Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Sunday, May 9, 2010

Hari Hol

7 Mei merupakan hari cuti bagi negeri Pahang yang dikenali dengan Hari Hol (Haul). Kamus Dewan mendefinisikan "Hol" sebagai 'kenduri arwah yang diadakan setahun sekali'. Dalam konteks ini, Hari Hol di Pahang yang diisytiharkan semenjak tahun 1974 merupakan hari memperingati kemangkatan Sultan Pahang keempat, iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdullah (gambar di atas) iaitu ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah yang bertakhta pada hari ini. Almarhum baginda yang memerintah negeri Pahang selama 42 tahun, telah mangkat di Istana Kecil di Pekan pada tanggal 5 Mei 1974. Istiadat pemakaman pula diadakan pada hari Selasa, 7 Mei 1974. Pada hari tersebut hinggalah ke hari ini, semua jabatan kerajaan samada negeri atau persekutuan dan juga pihak swasta diarahkan bercuti selama 1 hari.

Baru-baru ini seperti biasa, satu majlis tahlil diadakan di Makam DiRaja, Pekan. Majlis yang bermula jam 9.30 pagi telah dihadiri oleh ramai pembesar negeri dan juga rakyat jelata. KDYMM Sultan Pahang, DYMM Sultanah Pahang dan KDYTM Tengku Puan Pahang berkenan berangkat ke majlis ini. Turut hadir ialah paduka-paduka anakanda dan juga kerabat-kerabat bergelar. Sahibus Samahah Mufti Pahang telah mengetuai bacaan tahlil dengan diiringi oleh kesemua al-Fadhil Qadhi daerah-daerah di Pahang.

Bagi yang pertama kali menziarahi Makam DiRaja Pekan, pasti tertanya-tanya siapakah gerangan yang disemadikan disitu memandangkan terdapat 3 buah makam yang terletak dalam bangunan tersebut. Sebagai perkongsian maklumat, makam yang pertama (dari pintu masuk utama) merupakan makam Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Muadzam Shah. Semasa tahlil diadakan, Mufti dan para agamawan akan duduk menghadap ke arah makam Almarhum. Di kawasan karpet kuning (lihat gambar di atas) merupakan tempat yang dikhususkan kepada KDYMM Sultan Pahang dan kaum kerabat baginda.

Makam ditengah pula merupakan makam Almarhumah bonda Sultan Haji Ahmad Shah iaitu Almarhumah DYMM Tengku Ampuan Besar (Tengku Ampuan Pahang III) Raja Hajjah Fatimah binti Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah yang mangkat pada 23 Jun 1988. Makam yang paling hujung pula (berwarna kelabu gelap) merupakan makam Almarhumah permaisuri hati Sultan Haji Ahmad Shah iaitu Almarhumah DYMM Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajjah Afzan binti Tengku Muhammad yang telah mangkat pada 29 Jun 1988.

Almarhumah DYMM Tengku Ampuan Besar (Tengku Ampuan Pahang III) Raja Hajjah Fatimah binti Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah

Almarhumah DYMM Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajjah Afzan binti Tengku Muhammad

Moga dicucuri rahmat ke atas roh-roh Almarhum dan Almarhumah. Al-Faatihah...

1 comment: