Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Wednesday, September 4, 2013

Khoo Kay Kim dan Mat Kilau: Babak 2

Lampiran ini merupakan sambungan lampiran yang lalu.

Siri 2
Petikan Berita Harian (edisi Singapura), 8 Mac 1970, halaman 6

MAT KILAU DARI SEGI ILMU SEJARAH
Oleh Khoo Kay Kim

Siri ke-2 Rencana Sejarah Malaysia

Dalam siri yang pertama telah dijelaskan konsep-konsep sejarah moden dengan dikaitkan khas kepada penulisan sejarah Malaysia. Sudah dinyatakan bahawa tugas-tugas seorang ahli sejarah lebih luas daripada mencari hero dalam perkembangan sejarah walaupun tidak dinafikan bahawa seorang pahlawan kebangsaan harus diberikan tempat yang sewajarnya dalam babak negara.

Sesetengah ahli sejarah memang suka menulis biografi personaliti-personaliti yang terkemuka. Ini juga tidak bertentangan dengan konsep sejarah moden asalkan diinsafi bahawa masyarakat seluruhnya lebih penting daripada setiap personaliti oleh kerana manusia pada keseluruhannya dipengaruhi oleh alam sekitar.

Dan tiap-tiap seorang pemimpin perlukan pengiring dan kejayaannya bergantung kepada suasana (politik, sosial, ekonomi dan psikologi) yang wujud pada satu-satu masa yang tertentu.

Tentang Mat Kilau juga, tempatnya dalam sejarah Malaysia harus dipandang dengan perspektif yang betul. Sebelum tahun-tahun 1890-an, Mat Kilau belum muncul sebagai suatu personaliti yang terkemuka dalam sejarah Pahang. Oleh kerana ayahnya, Tok Gajah, seorang pembesar yang sangat berpengaruh, maka Mat Kilau sudah tentu menduduki tempat yang istimewa dalam masyarakat Pahang.

Kriteria Penting

Pada zaman feudal, kelahiran merupakan suatu kriteria yang penting untuk menentukan tempat tiap-tiap seorang didalam susun pangkat sosial – politik. Dengan rasminya ia telah dilantik sebagai Ketua Kedondong, salah satu daripada pegangan-pegangan Tok Gajah.

Walaupun dia dikatakan seorang yang gagah berani, lagi tampan dan kacak, menurut pangkat dan status dia memang tidak melebihi pembesar-pembesar yang memegang gelaran-gelaran Orang Besar Berempat dan Orang Besar Berlapan. Bukan social mobility adalah mustahil; yang saya katakan itu merupakan keadaan yang sebenarnya.

Memang ada individu-individu yang pernah mencapai pangkat yang tinggi kerana kehandalan mereka, misalnya Tok Gajah dan Dato’ Bahaman. Tetapi Mat Kilau sendiri bukan salah satu daripada individu-individu itu.

Mungkin lebih mustahak daripada pencapaian individu-individu pada masa itu ialah keadaan dalam masyarakat Pahang. Pada hakikatnya, dalam pertengahan yang kedua abad yang ke-19, beberapa peristiwa yang penting telah berlaku selain daripada munculnya pentadbiran British.

Perang Saudara

Akibat kemangkatan Bendahara Ali pada tahun 1857, perang saudara berlaku dan hanya tamat pada tahun 1863 dengan Wan Ahmad dilantik sebagai Bendahara Pahang menggantikan saudaranya Wan Mutahir dan anak saudaranya Tun Koris.

Dalam perjuangan itu, Wan Ahmad telah dibantu oleh Rasu (kemudian Tok Gajah) dan Bahaman. Oleh sebab itu kedua-dua pahlawan itu menjadi kesayangan Bendahara Wan Ahmad dan diberi keistimewaan yang menjadikan kedudukan mereka terlampau kuat di Pahang.

Kejadian itu kurang disetujui oleh setengah pembesar dan dengan sebab itu dan faktor-faktor lain timbul beberapa golongan yang bertentangan, salah satu daripadanya dipimpin oleh Wan Mansur yang juga saudara kepada Wan Ahmad.

Perselisihan diantara pembesar-pembesar Pahang pada keseluruhannya tidak mengganggui kestabilan politik tetapi memberi kesan yang agak buruk kepada perkembangan ekonomi kerana tidak ada kuasa yang sungguh-sungguh mutlak didalam masyarakat itu.

