Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Thursday, May 5, 2011

Protokol Pakaian Perkahwinan DiRaja

* Perhatian. Kepada para penziarah yang dimuliakan...Isi kandungan blog ini boleh dimanfaatkan sebagai rujukan bersama. Namun pohon sudi apalah kiranya untuk tidak memplagiatnya seolah-olah menafikan secara total akan penat lelah penulis menyusunnya demi manfaat bersama. Cukuplah sekadar dinyatakan sumbernya, bukan dengan mengeditnya secara jadi-jadian. Terima kasih kepada para pemantau setia yang memaklumkan tentang hal ini. Sebagai contoh, sila rujuk http://kesultananjohor.blogspot.com/2011/05/protokol-pakaian-perkahwinan-diraja.html#comments
__________________________________________________________

Agong 11

Saya menerima pertanyaan daripada seorang pemantau setia Panca Persada membabitkan pakaian istiadat Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong sewaktu menghadiri majlis perkahwinan The Duke and Duchess of Cambridge iaitu Putera William dan Catherine Middleton di Westminster Abbey. Beliau mengemukakan kemusykilan mengapakah pakaian istiadat baginda berbeza dengan pakaian tetamu yang lain (rujuk gambar di atas).

Bagi menjawab pertanyaan ini, pertamanya yang perlu kita lihat adalah kepada kod etika berpakaian yang dicatatkan dalam kad jemputan rasmi perkahwinan tersebut :

invite

Berdasarkan arahan Lord Chamberlain of Her Majesty's Household (sama fungsi dengan peranan Datuk Paduka Maharaja Lela), tetamu dikehendaki memakai tiga jenis pakaian iaitu Uniform, Morning Coat atau Lounge Suit. Justeru jika merujuk kepada gambar di atas, didapati Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong telah mengenakan pakaian berbentuk uniform sementara tetamu yang berdekatan dengan baginda sebagai contohnya KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; mengenakan pakaian Morning Coat.

Dalam konteks protokol dan etika berpakaian acara rasmi di negara kita, Morning Coat lebih dikenali dengan istilah Morning Dress. Seseorang akan dikira menepati piawaian pakaian Morning Dress apabila menyarung aksesori pakaian berikut (Mokhtar bin Mohd. Tohar, Protokol dan Etiket Dalam Pengurusan dan Menghadiri Majlis, hlm. 284) :

1. Tail Coat hitam (kot berekor di belakang)
2. Waist Coat (kot dalam);
3. Kemeja putih berkolar rata menghala ke bawah (tanpa butang);
4. Tali leher berwarna kelabu;
5. Seluar hitam berjalur- jalur;
6. Stokin hitam;
7. Kasut hitam;
8. Topi Sutera hitam


Morning Coat

Pada kebiasaannya di Malaysia, Morning Dress boleh dipakai dalam acara-cara rasmi seperti berikut :

1. Istiadat Pertabalan (Hari Kalung)

2. Majlis Mengadap Hari Keputeraan

3. Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat

4. Istiadat Mengarak Panji-Panji Sempena Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong

5. Istiadat Pembukaan Persidangan

6. Majlis Mengadap dan Persembahan Watikah Bakal Duta Asing

Justeru, dalam konteks majlis perkahwinan diraja Putera William dan Catherine Middleton di Westminster Abbey, baginda memilih untuk mengenakan uniform.

Uniform Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong

Agong

Pada peringkat awal melihat gambar ini, saya menyangkakan baginda memakai pakaian rasmi alumni Royal Military Academy di Sandhurst memandangkan baginda pernah menuntut di akademi tersebut sehingga tahun 1983. Namun selepas meneliti perincian pada peak cap, collar device, shoulder board dan juga sleeve lace; maka jelaslah uniform ini adalah Royal Navy Ceremonial Dress Nombor 1. Jika diperhatikan pada sleeve lace, maka ianya merupakan lambang bahawa pemakainya adalah bertaraf OF-10 ataupun Admiral of the Fleet. Selain itu, pemakaian aiguillettes berwarna emas dan disangkut pula di bahu kanan petanda ianya merupakan aiguillettes jenis 1st Class ataupun Royal. Visor Hat atau Hat Cap yang dipakai pula merupakan simbol dan insignia Royal Malaysian Navy Admiral's Peak Cap.

