Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Sunday, May 23, 2010

Paduka Anakanda KDYTM Tengku Mahkota Gering

Paduka anakanda KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan Tengku Puan Pahang, YM Tengku Puteri Afzan Amina Hafizatullah (gambar sebelah) telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) setelah disahkan mengidap demam denggi. Sebelum ini, Tengku Puteri Afzan telah mengidap demam selama tiga hari dah suhu badannya telah mencecah 39 darjah celcius.
Selain Tengku Puteri Afzan, pasangan kembar beliau iaitu YM Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah juga disyaki mengalami keadaan yang sama. Sebagai perkongsian maklumat, Tengku Puteri Afzan dan Tengku Ahmad Ismail dilahirkan pada tarikh yang sangat diingati iaitu pada 11 September 2001. Semoga disembuhkan Allah segala penyakit.

Thursday, May 20, 2010

Keturunan Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang

Orang Kaya Indera Shahbandar ke-10, Tun Haji Abdul Razak bin YDH Dato' Hussein mengiringi KDYMM Almarhum Sultan Abu Bakar menghadiri Majlis Mesyuarat Negeri Pahang pada 2 Februari 1955


Baru-baru ini saya bertemu dengan sebuah blog yang sangat bermanfaat kepada peminat sejarah Pahang iaitu :
http://bendaharazamineran.blogspot.com/

Blog ini dikelolakan oleh anakanda kepada Y.A.M Almarhumah Tengku Dato' Putri Kamariah binti Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin al-Muadzam Shah iaitu YM Tunku Dato' Iskandar Dzulkarnain bin Tunku Dato' Ismail.

Seperkara yang menarik yang ingin saya kongsikan hasil dari kajian blog tersebut, terdapatnya susunan susur galur salasilah keturunan Orang Kaya Indera Shahbandar YAB Dato' Sri Haji Mohd. Najib seperti berikut :

1. Orang Kaya Indera Shahbandar ke-11, YAB Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Orang Kaya Indera Shahbandar ke-10 Tun Haji Abdul Razak

2. Orang Kaya Indera Shahbandar ke-10, YDH Tun Haji Abdul Razak bin Orang Kaya Indera Shahbandar ke-9, Dato' Hussein


3. Orang Kaya Indera Shahbandar ke-9, YDH Dato' Hussein bin Awang Muhammad Taib (gambar atas)

4. Awang Muhammad Taib bin Tuan Hakim Haji Andak

5. Tuan Hakim Haji Andak bin Orang Kaya Indera Shahbandar ke-6, Hussain

6. Orang Kaya Indera Shahbandar ke-6 YDH Hussain bin Orang Kaya Indera Shahbandar ke-5, Jahidin @ Chalidin

7. Orang Kaya Indera Shahbandar ke-5 YDH Jahidin @ Chalidin bin Orang Kaya Indera Shahbandar ke-3, Bediman

8. Orang Kaya Indera Shahbandar ke-3 YDH Bediman bin Orang Kaya Indera Shahbandar 1, Tondek @ Tunduk

* Gelaran turun-temurun keturunan Dato' Sri Haji Mohd. Najib ini pernah terputus kerana jatuh ke tangan Che Osman, yang merupakan anak kepada Imam Perang Indera Mahkota Gendut. Namun gelar tersebut dikembalikan semula pada tahun 1930 kepada jalur keturunan Dato' Sri Haji Mohd. Najib (rujuk Zainudin Maidin, Tun Razak : Jejak bertapak Seorang Patriot, hlm. 5).

Salasilah Orang Kaya Indera Shahbandar YAB Dato' Sri Haji Mohd. Najib Berketurunan Bugis

Menurut YM Tunku Dato' Iskandar Dzulkarnain bin Tunku Dato' Ismail, keturunan Bugis Dato' Sri Haji Mohd. Najib adalah dari Che Embong yang berkahwin dengan Orang Kaya Indera Shahbandar ke-5, YDH Jahidin @ Chalidin. Che Embong binti Orang Kaya Indera Shahbandar ke-2, YDH Jenal yang berkahwin dengan Che Mas binti Tok Pondek bin Tok Pongkeng bin Tok Tuan @ Karaeng Aji @ Karaeng Agang Jene Mohammad Nasiruddin bin La Pattau Arumpone Bone bin Sultan Abdul Jalil Tumenanga Ri Lakung Raja Gowa 19 bin I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone.

