Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Tuesday, November 23, 2010

Majlis Pengkisahan Tun Razak

Tun RazakHari ini bertempat di Auditorium Darul Makmur (ADAM), Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan telah diadakan Majlis Siri Jelajah Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan - Suatu Pengkisahan yang dianjurkan bersama oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang, Alliance Foundation Malaysia dan Orlaith Inc. Sdn. Bhd. Seperti yang dimaklumi, Almarhum Tun Haji Abdul Razak bin YDH Dato' Hussein merupakan Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang ke-10.

Negeri Pahang diberi penghormatan sebagai destinasi pertama program ini yang mana pihak penganjur akan memulakan penjelajahan ke seluruh negara sehinggalah berakhir pada penghujung tahun 2011 di Royal Albert Hall, London.

Dalam sesi pengkisahan pagi ini, seramai 4 orang tetamu yang rapat dengan Almarhum Tun Abdul Razak telah dijemput bagi berkongsi cerita. Mereka ialah :

1. Tan Sri Dato’ Mohd. Yusof bin Hitam

Beliau merupakan bekas Penolong Pegawai Daerah bagi Daerah Kecil Rompin pada tahun 1961 – 1962. Beliau juga adalah bekas diplomat yang pernah bertugas di beberapa buah negara asing serta pernah juga berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar. Banyak misi serta tugas rahsia yang melibatkan keselamatan negara telah Allahyarham Tun amanahkan kepada beliau, namun atas dasar kerahsiaan tidak dapatlah saya kongsikan kisah-kisah itu dalam Panca Persada ini.

2. Dato’ Hamidin bin Abdullah

Beliau sangat dikenali sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Ke-7 (2001 - 2005). Berasal dari Sanggang, Temerloh dan pernah menjadi Pegawai Daerah di Cameron Highlands semasa zaman pentadbiran Almarhum Tun Razak. Sumbangan terbesar beliau adalah tatkala menjadi Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka sekaligus ‘arkitek’ kepada pembentukan awal Jengka.

3. Dato’ Haji Zainuddin Haji Jumaat

Setiausaha Agung Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang. Beliau banyak membuat kajian mengenai sejarah Pahang khususnya berkaitan Almarhum Tun Razak.

4. Dato’ Haji Khairudin Mohd. Kawi

Merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang pertama (selama sepuluh tahun bermula 1969). Beliau antara tokoh terulung di Pahang yang menyimpan dan menulis manuskrip sejarah Pahang dari segi politik dan kebudayaan.

Banyak kisah-kisah menarik tentang sisi lain Almarhum Tun Razak yang jarang diketahui oleh orang ramai. Ada yang sulit dan ada yang tidak sesuai didedahkan di alam siber khususnya dalam hal-hal berkaitan rahsia keselamatan negara. Pada sebelah petang, majlis penutup telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob.

No comments:

Post a Comment