Pahang bakal memiliki satu lagi destinasi pelancongan menarik apabila Pulau Acheh yang terletak di Kuala Rompin akan dibangunkan sebagai pusat peranginan popular selepas Pulau Tioman.
Idea projek pembangunan di kawasan seluas 20 hektar itu diilhamkan oleh YAM Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah.
Dikenali sebagai Rain Forest Resort, projek itu yang bakal dibangunkan oleh Plus Asia Jaya Sdn. Bhd. dijangka melibatkan kos RM120 juta. Pelancaran projek berkenaan disempurnakan KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah yang turut dihadiri Tengku Muda Pahang, YAB Menteri Besar Pahang dan ADUN kawasan Tioman, Kapten (B) Dato’ Haji Johari Hussain.
Pada sidang akhbar kemudiannya, Ketua Pegawai Eksekutif Plus Asia Jaya Sdn. Bhd., Dato’ Loi Kong Yaw berkata, projek yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan itu tidak akan menjejaskan alam sekitar kerana konsep pembinaan dilakukan secara mesra alam.
"Pusat penginapan itu akan menyediakan hotel dan chalet bertaraf lima bintang serta memfokuskan 80 peratus konsep alam semula jadi dalam pembinaan itu nanti," katanya.
Selain itu, Kong Yaw berkata, beberapa projek lain turut dibangunkan seperti kondominium, pangsapuri dan taman tema air serta pelabuhan kapal layar sebagai tarikan kepada pengunjung ke pulau itu.
Dalam pada itu, Johari berkata, apabila projek itu siap kelak, ia juga bakal menawarkan kira-kira 300 hingga 350 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Menurutnya, Pulau Acheh mendapat namanya kerana pernah menjadi tempat berlindung pedagang dari Aceh sebelum ini.
Kenali Pulau Acheh, Pahang
Bagi kaki pancing, Kelong Acheh Resort at Sea berhampiran Penyabong adalah destinasi yang sangat mengujakan. Kemudahan memancing di atas pelantar terapung beserta dengan penginapan menjadi penyebab ianya kerap dikunjungi oleh kaki pancing dari serata tempat. Tatkala santai di situ, antara pemandangan yang mengasyikkan adalah Pulau Aceh.
Pemandangan Pulau Aceh dari kelong
Pulau Aceh boleh dikunjungi dengan melalui jeti Penyabong yang jaraknya sekitar 2 km sahaja. Secara fizikalnya, terdapat beberapa buah lagi pulau yang berdekatan Pulau Aceh seperti Pulau Sembilang, Pulau Seri Buat, Pulau Layak, Pulau Tengah dan semestinya Pulau Tioman.
Mengapa Pulau Aceh Dalam Jajahan Pahang?
Perkara ini ada berkait rapat dengan sejarah silam kerajaan Pahang dan Johor. Walau secara zahirnya kebanyakan pulau-pulau di Laut Cina Selatan seakan-akan lebih dekat dengan Johor, namun ada beberapa insiden yang berlaku antara kerajaan Pahang dan Johor yang akhirnya memihak kepada Pahang.
Perjanjian Pahang - Johor
Pada bulan Disember 1861, Temenggung Daeng Ibrahim (bagi pihak kerajaan Johor) telah melakar satu surat perjanjian dengan Bendahara Tun Mutahir (bagi pihak kerajaan Pahang) yang ditandatangani oleh Dato’ Bendahara Paduka Raja Tun Koris. Antara lain isi kandungan surat itu menyatakan :
“Johor dan Pahang bekerjasama antara satu sama lain jika diserang musuh. Jika timbul sebarang kekusutan antara mereka, hendaklah diserahkan kepada orang Inggeris sebagai orang tengah bagi menyelesaikannya. Daerah yang terletak dari Endau ke Sedili Besar termasuk Pulau Tioman dan pulau-pulau di selatannya, dimasukkan dalam perintah kerajaan Johor” (Nicholas Tarling, British Policy in the Malay Peninsula and Archipelago 1824 - 1871, j. XXX, hlm 68; R.O Winstedt, A History of Johor, j. X, hlm. 95; W. Linehan, A History of Pahang, j. XIV, hlm. 71).
