Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Wednesday, August 10, 2011

Dr. Farish Ahmad Noor dan Buku “From Indrapura to Darul Makmur : A Deconstructive History of Pahang”

frominderapuratodarulmakmurHujung minggu baru-baru ini saya telah diundang ke sebuah majlis iftar di Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur. Sementara menantikan waktu berbuka puasa, saya berkesempatan ke kedai buku MPH yang terletak di lobi utama Crowne Plaza. Tatkala melangkah masuk ke ruang utama, terus terpandang sebuah buku yang sewajarnya dimiliki oleh mana-mana pencinta sejarah dan warisan Pahang iaitu buku bertajuk “From Indrapura to Darul Makmur : A Deconstructive History of Pahang” terbitan Silverfish Books (cetakan kedua Februari 2011). Sebagai perkongsian maklumat, cetakan pertama buku ini pada Disember 2010 adalah cetakan edisi khas untuk Istana Pahang sahaja.  Baru tahun ini buku Dr. Farish tersebut diperkenan untuk edaran awam. Ada beberapa sebab mengapa buku ekslusif ini elok untuk dimiliki :

Sebab Pertama :

Pertama-tamanya kerana penulisnya ialah Dr. Farish Ahmad Noor, farishseorang ahli sains politik, sejarawan, aktivis dan cendekiawan muda Melayu bertaraf antarabangsa;  berasal dari Pulau Pinang yang terkenal agak ‘nakal’ dalam penulisannya. Saya sendiri secara peribadi ada masanya ‘senak perut’ membaca pemikirannya melalui tulisan-tulisan beliau di Harakah, The Malaysian Insider atau menerusi buku-buku beliau seperti “Di Balik Malaysia Dari Majapahit Ke Putrajaya” (2008), “Quran and Cricket : Travels Through the Madrasahs of Asia and Other Stories” (2009) atau koleksi  “What Your Teacher Didn't Tell You” (2009). Lupakan beliau dari sudut analisis politik kepartaiannnya – sebagai pemerhati bidang sosial dan sejarah; beliau saya kelaskan sebagai seorang yang berani, kritis serta berterus terang.

Kalau ada sejarawan mempertikaian kredibiliti Dr. Farish untuk bercakap soal sejarah, sila rujuk terlebih dahulu dengan Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, Ketua Jabatan Sejarah Universiti Malaya yang turut mengkagumi beliau. Tanyakan juga kepada Prof. Madya Dr. Azmi Sharom yang pernah semasa di Jogjakarta selama empat hari berturut-turut mendengar huraian Dr. Farish berkaitan sejarah dan budaya Jawa. Satu lagi perkara yang menjadikan beliau “penyimpan sejarah yang tegar” adalah kerana beliau tidak pernah menonton tv atau memiliki set televisyen sejak berusia 19 tahun serta hingga kini masih selesa mengutus surat kepada rakan-rakan menggunakan perantaraan Pos Malaysia!…

Dr. Farish pernah mengakui bahawa ikon beliau dalam penulisan sejarah terimbau kepada tuga tokoh iaitu Herodotus, Ibn Khaldun dan Simon Schama. Katanya, Herodotus banyak menulis sejarah popular, Schama pula menunjukkan bahawa sejarah popular perlu diselidik dengan kaedah yang menepati disiplin ilmu sementara Ibn Khaldun pula mencatat sejarah dengan penambahan ilmu sosiologi dengan cara mengembara dan melihat sendiri sejarah. Justeru tidak hairanlah, dipermulaan buku ini beliau berulangkali dalam bahasa yang mendesak, mempertahankan bahawa bumi bertuah Pahang telah wujud lebih awal dari penubuhan Malaysia. Justeru jangan ditenggelamkan sejarah Pahang dengan kisah versi kolonial semata-mata.

Sebab Kedua :

Gaya analisis sejarah beliau amat berbeza dengan mana-mana penulis sejarah khususnya dari sudut perspektif. Saya ringkaskan begini : Di saat kita kita sedang berbicara dengannya mengenai epik Star Wars, beliau akan mampu mengheret topik tersebut sampai ke mitos French New Wave Cinema yang pernah muncul sekitar tahun 1950-an. Kepakaran beliau yang saya lihat adalah kemampuannya mengadun sumber-sumber sejarah klasik yang akhirnya diuli pula dengan situasi masyarakat moden masa kini. Ternyata kaedah ini sebenarnya boleh membuka ruang-ruang baru khususnya dari sudut dokumentasi sejarah memandangkan pada kebiasaannya sejarawan sekarang amat bermazhab kepada teks yang diwarisi daripada kelompok Western Orientalist Scholars yang Dr. Farish buktikan bahawa kelompok kolonial inilah sebenarnya yang telah mengedit sesuka hati, membuang inti pati dan segala falsafah sebenar disebalik sejarah Melayu itu sendiri.

