Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Saturday, May 28, 2016

Mesyuarat AJK PSMCP 1/2016


Mesyuarat Ahli Jawatankuasa baharu Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang (PSMCP) 01/2016 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang pada 27 Mei 2016 (Jumaat) jam 3.00 petang.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Pengerusi PSMCP, Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan Datp' Sri Wan Haji Abd. Wahid bin Haji Wan Hassan. Turut hadir dalam mesyuarat ini adalah Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Puan Hajjah Faridzah binti Jaafar.

Tuesday, May 17, 2016

Pimpinan Persatuan Sejarah Pahang 2016/2017



Pada 16 Mei 2016 (Isnin), bertempat di Bilik Mesyuarat (Aras 3) Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang telah diadakan Mesyuarat Agong Pertama Penubuhan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang (PSMCP).

Beberapa perkara telah diputuskan, antaranya perlantikan Pegawai dan Jawatankuasa Kerja PSMCP 2016/2017 seperti butiran berikut:

Penaung Utama:

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang
Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah

Penaung:

Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang
Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah

Penasihat:

Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang
Dato' Sri DiRaja (Dr.) Haji Adnan bin Haji Yaakob

Yang Berhormat
Dato' Sri Haji Mohd. Sharkar bin Haji Shamsudin
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang  

Pengerusi:

Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan
Dato' Sri Wan Haji Abd. Wahid bin Haji Wan Hassan

Naib Pengerusi:

Yang Hormat Dato' Abdul Ghani bin L. Sulaiman

Setiausaha Kehormat:

Yang Hormat Dato' Haji Mohamed Hadi bin Shirin

Penolong Setiausaha Kehormat:

Tuan Haji Mokhtar bin Abdullah Bakry 

Bendahari Kehormat:

Yang Hormat Dato' Haji Abdul Rahman bin Imam Arshad

Pengarang Kehormat:

Yang Hormat Dato' Us. Haji Badli Shah bin Haji Alauddin

Ahli Jawatankuasa:

Yang Hormat Dato' Dr. Haji Ahmad Munawwar bin Haji Abd. Jalil
Yang Hormat Dato' Dr. Ahmad Fadzil bin Abdullah
Yang Hormat Dato' Haji Ja'afar bin Salleh
Yang Mulia Engku Mohd. Faisal bin Engku Najamuddin
Yang Berbahagia Datin Hajjah Sharifah binti Syed Merican
Yang Berbahagia Drs. Wan Aminuddin bin Wan Ab. Hamid
Tuan Haji Bahasan bin Haji Abd. Rahman
Tuan Haji Yaakob bin Haji Abdullah
Tuan Haji Alang Ahmad bin Haji Teh
Tuan Haji Mohamadan bin Mohamad
Tuan Haji Abu Bakar bin Haji Ahmad 

Ahli Jawatankuasa Atas Jawatan:

Pengurus Besar Yayasan Pahang
Pengarah Pelajaran Negeri Pahang
Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Pahang
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang
Pengarah Arkib Negara Cawangan Pahang
Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pahang

Juruaudit Kehormat:

Puan Hajjah Saedah binti Md. Shariff
Puan Hasnah binti Yusoff

Saturday, March 12, 2016

Imam Perang Indera Mahkota Haji Abd. Halim bin Ja'afar (Che' Gandut)

Imam Perang Indera Mahkota (kredit kepada YHM Dato' Setia Jaya Tunku Dato' Iskandar Dzulkarnain) 

Imam Perang Indera Mahkota Haji Abd. Halim bin Ja'afar bin Ishak bin Mohamad Noor dari Jambi merupakan antara jeneral utama di negeri Pahang yang namanya tercatat dalam naskhah-naskhah sejarah ikhtisas khususnya dalam era Peperangan Bendahara 1857-1863 dan Perang Klang 1872. Sekurang-kurangnya ada 7 jasa beliau yang dirakam sejarah secara rasmi:
 
Mac 1870: Mengetuai pasukan back-up bagi membantu pasukan Imam Perang Yusoh, Tg. Abd. Samad dan Uteh Gali (pasukan Bendahara) dalam Perang Gali (Middlebrooke, hlm. 45-46 dan 68; Pahang, hlm. 93-94).
 
Mac 1873: Bendahara Wan Ahmad mengurniakan gelaran “Imam Perang Indera Mahkota” kepadanya selepas beliau dan Imam Perang Rasu berjaya membantu menawan Kuala Lumpur (Middlebrooke, hlm. 81; Pahang, hlm. 97).
 
Mei 1873: Mengetuai angkatan perang laut dari Pahang yang mengandungi 50 buah perahu bersama 500 pendekar ke Klang. Dibantu oleh Abdullah Bera, dan disertai oleh Wan Mansur, Wan Ibrahim  dan Wan Mahmud (semasa tiba di Klang, telah ada 3,000 pendekar Pahang menanti di Selangor) (Middlebrooke, hlm. 81; Pahang, hlm. 97 dan PESAKA, hlm. 44).
 
Ogos 1887: Menjadi utusan rasmi Sultan Ahmad bersama Tok Gajah dan Muhammad Nur ke Singapore untuk bertemu dengan Gabenor Sir Frederic Weld bagi menyampaikan surat Tuanku (Pahang, hlm. 115).
 
Disember 1887: Dititahkan bersama dengan Tok Gajah untuk bertemu Hugh Clifford bagi membincangkan rang undang-undang pentadbiran di Pahang (Pahang, hlm. 118; Wong, hlm. 133-134).
 
1889: Dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negeri (selain Sultan Pahang, residen British, Tg. Mahmud, Engku Muda Mansur, Engku Andak, Maharaja Perba Jelai, Tok Gajah, Orang Kaya Chenor dan Orang Kaya Indera Shahbandar) (Pahang, hlm. 120, 127 dan 131).
 
Februari 1892: Dititahkan bersama Panglima Dalam Muda membawa surat Tuanku kepada Tok Raja di Jelai agar Tok Raja segera ke Pulau Tawar (Pahang, hlm. 145).

Notes: Gelaran turun-temurun keturunan Dato' Sri Haji Mohd. Najib (Orang Kaya Indera Shahbandar) pernah terputus kerana jatuh ke tangan Che' Osman, yang merupakan anak kepada Imam Perang Indera Mahkota. Namun gelaran tersebut dikembalikan semula pada tahun 1930 kepada jalur keturunan Dato' Sri Haji Mohd. Najib (rujuk Zainudin Maidin, Tun Razak : Jejak bertapak Seorang Patriot, hlm. 5).
 
Rujukan:
 
Middlebrooke, JMBRAS jilid XXIV Bahagian II-Julai 1951
 
W. Linehan, A History of Pahang, JMBRAS  jilid XIV Bahagian II-Jun 1936
 
Wan Mohd. Amin bin Wan Mohd. Said, Pesaka Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka 1966
 
Prof. Wong Lin Ken, The Malayan Tin Industry to 1914, University of Arizona Press, Tucson 1965
 
 

Tuesday, February 2, 2016

Haji Jainal Sakiban: Lagenda Yang Masih Hidup


Dua logo di atas amat dikenali oleh para pencinta rancangan keagamaan. Siapa gerangan yang menghasilkan tulisan khat yang amat indah ini?


Diperkenalkan Tuan Haji Jainal Sakiban al-Jauhari, mantan pegawai kanan di Jabatan Agama Islam Johor. Selain dua logo di atas, seni tulisan khat beliau turut digunakan pada ratusan plak perasmian masjid di seluruh negara (antara yang terkenal: Masjid asy-Syakirin di KLCC).

Bagi yang meneliti sejarah istana Johor moden, nama Tuan Haji Jainal sangat popular khususnya pada tahun 1998 (bulan Ogos) selepas peristiwa isi kandungan khutbah Jumaat yang pada waktu itu menggunakan perkataan "korporat", "fizikal" dan "mental". Apa agaknya kaitan antara 3 perkataan tersebut dengan khutbah Jumaat? Silalah bertandang ke Masjid Kolam Ayer di Johor Bahru kerana Haji Jainal sentiasa ada di sana untuk berkongsi cerita.

Salute legend...  

Tuesday, September 15, 2015

Mesyuarat MUIP Kali Ke-166





Hari ini (15 September, jam 10.00 pagi) Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), KDYTM Tengku Mahkota Pahang berkenan mempengerusikan Mesyuarat MUIP Kali Ke-166 Di Wisma MUIP Pekan

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri DiRaja Menteri Besar Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Setiausaha Kerajaan Pahang, Yang Dihormat Dato’ Sri Timbalan Yang Dipertua MUIP, Yang Berhormat Dato' Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Yang Hormat Dato’ Sri Mufti Pahang, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang dan Ahli-Ahli Majlis Ugama Islam Pahang turut hadir pada mesyuarat hari ini.

Sebagai perkongsian maklumat, Ahli Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (yang dilantik berdasarkan perkenan), diiktiraf sebagai antara jawatan Orang Besar Negeri Pahang; sama seperti Orang Besar Berempat, Orang Besar Berlapan, Orang Besar Raja, Orang Besar Enam Belas, Orang Besar Istana dan Ahli Jumaah Pangkuan Negeri.


Wednesday, September 2, 2015

Bergagan


Melayu itu secara puaknya (etnik, suku), bukanlah dilihat dari faktor genekologi seperti kebanyakan puak-puak dan bangsa-bangsa lain di dunia. 

Di Malaysia, tetap mengaku berpuak Melayu walau moyang mereka berpuak Jawa, Bugis, Banjar, Boyan, Kampar, Kerinci, Mendaling, Minangkabau, Rawa, Johor-Riau atau Malbari.

Bagi orang Melayu, salah satu falsafah wajib yang ada dalam jiwa mereka adalah "Bergagan". Ianya membawa makna keberanian dan kesanggupan menghadapi tentangan, harga diri dan maruah.

Kalau sudah dimabuk pinang,
Dari ke mulut, biarlah ke hati
Kalau sudah maju ke gelanggang
Berpantang surut, biarlah mati.

Bermula dari hulu, haruslah berhujung pula ke hilir.

Apa tanda si anak Melayu?
Matinya ditengah gelanggang
Tidurnya di puncak gelombang
Makannya di tebing panjang
Langkahnya menghentam bumi
Lenggangnya menghempas semak
Tangisnya terbang ke langit
Esaknya ditelan bumi
Yang tak kenalkan airmata
Yang tak kenalkan tunduk kulai

Thursday, April 30, 2015

Kemahkotaan

99.9 % sama dengan istiadat asal



Nostalgia Studio Jalan Ampas

Hamba pernah berceramah di Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau, Singapura. Ketika kali pertama menjejakkan kaki ke situ, hamba diberitahu oleh jemaah bahawa Studio Jalan Ampas terletak hanya 5 minit berjalan kaki.

Kekangan masa, hamba menunda hasrat ke Jalan Ampas…Selepas setahun setengah, hamba akhirnya berhasil melawat Studio Jalan Ampas. Setibanya disana, pelbagai perasaan hadir di genta rasa.

Tapak studio Malay Film Production sekarang terletak berdekatan dengan kilang Alcare Pharmaceuticals. Menyusuri Balestier Road, papantanda “Jalan Ampas” jelas kelihatan apabila melintasi Balestier Cineplex di Shaw Plaza.