Jika merujuk pula kepada buku tulisan Zainudin Maidin, Tun Razak : Jejak bertapak Seorang Patriot, dinyatakan pula bahawa Dato' Hussein (ayahanda Tun Abdul Razak) berasal dari keturunan To' Tuan, seorang bangsawan Bugis yang datang ke Pahang pada tahun 1772 dan berkahwin dengan seorang gadis Pahang. To' Tuan menetap di Pahang dengan membuka perusahaan tenun sutera.

(rujuk : http://pancapersada.blogspot.com/2009/09/sejarah-tenunan-sutera-pahang.html).

Cicit perempuan To' Tuan iaitu To' Mas telah berkahwin dengan To' Bandar Jenal (Orang Kaya Indera Shahbandar ke-2) iaitu anak kepada To' Tondek (hlm. 5). Bonda kepada Tun Abdul Razak pula iaitu Teh Fatimah binti Daud (gambar sebelah) merupakan keturunan Sultan Hasanuddin yang memerintah Sulawesi pada pertengahan kurun ke-17 (rujuk lawatan Orang Kaya Indera Shahbandar ke-10 Tun Haji Abdul Razak ke Ujung Pandang, Sulawesi pada 2 Mei 1972).

Selain itu, disebut juga susur galur keturunan Dato' Sri Haji Mohd. Najib dari keturunan bangsawan Johor – Bugis yang berhijrah ke Pahang dalam kurun ke-18. Justeru tidak hairanlah tatkala Orang Kaya Indera Shahbandar ke-10 Tun Haji Abdul Razak belayar menggunakan K.D Hang Tuah ke Sulawesi pada tahun 1972, beliau telah disambut sebagai wira. Ketika itu beliau telah dianugerahkan gelaran bangsawan Bugis, La Tatta Ambralla Daeng Manesa (Perkasa, Pahlawan, Tetap Sekali, Teguh Pendirian dan Laksamana), dipakaikan songkok kehormatan tertinggi Bugis, disisipkan keris pusaka bersalut emas berusia 200 tahun dan dihadiahkan sebuah kapal layar Bugis (penisi) dengan kemampuan muatan 70 tan (rujuk Zainudin Maidin, Tun Razak : Jejak bertapak Seorang Patriot, hlm. 56).

Barisan hulubalang Bugis menyambut Abdul Razak sebagai kepulangan anak Bugis dari pelayaran yang penuh kejayaan


Gabenor Sulawesi Selatan, Ahmad Chamil keris pusaka bersalut emas berusia 200 tahun bersempena pengurniaan gelaran La Tatta Ambarala Daeng Manesa

Tuesday, May 18, 2010

Kenali Darjah Kebesaran Pahang

Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Mulia (the Most Illustrious Order of Sultan Ahmad Shah of Pahang) Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P)

Dizahirkan (diperkenalkan) oleh KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah pada tanggal 24 Oktober 1977. Darjah ini mengandungi 4 peringkat :

Peringkat Pertama : Dato' Sri (Grand Knight) S.S.A.P

Peringkat Kedua : Dato' Setia (Knight Companion) D.S.A.P

Peringkat Ketiga : Setia (Companion) S.A.P

Peringkat Keempat : Ahli (Member) A.A.P


Antara contoh penerima darjah kebesaran SSAP; YAB Menteri Besar Pahang

Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia (the Esteemed Order of the Crown of Pahang) Peringkat Pertama Sri Indera Mahkota Pahang (S.I.M.P)

Dizahirkan (diperkenalkan) oleh Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin al-Muazam Shah pada tanggal 27 Disember 1968. Darjah ini mengandungi 4 peringkat :

