Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Monday, August 16, 2010

Asal Usul Logo Tenun Pahang DiRaja

Baru-baru ini saya menerima e-mail dari seorang pemantau setia Pancapersada yang menimbulkan persoalan tentang logo Tenun Pahang DiRaja (gambar kiri). Beliau ingin tahu adakah benar logo tersebut merupakan gabungan antara simbol kesultanan Johor dan kesultanan Pahang? Persoalan ini memang menarik untuk dibincangkan kerana Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti al-Mutawakkil ‘Alallah Almarhum Sultan Iskandar merupakan Pengasas yang menggerakkan Tenun Pahang sehingga dapat diisytiharkan sebagai Tenun DiRaja pada tanggal 8 Mei 2006 Kampung Budaya Pulau Keladi, Pekan. Kebetulan pula, simbol mahkota amat sinonim dengan institusi kesultanan Johor.


Sebenarnya logo yang digunakan dalam produk Tenun Pahang DiRaja merupakan cogan asal (The Coat of Arms) Kesultanan Pahang. Cogan ini (gambar kanan) pernah digunakan semasa zaman pemerintahan Sultan Ahmad Shah 1. Berdasarkan sejarah, cop mohor ini hanya wujud selepas memperolehi limpah pekenan KDYMM Sultan Pahang pada 31 Disember 1947. Lebih awal dari itu, perbincangan mengenai penggunaan cogan ini telah dimulakan pada awal tahun 1947 setelah YAM Tengku Besar Pahang selaku Yang DiPertua Jawatankuasa Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang telah diberikan tanggungjawab menguruskan perkara ini. YAM Tengku Besar telah melantik YDH Dato' Shabandar dan Dato' Setia Jaya untuk membuat rekaciptanya. Rekacipta Cop Mohor Pahang ini adalah berdasarkan kepada Cogan Negeri Pahang itu sendiri. Pada peringkat awal, cogan Pahang adalah berbentuk sebuah mahkota. Bahagian atasnya terdapat bentuk mata lembing yang diapit di kiri dan kanan bahagian bawahnya dengan huruf jawi yang berbunyi Ya Latif (The Gentle One) di bahagian bawah mahkota terdapat sepasang gading gajah bersilang.

Cogan yang pertama ini akhirnya diubahsuai dengan meniadakan mahkota dan dimasukkan motif daun kopi sebagaimana yang ada sekarang. Perkataan Ya Latif pula dikekalkan.

Tiga bentuk cadangan awal Cop Mohor negeri Pahang

Semasa proses merekabentuk Cop Mohor Pahang dilakukan, pasukan rekabentuk juga menggunakan Cop Mohor Selangor, Perak dan Johor sebagai contoh dan rujukan. Satu perkara yang menarik mengenai hal ini adalah tentang kekeliruan yang mana lebih tepat antara perkata "Mohor" atau "Mahar". Catatan pada kulit fail oleh KDYMM Sultan Pahang pada 10 Jun 1947 ada mencatatkan :

Berkenaan reka acuan cap dalam ini sudah molek nampaknya, melainkan tentang ejaan "mohor" atau "mahar" yang beta tidak berani berkata yang mana satu ejaan yang betul. Oleh itu jika bersetuju jua elok ditangguhkan pada perjumpaan yang akan datang supaya dapat bertanya Dato' Setia Jaya (rujuk Dato' Yaakob Isa, Meneliti di Celah-Celah Fail Arkib Negara Malaysia dalam Monograf Pahang Dalam Sejarah VII, 1997).

Cop Mohor Negri Pahang yang telah diperkenankan

No comments:

Post a Comment