Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Tuesday, September 29, 2009

Rekacorak Tenun DiRaja Pahang

Rekacorak Lama

Pada asalnya rekacorak yang menjadi dasar pillhan para penenun adalah jalinan tradisi yang dipelopori oleh Tuk Tuan (Keraing Aji) iaitu Jaluran Berdiri atau Melintang. Namun demikian, kedua rekacorak ini mula berubah sedikit demi sedikit mengikut citarasa para penempah yang mahukan kelainan pada muka kain. Dengan pengadunan corak lama tinggalan Tuk Tuan dan rekacipta ilham pelanggan maka lahirlah berbagai corak jalur serta warna warni lebih mempersona dengan nama-nama seperti :

  • Corak Anak Lebah
  • Corak Batang Pinang
  • Corak Jalur Biasa
  • Corak Jalur Melintang di Tengah
  • Corak Bunga Cengkih
  • Corak Biji Peria
  • Corak Pahang
  • Coral Selumbar Nibong
  • Corak Tubok Sekampung
  • Corak Usek

Warna hitam dengan putih atau hitam dengan samar. Tidak melebihi dua warna asas. Jalur pengapit di tengah menyerlahkan corak kain. Rekacorak ini digemari dari dulu hingga sekarang. Warnanya melambangkan bendera negeri Pahang yang berdaulat.

Warna dasar hijau dan putih. Tidak melebihi dua warna, hanya muka kain jadi penyeri.

Jalur pengapit membahagikan dua warna yang bertentangan. Keseriannya nampak jelas pada motif Selumbar yang terkandung dalam jalinan serat dan benang nan dijalin halus.

Paling rumit membuat rekacorak seperti ini. Jejalur halus Sepit Udang bertindihan antara satu sama lain. Pembahagian warna benang amat memerlukan penelitian dan kecekapan.

Rekacorak Baru

Perubahan wajah Kain Tenun Pahang berlaku pesat pada abad ke-19 Masehi. Di kala itu golongan istana, orang-orang besar, kalangan yang mampu kian bijak membuat cadangan dan perubahan. Justeru itu terhasil dengan lebih sempurna rekacorak menawan dengan nama-nama yang dipadankan dengan seseorang individu dan jua motif tertentu yang lebih mudah disebut seperti :

  • Corak Tengku Ampuan
  • Corak Tok Muda
  • Corak Orang Kenamaan
  • Corak Datuk Bandar
  • Corak Dato Mahmud
  • Corak Tun Razak
  • Corak Beranak
  • Corak Tapak Catur
  • Corak Mengiring
  • Corak Belah Buluh
  • Corak Seluang Mudik

Paduan warna merah, kuning, hijau, kesumba dan putih serta jejalur mulus dijalin begitu rupa, menampakkan rekacorak ini amat indah dan mahal. Seri cahayanya memantulkan warna dewangga.

Rekacorak yang digemari oleh orang-orang besar istana.

Rekacorak menawan yang amat digemari oleh kalangan istana dan orang-orang besar negeri. Jalinan warnanya bagaikan pelangi, redup dan bercahaya.

Rekacorak memaparkan kewibawaan dan kesederhanaan sikap si pemakai. Warna coklat, kuning muda, biru, kelabu, menyatukan jejalur sutera menarik, redup dipandang mata.

Paduan warna gemilang menampilkan ciri kesempurnaan dan ketelitian. Rekacorak ini amat digemari oleh Dato' Mahmud Mat, Pembesar Negeri yang terkenal sebagai seorang pemimpin bestari.

Kehalusan rekacorak dan jalinan warna beraneka menzahirkan kepermaian tersendiri. Mengatur corak sebegini rupa memerlukan ketekunan serta penelitian penenun yang mahir. Paduan warna gemilang mencerminkan kewibawaan yang unggul.

Bukan mudah membuat rekacorak ini, tetapi ketekunan dan kemahiran penenun mampu menzahirkan kain sarung yang sebegini rupa. Tapak Catur amat digemari oleh kaum wanita. Sesuai dipadankan dengan baju Kurung tanpa corak, ataupun baju Kedah daripada kain kosong.

Warna merah dan hijau melintang dipanggil jalur besar, mengiringi dua warna dasar ialah jejalur kecil dan halus berwarna pelangi. Kilauan sutera bersama paduan warna yang selari menjadikan kain ini bermutu tinggi.

Bagaikan buluh nan terbelah kekuningan warnanya, kukuh sifatnya. Diserikan lagi dengan empat jalur melintang berwarna merah dan hitam, menjadikan rekacorak ini tidak jemu dipandang mata.

Jejalur halus keemasan memantulkan cahaya. Sentuhan seni nan halus bagaikan alunan ombak berirama di tengah lautan biru. Anak-anak seluang berlompatan sambil mudik ke hulu Sungai Pahang, biasanya selepas banjir.

Rekacorak Mutakhir

Keindahan warna serat sutera halus yang terpancar dalam Kain Tenun Pahang menjadi perhatian para penggemar fesyen tradisional, khususnya di kalangan masyarakat elit. Oleh yang demikian, zahirlah beberapa rekacorak mutakhir yang lebih terang dan garang warnanya mengikut selera dan ilham para penempah sendiri. Berdasarkan corak dahulukala seperti Cindai dan Limar, para penenun mahir Pulau Keladi Pekan terus berusaha membuat corak terkini yang lebih klasik dengan jalinan benang emas dan perak yang sungguh menawan.

Rekocorak mutakhir ini masing-masing diberi nama :

  • Corak Bersilang
  • Corak Pucuk Rebung Berlapis
  • Corak Limar
  • Corak Bunting Padi
  • Corak Bunga Banji
  • Corak Cindai.
Corak bersilang warnanya garang dan terang. Muka kainnya corak Bunting Padi. Memaparkan unsur tradisi dan gubahan rekacorak terkini. Benang emas berkilauan memantulkan seri dan keceriaan.
Pucuk Rebung Berlapis dinamakan. Beberapa warna diserasikan. Jalinan Anak Lebah di permukaan. Sentuhan Cindai mempesonakan.
Rekacorak berilhamkan kain Limar Muka kain 'Bunga Banji'. Pelbagai warna dimesrakan seperti pelangi. Kain tenun ini memaparkan keistimewaan yang tersendiri.


Corak Batang Pinang diperhalusi lagi dengan jalinan benang emas pilihan terkini. Sentuhan Limar pada kaki kain bersilangkan warna kuning. Rekacorak mutakhir ini amat digemari oleh golongan elit.

No comments:

Post a Comment