Kedatangan hamba disambut oleh saudara Jumahat Abu Bakar (lebih terkenal sebagai Wak Joe Hogan), yang telah menjaga Studio Jalan Ampas sejak 1 Mei 2011.


Hamba telusuri setiap bangunan yang ada, dan masih terbayang setiap babak dalam filem “Seniman Bujang Lapok” tatkala 3 Bujang Lapok ingin menghadiri temuduga di Malay Film Production.



Usai mengelilingi studio, lebih kurang 200 meter dari tapak bekas studio, terletaknya jambatan kecil merintangi Sungai Whampoa (mengadap Block 104 Rajah Road). Jambatan ini merupakan lokasi asal babak Jamil terjun ketika melarikan diri dari isteri-isterinya.


Perjalanan dilanjutkan lagi dengan meninjau pula lokasi asal rumah filem “Ibu Mertuaku” yang beralamat di 446A, Upper East Coast Road (bersebelahan dengan Econ Medicare Centre).


Sebelum menamatkan perjalanan, hamba sempat melihat rumah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee semasa beliau menetap di Singapura yang terletak di No. 378, MacPherson Road (berdekatan dengan Masjid Sallim Mattar).


Akhir kata…Terima kasih Wak Joe Hogan…



Thursday, August 7, 2014

Dato’ Setia Bakti Wong Ah Jang

Wong Ah Jang
The Straits Times, edisi 8 Februari 1959, halaman 11

Sekitar tahun 1920-an, salah seorang taukeh Cina yang amatDato Wong Ah Jang terkenal di Kuantan adalah Dato’ Kurnia Setia Bakti Wong Ah Jang. Beliau yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan, memiliki aset yang banyak pada zaman itu. Antaranya, beliau memiliki bangunan 3 tingkat pada tahun 1925 yang mengadap Sungai Kuantan. Kediaman beliau tersebut merupakan satu-satunya kediaman yang memiliki sistem kumbahan dan air yang moden. Selain itu, beliau juga memiliki bangunan besar mengadap jalan Telok Sisek yang masih baik keadaannya hingga sekarang serta ladang getah yang kini merupakan tapak SK Sultan Abdullah sekarang.

Sejarah

Dato’ Kurnia Setia Bakti Wong Ah Jang, dilahirkan di China danLoke Yew berhijrah ke negeri Pahang ketika berusia 15 tahun. Menurut kisah yang diceritakan anak sulung beliau, Dato’ Setia Bakti Wong Kwan Tan kepada wartawan Tai Sing Onn; mendiang ayahnya datang ke Kg. Kuantan pada tahun 1890 dalam keadaan miskin. Ketika mula-mula tiba di Kuantan, beliau bekerja selama beberapa tahun di lombong besi di Sg. Belat milik tycoon terkenal Malaya ketika itu, Loke Yew atau Ru You (gambar sebelah).

Berniaga

Menurut Dato’ Wong Kwan Tan, mendiang ayahnya sangat berjimat cermat dengan gaji yang diperolehi kerana ingin mengumpul modal membuka perniagaan. Akhirnya setelah cukup simpanan, beliau memulakan perniagaan kecil-kecilan menjadi pengedar senjata dan peluru di bandar Kuantan. Kegigihan beliau berusaha menjadikan perniagaannya berkembang maju. Menurut anaknya lagi, beliau menjadi orang pertama di Kuantan yang mendapat lesen sebagai pemborong dan pengedar getah di Kuantan.
Wong Ah Jang 1
Wong Ah Jang 2
Restoran dan kelab malam milik Wong Ah Jang di jalan Telok Sisek pada tahun 1925. Selepas kematian beliau, Nan Keng Hotel mengambil bangunan ini pada tahun 1930. Kini ia merupakan bekas kedai perabot Bukit Jelita (Lila Wadi), bersebelahan bangunan Kastam lama.

Ketika inilah kehidupan Dato’ Wong Ah Jang berubah. Ini kerana pada awal tahun 20-an, harga getah telah melonjak naik disebabkan permintaan yang tinggi. Perniagaan ini telah menjadikan beliau antara orang terkaya pada zaman tersebut.

Selain menjadi pemborong dan pengedar getah, beliau jugaFord 20 merupakan orang pertama yang memulakan perniagaan pengangkutan awam bermotor di Kuantan. Pada tahun 1920, jalan Kuantan-Beserah telah mula dibuka. Dengan menggunakan lori Ford (ruang belakang berbangku kayu yang mudahalih), beliau menjalankan perniagaan mengangkut penumpang serta sewa membawa barang-barang dengan tambang 50 sen untuk jarak perjalanan sejauh 6 batu.

Kemasyarakatan

Dalam bidang kemasyarakat, beliau merupakan antara pengasas Kheng Chew Wooi Kuan (Persatuan Kheng Chew) dan bertanggungjawab dalam pembinaan bangunan Hainanese Club di jalan Bukit Ubi (sekarang masih terletak bersebelahan Court Mammoth).
Hainanese Club 2

Mendiang juga bersahabat baik dengan KDYMM Almarhum Sultan Abdullah al-Mu’tasim Billah Ibni Almarhum Sultan Ahmad al-Mu’azam Shah (1914 -1917) hingga dikurniakan Dato’ Yang Kehormat Pahang (Dato’ Kurnia) oleh baginda pada tahun 1925. Beliau juga menerima anugerah JP (Justices of the Peace) serta Sijil Kehormat King George V (Malayan Certificate of Honor)*.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1929 ketika berusia 55 tahun dan disemadikan di estetnya di Air Putih.

