Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Sunday, July 31, 2011

‘Dame’…

Hari ini saya menerima pertanyaan yang agak pelik. Kebetulan tengahari tadi ada sebuah rancangan bual bicara yang menemuramah seorang pembawa gelaran ‘Dame’ di Malaysia. Maaf, kebetulan saya tidak berkesempatan menonton rancangan tersebut. Pemantau setia Panca Persada itu bertanya tentang gelaran ‘Dame’. Apakah jenis bintang kebesaran yang melayakkan seseorang menerima gelaran tersebut.

Bintang Kebesaran Empayar British

Secara umumnya, gelaran ‘Dame’ merupakan protokol formal khusus untuk wanita yang pada asalnya adalah ditujukan kepada kesatria atau baronet yang berjasa kepada Ratu England semasa zaman peperangan dahulu kala. Gelaran ini setaraf dengan anugerah kesatria dalam kategori bintang Order of Chivalry. Penerima anugerah ini dibenarkan untuk menggunakan gelaran ‘Dame’ pada pangkal namanya beserta dengan jenis bintang yang dikurniakan. Sebagai contoh : “Dame Fulanah binti Fulan, DBE (Dame Commander of the Order of the British Empire)”.

Gelaran ‘Dame’ ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu ‘Dame Grand Cross’ dan ‘Dame Commander’ dan dipecahkan kepada empat kelas yang berbeza iaitu :

1. GCB dan DCB (Order of the Bath),

2. GCMG dan DCMB (Order of St. Michael & St. George),

3. GCVO dan DCVO (Royal Victorian Order)

4. GBE dan DBE (Order of the British Empire).

Huraiannya adalah seperti berikut :

Bagi kategori Order of The British Empire, hanya dua anugerah sahaja yang melayakkan penerimanya memakai gelaran ‘Sir’ (bagi lelaki) atau ‘Dame’ (bagi penerima wanita) iaitu :

1. Knight Grand Cross of the Order of the British Empire (GBE) atau Dame Grand Cross of the Order of the British Empire (GBE)

2. Knight Commander of the Order of the British Empire (KBE) atau Dame Commander of the Order of the British Empire (DBE)

Bagi bintang kebesaran kategori Royal Victorian Order (RVO) pula, penerimanya boleh juga membawa gelaran ‘Dame’ pada pangkal nama mereka, namun pada protokolnya penerimanya lebih tepat dipanggil ‘Dame Grand Cross’ atau ‘Dame Commander’. Bagi penerima lelaki pula akan dipanggil ‘Knight’.

Selain kategori ini, satu lagi jenis anugerah yang juga boleh membawa gelaran ‘Dame’ ialah bintang kategori Order of the Indian Empire. Dua jenis anugerah dalam kategori ini ialah Knight Grand Commander (GCIE) atau Knight Commander (KCIE) yang membawa gelaran Knight dan Dame Grand Commander. Namun penganugerahan bintang Order of the Indian Empire ini telah tidak aktif sejak tahun 1947 lagi.

Berdasarkan maklumat Debrett's Peerage and Baronetage, sehingga kini masih ada seramai 3,000 orang pemegang gelaran ‘Sir’ dan ‘Dame’ yang masih hidup. Semua rekod senarai penerima gelaran ‘Dame’ ini boleh disemak di Central Chancery of the Orders of Knighthood, St. James’s Palace, London.

Kebiasaannya Ratu England akan mengadakan istiadat penganugerahan bintang serta darjah kebesaran Empayar British di ballroom Istana Buckingham sebanyak 14 kali setahun : 6 majlis antara bulan Februari hingga Mac, 2 majlis pada bulan Julai dan 6 majlis lagi antara bulan Oktober hingga Disember. Sekiranya Ratu England di luar negara, anugerah akan disampaikan oleh kerabat terdekat.

Anugerah “Knights of Charity”

Berdasarkan maklumat yang saya terima daripada e-mail penanya soalan tersebut (rujuk gambar bawah), anugerah yang membawa gelaran ‘Dame’ kepada tetamu wanita dalam program bual-bicara tersebut dikeluarkan oleh sebuah perkumpulan yang dinamakan The Ecumenical Medical - Humanitarian Order. Kumpulan ini telah menganugerahkan beliau “Knights of Charity (Knights of Saint John of Jerusalem)”.