Kedatangan British pada penghujung tahun-tahun 1880-an merupakan faktor tambahan yang menjadikan keadaan politik terlampau kompleks. British, seperti biasa, berpihak kepada golongan yang lebih lemah dan dengan cara itu mengganggu keseimbangan kekuatan dalam negeri. Maka pepereangan yang meletus pada tahun-tahun 1890-an bukan sahaja suatu percubaan untuk menghalau pihak penjajah tetapi juga merupakan suatu pernyataan yang jelas tentang adanya konflik didalam masyarakat.

Dalam pada itu, yang penting bagi seorang sejarawan ialah mengkaji bagaimana beberapa golongan itu berlumba-lumba untuk merebut kuasa dan disamping itu menentukan siapakah mereka yang terlibat didalam satu-satu golongan yang tertentu.

Perkara Yang Asas

Dengan mengasingkan satu-satu faktor yang telah mengakibatkan konflik itu dan disamping itu mengkaji latar belakang tiap-tiap seorang pembesar yang terlibat didalam perjuangan dan persaingan itu maka pengetahuan kita tentang masyarakat Pahang – iaitu perjalanan sistem-sistem politik dan sosialnya – akan menjadi lebih jelas.

Dan seperti yang dikatakan dalam siri yang pertama kebangkitan itu bukan perbuatan seorang pahlawan tetapi merupakan suatu fenomenon politik – sosial, maka dengan mengutamakan personality sahaja tidak memadai.

Masyarakat wujud kerana adanya manusia dan hubungan diantara manusia-manusia itu juga diantara kelas-kelas dan golongan-golongan merupakan perkara yang asas pada perkembangan masyarakat. Dan hubungan-hubungan itu juga dikendalikan oleh sistem-sistem dan institusi-institusi yang dicipta oleh manusia sendiri untuk memudahkan perjalanan hidup. Maka untuk memahami satu-satu peristiwa atau fenomenon yang terjadi di satu-satu masyarakat perlukan fahaman yang mendalam tentang struktur masyarakat yang berkenaan.

Mat Kilau merupakan salah satu daripada beberapa individu dalam satu golongan yang tertentu – golongan yang semenjak perang saudara 1857-63 sangat rapat pada pemerintah Pahang Bendahara Wan Ahmad (memakai gelaran Sultan dengan rasminya mulai rtahun 1881). Tempatnya dalam sejarah Pahang harus dipandang dalm konteks itu.

Percubaan Besar-Besaran

Tambahan pula kebangkitan 1890-an itu tidak bermula dengan Mat Kilau sebagai pemimpinnya. Yang mula-mula sekali menentang British ialah Dato’ Bahaman yang enggan menerima syarat-syarat yang diletakkan oleh kuasa British. Tidak hairanlah peristiwa itu lebih biasa dikenal sebagai “Perang Bahaman”.

Selepas itu baru muncul suatu percubaan besar-besaran untuk berperang dengan British dan antara mereka yang terlibat kali ini ialah Sultan Ahmad sendiri dengan pembesar-pembesar Pahang termasuk Tok Raja dan Tok Gajah. Waktu inilah Mat Kilau muncul sebagai pahlawan yang gagah.

Tetapi oleh kerana gerakan penentangan itu tidak dikelolakan dengan rapi dan peranan Sultan Ahmad kurang positif, kejayaannya mustahil. Di sana sini berlaku pertempuran yang agak hebat juga, khasnya di Kuala Atok (1892) dan Kuala Tembeling (1894), tetapi akhirnya kuasa British yang mencapai kemenangan yang decisive dengan bantuan Tok Raja.

Kalau Mat Kilau merupakan pahlawan yang paling handal sekali disebelah pihak Dato’ Bahaman – Tok Gajah disebelah British pula timbul seorang pahlawan Pahang juga yang tidak kurang handalnya iaitu Panglima Garang Yusoh (kemudian dinaik pangkat menjadi ketua Pulau Tawar dengan gelaran Imam Perang Setia Raja).

Mencari Perlindungan

Nyata sekali konflik didalam negeri melemahkan usaha-usaha untuk menentang British. Dan mereka yang berani membantah British kemudian menjadi pengongsi yang terpaksa mencari perlindungan di Terengganu dan Kelantan.