Peringkat Pertama : Dato' (Grand Knight) S.I.M.P

Peringkat Kedua : Dato' (Knight Companion) D.I.M.P

Peringkat Ketiga : Setia (Companion) S.M.P

Peringkat Keempat : Ahli (Member) A.M.P

Thursday, May 13, 2010

Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang



Ramai pengunjung Pancapersada menghubungi saya bertanyakan tentang gelaran Orang Kaya Shahbandar Pahang yang disandang oleh YAB Dato' Seri Perdana Menteri sekarang. Secara asasnya gelaran Orang Besar Berempat tersebut telah wujud semenjak tahun 1830-an lagi iaitu semasa era pemerintahan Bendahara Tun Ali (Hj. Buyong Adil, Sejarah Pahang, hlm. 136). Ketika itu, Bendahara Tun Ali mempunyai orang-orang besar yang kanan bagi membantu pentadbiran negeri yang terdiri daripada :

1. Orang Kaya Indera Shahbandar di Pekan

2. Orang Kaya Indera Maharaja Perba di Jelai

3. Orang Kaya Indera Segara di Temerloh

4. Orang Kaya Indera Pahlawan di Chenor

Setiap Orang Besar Berempat (Four Noblemen of The Royal Court) ini mempunyai kawasan pentadbiran masing-masing. Semasa persidangan kelima Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 8 Oktober 1891, telah ditetapkan kawasan pegangan bagi setiap Orang Besar berempat ini iaitu (Dr. W. Linehan, JMBRAS, vol. XIV, pt. II, 1936, hlm. 201) :

1. Orang Kaya Indera Shahbandar : Dari Sungai Bebar ke Kuala Lepar

2. Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai : Dari Tanjung Lindung sepanjang Sungai Jelai ke Perak dan Kelantan (kecuali Sungai Lipis) dan dari daerah Kuala Tembeling ke Pasir Durian

3. Orang Kaya Indera Segara : Dari Kuala Tekoh ke Pasir Purun

4. Orang Kaya Indera Pahlawan : Dari Kuala Luit ke Buntut Pulau Kening, juga daerah Sungai Krau iaitu daripada Batu Wan Pak ke Batu Redap

Mengikut tradisinya, Orang Besar Berempat ini dilantik secara turun temurun berdasarkan keturunan. Justeru, gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar ini juga tidak terkecuali diwarisi oleh YAB Dato' Seri Najib daripada jalur keturunannya. Ayahanda beliau iaitu Tun Abdul Razak bin Dato' Hussain merupakan Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang ke-10 yang dilantik pada 1 November 1950. Ayahanda Tun Abdul Razak pula iaitu Dato' Hussain bin Muhammad Taib adalah Orang Kaya Indera Shahbandar ke-9 yang dilantik pada tahun 1930.

Ada juga pendapat yang mengatakan gelar Orang Kaya Indera Shahbandar ini sejak dahulu lagi dipegang oleh golongan bangsawan keturunan Bugis. Ini juga mungkin ada kebenarannya memandangkan YAB Dato' Seri Najib sendiri merupakan keturunan Bugis dan pernah semasa beliau mengadakan lawatan rasmi ke Sulawesi Selatan pada Mei 2009, beliau telah diberi gelaran salutasi sebagai "Dato' Seri Muhammad Najib Tun Abdul Razak Imappadulung Dg Mattimung Karaeng Sanrobone Sultan Abdul Jalil Raja Gowa XX".

Gelaran ini sebagai penghormatan kerana Dato' Seri Najib dikatakan memiliki garis keturunan dari Raja Gowa ke-19, I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sonrobone Sultan Abdul Jalil Tumenanga ri Lakiung.

Daulat Tuanku...

