Selepas mendapat vitamin tatkala memperolehi kemenangan ke atas lawan masing-masing dalam perlawanan pembukaan, Malaysia dan India akan berentap pada jam 3.00 petang ini bagi merebut kedudukan empat pasukan teratas yang sekaligus boleh melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Kejohanan Polo Asia-Australasia-Afrika.
Kedua-dua pasukan ini ternyata memiliki kelebihan masing-masing memandangkan pasukan Malaysia berjaya menewaskan New Zealand 9 – 8 yang mana perlu diingat bahawa New Zealand adalah Naib Juara pada kejohanan lepas. Sementara itu India pula berjaya menjinakkan pasukan pilihan kejohanan ini iaitu Australia dengan ledakan 5 ½ – 5. Justeru antara Malaysia dan India, kedua-duanya memiliki latar belakang kejayaan yang hampir sama.
Skipper Malaysia, Shaik Reismann berharap agar penyokong Malaysia tidak terlalu asyik dibuai keindahan selepas berhasil menewaskan New Zealand tempoh hari. Keupayaan pasukan India sememangnya tidak boleh dipandang rendah.
Komen Pasukan India
Menurut Pengurus Pasukan Polo India, Kapten (B) Vikram Singh Rathore; kekalahan Australia kepada India adalah kerana kelemahan mereka dari sudut ‘marking’ para pemain lawan. Pasukan India menggunakan taktik “jaga orang dahulu, bola kemudian” dan strategi ini begitu menjadi semasa perlawanan tersebut.
Menurut beliau lagi, dalam konteks perlawanan Malaysia dengan New Zealand, kelemahan paling utama adalah pasukan New Zealand amat lemah dari sudut ‘marking’. “Bayangkan, Huzaini Yunos (ayam tambatan Malaysia) langsung tidak dikawal. Gary Vickers (posisi no. 4) ternyata gagal mengawal pergerakan Huzaini dan kami (pasukan India) sama sekali tidak akan membenarkan perkara ini berlaku” ujar Vikram.
Untuk rekod, India pernah bermain sebanyak dua kali di peringkat akhir Polo Piala Dunia FIP iaitu pada tahun 1995 dan 2001. Kedudukan terbaik dalam kejohanan ini adalah di tempat kelima pada tahun 1995.
Panca Persada berharap agar pemain Malaysia meningkatkan kawalan khasnya terhadap Samir Suhag (handicap 5) yang sebelum ini berjaya menakuk 4 gol dalam perlawanan menentang Australia.
Selamat berjuang...
No comments:
Post a Comment