Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Monday, August 16, 2010

Sejarah Lagu Negeri Pahang

Berdasarkan rekod yang terdapat di Arkib Negara Cawangan Timur di Kuala Terengganu, ada beberapa catatan menarik tentang proses penciptaan Lagu Negeri Pahang.

Sebenarnya hasrat serta cadangan untuk mewujudkan lagu rasmi Negeri Pahang telah mula semenjak bulan Disember 1924 lagi. Justeru sebuah lagu yang terpilih telah dipersembahkan untuk mendapat limpah perkenan KDYMM Sultan Pahang pada 1 Mei 1925, melalui surat Bilangan 1675-10/1924.

Catatan daripada Residen British mengenai lagu ini (lihat lampiran surat di bawah) dikatakan berasal dari Lagu Perang Pahang dan dikarang semula dengan penyesuaian untuk dijadikan Lagu Negeri Pahang oleh seorang yang bernama Cik Shodder. Dalam suratnya bertarikh 1 Mei 1925 itu, H.W Thompson (Residen British di Kuala Lipis ketika itu) telah menjanjikan untuk menghantar skor muzik lagu tersebut ke Kuala Lumpur bagi dimainkan oleh State Band semasa mesyuarat Federal Council.


Salinan Surat Residen British


Transelasi salinan surat Residen British :

QAULAHUL-HAQ

Warkatul ikhlas yang terbit daripada fuadul-zakiyyah (hati yang suci) hening jernih yang tiada menaruh syak dan waham selagi ada peredaran cakerawala matahari dan bulan bintang iaitu daripada beta Tuan H. W Thomson British Resident Pahang Kuala Lipis, mudah-mudahan terhampar ke majlis Seri Paduka sahabat beta Yang Maha Mulia al-Mustain Billah K.C.M.G. Yang Dipertuan Negeri Pahang bersemayam di Istana Pekan dengan kesejahteraannya.

Waba'duh daripada itu, ehwal dimaklumkan ke majlis Seri Paduka sahabat beta maka berkenaan dengan hal Lagu Negeri Pahang asalnya Lagu Perang Pahang yang dikarang oleh Miss Shodder sebagaimana yang telah dipersetujukan oleh Seri Paduka sahabat beta pada bulan Disember yang lalu. Maka sudahkan dibenarkan oleh Tuan Yang Terutama High Commissioner dan satu salinan daripada karangan lagu itu telah dihantarkan kepada State Band di Kuala Lumpur akan menggunakannya pada Mesyuarat Federal Council. Hanyalah dimaklumkan serta diiringi dengan berbanyak-banyak tabik jua adanya.

Termaktub kepada

1 haribulan Mei 1925

H.W Thomson
British Resident
Pahang

KDYMM Sultan Pahang pula dalam surat baginda kepada Residen British yang bertarikh 8 Mei 1925 (lihat lampiran di bawah) telah mengucapkan penghargaan dan terima kasih baginda atas kelulusan yang diberikan.

Salinan Surat Jawapan KDYMM Sultan Pahang

Transelasi Surat jawapan KDYMM Sultan Pahang :

Daripada Yang Maha Mulia Kepada Yang Berhormat Tuan Residen

Wa-ba'dah daripada itu, ehwal Beta memaklumkan ke majlis paduka sahabat Beta warkatul-ikhlas nombor 1675-10/1924 tarikh 1 Mei 1925 telah wasal dan faham. Maka berbanyaklah beta menerima kasih di atas kelulusan Tuan Yang terutama di atas Lagu Perang Pahang itu dijadikan Lagu Negeri Pahang dan akan digunakan (?) perasmian Federal Council bagi Yang Maha Mulia Sultan Pahang. Hanyalah Beta memaklumkan serta berbanyak-banyak tabik jua adanya.
8.5.25

Rujukan : Dato' Yaakob Isa, Meneliti di Celah-Celah Fail Arkib Negara Malaysia dalam Monograf Pahang Dalam Sejarah VII, 1997.

No comments:

Post a Comment