Patriotik

Satu perkara yang unik mengenai Dato’ Wong Ah Jang, beliau memiliki kecintaan yang amat mendalam terhadap negeri Pahang. Buktinya, beliau telah menamakan anak-anak lelakinya dengan:

Wong Kwan Tan (Kuantan),
Wong Boo Lat (Sungai Belat),
Wong Gambang,
Wong Lembing,
Wong Pekan,
Wong Lipis,
Wong Bentong,
Wong Jelai,
Wong Raub

Selain itu beliau turut menamakan anak-anak perempuannya dengan (kecuali anak perempuan sulungnya sahaja yang bernama Ruth):

Wong Pahang,
Wong Beserah dan
Wong Pontian

Budaya cintakan tanah air ini tidak terhenti setakat itu. Apa yang menarik, tidak seorangpun dikalangan ahli keluarga Wong Ah Jang yang menetap di luar negeri Pahang:

Wong Ruth menetap di Sungai Lembing,
Wong Kwan Tan dan Wong Pekan menetap di Kuantan,
Wong Pahang dan Wong Lipis menetap di Mentakab,
Wong Pontian dan Wong Gambang menetap di Pekan,
Wong Pekan dan Wong Beserah menetap di Bentong,
Wong Belat di Kuala Lipis dan
Wong Bentong di Raub.

Ketika berita tersebut disiarkan (Februari 1959), 3 orang anak lelakinya iaitu Wong Lembing, Wong Jelai dan Wong Raub telah meninggal dunia.
WAJ
Dato’ Wong Ah Jang (duduk, 8 dari kanan) meraikan Pegawai Daerah Kuantan, J.I Miller dan isterinya yang ingin berangkat balik ke England. Kelihatan juga Wong Lipis (duduk, 2 dari kanan) dan anak ke-8, Wong Pekan (duduk, 2 dari kiri)

*The Certificate of Honour dizahirkan pada tahun 1927, merupakanCertificate of Honor Medal pengiktirafan kepada rakyat di Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang banyak berjasa. Penerima anugerah ini akan menggunakan singkatan gelaran CH (bagi rakyat Negeri-Negeri Selat) dan MCH atau Malayan Certificate of Honor bagi rakyat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Anugerah ini agak eksklusif kerana hanya 6 orang sahaja yang layak menerimanya dalam setahun. Penerima anugerah ini akan mendapat sijil yang ditandatangan oleh Pesuruhjaya Tinggi British (atau Gabenor Negeri-Negeri Selat). Anugerah ini telah dimakzulkan pada tahun 1941.

Wednesday, May 21, 2014

“Gading Bersilang” Yang Hilang

Tahun ini warga Pahang memuliakan sambutan ulangtahun pemerintahan ke-40 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’adzam Shah, DKP.

Tanggal 7 Mei 1974, KDYMM Tuanku telah menaiki takhta sebagai Sultan dan Raja Pemerintah ke-5 bagi Negeri Pahang Darul Makmur serta segala jajahan takluknya.

Bersempena dengan itu jua lah, banyak acara dilaksana dan arca yang dibina demi untuk memuliakan sambutan ulangtahun tersebut.

Hamba sekadar ingin berkongsi pandangan terhadap sebuah monumen yang telah dibina berhampiran persimpangan lampu isyarat jalan Sultan Abu Bakar dan Sultan Ahmad di Bandar Diraja Pekan.

Berdasarkan caption, monumen ini dibina khas sempena memuliakan ulangtahun ke-40 pemerintahan KDYMM Tuanku.

Arca 1

Jika dilihat berdasarkan gambar di atas, monumen ini jelas menampilkan ciri-ciri kesenian dan identiti Pahang menerusi cogan Kebesaran Negeri Pahang (Daun Kopi), Tombak Panjang dan Tombak Enam Belas serta dua pedang terhunus yang biasa digunakan oleh Bentara Kiri dan Bentara Kanan.

Cuma…Apa yang janggal, gading gajah di kiri dan kanan…

Tradisi “Gading Bersilang” Negeri Pahang

Gading Bersilang

Berdasarkan buku berjudul “Gading Bersilang: Sejarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Pahang” tulisan Dato' Dr. Mohamad Azmie bin Zakaria (Jun 2006):

...Gading bersilang...menjadi lambang pemerintahan Negeri Pahang yang besar, hebat dan gah dengan aura magis manusia menguasai haiwan terbesar di atas bumi…

...Gading bersilang...menjadi mercu tanda kemenangan akal mengatasi kekuatan dalam pertarungan “brawn” vs “brain”…

...Gading bersilang….menggambarkan keakraban…

Disebabkan tradisi “Gading Bersilang” inilah, majoriti daripada arca atau monumen di Pahang akan menggunakan simbol gading yang disilangkan. Contohnya:

Picture1

Namun hamba mendapati kebelakangan ini, rancak sungguh pembinaan monumen, logo atau arca yang kurang menepati ciri-ciri asal jatidiri Negeri Pahang. Yang paling jelas, astaka serta hiasan sempena Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan baru-baru ini:

wert

Namun hamba fikir hal ini hanya perkara kecil sahaja bagi sesetengah pihak. Cuma yang perlu kita sama-sama elakkan, jangan sampai lambang gading Pahang kelihatan seakan-akan lambang “Raja Bersiong” di Kg. Siong, Baling, Kedah (gambar bawah)...Kelak kita ditertawakan nanti…

Baling

Arca 2

Thursday, September 12, 2013

Khoo Kay Kim dan Mat Kilau: Babak 4

Lampiran ini merupakan sambungan lampiran yang lalu.

Siri 4

Petikan Berita Harian (edisi Singapura) 22 Mac 1970, halaman 6

MENGULAS PENDAPAT-PENDAPAT PRO DAN KONTRA MAT KILAU

Oleh Khoo Kay Kim

Sebenarnya hal Mat Kilau ini telah menjadi terlalu kompleks. Sekiranya waktu Mat Siam mengumumkan diri sendirinya sebagai Mat Kilau, beliau dengan cepat-cepat diasingkan daripada orang ramai supaya penyiasatan yang teliti dan mendalam dapat diselenggarakan, sudah tentu pekerjaan menentukan kebenaran tuntutannya tidak akan menjadi begitu sukar.

