Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Tuesday, September 3, 2013

Khoo Kay Kim dan Mat Kilau: Babak 1

Menonton dokumentari Majalah 3 “Mat Kilau: Sumpah Bahadur” terbitan Nurul Fariha On, hamba tertarik dengan sisi pandangan kontra sejarawan negara Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang turut diselitkan dalam dokumentari tersebut. Sebagai ahli sejarah ikhtisas sejak tahun 1956 lagi, beliau agak sinikal dengan isu Mat Kilau ini (termasuk isu Hang Tuah…).

Pernah dalam satu wawancara bersama wartawan NST, Arman Ahmad pada 29 Januari 2012 secara terbuka beliau menyatakan:
At one time there was a big controversy about whether Mat Kilau was still living. We have British contemporary records that showed he died a long time ago.
Then I heard stories, which could not be confirmed, that said this man was actually a Bangsawan actor from Singapore”.
Sebagai ahli akademik, beliau sememangnya melihat isu Mat Kilau ini dari sudut pembuktian sejarah dan data-data akademik yang kredibel, dan bukannya dari sudut pandang seorang wartawan.

Hamba kongsikan disini sisipan akhbar Berita Harian, naskhah Singapura bertarikh 1 Mac 1970 (Jawatankuasa Menyiasat Kemunculan Mat Kilau ditubuhkan pada 8 Januari 1970). Pada halaman 6 dan 9, Khoo Kay Kim yang masih muda ketika itu telah memberi komentar panjang lebar berkaitan isu Mat Kilau ini. Hamba taipkan semula menggunakan laras bahasa moden.

Mat Kilau Dalam Konteks Sejarah Malaysia
Penulis rencana sejarah ini ialah seorang pensyarah dalam jurusan Sejarah Malaysia di Universiti Malaya. Encik Khoo Kay Kim, 32 tahun, berkelulusan M.A. memulakan rencananya denganSejarah Malaysia dan Keadaan Researchnya.”
Dalam rencana-rencana akan datang beliau antara lain akan menyinggung soal (1) Sejarah Pahang; (2) Mat Kilau dari segi ilmu sejarah; (3) Gerakan anti-penjajah di Semenanjung Tanah Melayu antara tahun-tahun 1830-1920; dan (4) mengulas segala tulisan-tulisan sejarah yang pernah tersiar dalam akhbar-akhbar tempatan – PENGARANG BERITA MINGGU
Dalam masa akhir-akhir ini, banyak publisiti telah diberikan kepada peristiwa muncul kembali pahlawan Mat Kilau di Pahang. Bagi setengah orang ini sendiri merupakan suatu peristiwa yang sungguh-sungguh bersejarah. Bagi setengah lagi yang memang kurang memahami sejarah Malaysia, ini adalah suatu kejadian yang menggelikan hati. “Mungkin Hang Tuah juga akan muncul kembali,” kata mereka.

Disamping itu banyak juga ahli-ahli sejarah telah muncul dan kita hairan mengapa pada masa yang lebih awal, mereka tidak tampil ke hadapan untuk memberi sumbangan yang lebih positif kepada penulisan sejarah Malaysia. Kedengaran juga suara yang lantang menyeru supaya sejarah Malaysia ditulis semula seolah-olah perkara ini tak pernah difikirkan atau diselenggarakan.

Yang mendukacitakan ialah kejahilan setengah orang tentang apa yang sedang berlaku di alam kesarjanaan mengenai pengajian dan penulisan sejarah Malaysia. Mungkin salah satu sebab yang membawa kepada wujudnya perpisahan antara ahli-ahli sejarah ikhtisas dengan orang ramai ialah keengganan pihak yang bertanggungjawab untuk mengubah sukatan pelajaran sejarah di peringkat sekolah. Maka tulisan-tulisan dan gagasan-gagasan baru yang sentiasa dikeluarkan tidak sampai kepada murid-murid dan guru-guru.