Pemakaian ini sebenarnya bersesuaian dengan kedudukan baginda yang merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Malaysia (The Supreme Commander atau Commander-in-Chief of the Malaysian Armed Forces), seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 41 yang berikut :

41. Perintah tertinggi angkatan tentera. Yang di-Pertuan Agong ialah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan."

Mengapa Pakaian Royal Navy Ceremonial Dress Nombor 1 ?

Timbul persoalan, mengapakah baginda memilih pakaian tradisi tentera laut semasa menghadiri perkahwinan diraja ini? Sebenarnya pakaian tentera laut merupakan pakaian protokol yang menjadi pilihan sebahagian besar orang kenamaan memandangkan tona warnanya yang gelap serta tidak terlalu menyerlah berbanding hijau (tentera darat) dan biru (tentera udara). Jika diperhatian, sebenarnya terdapat ramai lagi tetamu kenamaan yang lain yang juga mengenakan Royal Navy Ceremonial Dress Nombor 1 ini, antaranya :

Blue DressGambar kiri adalah Putera Mahkota Willem Alexander dan Puteri Maxima dari Belanda sementara gambar kanan adalah Permaisuri Sofia, Putera Felipe dan Puteri Letizia dari Sepanyol. Perhatikan uniform mereka.

wedding
Kebanyakan tetamu kenamaan juga turut mengenakan uniform Royal Navy Ceremonial Dress Nombor 1 selain daripada uniform berwarna merah yang mewakili pakaian Irish Guards.

Bahkan jika diimbas kembali semasa istiadat perkahwinan Putera Charles dan Diana Spencer pada tahun 1981, Charles juga telah mengenakan uniform tentera laut dan tradisi ini berterusan tatkala beliau menghadiri majlis perkahwinan puteranya di Westminster Abbey.

Charles Diana
Putera Charles semasa perkahwinannya dengan Diana.

Charles Camilla
Putera Charles dan Camilla Parker Bowles semasa menghadiri perkahwinan Putera William dan Catherine Middleton di Westminster Abbey. Perhatikan pada perincian uniform beliau.

2 comments:

  1. Salam Ustaz,

    Pakaian seragan Tentera Laut biasa dipakai dalam istiadat rasmi khususnya yang melibatkan Keluarga DiRaja Britian kerana Tentera Laut dianggap sebagai perkhidmatan terkanan (senior services) dalam angkatan tentera British. Kalau dilihat dari cara pemakaian lencana/insignia kepakaran juga kedudukannya lebih tinggi dan berhampiran dengan puncak bahu kiri berbanding dengan perkhidmatan lain sesuai dengan designation sebagai senior services. Tetapi dalam Angkatan Tentera Malaysia, tentera darat biasana dianggap perkhidmatan yang terkanan.

    Faktor sampingan yang menyebabkan keluarga DiRaja Inggeris lebih rapat dengan tentera lautnya pula berkaitan dengan sejarah, tentera laut British bukan sahaja membawa kegemilangan besar kepada empayar Inggeris tetapi juga telah beberapa kali menyelamatkan kerajaan Inggeris dari tumbang ketika menghadapi mara bahaya besar seperti ketika menghadapi Spanish Armada. Manakala tentera darat pula kurang dipercayai kerana telah menyokong Oliver Cromwell dalam menggulingkan kerajaan walaupun buat sementara.

    Baha

    ReplyDelete
  2. Salam saudara Baha...

    Terima kasih atas perkongsian. Pencerahan saudara umpama cahaya yang menerangi kesamaran

    Gempur Wira!

    ReplyDelete