Pada hemat saya, anugerah ini tiada kaitan dengan anugerah daripada pihak Istana Buckingham kerana tiada satu pun keterangan dalam watikah (rujuk gambar bawah) yang menunjukkan kepada kategori darjah sama ada Order of the Bath, Order of St. Michael & St. George, Royal Victorian Order, Order of the British Empire ataupun Order of the Indian Empire.

Selain itu, berdasarkan gambar majlis penganugerahan yang di emailkan; didapati telah diadakan upacara “Knighthood Ceremony”. Sekadar perkongsian maklumat, berdasarkan adat istiadat istana Inggeris; seorang penerima ‘Knightage’ wanita tidak perlu menjalani upacara ‘accolade’ (meletakkan pedang di kedua-dua bahu). Setiausaha Central Chancery of the Orders of Knighthood akan meletakkan medal pada sebuah kusyen untuk dipersembahkan kepada Ratu bagi istiadat pengurniaan.

Apa yang boleh saya katakan, berdasarkan pemerhatian kepada insignia yang terdapat pada mantel atau jubah penerima, kemungkinan besar bintang yang diterima itu sebenarnya adalah anugerah “Most Venerable Order of the Hospital of Saint John of Jerusalem” gred II atau ringkasnya “The Order of St. John”.

Bagi anugerah “The Order of St. John” gred I, penerimanya akan membawa gelaran ‘Dame Grand Cross’. Bagi gred II, gelaran selengkapnya ialah ‘Dames of Justice’ atau ‘Grace’ sahaja. Berdasarkan sejarah yang panjang, anugerah ini memang ada kaitan dengan Empayar British namun bukan dalam bentuk secara langsung. Hingga kini seramai 25,000 orang di seluruh dunia yang telah menerima anugerah ini. Pada kebiasaannya, penerima anugerah “The Order of St. John” akan menerima terlebih dahulu pingat “Distinguished Conduct Medal” (DCM) dan “Royal Red Cross” (kelas II) (ARRC).

Tahniah, sekian dan selamat berpuasa.

Dame

Saturday, July 30, 2011

Selamat Hari Ulangtahun Keputeraan ke-52 Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang

Birthday TM

Kenali KDYTM Tengku Mahkota Pahang

Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Abdullah al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Mustain Billah diputerakan pada hari Khamis, tanggal 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Bandar Di Raja Pekan.

Baginda merupakan anakanda keempat pasangan KDYMM Sultan Pahang dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Marhumah Tengku Ampuan Afzan binti Al-Marhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad. Susunan paduka kekanda KDYTM Tengku Mahkota Pahang adalah seperti berikut :

Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang, Tengku Tan Sri Hajjah Meriam

Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Dato' Hajjah Muhaini

Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Dato' Hajjah Aishah

Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah

Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman

Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang, Tengku Dato' Hajjah Nong Fatimah

Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang, Tengku Dato' Hajjah Shahariah

Baginda Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St. Thomas, Kuantan (1970-1971) dan di Sekolah Menengah St. Thomas, Kuantan (1972-1974). Semasa berusia 16 tahun, baginda telah dihantar menyambung pendidikannya di Aldenham School, Hertfordshire (1975-1978) dan kemudiannya di Davies Laing and Dick (DLD) College of London (1978-1979).

Pertabalan TM

Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Pahang pada 1 Julai 1975 (semasa usia baginda baru mencecah 15 tahun) dan upacara pertabalannya telah berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan pada 23 Oktober 1977. Seterusnya pada 28 April 1979, baginda telah ditabalkan sebagai Pemangku Raja Pahang selepas ayahandanya memikul tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-7 (29 Mac 1979 – 25 April 1984). Pada ketika ini jugalah baginda mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, England (1979-1980). Di sinilah baginda berpeluang bergaul mesra dan berkenalan dengan bakal pemimpin dari seluruh dunia.

Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang telah ditauliahkan oleh Ratu England, Queen Elizabeth II sebagai Leftenan Muda pada tahun 1980. Baginda kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Kehormat dalam Kor Kavalri Diraja (sekarang dikenali sebagai Kor Amor Diraja) Tentera Darat Malaysia dengan menyandang pangkat Kapten dan seterusnya pada 18 November 1987 baginda dianugerahkan pula pangkat Mejar Kehormat dalam Kor yang sama. Pada tahun 1999, baginda ditauliahkan sebagai Pegawai Sukarela berpangkat Leftenan Kolonel dan menyandang jawatan Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah (kini Brigadier Jeneral).