Yang kita kesalkan ialah begitu ramai orang telah dibenarkan bertemuramah dengan Mat Siam sebelum penyiasatan rasmi dapat dijalankan. Kami kesal kerana menjalankan interview bukan suatu perkara yang mudah, khasnya bila kita ingin menentukan identiti orang yang diinterview itu.

Dalam keadaan yang seperti itu, tugas utama orang yang membuat interview ialah mencabut dari yang diinterview itu segala yang diketahuinya. Itu bererti prompting mesti dielakkan dan kita tidak sepatutnya mengemukakan soalan-soalan yang jawapannya sudah nyata pada orang yang diinterview itu (leading questions).

Sekiranya teknik kita kurang sempurna, dengan tidak sengaja kita akan menyampaikan maklumat kepada yang diinterview itu dan bukan sebaliknya.

Tuntutan

Tetapi mungkin Jawatankuasa yang telah ditubuhkan di negeri Pahang untuk menyiasat tuntutan Mat Siam sudah pun menyedari tentang perkara ini dan maklumat-maklumat yang diperolehi dari Mat Siam itu akan disaring dengan cara yang sungguh teliti.

Tentang apa yang telah disiarkan dalam surat-surat khabar, memang tidak kurang sukar untuk seorang pembaca membuat keputusan-keputusan yang tertentu. Banyak telah ditulis, tetapi tidak begitu banyak yang sebenarnya bernilai.

Yang menceritakan perihal kehandalan Mat Siam sungguh menarik tetapi tulisan-tulisan itu tidak membantu seorang pembaca dalam hal menentukan sejauh manakah tuntutannya dapat dipercayai.

Ada setengah penulis yang tidak berjaya mengendalikan emosi mereka – cepat naik marah kalau ada orang yang masih menyatakan keraguan mereka tentang tuntutan Mat Siam itu.

Ini hanya akan menghalang percubaan hendak mencari kebenaran. Kebenaran memang objektif da ia hanya dapat dicapai melalui logik dan bukan emosi.

Apa yang kita perlukan ialah banyak pendapat pro dan kontra Mat Siam supaya kita mempunyai kemungkinan yang lebih baik lagi untuk membuat kesimpulan yang saksama. maka segala pertanyaan dan maklumat patut dialu-alukan dan disamping itu ditatap dengan cara yang beres.

Disini komentar akan dihadkan kepada rencana-rencana yang mengandungi bahan-bahan pro atau kontra Mat Siam. Mereka yang tidak syak lagi tentang authenticity tuntutan Mat Siam itu mengemukakan dalil-dalil yang dapat dirumuskan begini:

(a) Mat Kilau mempunyai tanda-tanda di badannya – tahi lalat di mata kiri, bekas tembakan di bahu kiri, tanda buntat embun di jari kaki dan tanda luka di punggung. Telah dipastikan tanda-tanda itu juga ada di badan Mat Siam.

Objektif

(b) “Nama Allah dan junjungan Besar Muhammad telah dilafazkan oleh orang tua itu untuk pengakuan dirinya”. Bagi orang Melayu, ini memang bukan suatu perbuatan yang dapat dianggap sebagai mainan sahaja.

Hujah-hujah itu tak dapat disangkal dengan begitu mudah sahaja.

Tetapi mengenai (a) kita perlu cuba mempastikan bahawa Mat Kilau dahulu sebenarnya mempunyai tanda-tanda tersebut di badannya. Kalau ini dapat ditetapkan, ia merupakan dalil yang sungguh objektif dan bernilai. (b) tentu dapat diterima oleh mereka yang faham akan sosiologi orang Melayu.

Pernah dibentangkan juga sebagai suatu bukti tambahan bahawa apabila ditunjuk gambar Tok Gajah bersama enam orang lagi (Tok Bahaman, Tok Bandar Jidin, Tok Raja, Sultan Ahmad, Tengku Mahmud dan J.P Rodger), Mat Siam dapat menunjukkan gambar ayahnya dengan Tok Bahaman.

Tetapi ini sebenarnya bukan bukti yang konkrit kerana bukan Mat Kilau seorang sahaja yang pernah melihat Tok Gajah dan Tok Bahaman. Seorang pengiring Tok Gajah atau Tok Bahaman pun tentu dapat mengecamkan gambar-gambar itu sekiranya ia masih hidup.

Mustahak

Pengetahuan Mat Siam tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku pada tahun 1890-an juga tidak boleh dianggap sebagai bukti yang konkrit asalkan ada peristiwa yang hanya diketahui oleh beberapa orang sahaja (termasuk Mat Kilau) dan kecuali Mat Kilau yang lain itu sudah meninggal.

Dalam akhbar-akhbar pernah juga disiarkan berita tentang pengesahan yang dibuat oleh beberapa orang tua (umur mereka lebih daripada kira-kira 80) bahawa Mat Siam itu sebenarnya Mat Kilau. Tetapi disini timbul tanda tanya: Setakat manakah kenyataan-kenyataan mereka itu authoritative? Apakah kita dapat memastikan bahawa mereka itu sungguh-sungguh kenal Mat Kilau?

Keterangan-keterangan Mek Munah memang mustahak kerana sudah nyata ia benar-benar kenal Mat Kilau. Tetapi Mek Munah hanya berumur belasan tahun masa ia bertemu dengan Mat Kilau. Sekarang umurnya lebih kurang 90. Tujuh puluh tahun telah berlepas.