Monday, May 10, 2010

Malam Tenun Pahang DiRaja

Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang (kanan) mempersembahkan cenderamata kepada KDYTM Tengku Puan Pahang. Perhatikan corak kemeja lengan panjang Tenun Pahang DiRaja yang dipakai oleh Dato' Seri Najib dan Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim (kiri). Begitu halus dan lebih tampak ekslusif

Baru-baru ini KDYTM Tengku Puan Pahang telah berkenan mencemar duli menghadiri majlis gilang-gemilang Malam Tenun Pahang DiRaja bertempat di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur. Pada majlis tersebut, KDYTM Tengku Puan Pahang telah diberi penghargaan khas oleh Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang Dato' Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abd. Razak atas usaha dan kegigihan baginda memajukan Tenun Pahang DiRaja. Selain memberi penghargaan, Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang juga telah mengumumkan peruntukan khas tambahan sebanyak RM 11.8 juta bagi membina Institut Kemahiran Tenun Pahang DiRaja. Semoga produk Pahang ini akan semakin maju di persada tanah air.





Sunday, May 9, 2010

Hari Hol

7 Mei merupakan hari cuti bagi negeri Pahang yang dikenali dengan Hari Hol (Haul). Kamus Dewan mendefinisikan "Hol" sebagai 'kenduri arwah yang diadakan setahun sekali'. Dalam konteks ini, Hari Hol di Pahang yang diisytiharkan semenjak tahun 1974 merupakan hari memperingati kemangkatan Sultan Pahang keempat, iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdullah (gambar di atas) iaitu ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah yang bertakhta pada hari ini. Almarhum baginda yang memerintah negeri Pahang selama 42 tahun, telah mangkat di Istana Kecil di Pekan pada tanggal 5 Mei 1974. Istiadat pemakaman pula diadakan pada hari Selasa, 7 Mei 1974. Pada hari tersebut hinggalah ke hari ini, semua jabatan kerajaan samada negeri atau persekutuan dan juga pihak swasta diarahkan bercuti selama 1 hari.

Baru-baru ini seperti biasa, satu majlis tahlil diadakan di Makam DiRaja, Pekan. Majlis yang bermula jam 9.30 pagi telah dihadiri oleh ramai pembesar negeri dan juga rakyat jelata. KDYMM Sultan Pahang, DYMM Sultanah Pahang dan KDYTM Tengku Puan Pahang berkenan berangkat ke majlis ini. Turut hadir ialah paduka-paduka anakanda dan juga kerabat-kerabat bergelar. Sahibus Samahah Mufti Pahang telah mengetuai bacaan tahlil dengan diiringi oleh kesemua al-Fadhil Qadhi daerah-daerah di Pahang.

Bagi yang pertama kali menziarahi Makam DiRaja Pekan, pasti tertanya-tanya siapakah gerangan yang disemadikan disitu memandangkan terdapat 3 buah makam yang terletak dalam bangunan tersebut. Sebagai perkongsian maklumat, makam yang pertama (dari pintu masuk utama) merupakan makam Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Muadzam Shah. Semasa tahlil diadakan, Mufti dan para agamawan akan duduk menghadap ke arah makam Almarhum. Di kawasan karpet kuning (lihat gambar di atas) merupakan tempat yang dikhususkan kepada KDYMM Sultan Pahang dan kaum kerabat baginda.

Makam ditengah pula merupakan makam Almarhumah bonda Sultan Haji Ahmad Shah iaitu Almarhumah DYMM Tengku Ampuan Besar (Tengku Ampuan Pahang III) Raja Hajjah Fatimah binti Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah yang mangkat pada 23 Jun 1988. Makam yang paling hujung pula (berwarna kelabu gelap) merupakan makam Almarhumah permaisuri hati Sultan Haji Ahmad Shah iaitu Almarhumah DYMM Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajjah Afzan binti Tengku Muhammad yang telah mangkat pada 29 Jun 1988.

Almarhumah DYMM Tengku Ampuan Besar (Tengku Ampuan Pahang III) Raja Hajjah Fatimah binti Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah

Almarhumah DYMM Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajjah Afzan binti Tengku Muhammad

Moga dicucuri rahmat ke atas roh-roh Almarhum dan Almarhumah. Al-Faatihah...