Baginda dipertemukan jodoh dengan YAM Tengku Puan Paduka Putri Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Sultan Mahmud Iskandar al-Haj pada 6 Mac 1986 dalam satu majlis gilang gemilang yang diadakan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. Baginda berdua dikurniakan seramai 4 orang putera dan 2 orang puteri iaitu (sila rujuk buku Perayaan Jubli Perak Pemerintahan KDYMM Sultan Pahang 1974 - 1999, terbitan Kerajaan Pahang 1999, hlm. 28) :

TM dan Anakanda

1. Yang Mulia Almarhum Tengku Ahmad Iskandar Shah bin Tengku Mahkota Tengku Abdullah (lahir dan meninggal dunia pada pada 24 Julai 1990).

2. Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah (diputerakan di Hospital Kuantan pada 17 September 1995. Pendidikan di Caldicott Boys’ Preparatory School di Crown Lane, Farnham Royal, Bucks).

3. Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin Shah bin Tengku Mahkota Tengku Abdullah (lahir pada 3 Ogos 1997. Pendidikan di Caldicott Boys’ Preparatory School di Crown Lane, Farnham Royal, Bucks).

4. Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah bin Tengku Mahkota Tengku Abdullah (lahir pada 11 September 2001. Mempunyai pasangan kembar. Pendidikan di SRK St. Thomas Kuantan).

5. Yang Mulia Tengku Putri Afzan Amina Hafizatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah (lahir pada 11 September 2001. Mempunyai pasangan kembar).

6. Yang Mulia Tengku Putri Nur Jahan Khalsom Athiyatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah (lahir pada 27 April 2002).

KDYTM Tengku Puan Pahang bersama dengan Tengku Hassanal (kanan atas), Tengku Muhammad (kiri atas), Tengku Ahmad Ismail (jaket biru), Tengku Jahan dan Tengku Afzan (kacamata). Kredit gambar untuk http://radin87.blogspot.com/2009/05/pahang-royal-family.html

1. Yang Mulia Tengku Putri Iman Afzan binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah (anakanda bersama Cik Puan Julia. Bacaan lanjut sila rujuk buku Perayaan Jubli Perak Pemerintahan KDYMM Sultan Pahang 1974 - 1999, terbitan Kerajaan Negeri Pahang 1999, hlm. 28).

2. Yang Mulia Tengku Putri Illisha Amira binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah (anakanda bersama Cik Puan Julia. Ibid).

3. Yang Mulia Tengku Putri Ilyana binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah (anakanda bersama Cik Puan Julia. Ibid).

Baginda juga ada mengambil putera angkat pada tahun 1987 sebelum daripada kelahiran paduka putera-putera dan puteri-puteri baginda sendiri iaitu :

1. Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim bin Tengku Arif Bendahara Ibrahim (lahir pada 25 Ogos 1986. Merupakan putera bongsu YAM Almarhum Tengku Arif Bendahara Tengku Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar dan Czarina binti Abdullah. Ibid).

Semoga bertambah umur dalam keberkatan, dikurniakan taufik dan hidayah serta bertambah ketaqwaan.

Monday, July 18, 2011

Pasukan Liga Perdana England Pilihan KDYMM Sultan Pahang

Baru-baru ini dalam laporan akhbar ada dinyatakan bahawa KDYTM Tengku Mahkota Pahang merupakan peminat setia pasukan Arsenal.

Sehubungan itu saya telah menerima satu pertanyaan lisan dari seorang pemantau setia Panca Persada yang bertanyakan tentang apakah pula pasukan Liga Perdana England kegemaran KDYMM Sultan Pahang?

Jawapannya : The Gunners (Arsenal). Bagi pasukan dalam Liga Sepanyol pula, baginda memilih pasukan L'equip Blaugrana (Barcelona).

Mengapa Arsenal Menjadi Pilihan?

Logo ArsenalTitah baginda, Arsenal merupakan sebuah kelab yang kaya dengan tradisi dan baginda sering membaca mengenai bekas Pengurus Arsenal, Herbert Chapman (1925 – 1934) yang banyak membentuk sejarah tersendiri.

Arsenal sering dibarisi oleh bintang jagoan sejak tahun 1930-an hinggalah ke dekad-dekad seterusnya iaitu dari zaman Arsenal dibimbing oleh Bertram "Bertie" Mee (1966 – 1976), William John Terence "Terry" Neill (1976 – 1983), George Graham (1986 – 1995) hinggalah era Wenger.

