Jemputan Wanita Melayu :

Baju Kurung Labuh / Baju Kebaya Labuh, Berkain Sarung Serta Bertudung Kemas / Berselendang Serta Bersepatu Wanita (tidak sedondon dan tidak berwarna putih atau kuning)

3. Dif-Dif Jemputan Lelaki Bukan Melayu :

Lounge Suit Warna Gelap, Baju Kemeja Lengan Panjang Putih, Bertali Leher, Bersongkok Hitam, Stokin Hitam dan Sepatu Kulit Hitam.

4. Dif-Dif Jemputan Wanita Bukan Melayu :

Ceongsam Labuh, Sari, Kebaya Sarung Labuh (Berlengan Panjang, Bahagian Badan Tidak Terdedah, Labuh Ke Kaki dan Jika Pakaian Berbelah Tidak Dibenarkan Melebihi Paras Atas Lutut) Serta Bersepatu Wanita.

5. Dif-Dif Jemputan Tentera dan Polis :

a. Tentera : Service Dress (Pakaian Khidmat)

b. Polis : Review Order