Tetapi pada hakikatnya begitu banyak telah dikeluarkan tiap-tiap tahun, mulai beberapa tahun dahulu dalam majalah-majalah dan akhbar-akhbar mengenai masalah-masalah penulisan sejarah Malaysia dan juga aspek-aspek baru sejarah tempatan. Makalah-makalah yang dimaksudkan itu pernah keluar dalam Dewan Masyarakat, Berita Harian, Suluh (majalah Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung), Majalah Guru, Peninjau Sejarah, Journal Persatuan Sejarah Universiti Malaya dan Journal Royal Asiatic Society Cawangan Malaysia (JMBRAS).

Keinsafan

Mengapakah dikalangan mereka yang terdidik, khasnya yang pada masa sekarang cuba menunjukkan kecenderungan mereka terhadap sejarah tanah air kita ini, masih tidak ternampak keinsafan tentang adanya makalah-makalah tersebut?

Di Universiti Malaya, sejarah Malaysia yang bercorak baru telah pun dikuliahkan selama empat tahun. Maka soal-soal yang ditimbulkan dalam surat khabar baru-baru ini, sebenarnya sudah ketinggalan zaman. Bagi ahli-ahli sejarah yang terlibat didalam usaha untuk menulis semula sejarah Malaysia, soal konseptualisasi tidak timbul lagi. Semua sudah jelas, hanya pekerjaan itu harus dijalankan dengan secepat mungkin.

Ahli-ahli sejarah ikhtisas sudah tentu tak dapat menulis sejarah seluruh Malaysia dengan sempurna dalam masa satu tahun sahaja. Research perlukan masa yang panjang. Yang pentingnya pekerjaan mereka harus diselenggarakan terus menerus. Maka adanya makalah-makalah tiap-tiap tahun membuktikan bahawa pekerjaan itu dijalankan dengan lancar.

Harus dititikberatkan soal Mat Kilau dan kebangkitan di Pahang juga tidak ketinggalan. Sebelum peristiwa Mat Siam itu muncul, penyelidikan pun sedang dijalankan oleh seorang calon M.A untuk menghurai dan memaparkan sifat-sifat kebangkitan itu. Dan penyelidikan ini dibuat dengan cara yang teratur lagi saintifik.

Peristiwa

Bukan seorang dua sahaja yang diutamakan dan diagung-agungkan tetapi segala hal yang berkaitan dengan kebangkitan itu ditatap dengan rapi kerana, pada hakikatnya peristiwa itu bukan perbuatan seorang hero tetapi, lebih tepat lagi, merupakan suatu fenomenon sosial dan politik.

Ini membawa kepada soal sifat-sifat penulisan penulisan sejarah yang sedang diselenggarakan oleh ahli-ahli sejarah ikhtisas. Ahli-ahli sejarah bekerja mengikut prinsip-prinsip dan konsep-konsep pensejarahan yang tertentu. Memang terdapat perbezaan pendapat diantara mereka diri sendiri. Tetapi tiap-tiap seorang ahli sejarah melakukan pekerjaannya berasakan kepada rasional dan kriteria yang jelas.

Dan menurut pendapat kemaskini, sejarah harus mencerminkan perubahan-peubahan yang berlaku didalam satu-satu masyarakat. Maka yang dititikberatkan bukan satu-satu golongan atau individu-individu yang tertentu tetapi masyarakat seluruhnya.

Tambahan pula, sekarang dipercayai bahawa sejarah harus dikaitkan dengan masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakat dan negara sebab sejarah juga dapat memainkan peranan yang penting dalam usaha membangun negara kerana melalui sejarah kita dapat memberi penjelasan kepada asal usul tiap-tiap masalah kebangsaan dan dengan proses itu membantu usaha-usaha untuk mencari langkah yang berkesan bagi mengatasi masalah-masalah yang tersebut. Maka bentuk sejarah lama yang lebih sama dengan cerita dengan ada hero dan villainnya tidak lagi diberikan pertimbangan yang serius.

Dan sejarah yang hanya menitikberatkan hal-hal politik-peperangan, penaklukan dan kebangkitan dan keruntuhan satu-satu kerajaan – juga dianggap usang. Kini sejarah mahu mahu mengutarakan segala yang ada kaitannya dengan kehidupan manusia termasuk kebudayaan, tradisi, institusi dan sistem supaya nilai-nilai, cita-cita dan fikiran-fikiran satu-satu kelompok manusia dapat difahamkan oleh penuntut-penuntut sejarah.

