Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Thursday, September 12, 2013

Khoo Kay Kim dan Mat Kilau: Babak 4

Lampiran ini merupakan sambungan lampiran yang lalu.

Siri 4

Petikan Berita Harian (edisi Singapura) 22 Mac 1970, halaman 6

MENGULAS PENDAPAT-PENDAPAT PRO DAN KONTRA MAT KILAU

Oleh Khoo Kay Kim

Sebenarnya hal Mat Kilau ini telah menjadi terlalu kompleks. Sekiranya waktu Mat Siam mengumumkan diri sendirinya sebagai Mat Kilau, beliau dengan cepat-cepat diasingkan daripada orang ramai supaya penyiasatan yang teliti dan mendalam dapat diselenggarakan, sudah tentu pekerjaan menentukan kebenaran tuntutannya tidak akan menjadi begitu sukar.

Yang kita kesalkan ialah begitu ramai orang telah dibenarkan bertemuramah dengan Mat Siam sebelum penyiasatan rasmi dapat dijalankan. Kami kesal kerana menjalankan interview bukan suatu perkara yang mudah, khasnya bila kita ingin menentukan identiti orang yang diinterview itu.

Dalam keadaan yang seperti itu, tugas utama orang yang membuat interview ialah mencabut dari yang diinterview itu segala yang diketahuinya. Itu bererti prompting mesti dielakkan dan kita tidak sepatutnya mengemukakan soalan-soalan yang jawapannya sudah nyata pada orang yang diinterview itu (leading questions).

Sekiranya teknik kita kurang sempurna, dengan tidak sengaja kita akan menyampaikan maklumat kepada yang diinterview itu dan bukan sebaliknya.

Tuntutan

Tetapi mungkin Jawatankuasa yang telah ditubuhkan di negeri Pahang untuk menyiasat tuntutan Mat Siam sudah pun menyedari tentang perkara ini dan maklumat-maklumat yang diperolehi dari Mat Siam itu akan disaring dengan cara yang sungguh teliti.

Tentang apa yang telah disiarkan dalam surat-surat khabar, memang tidak kurang sukar untuk seorang pembaca membuat keputusan-keputusan yang tertentu. Banyak telah ditulis, tetapi tidak begitu banyak yang sebenarnya bernilai.

Yang menceritakan perihal kehandalan Mat Siam sungguh menarik tetapi tulisan-tulisan itu tidak membantu seorang pembaca dalam hal menentukan sejauh manakah tuntutannya dapat dipercayai.

Ada setengah penulis yang tidak berjaya mengendalikan emosi mereka – cepat naik marah kalau ada orang yang masih menyatakan keraguan mereka tentang tuntutan Mat Siam itu.

Ini hanya akan menghalang percubaan hendak mencari kebenaran. Kebenaran memang objektif da ia hanya dapat dicapai melalui logik dan bukan emosi.

Apa yang kita perlukan ialah banyak pendapat pro dan kontra Mat Siam supaya kita mempunyai kemungkinan yang lebih baik lagi untuk membuat kesimpulan yang saksama. maka segala pertanyaan dan maklumat patut dialu-alukan dan disamping itu ditatap dengan cara yang beres.

Disini komentar akan dihadkan kepada rencana-rencana yang mengandungi bahan-bahan pro atau kontra Mat Siam. Mereka yang tidak syak lagi tentang authenticity tuntutan Mat Siam itu mengemukakan dalil-dalil yang dapat dirumuskan begini:

(a) Mat Kilau mempunyai tanda-tanda di badannya – tahi lalat di mata kiri, bekas tembakan di bahu kiri, tanda buntat embun di jari kaki dan tanda luka di punggung. Telah dipastikan tanda-tanda itu juga ada di badan Mat Siam.

Objektif

(b) “Nama Allah dan junjungan Besar Muhammad telah dilafazkan oleh orang tua itu untuk pengakuan dirinya”. Bagi orang Melayu, ini memang bukan suatu perbuatan yang dapat dianggap sebagai mainan sahaja.

