Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Wednesday, August 18, 2010

Sejarah Bendera Negeri Pahang


Kebiasaannya apabila ditanya tentang bendera Pahang, masyarakat akan teringat kepada gabungan rona hitam dan putih. Pada masa dahulu, masyarakat mengandaikan bahawa warna hitam sebagai warna rakyat jelata, lalu telah mentafsirkan skima hitam pada bendera-bendera negeri sebagai 'rakyat jelata' yang dipegang oleh sistem politik moden.

Hakikat sebenarnya, rona hitam adalah simbol kebesaran Bendahara iaitu suatu simbolik melambangkan bahawa pada suatu ketika dahulu pemerintah di Pahang adalah bertaraf Bendahara. Putih pula adalah melambangkan raja. Maka tambahan warna putih di atas rona hitam membawa makna bahawa Pahang adalah negeri yang mempunyai kedaulatan sendiri dan pemerintahan beraja. Ia juga membawa erti bahawa negeri ini ada keistimewaan, undang-undang, adat istiadat, adat resam, tatasusila serta kuasa-kuasa yang tertentu yang ada pada raja sebagai sebuah negeri yang berdaulat. Inilah wa'ad Demang Lebar Daun dengan Sang Nila Utama berkenaan peranan Bendahara sebagai tuan asal dan sebenar kepada bangsa Melayu.

Baru-baru ini saya berpeluang menatap kembali buku garapan Suzana binti Hj. Othman, Institusi Bendahara : Dinasti Bendahara Johor - Pahang, Persatuan Sejarah Malaysia cawangan negeri Johor, 2002. Beliau yang merupakan seorang penulis prolifik dan pengkaji isu-isu istana Kesultanan Melayu ada mencatatkan berkenaan transformasi bendera negeri-negeri yang diperintah oleh Bendahara (hlm. 44).

Menurut beliau, bendera serba hitam (gambar kiri) merupakan bendera Bendahara sejak turun temurun. Berkemungkinan digunakan dari zaman Melaka lagi kerana kesultanan-kesultanan beraja yang mengambil nobat dari Melaka serta menggunakan khidmat bendahara yang berasal dari satu keluarga bendahara Melaka semuanya mempunyai skima hitam pada bendera kesultanan tersebut, contohnya Perak, Johor Lama dan Terengganu. Negeri Sembilan juga mempunyai skima warna hitam pada benderanya kerana pernah dipegang oleh Bendahara dari zaman Tun Perak. Pahang yang dipegang oleh Dato' Bendaharanya menggunakan bendera serba hitam seperti di sebelah sehinggalah zaman Wan Ahmad dalam tahun 1863.

Dengan mangkatnya Sultan Mahmud Shah II dalam peristiwa 'Marhum Mangkat di Julangan' pada tahun 1699, Dato' Bendahara Paduka Raja Tun Habib Abdul Jalil telah dinaikkan takhta bagi menggantikan baginda kerana Sultan Mahmud tiada berputera. Sebagai Sultan Johor, Tun Habib Abdul Jalil bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV (l699 - 1718). Bendera di sebelah kanan merupakan bendera kesultanan Johor Lama semenjak zaman Sultan Abdul Jalil. Skima hitam melambangkan warna bendahara bagi menunjukkan asal Sultan Abdul Jalil daripada keturunan bendahara, skima putih menunjukkan warna raja, melambangkan status baginda yang kemudiannya menjadi Sultan Johor yang berdaulat. Apabila Bendahara Wan Ahmad memerintah Pahang dalam tahun 1882, baginda menggunakan corak bendera (kiri) dan seterusnya digelar Sultan Ahmad al-Muadzam Shah. Pada zaman kemudiannya, sedikit perubahan dibuat kepada bendera tersebut.


Beberapa perubahan lain bendera Pahang boleh juga dilihat dalam http://fotw.net/flags/my-pahan.html yang ada memaparkan contoh grafik bendera Pahang versi Obsolete Jack dan juga versi British Resident's Flag.

No comments:

Post a Comment