Dalam pada itu, kaedah-kaedah mengkaji dan menulis sejarah juga bertambah sofistikated. Kalau dahulu kaedah pemberian dan riwayat (descriptive and narrative method) yang digunakan dengan popularnya, kini ahli sejarah cuba meminjam konsep-konsep dan gagasan-gagasan dari jurusan lain seperti kajimanusia, ekonomi dan kajimasyarakat untuk menafsirkan bahan-bahan sejarah.

Dengan cara itu, ahli sejarah cuba membuat analisa tentang satu-satu kejadian yang berlaku didalam setiap masyarakat dan dalam pada itu mengalurkan proses perkembangan masyarakat dari masa yang silam hingga kepada zaman sekarang dengan tujuan menghuraikan complexity masyarakat dan kehidupan manusia.

Kebangkitan

Maka dalam konteks negara ini, ahli-ahli sejarah ikhtisas mempunyai tugas yang tersangat luas. Berasaskan kepada konseptualisasi sejarah Malaysia yang baru, beratus-ratus tema dan tajuk yang masih belum dikaji dengan rapi. Itu semua harus diberi perhatian iaitu satu demi satu dan soal Mat Kilau dengan kebangkitan di Pahang merupakan salah satu daripada beratus-ratus tema dan dan tajuk yang harus dikaji dalam proses menulis semula sejarah Malaysia.

Mungkin orang ramai ingin tahu dengan cara yang ringkas bagaimanakah tugas-tugas itu dijalankan oleh ahli-ahli sejarah ikhtisas. Seperti saya katakan tadi, sejarah harus dikaitkan dengan masalah-masalah yang timbul sekarang – kita memandang sejarah dari sekarang kepada masa yang kebelakangan dan bukan sebaliknya. Masalah yang kita hadapi termasuk kestabilan masyarakat, perpaduan, perkauman dan ketidakseimbangan ekonomi.

Antara sebab-sebabnya masalah-masalah itu timbul kerana wujudnya salah faham dikalangan rakyat Malaysia tentang beberapa perkara. Salah faham itu akan berpanjangan sekiranya hakikat sejarah tidak diterangkan dengan saksama dan teliti.

Pada umumnya dalam peringkat pertama usaha-usaha menulis semula sejarah Malaysia yang mustahak sekali ialah mengkaji dengan mendalam struktur masyarakat Melayu tradisi kerana masyarakat Melayu adalah nukleus masyarakat Malaysia moden. Dalam lain perkataan, kita kita dapat menunjukkan bahawa masyarakat Melayulah yang menjadi asas untuk perkembangan dan pertumbuhan masyarakat Malaysia moden.

Oleh demikian penduduk-penduduk Malaysia khasnya mereka yang masih muda harus memahamkan masyarakat Melayu dengan lebih mendalam supaya tidak timbul salah tanggapan ataupun yang sudah timbul harus dibasmi dengan secepat mungkin.

Hingga sekarang buku-buku sejarah yang sedia ada sama sekali tidak mengutamakan perkara ini. Kalau ada pun dengan perspektif yang serong.

Pekerjaan itu bukan sudah kerana Semenanjung Tanah Melayu dari beberapa segi bukan suatu entiti yang utuh. Memang tak dapat disangkal pada asasnya terdapat kebuyaan yang sama. Tetapi didalam lingkungan kebudayaan Melayu itu timbul juga variasi tempatan. Tiap-tiap negeri Melayu mempunyai keperibadiannya yang tersendiri. Sistem-sistem dan institusi-institusi kemasyarakatan juga berlainan dari suatu tempat ke suatu tempat.

Proses

Dari masyarakat Melayu tradisi, kita berpaling pula kepada proses pemodenan masyarakat tempatan. Ini termasuk pengkajian tentang perubahan sistem ekonomi, proses pembandaran dan pada keseluruhannya perkembangan-perkembangan yang membawa kepada wujudnya masyarakat majmuk. Dalam pada itu hubungan antara kaum juga harus dititikberatkan.

Disamping itu kita perlu membandingkan keadaan yang wujud di kawasan bandar dan kawasan desa supaya kita dapat memahamkan faktor-faktor yang telah melambatkan proses perkembangan disetengah negeri Melayu. Mengkaji perkembangan masyarakat memerlukan pendekatan yang luas kerana segala faktor yang bersabit, dalam negeri dan luar negeri serta ekonomi, sosial dan politik, patut dipertimbangkan dengan teliti.

