Lampiran ini merupakan sambungan lampiran yang lalu.
Petikan Berita Harian (edisi Singapura) 22 Mac 1970, halaman 6
GERAKAN ANTIPENJAJAHAN SEMENANJONG TANAH MELAYU
Oleh Khoo Kay Kim
Mat Kilau Dalam Konteks Sejarah Malaysia
Tidak keterlaluan kalau dikatakan pada tahun 1875 sudah timbul suatu gerakan anti-British di negara ini. Harus diperhatikan juga Dato’ Bahaman yang mula-mula sekali menentang British di Pahang telah terlibat didalam kegiatan-kegiatan anti-British di Selangor pada tahun 1875.
Mungkin lebih menarik daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku pada abad yang ke-19 itu ialah kebangkitan-kebangkitan yang berlaku di Kelantan dan Terengganu pada tahun-tahun 1915 dan 1928.
Hal Mat Kilau telah menimbulkan semula kecenderungan mengenai kebangkitan yang berlaku di Pahang pada tahun-tahun 1890-an. Tetapi oleh kerana perhatian disalurkan terhadap peristiwa di Pahang itu maka ingatan tentang kebangkitan-kebangkitan di negeri-negeri Melayu lain menjadi kabur. Mungkin ada juga mereka yang sungguh-sungguh jahil tentang adanya kebangkitan-kebangkitan anti-British dalam sejarah negara ini kerana sehingga sekarang sejarah yang dipelajari oleh murid-murid kita bukan sejarah kita sebenarnya tetapi sejarah orang dagang dan didalam sejarah itu mitos dijadikan kebenaran.
Antara lain, telah menjadi kepercayaan ramai bahawa pentadbiran British diwujudkan di negeri-negeri Melayu dengan cara yang aman padahal kekerasan digunakan untuk menekan mereka yang tidak mahu menyambut orang British. Dalam lain perkataan tentangan-tentangan terhadap kuasa penjajah memang suatu kebiasaan dalam sejarah Malaysia.
Tetapi apakah tentangan-tentangan itu dapat dianggap sebagai suatu gerakan masih belum dapat kita jawab dengan pastinya kerana penyelidikan atas perkara ini kurang sempurna. Memang ada tentangan-tentangan yang merupakan fenomenon berasingan, tetapi mungkin ada juga tentangan-tentangan yang meliputi kawasan-kawasan yang lebih luas daripada satu-satu negeri yang tertentu. Biar kita perhatikan secara sepintas lalu tiap-tiap kebangkitan yang pernah berlaku itu.
Soalan yang pertama yang kita harus menjawab ialah bilakah tentangan-tentangan itu bermula buat kali yang pertama? Beberapa jawapan pernah diberikan. Ada setengah orang mengatakan bahawa sebenarnya tentangan-tentangan terhadap kuasa penjajah telah bermula tidak lewat daripada zaman Kesultanan Melaka kerana diketahui kerajaan Melaka pernah menghadapi pencerobohan dari utara – kerajaan iaitu Siam.
Keadaan
Selepas itu datang pula pencerobohan Portugis dan Belanda. Walaupun kerajaan Melaka telah runtuh pada tahun 1511, orang Melayu (di Johor) tetap memperjuangkan kemerdekaan Melaka.
Pendapat ini ada kebenaran juga; hanya keadaan politik di alam Melayu, dari abad ke-16 hingga abad yang ke-18, lebih kompleks lagi. Pertempuran berlaku bukan sahaja diantara kuasa-kuasa penjajah dengan kuasa-kuasa tempatan tetapi seringkali diantara kuasa-kuasa tempatan sendiri dan didalam proses itu ada juga kuasa-kuasa tempatan (termasuk Johor) yang sanggup bekerjasama dengan kuasa-kuasa imperialis untuk menentang musuhnya.
Tambahan pula imperialisme Portugis dan Belanda mempunyai sifat-sifat yang berbeza dengan sifat-sifat imperialisme British yang telah bertapak di Semenanjung Tanah Melayu pada abad yang ke-19. Pada keseluruhannya Portugis dan Belanda tidak cuba hendak menguasai negeri-negeri Melayu Semenanjung, maka organisasi dalam negeri tidak terganggu.
Bangkit
Imperialisme British jauh lebih ambitious. Tetapi didalam proses hendak menguasai negeri-negeri Melayu dari dalam menghadapi tentangan yang agak hebat dari anak-anak raja dan pembesar-pembesar. Maka kebangkitan-kebangkitan mulai abad ke-19 lah yang lebih menarik perhatian kita.