Apabila ditanya sama ada ia kenal lagi Mat Kilau, Mek Munah menjawab: “Saya tua, dia tua, tak kenal. Kalau sama-sama bercerita barulah tahu.” Tetapi setakat manakah ingatannya masih jelas?

Ringkasnya, ada banyak soalan lagi yang jawapannya masih belum jelas pada kita. Dan yang kita perlukan ialah fakta atau sekurang-kurangnya pemerian yang objektif bukan keterangan-keterangan yang subjektif seperti “orangnya comel, kulit putih kuning, pandai gayong, mengaji al-Quran, budi pekerti baik” dan sebagainya. Kriteria yang dapat kita gunakan untuk menentukan satu-satu sifat itu memang relatif, dan oleh sebab itu tidak begitu reliable.

Mereka yang masih ragu-ragukan identiti Mat Siam itu telah mengemukakan beberapa perkara yang tidak kurang mustahaknya. Nampaknya Mat Siam pernah mengatakan bahawa waktu beliau dikatakan mati, mayatnya diganti dengan batang pisang oleh Sultan Muhammad Mulut Merah, Kelantan. Tetapi Sultan itu yang sebenarnya seorang pemerintah yang termasyhur, telah mangkat pada tahun 1886. Soalannya – bagaimana Mat Siam boleh membuat kesilapan besar itu kalau beliau itu sebenarnya Mat Kilau?

Menurut Tuan Haji Mohammad bin Haji Abdullah (cucu saudara benar kepada Tok Gajah): “Setelah mati, mayat Mat Kilau diserahkan oleh Sultan Mansor Kelantan kepada arwah ayah saya, Haji Abdullah, untuk dimandi dan dikebumikan secara rahsia.” Dan Tuan Haji Mohammad sendiri pernah menjumpai Mat Siam pada tahun 1957. Kononnya pada masa itu Mat Siam mendakwa dirinya anak Teh Ibrahim.

Berundur

Mat Siam juga dikatakan pernah tinggal di Kampung Ayer Hitam, Ketapang, Pekan (dari 1928 hingga 1932) berhampiran dengan rumah Allahyarhamah Nobah binti Khatib Bahrin “seorang sepupu Mat Kilau yang berundur bersama-samanya dalam masa perang Tok Gajah dahulu.”

Tetapi, menurut Tuan Haji Mohammad, “mereka tidak pernah kenal mengenal antara satu dengan lain sedangkan mereka tinggal berdekatan…” Tambahan pula: “Bila Teh Ibrahim, Yang Kechil dan lain-lain lagi balik ke Pahang dari Siam dan singgah beberapa waktu di Pekan, semua mereka pergi menziarah Nobah dan menemuinya dengan segala ratap dan tangis. Orang-orang itu menceritakan bahawa Mat Kilau telah binasa dan kecundang di Kelantan.”

Hujah-hujah yang dikemukakan oleh Tuan Haji Mohammad itu belum dijawab dengan cara yang memuaskan oleh pihak yang pro-Mat Siam. Maka berdasarkan laporan-laporan dan tulisan-tulisan yang yang disiarkan oleh dalam surat-surat khabar, memang kita tidak dapat membuat apa-apa kesimpulan tentang hal Mat Siam itu.

Pada hakikatnya banyak pertanyaan-pertanyaan yang sulit telah timbul tetapi nampaknya pertanyaan-pertanyaan yang sulit itu tidak diserahkan ke pemerian dan tafsiran. Bahan-bahan pemerian dapat dikatakan objektif maka kegunaannya berpanjangan tetapi tafsiran adalah subjektif dan akan berubah menurut peredaran zaman dan keadaan kemajuan pengetahuan manusia. Maka dalam penulisan sejarah juga gagasan-gagasan yang baru sangat diperlukan.

Pada zaman sekarang kegiatan-kegiatan ahli sejarah ditumpukan kepada research tentang masyarakat kita – masyarakat lama membawa kepada masyarakat moden – dan sumbangan daripada segenap lapisan masyarakat amat mustahak.

Ini merupakan rencana beliau yang terakhir.

Saturday, September 7, 2013

Khoo Kay Kim dan Mat Kilau: Babak 3

Lampiran ini merupakan sambungan lampiran yang lalu.

Siri 3

Petikan Berita Harian (edisi Singapura) 22 Mac 1970, halaman 6

GERAKAN ANTIPENJAJAHAN SEMENANJONG TANAH MELAYU

Oleh Khoo Kay Kim

Mat Kilau Dalam Konteks Sejarah Malaysia

Tidak keterlaluan kalau dikatakan pada tahun 1875 sudah timbul suatu gerakan anti-British di negara ini. Harus diperhatikan juga Dato’ Bahaman yang mula-mula sekali menentang British di Pahang telah terlibat didalam kegiatan-kegiatan anti-British di Selangor pada tahun 1875.

Mungkin lebih menarik daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku pada abad yang ke-19 itu ialah kebangkitan-kebangkitan yang berlaku di Kelantan dan Terengganu pada tahun-tahun 1915 dan 1928.

Hal Mat Kilau telah menimbulkan semula kecenderungan mengenai kebangkitan yang berlaku di Pahang pada tahun-tahun 1890-an. Tetapi oleh kerana perhatian disalurkan terhadap peristiwa di Pahang itu maka ingatan tentang kebangkitan-kebangkitan di negeri-negeri Melayu lain menjadi kabur. Mungkin ada juga mereka yang sungguh-sungguh jahil tentang adanya kebangkitan-kebangkitan anti-British dalam sejarah negara ini kerana sehingga sekarang sejarah yang dipelajari oleh murid-murid kita bukan sejarah kita sebenarnya tetapi sejarah orang dagang dan didalam sejarah itu mitos dijadikan kebenaran.