Pada 17 Jun 1862 sekali lagi perjanjian yang agak sama telah dimeterai pula antara Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor bagi pihak kerajaan Johor dengan Bendahara Seri Maharaja Wan Mutahir yang juga sekali lagi telah ditandatangani oleh Dato’ Bendahara Paduka Raja Tun Koris. Antara isi perjanjian itu ialah :
“Johor dan Pahang mengaku bersahabat dan bekerjasama antara satu sama lain jika diserang musuh. Temenggung Abu Bakar hendaklah membantu Wan Koris (Tun Koris) dan penggantinya apabila dikehendaki. Jika berlaku perselisihan antara kedua belah pihak, hendaklah diserahkan kepada Inggeris untuk menyelesaikannya. Pulau Tioman dan pulau lain di selatan diserahkan kepada kerajaan Johor. Di darat pula kawasan tanah bagi negeri Johor diperluaskan lagi ke utara sampai ke Sungai Endau menjadi sempadan darat antara negeri johor dengan negeri Pahang” (Sejarah Pahang hlm. 165 – 166).
Punca Perlanggaran Perjanjian
Ada dua peristiwa yang menyebabkan berlakunya sedikit pergeseran antara Johor – Pahang :
Insiden 1
Pada 10 Jun 1863, Wan Ahmad telah berjaya mengambil Pahang dari tangan abangnya Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Oleh sebab Orang-Orang Besar Pahang telah mengangkat Wan Ahmad menjadi Bendahara, maka raja pemerintah Pahang bergelar Bendahara Siwa Raja atau Seri Wak Raja. (W. Linehan, A History of Pahang, j. XIV hlm. 84 - 89; R.O Winstedt, A History of Johor, j. X, hlm. 105).
Namun selepas perlantikan tersebut, dalam bulan Jun tahun 1963 Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor telah memaklumkan kepada Gabenor Mejar Jeneral Sir William Orfeur Cavenagh di Singapura berkenaan kemangkatan Tun Mutahir dan anaknya Wan Koris yang hanya berselang empat hari antara keduanya.
Temenggung Abu Bakar telah mencadangkan kepada Gabenor agar Wan Ahmad dijadikan Pemangku Raja sahaja sehinggalah putera sulung Almarhum Wan Koris memegang tampuk kerajaan.
Namun Gabenor Cavenagh percaya cadangan Temenggung Johor itu tidak akan diterima oleh Bendahara Wan Ahmad dan tentu sahaja baginda tidak mahu melepaskan kerajaan Pahang itu ke tangan orang lain. Mengenai hal ini, kerajaan British telah mengambil sikap tidak masuk campur dalam urusan di Pahang (Nicholas Tarling, British Policy in the Malay Peninsula and Archipelago 1824 - 1871, j. XXX, hlm. 74).
Peristiwa ini agak mengguris hati Wan Ahmad. Namun atas dasar semangat setiakawan dengan negeri berjiran, baginda sekadar memendam rasa. Sementelah lagi ketika itu suasana dalam negeri juga tidak mengizinkan baginda menumpukan sangat hal ehwal urusan di luar Pahang. Ada satu catatan menarik tentang semangat setiakawan baginda iaitu tatkala menerima kunjungan Sultan Ali Putera Almarhum Sultan Husain Shah Singapura, yang pada masa itu tinggal di Umbai (Melaka).
Beliau telah datang ke Pahang mengikut jalan Hulu Muar, Sungai Serting, Sungai Bera dan terus ke Pekan berjumpa Bendahara Wan Ahmad sebaik sahaja baginda mendapat kemenangan dan menjadi Bendahara Pahang. Dalam pertemuan tersebut, Sultan Ali telah menyatakan kepada Bendahara Wan Ahmad tentang keinginannya selama ini untuk melantik Che’ Wan Ahmad sebagai Sultan Johor - Pahang, supaya dengan jalan itu dapatlah dibentuk semula Kesultanan Johor - Pahang seperti dahulu di bawah seorang Sultan, yang mana di Pahang ada Bendaharanya dan di Johor ada Temenggungnya.
Oleh sebab Bendahara Wan Ahmad tidak mahu menimbulkan sebarang kerumitan, permintaan Sultan Ali itu telah ditolaknya. Dalam pada itu untuk melembutkan hatinya, Sultan Ali telah dikahwinkan di Pahang. Kemudian Sultan Ali balik ke Umbai dengan hampa (W. Linehan, A History of Pahang, j. XIV, hlm. 93; R.O Winstedt, A History of Johor, j. X, hlm. 105).
Insiden 2
Dalam bulan Ogos 1863, Temenggung Abu Bakar telah mengadu kepada Gabenor Mejar Jeneral Sir William Orfeur Cavenagh di Singapura dengan mendakwa Che’ Wan Ahmad berhajat menyerang Johor dan menawan Endau serta Pulau Tinggi. Apabila Cavenagh mengemukakan perkara itu kepada ketuanya, kerajaan British telah membenarkan Gabenor Cavenagh menjadi orang tengah bagi menyelesaikan perselisihan di antara Johor dengan Pahang itu.