Hujah-hujah itu tak dapat disangkal dengan begitu mudah sahaja.

Tetapi mengenai (a) kita perlu cuba mempastikan bahawa Mat Kilau dahulu sebenarnya mempunyai tanda-tanda tersebut di badannya. Kalau ini dapat ditetapkan, ia merupakan dalil yang sungguh objektif dan bernilai. (b) tentu dapat diterima oleh mereka yang faham akan sosiologi orang Melayu.

Pernah dibentangkan juga sebagai suatu bukti tambahan bahawa apabila ditunjuk gambar Tok Gajah bersama enam orang lagi (Tok Bahaman, Tok Bandar Jidin, Tok Raja, Sultan Ahmad, Tengku Mahmud dan J.P Rodger), Mat Siam dapat menunjukkan gambar ayahnya dengan Tok Bahaman.

Tetapi ini sebenarnya bukan bukti yang konkrit kerana bukan Mat Kilau seorang sahaja yang pernah melihat Tok Gajah dan Tok Bahaman. Seorang pengiring Tok Gajah atau Tok Bahaman pun tentu dapat mengecamkan gambar-gambar itu sekiranya ia masih hidup.

Mustahak

Pengetahuan Mat Siam tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku pada tahun 1890-an juga tidak boleh dianggap sebagai bukti yang konkrit asalkan ada peristiwa yang hanya diketahui oleh beberapa orang sahaja (termasuk Mat Kilau) dan kecuali Mat Kilau yang lain itu sudah meninggal.

Dalam akhbar-akhbar pernah juga disiarkan berita tentang pengesahan yang dibuat oleh beberapa orang tua (umur mereka lebih daripada kira-kira 80) bahawa Mat Siam itu sebenarnya Mat Kilau. Tetapi disini timbul tanda tanya: Setakat manakah kenyataan-kenyataan mereka itu authoritative? Apakah kita dapat memastikan bahawa mereka itu sungguh-sungguh kenal Mat Kilau?

Keterangan-keterangan Mek Munah memang mustahak kerana sudah nyata ia benar-benar kenal Mat Kilau. Tetapi Mek Munah hanya berumur belasan tahun masa ia bertemu dengan Mat Kilau. Sekarang umurnya lebih kurang 90. Tujuh puluh tahun telah berlepas.

Apabila ditanya sama ada ia kenal lagi Mat Kilau, Mek Munah menjawab: “Saya tua, dia tua, tak kenal. Kalau sama-sama bercerita barulah tahu.” Tetapi setakat manakah ingatannya masih jelas?

Ringkasnya, ada banyak soalan lagi yang jawapannya masih belum jelas pada kita. Dan yang kita perlukan ialah fakta atau sekurang-kurangnya pemerian yang objektif bukan keterangan-keterangan yang subjektif seperti “orangnya comel, kulit putih kuning, pandai gayong, mengaji al-Quran, budi pekerti baik” dan sebagainya. Kriteria yang dapat kita gunakan untuk menentukan satu-satu sifat itu memang relatif, dan oleh sebab itu tidak begitu reliable.

Mereka yang masih ragu-ragukan identiti Mat Siam itu telah mengemukakan beberapa perkara yang tidak kurang mustahaknya. Nampaknya Mat Siam pernah mengatakan bahawa waktu beliau dikatakan mati, mayatnya diganti dengan batang pisang oleh Sultan Muhammad Mulut Merah, Kelantan. Tetapi Sultan itu yang sebenarnya seorang pemerintah yang termasyhur, telah mangkat pada tahun 1886. Soalannya – bagaimana Mat Siam boleh membuat kesilapan besar itu kalau beliau itu sebenarnya Mat Kilau?

Menurut Tuan Haji Mohammad bin Haji Abdullah (cucu saudara benar kepada Tok Gajah): “Setelah mati, mayat Mat Kilau diserahkan oleh Sultan Mansor Kelantan kepada arwah ayah saya, Haji Abdullah, untuk dimandi dan dikebumikan secara rahsia.” Dan Tuan Haji Mohammad sendiri pernah menjumpai Mat Siam pada tahun 1957. Kononnya pada masa itu Mat Siam mendakwa dirinya anak Teh Ibrahim.