Ternyata pasukan The Gunners ini begitu dekat di hati baginda sehingga mendorongnya melawat sendiri Arsenal Football Club Academy di Hale End. Apabila ada kelapangan, baginda juga akan meninjau pasukan pilihannya itu menjalani latihan selain daripada kerap menonton perlawanan The Gunners di kaca televisyen. Bahkan Pengurus Arsenal, Arsène Wenger merupakan rakan baik baginda.

Pemain Arsenal kegemaran Tuanku pula ialah Thierry Daniel Henry (1999 – 2007) dan semasa era 70-an pula baginda meminati Frederick Charles "Charlie" George (1968 – 1975).

Kisah Menarik Tuanku Sultan dan Thierry Henry

Menurut Yang Hormat Dato’ Setia Amar Segara Dato’ Haji Halim bin Haji Ibrahim, pernah suatu ketika beliau bersiar-siar bersama dengan KDYMM Tuanku di kawasan membeli belah Old Bond Street, London. Ketika itu Tuanku telah bertitah kepada beliau :

Cuba kamu lihat jam tangan saya ini…Jenama Franck Muller. Thierry Henry pun pakai jam yang sama seperti ini…”

Kata hati Dato’ Hj. Halim, minat punya pasal…Jam tangan pun sama

Sumber :

Dipetik dari buku Raja & Rakyat Berpisah Tiada karangan Yang Hormat Dato’ Setia Amar Segara Dato’ Haji Halim bin Haji Ibrahim (2010) Bab “Di Sebalik Seorang Raja Pemerintah”, hlm. 87 – 88.

Tuesday, July 12, 2011

Jengka : “Land for the Landness”

Tun Razak

Baru-baru ini diadakan Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan di Bandar Tun Razak, Jengka. Jika bercakap mengenai FELDA, Pahang tidak dapat dipisahkan dengan program pembangunan tanah yang dianggap sebagai terbesar di dunia itu. Kisah FELDA di Pahang seakan-akan mengulangi kembali episod golongan Ansar yang pernah menyambut kehadiran golongan Muhajirin ke Madinah tatkala peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w.

Bermula dengan Bilut Valley yang dibuka di Bentong pada tahun 1956, kerajaan Pahang setakat ini telah merelakan tanah pusakanya seluas 185,380.23 hektar bagi dimajukan oleh para peneroka. Perlu diingat, keluasan ini menyamai keluasan Pulau Pinang (104,630 hektar) dan Perlis (80,302 hektar) jika digabungkan dengan jumlah peneroka seramai 43,124 orang.

Daripada jumlah tersebut, seluas 175,120.68 hektar dimajukan dengan tanaman kelapa sawit manakala selebihnya iaitu 10,259.55 hektar diusahakan untuk tanaman getah.

Menurut pecahan, anak Pahang jati yang menjadi peneroka di bumi sendiri hanyalah seramai 14,111 orang sahaja, manakala 29,013 orang lagi adalah para muhajirin dari luar Pahang. Setelah begitu lama bermastautin di Pahang, perlu diakui bahawa golongan peneroka ini sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada watak-watak yang mewarnai perjalanan sejarah negeri Pahang Darul Makmur.

Bandar Tun Razak (BANTURA), Jengka

Pembangunan Jengka Triangle melibatkan keluasan 64,117.05 hektar tanah pusaka Negeri Pahang. Kawasan yang luas ini sebenarnya membabitkan pengambilan tanah di 3 buah daerah berhampiran dengan Jengka iaitu Maran (116,146 hektar), Temerloh (32,448 hektar) dan Jerantut (48,134 hektar). Daripada 37 buah tanah rancangan di Jengka; 26 daripadanya terletak dalam daerah Maran, 9 rancangan di Jerantut sementara 2 lagi di Temerloh.

Pembangunan tanah berskala raksaksa ini mencatatkan sejarah tersendiri kepada FELDA memandangkan sebelum ini pihak mereka menjalankan projek secara bertaburan dan secara bersendirian untuk satu-satu tanah rancangan. Pelbagai rintangan terpaksa dihadapi dalam usaha membangunkan kawasan ini. Namun menurut bekas Pengerusi FELDA; Tan Sri Raja Muhammad Alias bin Raja Muhammad Ali, galakan dan sorakan rakyat serta kerajaan Negeri Pahang telah berjaya menambahkan semangat FELDA untuk mengorak langkah kejayaan.