Temenggung Johor telah bersedia untuk menerima Cavenagh tetapi Bendahara Wan Ahmad tidak percaya dengan kejujuran Gabenor Cavenagh bagi menyelesaikan perkara itu. Gabenor Cavenagh tahu jika mahukan Bendahara Wan Ahmad menerima penyelesaian British, British terpaksa menggunakan kekuatan senjata tetapi kerajaan British tidak membenarkan Cavenagh berbuat. begitu kerana dalam perselisihan Johor - Pahang itu kerajaan British berpendapat kesalahannya ialah dari pihak Temenggung Johor, sebab Temenggung Johor masih lagi menunjukkan tentangannya terhadap Wan Ahmad walaupun sudah nyata Wan Ahmad telah menang dalam perjuangannya mengambil negeri Pahang (Nicholas Tarling, British Policy in the Malay Peninsula and Archipelago 1824 - 1871, j. XXX, hlm. 74 - 75).
Dalam bulan Oktober 1863 itu juga, Bendahara Wan Ahmad telah memaklumkan kepada Gabenor di Singapura, menyatakan orang Besar Empat di Pahang telah mempersilakan beliau ke Pahang, dan beliau telah menawan negeri itu pada 10 Jun 1863 dan Orang-Orang Besar Pahang telah melantiknya menjadi raja pemerintah di negeri itu.
Setelah menerima surat daripada Bendahara Wan Ahmad, Gabenor Negeri Selat telah mengirim surat kepada kerajaan British di England memberitahu bahawa orang Pahang telah bersetuju dengan raja pemerintahnya yang ada sekarang, negeri itu telah aman dan perniagaan juga telah berjalan dengan baik.
Oleh sebab telah menerima laporan daripada Gabenor Negeri Selat, kerajaan British menetapkan untuk mengakui Bendahara Wan Ahmad sebagai raja pemerintah yang sebenarnya di negeri Pahang (R.O Winstedt, A History of Johor, j. X, hlm. 105 - 106; W. Linehan, A History of Pahang, j. XIV, hlm. 90).
Perselisihan Berkenaan Sempadan
Bendahara Pahang dengan Temenggung Johor berselisih faham mengenai pulau-pulau di Laut Cina Selatan yang telah diserahkan oleh Almarhum Bendahara Tun Mutahir kepada kerajaan Johor dahulu. Perkara ini tidak disetujui oleh Bendahara Wan Ahmad. Baginda tetap mengatakan bahawa Pulau Tioman, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan pulau-pulau lain adalah termasuk dalam kuasa mutlak kerajaan Pahang.
Dalam bulan Oktober 1863 itu juga, Bendahara Wan Ahmad telah memanggil ketua-ketua di Pulau Tinggi, Pulau Tioman dan Pulau Aur datang berkumpul berjumpa baginda di Mersing dan baginda telah dapat pengakuan yang menyatakan mereka tetap taat setia kepada Bendahara Pahang (R.O Winstedt, A History of Johor, j. X, hlm. 106 - 107; W. Linehan, A History of Pahang, j. XIV, hlm. 90).
Dalam bulan Julai tahun 1865 pula, dua buah kapal perang British telah datang ke Pulau Tinggi untuk mencari seorang yang bernama Bujang yang dikatakan telah merompak dan membunuh seorang Cina rakyat British yang merupakan pemotong kayu di Pulau Seri Buat.
Apabila orang British itu tidak dapat mencarinya, Gabenor di Singapura telah meminta pertolongan Bendahara Wan Ahmad. Bendahara mengatakan beliau memang suka untuk mencari orang itu, kerana “dia adalah rakyat Johor yang telah menceroboh masuk ke pulau-pulau dalam perintah Pahang”. Jawapan Bendahara itu nyata bermaksud menegaskan lagi bahawa pulau itu ialah kepunyaan kerajaan Pahang dan ini menandakan baginda sudah mula memukul canang (R.O Winstedt, A History of Johor, j. X, hlm. 107).
Rentetan dari itu, Bendahara Wan Ahmad telah menerima sepucuk surat daripada Gabenor Cavenagh yang menyatakan bahawa pihaknya tidak mengakui pulau-pulau yang disebutkan dahulu masuk ke dalam kuasa kerajaan Pahang. Ini kerana pulau itu termasuk di bawah perintah Temenggung Johor. Walaupun demikian menurut Gabenor; Pulau Tioman, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan pulau-pulau yang lain memang selamanya di bawah perintah Pahang.