Sebagai contoh, pencarian dan pemahaman beliau tentang keheroan sebenar Laksamana Hang Tuah telah dibangkit dan digarap dalam bukunya “What Your Teacher Didn't TeacherTell You; Chapter 6 : Hang Tuah The Pacifist (orang yang menentang peperangan) : Deconstructing Our National Hero telah mengubah sedikit sebanyak pemahaman kita selama ini terhadap kesaktian Hang Tuah (tanpa perlu menghina peribadi Hang Tuah itu sendiri). Maka tidak hairanlah dalam buku “From Indrapura to Darul Makmur : A Deconstructive History of Pahang” ini, beliau menghargai usaha Abu Talib Ahmad yang berjaya membuat kajian serta pendedahan ekslusif bahawa beberapa buah muzium di Kelantan, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan juga Sabah mempunyai kecenderungan untuk menggunakan ‘maklumat sejarah’ yang sekadar diambil dari buku-buku teks sejarah semata-mata tanpa ada kajian sendiri secara konkrit (Abu Talib Ahmad, 2008 : “State Museum and their Representations of the Past in Malaysia”, Journal of the Malaysian Branch of The Royal Asiatic Society JMBRAS, hlm. 45 – 70 dalam “From Indrapura to Darul Makmur : A Deconstructive History of Pahang” hlm. 9.

Sebab Ketiga :

Methodologi penulisan beliau yang sering menyelitkan petikan wawancara ekslusif dan berani dengan tokoh yang berkaitan dengan tulisannya. Sebelum ini beliau pernah mewawancara Abu Bakar Bashir yang dikaitkan dengan Jemaah Islamiyah di Indonesia. Dr. Farish mewawancara beliau bagi pihak TV al-Jazeera pada tahun 2006 dan hasilnya juga beliau memasukkan dua bab daripada dapatan itu ke dalam bukunya “Quran and Cricket : Travels Through the Madrasahs of Asia and Other Stories” (2009).

Bagi edisi “From Indrapura to Darul Makmur : A Deconstructive History of Pahang” ini, beliau berjaya menemubual sendiri KDYMM Sultan Pahang pada 19 Julai 2010 di Istana Pahang, Kuala Lumpur (rujuk apendiks C, halaman 229 – 236). KDYMM Tuanku telah menjelaskan secara panjang lebar mengenai sejarah Pahang bermula dari era Darurat 1948 – 1960, sejarah penubuhan kampung-kampung baru di Pahang, era Konfrontasi dengan Indonesia, era pra dan pasca pertabalan baginda sebagai Sultan Pahang, isu tanah rancangan FELDA, nasib masyarakat Orang Asli, potensi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Pahang, masa depan Institusi DiRaja Pahang dan banyak lagi. Secara peribadi, inilah maklumat serta penjelasan ‘first hand’ terbaik berkenaan sejarah Pahang dari tokoh nombor satu di Pahang iaitu KDYMM Tuanku sendiri.

Selain itu juga, menerusi buku beliau ini telah dilampirkan beberapa kisah dan fakta menarik yang pernah dicatatkan oleh Sir Hugh Charles Clifford, Residen Inggeris di Pahang. Sepanjang perkhidmatannya di Pahang, Clifford telah mencatatkan beberapa anekdot yang menarik untuk dibaca oleh generasi sekarang dalam beberapa siri kompilasi : In A Corner of Asia (1899), The Further Side of Silence (1916), novel Saleh : Prince of Malaya (1926) dan beberapa penerbitan lain lagi. Dr. Farish memetik beberapa kisah untuk dimuatkan dalam buku beliau ini iaitu At The Court of Pelesu (1899), The Story of Ram Singh (1899), In The Central Gaol (1899), A Malayan Prison (1916), The Death-March of Kulop Sumbing (1899), The Further Side of Silence (1916), The Vigil of Pa’ Tua, the Thief (1899), A Daughter of the Muhammadans (1899) dan The Wages of Sin (1899).  

Kesimpulan

Buku setebal 273 halaman ini, dengan bibilografi rujukannya sahaja berjumlah 113 buah, dijual pula dengan harga RM 40.00, memang amat sesuai dimiliki dan juga dibaca oleh pencinta sejarah, budaya dan warisan Pahang Darul Makmur. Selamat membaca…

No comments:

Post a Comment