Menurut Raja Alias, tatkala KDYMM Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Muadzam Shah Ibni Almarhum Al-Mustasim Billah Al-Sultan Abdullah berangkat ke Jengka pada tahun 70-an, ketika dalam Land Rover baginda telah melafazkan kepada beliau :

Di Jengka ini, FELDA bukan membuka rancangan…Sebenarnya FELDA membuka negeri…”

Sejak memulakan rancangan pertamanya di Kampung Awah pada tahun 1960, Wilayah Jengka telah memajukan seluas 62,000 ekar bagi tanaman kelapa sawit dan 35,000 ekar bagi getah. Kini, seramai 14,957 orang telah mendiami keseluruhan wilayah ini.

Sebagai anak kelahiran daerah Maran (yang berjiran dengan Jengka), dulu kami mengenali Jengka sebagai Pekan Kanada. Ini kerana pada waktu dahulu Jengka diteroka oleh pihak industri pembalakan yang dikenali sebagai Regional Centre. Terdapat ramai warga Kanada dan Filipina yang bekerja di situ bagi memberi tunjuk ajar teknik penggunaan jentera berat kepada penduduk tempatan. Disebabkan oleh susahnya menyebut perkataan Regional Centre, justeru para pekerja tempatan lebih selesa menggelarkan tempat kerja mereka sebagai Pekan Kanada sahaja.

Selamat Hari Peneroka.

Ucapan Tun Razak

Kata-Kata Aluan Almarhum Tun Haji Abdul Razak bin YDH Dato' Hussein dalam buku “Pembangunan Pahang 1961 – 1965” terbitan Jawatankuasa Penerangan dan Seranta Negeri Pahang

Wednesday, July 6, 2011

Peraturan Adat Mengangkat Sembah di Pahang

Bebaru ini saya mendapat pertanyaan daripada saudara Seruling Senja :

Boleh saya dapatkan penjelasan berkenaan tatacara mengangkat sembah kepada KDYMM Sultan dan KDYTM TG. Mahkota, beserta gambar [jika ada]

Jawapan :

Menurut adat istiadat turun temurun yang ada di Pahang, mengangkat sembah sebenarnya hanya dibuat kepada :

1. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan
2. Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota (Bakal Raja)
3. Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara (Ketua Istiadat)
4. Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong (Pen. Ketua Istiadat)

Dalam mana-mana majlis sama ada di istana, Balai Rong atau di tempat-tempat lain yang dihadiri oleh Baginda Sultan; maka hendaklah diangkat sembah kepada Baginda sahaja dan tidak boleh diangkat sembah kepada yang lain.

Mana-mana majlis yang tidak dihadiri oleh Baginda Sultan, maka mengangkat sembah boleh dilakukan kepada mana-mana kerabat diraja terkanan sekali (mengikut susunan di atas). Hanya seorang kerabat diraja terkanan sahaja yang perlu diangkat sembah.

Apabila berangkat dua orang Sultan (dari negeri berbeza) dalam sebuah majlis, maka menurut adat istiadat Pahang hendaklah mengangkat sembah kepada Sultan yang memerintah negeri itu sahaja. Tidak boleh mengangkat sembah kepada dua orang Sultan dalam satu majlis.

Tatacara Mengangkat Sembah di Pahang

1. Cara Untuk Baginda Sultan

Sepuluh jari tangan disusun rapat, kemudian di angkat ke dahi dengan pangkal dua ibu jari tangan jejak antara dua kening.

2. Cara Untuk Tengku Mahkota

Pangkal dua ibu jari hendaklah terkebawah sedikit antara dua kening

3. Cara Untuk Tengku Arif Bendahara / Tengku Arif Temenggong

Pangkal dua ibu jari hendaklah jejak pada paras mata.

Rujuk : Peraturan Adat Istiadat Raja-Raja Negeri Pahang, YAM Tengku Arif Bendahara, Tengku Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (1971), hlm. 43 – 44.    

 

Mengapa Jata Pahang Guna Simbol “Daun Kopi”?

Picture1 Persoalan yang dilontarkan oleh seorang pemantau senyap Panca Persada ini kedengarannya agak ringkas, namun sebenarnya memiliki signifikan yang besar kepada pencinta warisan dan sejarah. Hasil penelitian, saya temui dua kisah tentang rahsia pemilihan ‘daun kopi’ sebagai jata atau logo negeri Pahang. Terpulanglah kepada kita untuk menilai kedua-dua cerita ini.

Cerita Pertama

Pahang merupakan negeri pertama yang menentang penjajahan Inggeris dalam bentuk penggunaan persenjataan moden. Mislanya semasa pertempuran di Jeram Ampai pada 28 Jun 1894, pahlawan Pahang telah berjaya memperolehi senjata api yang diseludup oleh seorang saudagar Kelantan bernama Awang Ngah (Sejarah Pahang, hlm. 349 - 351).