Pada suatu masa, orang Melayu Semenanjung amat membanggakan nama Dol Said kerana di Naninglah buat kali yang pertama (awal 1830-an) seorang pembesar Melayu menentang pencerobohan British.
Dan peristiwa itu telah pun diberikan tempat yang istimewa didalam sejarah Malaysia (termasuk buku-buku yang ditulis oleh orang Barat). Tetapi dalam masa akhir-akhir ini nama Dol Said tidak disebutkan lagi: hanya kehandalan Mat Kilau yang kedengaran.
Tetapi diantara peristiwa di Naning dan peristiwa di Pahang, sebenarnya orang Melayu turut menentang kuasa penjajah dari masa ke semasa. Selepas Naning orang Kedah pula yang terpaksa memperjuangkan kemerdekaan mereka. Tetapi di negeri Melayu utara itu yang menjajahi bukan kuasa British tetapi kuasa Siam.
Negeri Siam telah menakluki Kedah pada tahun 1821. Walaupun orang Kedah tertewas, suatu pertempuran yang hebat berlaku dan beribu-ribu nyawa telah terkorban.
Pada tahun-tahun 1830-an, sebanyak empat kali, orang Kedah cuba mendapat kembali negeri mereka. Yang menjadi pemimpin didalam kempen-kempen itu adalah anak-anak raja sendiri. Dan yang paling handal sekali antara mereka ialah Tengku Kudin dan Tengku Saad.
Bantuan
Tetapi oleh kerana British memberi bantuan yang konkrit kepada negeri Siam, maka kempen-kempen itu tidak berhasil. Pada tahun 1875, sampai pula giliran negeri-negeri Melayu barat untuk menentang kuasa penjajah. Peristiwa Perjanjian Pangkor (1874) dan campur tangan British di Selangor dan Negeri Sembilan tak payah dikisahkan lagi. Tetapi tentangan-tentangan yang timbul akibat kedatangan British masih belum jelas pada penuntut-penuntut sejarah, mungkin kecuali cerita mengenai pembunuhan Birch di Pasir Salak.
Berkenaan dengan peristiwa Pasir Salak itu sudah tentu nama Dato’ Maharaja Lela tidak asing lagi pada mereka yang pernah mempelajari sejarah Perak.
Tetapi berapa ramaikah diantara penuntut-penuntut dan guru-guru sejarah kita yang tahu tentang adanya kebangkitan di Selangor dan Negeri Sembilan juga? Dan pada hakikatnya Selangor dapat dianggap sebagai pusat kegiatan-kegiatan anti penjajah itu kerana ada bukti menunjukkan bahawa pembesar-pembesar Selangor memainkan peranan yang penting didalam kebangkitan-kebangkitan yang muncul di Perak dan Negeri Sembilan.
Di Selangor peranan anti-British terlampau kuat. Ini sebenarnya ada kaitan dengan Perang Kelang yang berlaku antara 1867 dan 1873. British bersimpati dengan pihak Tengku Kudin dan kerana bantuan British, Raja Mahdi tertewas. Kudin pula sanggup menerima pentadbiran British di Selangor tetapi Raja Mahdi tidak mahu bertolak ansur.
Sokongan
Anak-anak Raja Selangor disebelah pihak Raja Mahdi kerana Kudin, yang berasal dari Kedah, dianggap sebagai orang dagang. Raja Mahdi juga mendapat sokongan di Negeri Sembilan khasnya daripada Dato’ Bandar Kulop Tunggal dan Yam Tuan Besar Tuanku Antah.
Oleh kerana British telah mengambil alih pentadbiran Selangor pada tahun 1875, maka anak-anak Raja dan pembesar-pembesar Selangor (termasuk Raja Musa, Raja Kahar, kedua-duanya anak kepada Sultan Abdul Samad, Raja Berkat, Raja Mahmud, Raja Hitam, Raja Asal dan Syed Mashhor) membuat persiapan untuk menghalau British.
Syed Mashhor berada di Perak dan merupakan seorang penasihat yang penting kepada Raja (Sultan) Abdullah yang sedang bekerjasama dengan Dato’ Maharaja Lela untuk membunuh Birch. Raja Asal pula berulang-alik antara Selangor dan Pahang membuat persediaan supaya orang Pahang dibawah Dato’ Bahaman dapat membantu orang Selangor.