Bagi ahli sejarah, kekacauan di Pahang itu mempunyai pengertian yang tersangat luas. Ini bukan sahaja suatu peristiwa yang menarik dan penting tetapi kesan-kesannya, secara tidak langsung, atas usaha-usaha mengkaji dan menulis sejarah Malaysia amat mustahak kerana sudah menjadi kebiasaan untuk manusia merekodkan dengan terperinci peristiwa-peristiwa yang besar dan kekacauan politik dimana-mana pun mendapat perhatian yang luar biasa. Maka tidak hairanlah kebanyakan dokumen-dokumen sejarah bersangkut dengan kekacauan politik pada hal aspek-aspek lain kehidupan manusia dianggap sederhana dan jarang direkodkan dengan teliti.

Walaupun rekod-rekod itu berkenaan dengan kekacauan politik biasanya terdapat juga keterangan-keterangan yang bernilai tentang perkara-perkara lain seperti keadaan sosial dan ekonomi. Demikianlah kekacauan 1890-an itu telah memperkayakan bahan-bahan sejarah mengenai Pahang.

Disini harus dibangkitkan suatu perkara yang kurang disedari oleh orang ramai. Kehebohan akhir-akhir ini tentang tuntutan Mat Siam sebenarnya juga mempunyai pengertian amat penting untuk ahli sejarah. Apakah tuntutan itu benar, tak perlu disentuh. Keputusan akan diberi dengan rasmi tak lama lagi.

Perkara ini dapat dipandang dari segi lain pula. Yang mustahak ialah Mat Siam itu seorang yang berusia tua dan sudah jelas pada kita mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang sejarah Pahang. Bagi ahli sejarah orang tua-tua memang bernilai kerana mereka dapat digunakan sebagai “bahan” sejarah.

Dokumen Sejarah

Menurut pendapat sekarang dokumen-dokumen sejarah bukan sahaja termasuk rekod-rekod bertulis tetapi juga tradisi lisan dan keterangan-keterangan lisan. Orang tua-tua merupakan living evidence yang dapat melengkapi dokumen-dokumen bertulis. Maka bukan sahaja Mat Siam yang penting tetapi semua orang tua-tua yang dikatakan berusia 90-100 tahun.

Apakah mereka itu pernah terlibat didalam kebangkitan 1890-an itu atau pernah menyaksikannya merupakan soalan yang berasingan. Beruntunglah kalau mereka itu sebenarnya living witness. Kalau tidak pun mereka masih dapat menolong ahli sejarah dengan memberi maklumat tentang keadaan sosial,ekonomi dan politik di Pahang pada abad yang ke-19 dan juga awal abad ke-20.

Adat Istiadat

Soal-soal seperti perkembangan pelajaran, hubungan sosial diperingkat kampung, institusi-institusi kekeluargaan, adat istiadat dan hal ehwal ugama memang dianggap penting oleh ahli sejarah, tetapi bahan-bahannya sukar hendak diperolehi.

Jelas sekali sejarah negeri-negeri Melayu dan sejarah Malaysia pada keseluruhannya, mempunyai skop yang terlampau luas. Rancangan untuk research harus disediakan dengan teratur dan pekerjaan itu (menyiasat, mengkaji dan menulis) tak dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.

Tentang kebangkitan 1890-an dan Mat Kilau, misalnya, hanya jawapan-jawapan yang tentative yang dapat diberikan oleh ahli sejarah ikhtisas pada masa sekarang. Dokumen-dokumen begitu banyak – bukan di negara ini sahaja, bahkan di negeri Rusia pun ada. Dan sebelum rekod-rekod itu ditatap dan diproses dengan teliti, memang susah hendak memberi jawapan yang tetap.

Sungguh Menarik

Buat sementara apa yang penting ialah perspektif. Kalau perspektif itu serong maka bila kita membaca rekod-rekod akan timbul fahaman dan gambaran yang tidak saksama.

Cerita Mat Kilau itu memang dapat digunakan untuk membuat novel dan drama yang sungguh menarik. Ia dapat dijadikan epic juga di alam kesusasteraan, tetapi dalam konteks ilmu sejarah, berdasarkan pada apa yang telah diterangkan Mat Kilau memang subordinate pada kebangkitan 1890-an itu yang merupakan suatu fenomenon politik – sosial yang kompleks.

Kebangkitan itu pula adalah suatu peristiwa dalam sejarah Pahang dan sejarah Pahang merupakan sebahagian daripada sejarah Malaysia.

p.s: Bersambung kemudian.

No comments:

Post a Comment