Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Tuesday, June 14, 2011

Kejohanan Polo Liga Kebangsaan Royal Pahang 2011

TM 4 Selepas tamat penganjuran Pusingan Kelayakan Polo Piala Dunia FIP pada 25 Jun nanti, gelanggang Royal Pahang Polo Club di Pekan sekali lagi akan digegarkan dengan penganjuran Kejohanan Polo Liga Kebangsaan Royal Pahang 2011 yang akan berlangsung pada 1 hingga 10 Julai 2011.

Presiden Royal Malaysian Polo Association, KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (gambar atas) telah menzahirkan perkenan bagi melangsungkan kejohanan ini di Pahang dan Royal Pahang Polo Club akan mengambil tanggungjawab sebagai tuan rumah pertama Liga Nasional untuk musim ini.

Setakat ini beberapa pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka, antaranya :

  1. BRDB Hookahs
  2. 1 Selangor
  3. BP Polo
  4. La Pampa - SMP
  5. 1 Pahang
  6. Kiara Polo
  7. Head Hunters
  8. T Satrias
  9. Primero
  10. Royal Pahang Polo Club

Pengundian akan dijalankan pada 18 Jun 2011 di Royal Pahang Polo Club sejurus selepas tamat perlawanan FIP Polo World Cup pada hari tersebut.

Pasukan Royal Pahang Polo Club

1. KDYTM Tengku Mahkota Pahang (1)
2. Marcos Araya (6)

3. Tomas Gandara (6)
4. Syed Rahimi (1)

Handicap Pasukan : 14

Trivia Tentang Polo

1. Polo berasal dari bahasa Tibet iaitu “Pulu” yang bermaksud “bola”.

2. Polo dikatakan sukan berpasukan tertua dalam sejarah. Perlawanan polo pertama didakwa berlangsung di Parsi lebih 2,500 tahun lalu. Namun dari mana ia berasal secara tepatnya tidak dapat dipastikan. Dari mana pun asalnya, sukan ini pantas berkembang di serata Iran, Amerika dan benua kecil India, di mana polo versi moden dikatakan bermula.

3. Kata-kata “Let other people play at other things - The King of Games is still the Game of Kings” (biarkan yang lain dengan permainan lain, raja segala permainan tetap menjadi permainan diraja) merupakan tulisan lama yang terpahat di atas batu yang dijumpai berhampiran padang polo di bahagian utara Kashmir, Pakistan.

4. Polo juga popular sebagai aktiviti masa lapang keluarga diraja China. Dipercayai, mereka mempelajarinya dari bangsawan Iran yang berlindung sebagai pelarian di wilayah China selepas kejatuhan Empayar Iran oleh orang Arab.

5. Gelanggang polo diraja tertua terletak di Maidan-Shah di Isfahan, Iran yang wujud sejak kurun ke-16.

6. Kelab polo paling tua iaitu Kelab Polo Calcutta yang dibina pada 1862 dan masih wujud hingga hari ini.

7. Padang polo tertinggi di dunia terletak di atas Penara Baltistan, Pakistan dengan ketinggian 4,307 meter dari aras laut.

8. Polo harus dimain menggunakan tangan kanan. Permainan menggunakan tangan kiri dimansuhkan pada 1975 atas sebab keselamatan. Dalam kejohanan dunia, hanya ada tiga pemain kidal.

9. Takhta juara dunia masih menjadi milik Argentina sejak 1949 dan negara ini memiliki pemain terhebat dunia yang paling ramai.

10. Dalam perlawanan profesional, pemain akan bertukar kuda pada setiap chukkers kerana permainan ini dimainkan begitu pantas dan kuda yang digunakan bergerak sangat agresif. Pada peringkat kelab pula, kebiasaannya seekor kuda digunakan untuk dua chukkers.

11. Permainan polo terbahagi kepada beberapa sesi. Setiap sesi dipanggil chukkers yang tempoh masanya tujuh minit dan kebiasaannya terdapat enam chukkers dalam satu perlawanan.

12. Kuda polo kebiasaannya diimport dari Australia atau Argentina yang berharga antara RM30,000 dan RM60,000. Kos memeliharanya pula menelan belanja RM2,000 sebulan.

13. Keempat-empat kaki kuda polo yang digunakan akan dibalut untuk melindungi daripada kecederaan manakala ekor mereka diikat untuk meminimumkan gangguan ketika perlawanan berlangsung.

14. Selain berkuda, setiap pemain perlu menggunakan kayu pemukul berukuran 122.5 sentimeter (49 inci) hingga 132 sm (53 inci) yang diperbuat daripada buluh atau damar manakala bahagian tukulnya daripada pokok dedalu atau mapel.

15. Bola polo diperbuat sama ada daripada buluh, dedalu, damar atau kulit dengan diameter kira-kira 8.75 sm (3.5 inci) dan berjisim (4.5 auns).

16. Pemain juga harus lengkap memakai helmet dan pelapik lutut. Peralatan asas seperti helmet, perisai muka, pelana, kayu pemukul, seluar khas, kasut but dan tali kekang ini bernilai sekurang-kurangnya RM1,000.

17. Golongan DiRaja Malaysia yang aktif dalam sukan polo termasuklah KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar Al-Haj, YAM Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah, Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Seri Panglima Raja Tengku Baderulzaman ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah (adinda ketiga Tuanku Mizan) dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment