Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Sunday, August 18, 2013

Bendera Malaysia dan Orang Johor

Bila tiba bulan kemerdekaan tanahair, sejarah Malaysia akan kembali ditulis dan dibahas (terkadang dipertikai, diperdebat dan diteori konspirasikan…).

Namun yang jelas, nama yang paling banyak muncul pada musim kemerdekaan ini ialah Allahyarham Mohamad bin Hamzah yang merupakan pereka bentuk di Jabatan Kerja Raya Johor atau Public Works Department of Johore (sebelum tahun 1906 dikenali sebagai Jabatan Kerja Raya, Ukur Tanah dan Bandaran).

Hamba tidak bersedia membahas dan membincangkan pelbagai khilaf pandangan tentang polemik, teori konspirasi dan misteri berkaitan hal penciptaan bendera Malaysia ini. Ianya bukanlah perkara berkaitan akidah yang perlu diperbahaskan sejarahnya secara bermati-matian.

Pandangan Hamba

Surat Pencipta Bendera

Jika diperhatikan isi kandungan surat yang dikirim oleh Allahyarham Mohamad bin Hamzah kepad Majlis Perundangan Persekutuan atau Federal Legislative Council (1948–1957) bertarikh 13 Ogos 1949, ada hal menarik yang boleh dibincangkan.

Pandangan hamba, surat Allahyarham lebih terarah kepada tugasan pengubahsuaian rekabentuk bendera (bukan mencipta) berdasarkan rekabentuk yang telah pun dicadangkan (designs for the PROPOSED Federation flag) oleh pihak Majlis Perundangan Persekutuan (perhatikan surat Allahyarham kepada Clerk of Councils di The Council Chamber, Jalan Maxwell, Kuala Lumpur seperti di atas).

Dalam pertandingan mencipta bendera tersebut, sebanyak 373 karya telah diterima. Daripada sejumlah itu, 3 rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir. Mungkin ketika inilah proses pengubahsuaian dibuat untuk memuaskan hati semua pihak.

Cukup disitu pendapat hamba…

Mengapa JKR Johor?

Persoalannya kini, mengapa pihak Federal Legislative Council memilih JKR Johor untuk menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian ini? Hamba berpandangan (sekadar teori):

FAKTOR PERTAMA

Johor merupakan sebuah kerajaan yang amat disegani oleh British. Almarhum Sultan Sir Abu Bakar ibni Almarhum Temenggung Daeng Ibrahim Sri Maharaja Johor adalah Raja Melayu pertama berangkat ke England iaitu pada 22 Mac 1866. Selepas tarikh itu, baginda berangkat lagi sebanyak 6 kali ke England (Trocki, C.A., 1979, Prince of Pirates: The Temenggongs and Development of Johore and Singapore, 1784-1885, hlm. xvi).

Pengaruh baginda telah membawa kepada termeterainya “Perjanjian Setia” (Johor Treaties) dengan Fredrick Arthur Stanley (wakil Ratu Victoria di Colonial Office, London) pada 11 Disember 1885 yang antara lain mengiktiraf Johor sebagai sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat.

Bayangkan, antara tahun 1878-1890 baginda telah mampu berangkat ke Itali, Prussia, Perancis, Switzerland, Mesir, Greece dan Turki. Baginda turut melawat Indonesia, China dan Jepun pada tahun 1873 dan melawat India pada tahun 1875. Pada era tersebut, disaat negeri-negeri lain di Tanah Melayu sedang bergelut dengan perang saudara dan gangguan British, Sultan Johor boleh meninggalkan negeri baginda tanpa bimbang.

Selama tempoh 33 tahun, Almarhum Sultan Abu Bakar telah berjaya mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan pemerintahan baginda dan negeri Johor daripada dijajah oleh British (Dato' Abdul Rahim bin Ramli, 2011, Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor, hlm. 112).

Selama 33 tahun juga, Johor berjaya menepis asakan bertubi-tubi serta tipu helah British yang mahu meluaskan jajahannya. Johor merupakan negeri terakhir dalam Persekutuan Tanah Melayu yang menerima seorang Penasihat Am British pada tahun 1910.

Diceritakan jua kononnya ketika “Harimau Malaya” iaitu Jeneral Tomoyuki Yamashita (Jeneral Ketumbukan Ke-25 Tentera Imperial Jepun) tiba untuk di Johor dari Singapura, beliau telah tunduk hormat kepada Almarhum Sultan Ibrahim al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar kerana baginda memiliki darjah kebesaran Jepun, Grand Cordon of the Order of the Rising Sun yang diterimanya pada tahun 1934.

Atas sebab itu jualah, Majlis Raja-Raja telah berkenan dan bersepakat untuk memilih Almarhum Sultan Ibrahim al-Masyhur sebagai Yang Di Pertuan Agong pertama, namun baginda menolaknya.

FAKTOR KEDUA

Johor merupakan negeri yang terkenal memiliki paling banyak bendera. Justeru, perekabentuk dari Johor amat sesuai dengan tugasan ini kerana mereka memiliki kepakaran yang jarang dimiliki oleh orang lain pada zaman itu. 

Bendera Johor kesemuanya berjumlah 21 dan dibahagikan kepada 3 kumpulan (bacaan lanjut dalam Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor, hlm. 67 - 70).

1. Panji-Panji Kesultanan Johor

Bendera dalam kumpulan ini terdiri dari 8 jenis bendera iaitu bendera peribadi Sultan, Sultanah, Tunku Mahkota, Tunku Bendahara, Tunku Temenggong, Kerabat Diraja, Pengiring Raja dan Bendera Istiadat.

Blog 1

2. Bendera Berkenaan Negeri

Bendera dalam kumpulan ini terdiri dari 7 jenis bendera iaitu Bendera Negeri, Bendera Rakyat (Bendera Perniagaan), Bendera Askar Johor, Bendera Jabatan Laut dan Tetunggal Jabatan Laut, Bendera Polis dan Bendera Kapal Kerajaan.

Blog 2

3. Bendera Berkenaan Pegawai Kerajaan

Bendera dalam kumpulan ini terdiri dari 6 jenis bendera iaitu Bendera Pemangku Raja, Bendera Menteri Besar, Bendera Pemerintah Askar Johor dan Bendera Pesuruhjaya Kerajaan Muar, Batu Pahat dan Endau (sekarang Segamat) *.

Blog 3

* Bendera Pesuruhjaya Kerajaan Muar, Batu Pahat dan Endau tidak lagi digunakan secara berperingkat mulai 19 Mac 1889.

Wallahu A'lam.

p.s: Bagi anak kelahiran Johor D.T (Dengkes dan Tepok, bukan Darul Takzim...) yang ingin menambahkan kebanggaan menjadi Johorean, sudilah ziarah http://untoldhistoriesofmalaya.blogspot.com/

5 comments:

  1. ini Ustaz Bad yg Real ker...

    ReplyDelete
  2. Mohamed bin Hamzah kan....di atas mention Mohamad bin Hamzah..

    ReplyDelete
  3. Mohamed bin Hamzah kan....di atas mention Mohamad bin Hamzah..

    ReplyDelete
  4. Johor suatu masa dulu dibawah perlindungan aceh. Negeri Aceh pula dilindungi negara turki. Namun setelah turki menjadi republik aceh pula dijajah oleh belanda ....Johor pula tunduk pada british

    ReplyDelete