Ramai orang berkumpul di Slim dengan tujuan akan menyerbu Ulu Kelang sesudah tamat sahaja bulan Ramadan (Oktober) pada tahun 1875. Di Kajang orang Mendeling dibawah pimpinan Sutan Puasa juga bersiap sedia. Dan ada rancangan untuk Raja Mahdi, yang pada masa itu berada di Singapura, menyerang Hilir Kelang dari sebelah Sungai Linggi dan Sungai Langat, iaitu dengan bantuan orang Negeri Sembilan.
Tetapi kebangkitan yang dirancangkan itu dapat dipadamkan oleh Residen Davidson di Selangor. Walau bagaimanapun pada 2 November 1875, Birch dibunuh di Pasir Salak dan pada 27 November suatu pertempuran yang hebat berlaku diantara orang Negeri Sembilan dibawah Yam Tuan Antah sendiri dan askar British.
Harus disebutkan di Negeri Sembilan, itu bukan kali yang pertamanya tentangan terhadap kuasa British berlaku. Pada tahun 1874, British memasuki Sungai Ujong atas persetujuan Dato’ Kelana, Syed Abdul Rahman. Tetapi Dato’ Bandar Kulop Tunggal enggan menyerahkan kekuasaannya.
Tentang
Dengan sebab itu askar-askar British dihantar ke Sungai Ujong dan Dato’ Bandar dapat ditewaskan. Dalam usahanya menentang pencerobohan British, Dato’ Bandar dibantu oleh Raja Mahmud dari Selangor.
Maka disinilah ternampak tanda-tanda yang menunjukkan bahawa tentangan-tentangan terhadap British di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan bukan satu-satunya fenomenon yang berasingan tetapi ada organisasi dan ada tindakan bersama walaupun tidak diselenggarakan dengan rapi.
Dengan sebab itulah kami fikir memang tidak keterlaluan kalau dikatakan pada tahun 1875 sudah timbul suatu gerakan anti-British di negeri ini. Harus diperhatikan juga Dato’ Bahaman yang mula-mula sekali menentang British di Pahang telah terlibat didalam kegiatan anti-British di Selangor dalam tahun 1875.
Maka kebangkitan di Pahang itu hanya merupakan suatu peringkat lagi didalam gerakan anti-penjajah itu. Dan peristiwa di Pahang itu juga bukan kali yang terakhirnya kebangkitan-kebangkitan anti-British timbul di Semenanjung Tanah Melayu.
Mungkin lebih menarik daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku pada abad yang ke-19 itu ialah kebangkitan-kebangkitan yang berlaku di Kelantan dan Terengganu pada tahun-tahun 1915 dan 1928.
Kekacauan-kekacauan itu berlaku akibat masalah-masalah tanah dan diantara mereka yang terlibat secara langsung didalam pertempuran dengan pemerintahan British ialah kaum petani. Di Kelantan setengah pembesar-pembesar seperti Engku Besar, Tengku Besar, Tengku Bendahara dan Engku Chik Penambang juga member sokongan kepada kebangkitan itu walaupun pada keseluruhannya mereka yang terlibat termasuk pemimpinnya (Tok Janggut atau Haji Mat Hassan) adalah orang kebanyakan.
Peristiwa
Di Terengganu, kebangkitan itu tidak dibantu oleh golongan pembesar. Pemimpinnya, Abdul Rahman Limbong, dengan pengiring-pengiringnya adalah orang bawahan. Oleh sebab itu kebangkitan-kebangkitan itu merupakan suatu kejadian yang sungguh baru didalam sejarah negeri-negeri Melayu.
Gerakan-gerakan anti-penjajahan memenag tidak berhenti selepas peristiwa di Terengganu itu setakat ini sahajalah kita dapat membincangkan soal ini dengan tujuan menunjukkan berapa banyakkah pekerjaan harus dibuat oleh ahli sejarah dan juga untuk menafikan tuntutan bahawa orang Melayu bersikap pasif terhadap pencerobohan kuasa British.
Maka kalau ada sesiapa yang ingin mencari hero atau pahlawan dalam sejarah Malaysia, bilangannya bukan kecil dan sekiranya salah seorang daripada pahlawan-pahlawan itu diberikan tempat yang istimewa dalam sejarah Malaysia, maka sepatutnya semua diberi penghormatan yang sama tingginya.
p.s: Bersambung kemudian.
No comments:
Post a Comment