Berundur

Mat Siam juga dikatakan pernah tinggal di Kampung Ayer Hitam, Ketapang, Pekan (dari 1928 hingga 1932) berhampiran dengan rumah Allahyarhamah Nobah binti Khatib Bahrin “seorang sepupu Mat Kilau yang berundur bersama-samanya dalam masa perang Tok Gajah dahulu.”

Tetapi, menurut Tuan Haji Mohammad, “mereka tidak pernah kenal mengenal antara satu dengan lain sedangkan mereka tinggal berdekatan…” Tambahan pula: “Bila Teh Ibrahim, Yang Kechil dan lain-lain lagi balik ke Pahang dari Siam dan singgah beberapa waktu di Pekan, semua mereka pergi menziarah Nobah dan menemuinya dengan segala ratap dan tangis. Orang-orang itu menceritakan bahawa Mat Kilau telah binasa dan kecundang di Kelantan.”

Hujah-hujah yang dikemukakan oleh Tuan Haji Mohammad itu belum dijawab dengan cara yang memuaskan oleh pihak yang pro-Mat Siam. Maka berdasarkan laporan-laporan dan tulisan-tulisan yang yang disiarkan oleh dalam surat-surat khabar, memang kita tidak dapat membuat apa-apa kesimpulan tentang hal Mat Siam itu.

Pada hakikatnya banyak pertanyaan-pertanyaan yang sulit telah timbul tetapi nampaknya pertanyaan-pertanyaan yang sulit itu tidak diserahkan ke pemerian dan tafsiran. Bahan-bahan pemerian dapat dikatakan objektif maka kegunaannya berpanjangan tetapi tafsiran adalah subjektif dan akan berubah menurut peredaran zaman dan keadaan kemajuan pengetahuan manusia. Maka dalam penulisan sejarah juga gagasan-gagasan yang baru sangat diperlukan.

Pada zaman sekarang kegiatan-kegiatan ahli sejarah ditumpukan kepada research tentang masyarakat kita – masyarakat lama membawa kepada masyarakat moden – dan sumbangan daripada segenap lapisan masyarakat amat mustahak.

Ini merupakan rencana beliau yang terakhir.

2 comments:

  1. Assalamualaikum,
    (ingatkan ustaz keluar di tv saja, rupanya ada blog).
    saya amat setuju silibus sejarah yg diajar di sekolah kita dikaji semula dan disusun mengikut disiplin ilmu hadith. Saya membaca artikel yg ustaz kongsikan ini dari babak 1 hingga 4. Asalnya sebab curious dengan perihal mat kilau yg ditimbulkan dlm blog tukartiub (hisyamudin rais), lalu saya google apa2 maklumat yg berkaitan dgn keraguan mengenai mat kilau. Dan saya jumpa blog ustaz.

    ReplyDelete
  2. Salam kembali...

    2 sen dari hamba...

    Hari ini kita sekadar membaca ‘maklumat sejarah’ yang sekadar diambil dari buku-buku teks sejarah semata-mata tanpa ada kajian sendiri secara konkrit. Natijahnya kita mewarisi catatatan kelompok Western Orientalist Scholars yang giat mengukir sejarah dari pandang mereka.

    Disekeliling kita juga, ada 3 jenis manusia yang berbeza gaya dalam mencatatkan sejarah iaitu Herodotus, Ibn Khaldun dan Simon Michael Schama.

    ...Herodotus banyak menulis sejarah popular

    ...Schama pula menunjukkan bahawa sejarah popular perlu diselidik dengan kaedah yang menepati disiplin ilmu

    ...Ibn Khaldun pula mencatat sejarah dengan penambahan ilmu sosiologi dengan cara mengembara dan melihat sendiri sejarah

    Seeloknya kita uli dan adun kembali sumber-sumber sejarah klasik dengan situasi masyarakat moden masa kini

    ReplyDelete