Antara lain, telah menjadi kepercayaan ramai bahawa pentadbiran British diwujudkan di negeri-negeri Melayu dengan cara yang aman padahal kekerasan digunakan untuk menekan mereka yang tidak mahu menyambut orang British. Dalam lain perkataan tentangan-tentangan terhadap kuasa penjajah memang suatu kebiasaan dalam sejarah Malaysia.

Tetapi apakah tentangan-tentangan itu dapat dianggap sebagai suatu gerakan masih belum dapat kita jawab dengan pastinya kerana penyelidikan atas perkara ini kurang sempurna. Memang ada tentangan-tentangan yang merupakan fenomenon berasingan, tetapi mungkin ada juga tentangan-tentangan yang meliputi kawasan-kawasan yang lebih luas daripada satu-satu negeri yang tertentu. Biar kita perhatikan secara sepintas lalu tiap-tiap kebangkitan yang pernah berlaku itu.

Soalan yang pertama yang kita harus menjawab ialah bilakah tentangan-tentangan itu bermula buat kali yang pertama? Beberapa jawapan pernah diberikan. Ada setengah orang mengatakan bahawa sebenarnya tentangan-tentangan terhadap kuasa penjajah telah bermula tidak lewat daripada zaman Kesultanan Melaka kerana diketahui kerajaan Melaka pernah menghadapi pencerobohan dari utara – kerajaan iaitu Siam.

Keadaan

Selepas itu datang pula pencerobohan Portugis dan Belanda. Walaupun kerajaan Melaka telah runtuh pada tahun 1511, orang Melayu (di Johor) tetap memperjuangkan kemerdekaan Melaka.

Pendapat ini ada kebenaran juga; hanya keadaan politik di alam Melayu, dari abad ke-16 hingga abad yang ke-18, lebih kompleks lagi. Pertempuran berlaku bukan sahaja diantara kuasa-kuasa penjajah dengan kuasa-kuasa tempatan tetapi seringkali diantara kuasa-kuasa tempatan sendiri dan didalam proses itu ada juga kuasa-kuasa tempatan (termasuk Johor) yang sanggup bekerjasama dengan kuasa-kuasa imperialis untuk menentang musuhnya.

Tambahan pula imperialisme Portugis dan Belanda mempunyai sifat-sifat yang berbeza dengan sifat-sifat imperialisme British yang telah bertapak di Semenanjung Tanah Melayu pada abad yang ke-19. Pada keseluruhannya Portugis dan Belanda tidak cuba hendak menguasai negeri-negeri Melayu Semenanjung, maka organisasi dalam negeri tidak terganggu.

Bangkit

Imperialisme British jauh lebih ambitious. Tetapi didalam proses hendak menguasai negeri-negeri Melayu dari dalam menghadapi tentangan yang agak hebat dari anak-anak raja dan pembesar-pembesar. Maka kebangkitan-kebangkitan mulai abad ke-19 lah yang lebih menarik perhatian kita.

Pada suatu masa, orang Melayu Semenanjung amat membanggakan nama Dol Said kerana di Naninglah buat kali yang pertama (awal 1830-an) seorang pembesar Melayu menentang pencerobohan British.

Dan peristiwa itu telah pun diberikan tempat yang istimewa didalam sejarah Malaysia (termasuk buku-buku yang ditulis oleh orang Barat). Tetapi dalam masa akhir-akhir ini nama Dol Said tidak disebutkan lagi: hanya kehandalan Mat Kilau yang kedengaran.

Tetapi diantara peristiwa di Naning dan peristiwa di Pahang, sebenarnya orang Melayu turut menentang kuasa penjajah dari masa ke semasa. Selepas Naning orang Kedah pula yang terpaksa memperjuangkan kemerdekaan mereka. Tetapi di negeri Melayu utara itu yang menjajahi bukan kuasa British tetapi kuasa Siam.

Negeri Siam telah menakluki Kedah pada tahun 1821. Walaupun orang Kedah tertewas, suatu pertempuran yang hebat berlaku dan beribu-ribu nyawa telah terkorban.

Pada tahun-tahun 1830-an, sebanyak empat kali, orang Kedah cuba mendapat kembali negeri mereka. Yang menjadi pemimpin didalam kempen-kempen itu adalah anak-anak raja sendiri. Dan yang paling handal sekali antara mereka ialah Tengku Kudin dan Tengku Saad.

Bantuan

Tetapi oleh kerana British memberi bantuan yang konkrit kepada negeri Siam, maka kempen-kempen itu tidak berhasil. Pada tahun 1875, sampai pula giliran negeri-negeri Melayu barat untuk menentang kuasa penjajah. Peristiwa Perjanjian Pangkor (1874) dan campur tangan British di Selangor dan Negeri Sembilan tak payah dikisahkan lagi. Tetapi tentangan-tentangan yang timbul akibat kedatangan British masih belum jelas pada penuntut-penuntut sejarah, mungkin kecuali cerita mengenai pembunuhan Birch di Pasir Salak.

Berkenaan dengan peristiwa Pasir Salak itu sudah tentu nama Dato’ Maharaja Lela tidak asing lagi pada mereka yang pernah mempelajari sejarah Perak.

Tetapi berapa ramaikah diantara penuntut-penuntut dan guru-guru sejarah kita yang tahu tentang adanya kebangkitan di Selangor dan Negeri Sembilan juga? Dan pada hakikatnya Selangor dapat dianggap sebagai pusat kegiatan-kegiatan anti penjajah itu kerana ada bukti menunjukkan bahawa pembesar-pembesar Selangor memainkan peranan yang penting didalam kebangkitan-kebangkitan yang muncul di Perak dan Negeri Sembilan.