Dikatakan bahawa antara punca Wan Ahmad mampu membeli kelengkapan senjata api melalui saudagar Cina di Singapura adalah kerana hasil jualan kopinya. Baginda yang merupakan antara orang Melayu terkaya di Tanah Melayu pada masa itu dikatakan memiliki ladang kopi yang luas. Justeru, lambang ‘daun kopi’ diabadikan oleh baginda sebagai lambang kebesaran keluarganya.

Cerita Kedua

Pada bulan Jun atau Julai 1862, Wan Ahmad telah mengadap Sultan Terengganu (Baginda Umar) yang berkenan memberi sumbangan kelengkapan senjata dan wang perbelanjaan untuk membantu Wan Ahmad menyerang Pahang. Semasa di Kuala Terengganu, tatkala Wan Ahmad sedang minum kopi; ketika itulah terfikir olehnya beberapa taktik dan strategi baru dalam mengatur serangannya bagi mengalahkan Pahang. Itulah sebabnya apabila Wan Ahmad memerintah Pahang, lambang ‘daun kopi’ diabadikan oleh baginda sebagai lambang kebesaran keluarganya (Sejarah Pahang, hlm. 166 - 167)

Monday, July 4, 2011

Rekod 100 Tahun Kembali ke Gagang

ANMAkhirnya, sebanyak 122,518 fail yang mengandungi rekod kerajaan Negeri Pahang yang selama ini dalam simpanan Arkib Negara Malaysia (ANM) Cawangan Timur di Terengganu telah dipindahkan ke ANM cawangan Pahang di Kuantan.

Semua rekod-rekod yang berusia seawal tahun 1911 terdiri daripada beberapa kategori terperingkat iaitu Rahsia Besar, Rahsia Sulit dan Terbuka telah berada di cawangan Terengganu sejak tahun 1978.

Ketua Pengarah ANM, Dr. Shamsiah Muhamad berkata, operasi pemindahan rekod yang dikenali sebagai Operasi Sirih Pulang ke Gagang itu membabitkan tujuh lori seberat 16 tan tiba di Bangunan ANM cawangan Pahang kira-kira jam 1.15 tengah hari. Operasi pemindahan ini turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan fail-fail berkenaan selamat tiba ke destinasi.

Operasi pemindahan rekod-rekod adalah membabitkan semua rekod Pejabat Sultan Pahang (1911-1974); Pejabat Istana Sultan (Tengku Arif Bendahara) dari tahun 1938 hingga 1960; Pejabat Menteri Besar Pahang (1950-1981); Pejabat Timbalan Menteri Besar Pahang (1961-1978); Pejabat SUK Pahang (1940-1993) dan jabatan serta agensi kerajaan lain.

Rekod bagi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pahang pula yang masih berada di ANM Kuala Lumpur tidak dipindahkan kerana para penyelidik boleh mengakses bahan tersebut menggunakan sistem compass apabila ANM Pahang beroperasi sepenuhnya.

KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah berkenan menyempurnakan perasmian bangunan baru Arkib Negara Malaysia Cawangan Negeri Pahang di Indera Mahkota tersebut yang berharga RM25.2 juta di atas tapak seluas dua hektar. Turut berangkat, KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Tuanku 4 Tuanku 3 Tuanku 5 Tuanku 6 Tuanku 9 Tuanku 8 Tuanku 10 Tuanku 7 Tuanku 2

Trivia Kejohanan Polo Asia-Australasia-Afrika 2011

Gambar Kenangan Sekitar Kejohanan

1

2Yang Hormat Dato’ Mohamed Moiz bin Jabir Mohd. Ali Moiz (Timbalan Presiden Royal Malaysian Polo Association) merangkap Pengarah Kejohanan mempersembahkan piala kejohanan (perhatikan Audi R8 GT dibelakang)

3Dato’ Moiz menyerahkan piala kepada Tengku Sri Panglima Raja, Terengganu, Tengku Dato' Seri Baderulzaman Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktaffi Billah Shah (Timbalan Presiden Royal Malaysian Polo Association) yang juga merupakan perekabentuk piala ini

46

5

7 8 Para penyokong, KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan Tengku Sri Panglima Raja Terengganu meraikan kemenangan pasukan Malaysia

9 KDYTM Tengku Mahkota Pahang bersama jurulatih Malaysia, Carlos Pando