Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Saturday, January 7, 2012

YAM Tengku Seri Nila Utama Pahang Gering

Tengku SeriBaru-baru ini hamba berpeluang menziarahi YAM Tengku Seri Nila Utama Pahang Tengku Hajjah Ainol Jamal binti Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Mu'adzam Shah, 84 (gambar atas) yang sedang gering di wad ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan. Secara peribadi, hamba pernah diundang oleh beliau ke kediamannya di Pekan bagi menyampaikan ceramah pada 27 Februari 2008.

Sebagai makluman, YAM Tengku Seri merupakan kekanda sulung dan sebonda dengan KDYMM Sultan Pahang sekarang. Sebagai puteri sulung, YAM amat dikasihi oleh ayahandanya Almarhum Sultan Abu Bakar dan bondanya DYMM Tengku Ampuan Besar Raja Hajjah Fatimah.

Berdasarkan catatan, YAM Tengku Seri pernah bergelar Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu apabila berkahwin dengan Almarhum Paduka Sri Tuanku Sultan Ali Shah ibni Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (memerintah Terengganu pada 26 September 1942 – 5 November 1945). Hasil perkahwinan tersebut, YAM telah dikurniakan seramai 3 orang cahayamata iaitu :

1. YH Dato’ Setia Pahlawan Tengku Dato’ Haji Iskandar Abu Bakar bin Tengku Ali (Pegawai Protokol Istana Abu Bakar, Pekan)

2. Y.M. Tengku Besar Aisha binti Tengku Ali

3. Y.M. Tengku Afzam (Hizan) binti Tengku Ali

KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah sebagai adinda ketiga, kelihatan begitu prihatin atas perkembangan kesihatan kekandanya itu. Ketika hamba tiba di Wad Diraja HTAA semalam, KDYMM Tuanku baru sahaja berangkat pulang. Ketika itulah hamba dimaklumkan YAM Tengku Seri terpaksa dipindahkan ke wad ICU kerana mengalami masalah pernafasan.

Royal FamilyRakaman foto keluarga pada tahun 1932. YAM Tengku Seri duduk di kerusi paling kanan, sementara KDYMM Sultan Hj. Ahmad Shah di kerusi sebelah kiri disamping ayahanda, Almarhum Sultan Abu Bakar (berdiri, kiri) dan bonda, Almarhumah Tengku Ampuan Besar Raja Hajjah Fatimah

Panca Persada mendoakan agar YAM Tengku Sri dan kerabat dikurniakan ketenangan menghadapi ujian ini.

Tuesday, January 3, 2012

Ungkapan “Duli”

Bagi golongan agamawan literalis, upaya untuk mengungkapkan kalimat “Duli Yang Maha Mulia” kepada Raja-Raja Melayu memang merupakan sesuatu yang amat berat. Alasannya pelbagai : kerana prinsip, isu akidah dan juga maruah manusiawi.

Namun bebaru ini hamba terserempak dengan cabutan keputusan Fatwa Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam Kelantan pada 2 Februari 1993 berkaitan polemik ini. Agak ironi, orang Melayu di Kelantan sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu; dilihat lebih responsif dalam merungkai kemelut “Duli” yang tidak berkesudahan ini berbanding dengan agamawan di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Walaupun fatwa ini belum diwartakan, sedikit sebanyak ia membuka ruang untuk perbahasan lanjut.

Tajuk :

MENGENAI KEKEBALAN RAJA-RAJA, UCAPAN DULI YANG MAHA MULIA KEPADA RAJA-RAJA

Isu :

Pengerusi memaklumkan bahawa mesyuarat khas ini diadakan adalah bagi membincangkan beberapa perkara yang menjadi isu berhubung dengan perkara yang berkaitan dengan raja melayu berikutan dengan isu pindaan perlembagaan yang hangat diperkatakan sekarang ini.

Perkara yang akan dibincangkan ialah:-

(1) Kekebalan raja-raja

(2) Ucapan "Duli Yang Maha Mulia terhadap raja-raja".

(3) Cara angkat tangan ketika mengadap raja-raja.

Keputusan :

Jamaah Ulama' membuat keputusan seperti berikut :

1. Bahawa semua manusia tidak mempunyai sebarang kekebalan dari segi hukum kerana mereka semua adalah tertakluk kepada hukum Allah.

2. Hak-hak keistimewaan untuk orang-orang tertentu dalam perkara-perkara tertentu ada di dalam Islam.

3. Pemilihan warna kuning oleh Raja untuk pakaian dan lain-lain, hukumnya harus.

4. Penggunaan ucapan Duli Yang Maha Mulia terhadap Raja-Raja ketika mengadap dan lain-lain hukumnya adalah harus dengan syarat ucapan Yang Maha Mulia Raja-Raja itu tidak diniatkan sama dengan sifat Allah.

Dalil firman Allah Taala:

انا خلقنا الانسان من نطفة امشاج نبتليه فجعلنه سميعا بصير

Maksudnya : “Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari setitik mani yang bercampur yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan) kerana itu kami jadikan dia mendengar dan melihat”.

(5) Jemaah Ulamak bersetuju bahawa kedudukan hukum mengenai angkat tangan dalam upacara menyembah raja-raja dibincang semula dalam Mesyuarat Jemaah Ulama akan datang kerana hal ini perlu dikaji dan diteliti secara mendalam dalam berbagai aspek.

Analisis Panca Persada

Hamba bersetuju bahawa isu “Duli” ini boleh menjadi besar jika ia dibesar-besarkan. Jika merujuk kepada kamus, kalimat “Duli” itu sendiri mengandungi maksud yang begitu halus falsafahnya. Bagi orang yang menghayati, dapatlah kita lihat betapa tingginya kebijaksanaan orang tua-tua dahulu dalam menjaga hati daripada dicemari dengan sifat bongkak dan takbur kepada jawatan dan kedudukan. Jika ditinjau dalam kamus :

Duli

Duli

1. Sastera lama abu, debu (yang melekat pada kaki)

Ayat : Maka hancur luluhlah segala menjadi duli;

2. Bahasa dalam baginda

Ayat: maka Duli Yang Maha Mulia pun bertitah kepada sekalian yang hadir;

3. Kaki : Bercemar duli

Bahasa dalam : pergi, berjalan Ke Bawah Duli Tuanku kepada baginda

Mata duli : Buku lali

Menjunjung duli :

a) menyembah, sujud kepada raja

b) mengerjakan perintah raja

Berduli : Sastera lama berdebu

Bahasa dalam : Pergi ke, bercemar.

Moga bermanfaat.