Di Selangor peranan anti-British terlampau kuat. Ini sebenarnya ada kaitan dengan Perang Kelang yang berlaku antara 1867 dan 1873. British bersimpati dengan pihak Tengku Kudin dan kerana bantuan British, Raja Mahdi tertewas. Kudin pula sanggup menerima pentadbiran British di Selangor tetapi Raja Mahdi tidak mahu bertolak ansur.

Sokongan

Anak-anak Raja Selangor disebelah pihak Raja Mahdi kerana Kudin, yang berasal dari Kedah, dianggap sebagai orang dagang. Raja Mahdi juga mendapat sokongan di Negeri Sembilan khasnya daripada Dato’ Bandar Kulop Tunggal dan Yam Tuan Besar Tuanku Antah.

Oleh kerana British telah mengambil alih pentadbiran Selangor pada tahun 1875, maka anak-anak Raja dan pembesar-pembesar Selangor (termasuk Raja Musa, Raja Kahar, kedua-duanya anak kepada Sultan Abdul Samad, Raja Berkat, Raja Mahmud, Raja Hitam, Raja Asal dan Syed Mashhor) membuat persiapan untuk menghalau British.

Syed Mashhor berada di Perak dan merupakan seorang penasihat yang penting kepada Raja (Sultan) Abdullah yang sedang bekerjasama dengan Dato’ Maharaja Lela untuk membunuh Birch. Raja Asal pula berulang-alik antara Selangor dan Pahang membuat persediaan supaya orang Pahang dibawah Dato’ Bahaman dapat membantu orang Selangor.

Ramai orang berkumpul di Slim dengan tujuan akan menyerbu Ulu Kelang sesudah tamat sahaja bulan Ramadan (Oktober) pada tahun 1875. Di Kajang orang Mendeling dibawah pimpinan Sutan Puasa juga bersiap sedia. Dan ada rancangan untuk Raja Mahdi, yang pada masa itu berada di Singapura, menyerang Hilir Kelang dari sebelah Sungai Linggi dan Sungai Langat, iaitu dengan bantuan orang Negeri Sembilan.

Tetapi kebangkitan yang dirancangkan itu dapat dipadamkan oleh Residen Davidson di Selangor. Walau bagaimanapun pada 2 November 1875, Birch dibunuh di Pasir Salak dan pada 27 November suatu pertempuran yang hebat berlaku diantara orang Negeri Sembilan dibawah Yam Tuan Antah sendiri dan askar British.

Harus disebutkan di Negeri Sembilan, itu bukan kali yang pertamanya tentangan terhadap kuasa British berlaku. Pada tahun 1874, British memasuki Sungai Ujong atas persetujuan Dato’ Kelana, Syed Abdul Rahman. Tetapi Dato’ Bandar Kulop Tunggal enggan menyerahkan kekuasaannya.

Tentang

Dengan sebab itu askar-askar British dihantar ke Sungai Ujong dan Dato’ Bandar dapat ditewaskan. Dalam usahanya menentang pencerobohan British, Dato’ Bandar dibantu oleh Raja Mahmud dari Selangor.

Maka disinilah ternampak tanda-tanda yang menunjukkan bahawa tentangan-tentangan terhadap British di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan bukan satu-satunya fenomenon yang berasingan tetapi ada organisasi dan ada tindakan bersama walaupun tidak diselenggarakan dengan rapi.

Dengan sebab itulah kami fikir memang tidak keterlaluan kalau dikatakan pada tahun 1875 sudah timbul suatu gerakan anti-British di negeri ini. Harus diperhatikan juga Dato’ Bahaman yang mula-mula sekali menentang British di Pahang telah terlibat didalam kegiatan anti-British di Selangor dalam tahun 1875.

Maka kebangkitan di Pahang itu hanya merupakan suatu peringkat lagi didalam gerakan anti-penjajah itu. Dan peristiwa di Pahang itu juga bukan kali yang terakhirnya kebangkitan-kebangkitan anti-British timbul di Semenanjung Tanah Melayu.

Mungkin lebih menarik daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku pada abad yang ke-19 itu ialah kebangkitan-kebangkitan yang berlaku di Kelantan dan Terengganu pada tahun-tahun 1915 dan 1928.

Kekacauan-kekacauan itu berlaku akibat masalah-masalah tanah dan diantara mereka yang terlibat secara langsung didalam pertempuran dengan pemerintahan British ialah kaum petani. Di Kelantan setengah pembesar-pembesar seperti Engku Besar, Tengku Besar, Tengku Bendahara dan Engku Chik Penambang juga member sokongan kepada kebangkitan itu walaupun pada keseluruhannya mereka yang terlibat termasuk pemimpinnya (Tok Janggut atau Haji Mat Hassan) adalah orang kebanyakan.

Peristiwa

Di Terengganu, kebangkitan itu tidak dibantu oleh golongan pembesar. Pemimpinnya, Abdul Rahman Limbong, dengan pengiring-pengiringnya adalah orang bawahan. Oleh sebab itu kebangkitan-kebangkitan itu merupakan suatu kejadian yang sungguh baru didalam sejarah negeri-negeri Melayu.

Gerakan-gerakan anti-penjajahan memenag tidak berhenti selepas peristiwa di Terengganu itu setakat ini sahajalah kita dapat membincangkan soal ini dengan tujuan menunjukkan berapa banyakkah pekerjaan harus dibuat oleh ahli sejarah dan juga untuk menafikan tuntutan bahawa orang Melayu bersikap pasif terhadap pencerobohan kuasa British.

Maka kalau ada sesiapa yang ingin mencari hero atau pahlawan dalam sejarah Malaysia, bilangannya bukan kecil dan sekiranya salah seorang daripada pahlawan-pahlawan itu diberikan tempat yang istimewa dalam sejarah Malaysia, maka sepatutnya semua diberi penghormatan yang sama tingginya.

p.s: Bersambung kemudian.