Tindak Balas Johor
Dalam bulan September 1866, Bendahara Wan Ahmad telah mengadu kepada Lt. Kolonel Ronald MacPherson, Residen Kaunselor di Singapura, berkenaan seorang pegawai kerajaan Pahang bernama Tengku Zainal yang telah pergi menyiasat dan memburu lanun di Pulau Tinggi, Pulau Tioman dan Pulau Aur. Namun tiba-tiba pegawai tersebut telah mendengar berita mengatakan satu pasukan askar Johor telah datang dengan sebuah kapal Temenggung Johor untuk membuat kacau dan menangkap rakyat Pahang di pulau itu. Bendahara Wan Ahmad mengatakan juga, bahawa tuduhan yang telah dilemparkan kepadanya yang mengatakan kononnya Tengku Zainal ingin melakukan rompakan adalah semata-mata bohong. Baginda menegaskan kalau tuduhan palsu itu dipercayai, maka sudah pasti perniagaan di antara Pahang dengan Singapura akan terjejas.
Pada bulan November 1866 pula, Bendahara Wan Ahmad telah mengadu kepada Gabenor Cavenagh, mengatakan tentang orang Temenggung Johor yang telah menangkap lima orang rakyat Pahang dan telah merampas harta-benda mereka hanya semata-mata kerana rakyat Pahang itu telah dijumpai di Pulau Tioman. Anak-anak kapal Temenggung dikatakan telah merampas harta-benda kerajaan Pahang di Pulau Kaban dan telah menangkap beberapa orang nelayan (W. Linehan, A History of Pahang, j. XIV, hlm. 90 - 91).
Penyelesaian Pertikaian
Mengikut Hikayat Pahang, pada 1867 negeri Pahang berada dalam keadaan aman dan makmur (setelah dua tahun lamanya kekurangan padi). Makanannya murah, lima gantang beras hanya berharga seringgit sahaja, dan seratus gantang padi hanya dua ringgit, tanaman-tanaman tetap subur. Keamanan dan kemakmuran itu, menurut Hikayat Pahang, adalah kerana baiknya pemerintahan Bendahara Wan Ahmad (W. Linehan, A History of Pahang, j. XIV, hlm. 92; Hikayat Negeri Johor, j. X). Namun sayangnya, perselisihan antara Bendahara Wan Ahmad dengan Temenggung Abu Bakar belum juga selesai.
Tetapi dalam tahun 1867 ini, tiada berapa lama sebelum Gabenor Mejar Jeneral Sir Harry St. George Ord tiba di Singapura menjadi Gabenor Negeri Selat menggantikan Cavenagh, Temenggung Abu Bakar secara mengejut telah bersetuju untuk menyerahkan Pulau Tioman, Pulau Seri Buat, Pulau Kaban dan pulau-pulau lain yang terletak di sebelah utara Garisan Lintang 20° 40', kepada kerajaan Pahang (Bendahara Wan Ahmad) demi menyelesaikan perselisihan yang telah begitu lama berlanjutan.
Selepas ketibaan Harry Ord, beliau telah mengambil tindakan untuk menyelesaikan hal perselisihan antara Johor dengan Pahang. Pada bulan Ogos 1868, dalam lawatannya ke pantai timur Semenanjung Tanah Melayu, Gabenor Harry Ord telah singgah di Pekan, Pahang berjumpa Bendahara Wan Ahmad dan merundingkan perkara tersebut.
Pada masa itu, telah ditetapkan Sungai Endau menjadi sempadan darat antara negeri Pahang dengan negeri Johor, dan ke lautnya dari tengah kuala Sungai Endau mengikut satu garisan lintang yang dijangkakan dari situ lurus arah ke timur, laut dan pulau yang terletaknya di sebelah utara daripada garisan lintang itu, masuk ke dalam perintah Pahang, Pulau Tioman masuk ke dalam perintah Pahang, dan laut serta pulau yang terletak di sebelah selatan daripada garisan lintang itu masuk perintah Johor.
Pada 1 September 1868 telah ditandatangani surat perjanjian mengenai keputusan itu oleh Bendahara Wan Ahmad bagi pihak kerajaan Pahang, dan Maharaja Abu Bakar* bagi pihak kerajaan Johor dengan disaksikan oleh Mejar Jeneral Sir Harry St. George Ord.
Sejak itulah juga kerajaan British mula mengakui Bendahara Wan Ahmad sebagai raja pemerintah Pahang (Nicholas Tarling, British Policy in the Malay Peninsula and Archipelago 1824 - 1871, j. XXX, hlm. 81; Hj. Mohd. Said bin Hj. Sulaiman, Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Abu Bakar Johor, hlm. 20; C. Northcote Parkinson, British Intervention in Malaya 1867 – 1877, hlm. 33).
*Temenggung Abu Bakar Johor mula memakai gelaran Maharaja pada bulan Jun 1868 — Maharaja Abu Bakar.
No comments:
Post a Comment