Inilah secara kasar, pekerjaan yang dijalankan oleh ahli-ahli sejarah ikhtisas yang terlibat didalam usaha menulis semula sejarah Malaysia. Soal apakah pahlawan-pahlawan kebangsaan seperti Mat Kilau patut diperikan sebagai “pemberontak” merupakan perkara yang elementary. Perkara itu sudah lama diselesaikan dalam fikiran kami.

Pahlawan-pahlawan itu memang bukan “pemberontak” dan kami bisa memberi jawapan yang rasional lagi selaras dengan tafsiran undang-undang yang ditetapkan oleh pihak penjajah sendiri. Menumpukan perhatian kepada perkara yang kecil hanya akan menghalang kemajuan pengkajian sejarah Malaysia yang berbentuk baru.

Tapi harus dititikberatkan bahawa penulisan sejarah Malaysia bukan monopoli ahli-ahli sejarah ikhtisas. Sesiapa pun boleh menulis dan sebenarnya ahli-ahli sejarah ikhtisas perlukan pertolongan dan kerjasama daripada mereka yang berpengetahuan luas tentang sejarah satu-satu peristiwa atau kawasan.

Dan tulisan daripada semua pihak akan diterima dengan baiknya asalkan karya-karya itu menurut prinsip-prinsip yang ilmiah. Dalam masa akhir-akhir ini beberapa buku yang bercorak sejarah telah diterbitkan seperti yang berikut:
1. A. Samad Ahmad (penyusun), Pesaka Selangor;
2. Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arshad, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah;
3. Mohammad Yunus Hamidi, Sejarah Pergerakan Politik Melayu Semenanjung;

Bentuk

4. Haji Mohd. Saleh bin Haji Awang, Sejarah Trengganu;
5. Raja Razman bin Raja Abdul Hamid (penyusun), Hulu Perak Dalam Sejarah
6. Abdul Samad Idris (penyusun), Negeri Sembilan dan Sejarahnya.

Itu semua merupakan sumbangan-sumbangan yang bernilai dan dapat membantu ahli-ahli sejarah ikhtisas dalam usaha mereka mengkaji dan menulis sejarah Malaysia. Kami berharap lebih banyak lagi ahli-ahli sejarah amatur yang akan mara ke hadapan mengeluarkan pengetahuan-pengetahuan mereka dalam bentuk buku. Tidak berguna menyimpan pengetahuan itu dalam otak sahaja.

Satu lagi perkara yang harus diperhatikan, ilmu sejarah dan kewartawanan jauh berbeza. Sejarah tidak bergantung kepada sensasi untuk survivalnya. Dan, pada hakikatnya, konsep bahawa sejarah adalah suatu rekod tentang peristiwa-peristiwa yang besar dan personaliti-personaliti yang agung dianggap usang.

Memang seorang pahlawan kebangsaan harus dihormati dan sudah tentu ada tempat yang kekal baginya didalam babak sebuah negara. Tetapi ilmu sejarah sebagai suatu disiplin ilmiah mempunyai skop yang jauh lebih luas. Sejarah mengkaji segala aspek kehidupan manusia. Nyata sekali, seseorang ahli sejarah itu hanya mempunyai keahlian yang terbatas dan oleh sebab itulah tidak dapat mengkaji perkara-perkara yang terlampau luas. Tetapi ini tidak bertentangan dengan kebenaran bahawa kandungan sejarah tidak terhad kepada perkara-perkara yang tertentu. Maka sejarah setiap negara harus juga meliputi perkara-perkara yang seluas mungkin dengan syarat apa yang dikaji dan yang ditulis patut sesuai dengan kehendak zaman.

p.s: Hamba akan cuba menitipkan artikel beliau yang seterusnya dalam kunjungan akan datang.

1 comment:

  1. Encik, saya ingin bertanya di manakah sumber yang didapati oleh encik untuk membuat teks Khoo Kay Kim dan Mat Kilau: Babak 1 ini? sebab saya sedang membuat penyelidikan.Terima Kasih...

    ReplyDelete