Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Monday, May 23, 2011

Pusingan Kelayakan Polo Piala Dunia FIP di Pekan

World Cup LogoPasukan Malaysia akan memberikan persembahan terbaik dalam pusingan kelayakan Polo Piala Dunia FIP dari 13 hingga 25 Jun ini di Pekan bagi menempah tiket ke perlawanan akhir yang akan berlangsung di San Luis, Argentina pada 11 hingga 25 Oktober nanti.

Menurut Presiden Royal Malaysia Polo Association (RMPA) KDYTMRMPA Tengku Abdullah al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah, Malaysia merupakan negara yang terkenal dengan kehebatan sukan polo di Asia, namun sehingga kini belum pernah melayakkan diri ke peringkat kejohanan akhir yang diadakan setiap tiga tahun sekali itu. Pusingan kelayakan kali ini melibatkan tujuh buah negara iaitu Afrika Selatan, New Zealand, Australia, India, Pakistan, Nigeria dan Malaysia. Hanya tujuh buah Negara sahaja yang akan menyertai pusingan kali ini memandangkan Singapura telah menarik diri daripada menyertai kejohanan. Tiga pasukan yang teratas akan layak ke pusingan akhir Piala Dunia FIP di San Luis, Argentina pada 11 hingga 25 Oktober 2011 nanti.

Kesemua mereka akan berentap di tiga buah venue yang berbeza iaitu di Royal Pahang Polo Club di Pekan, Putrajaya Equestrian Park di Precint 5 dan juga Royal Selangor Polo Club.

Menurut KDYTM Tengku Abdullah lagi, pasukan Malaysia mempunyai harapan cerah melepasi pusingan kelayakan memandangkan banyak persiapan rapi telah dibuat sebelum ini. Selain menerima latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan selama dua bulan di Argentina pada pertengahan September sehingga November lalu, pasukan Malaysia juga turut giat menyertai dua kejohanan sebagai pemanas badan iaitu di kejohanan Polo Terbuka Malaysia dan Terbuka Terengganu.

Baru-baru ini juga, skuad negara telah menyertai Kejuaraan Polo Terbuka Thailand dan muncul naib juara setelah tewas kepada tuan rumah di final. Ditambah lagi dengan deretan penajaan daripada beberapa syarikat gergasi seperti Audi, Genting, Berjaya, Magnum, Sime Darby, Ranhill, Ibil, Eurocopter, 100 Plus dan juga Jaeger-LeCoultre; adalah dijangkakan Malaysia boleh mencipta kejutan kali ini.

Team MalaysiaSkuad negara (dari kiri) Amran Selamat, Edham Shaharuddin, Huzaini Yunos, Shaik Reismann (kapten), Saladin Mazlan dan Tengku Ahmad Shazril.

Sebagai makluman, pasukan Malaysia terdiri daripada Shaik Reismann, 35 tahun (Handicap 3), Amran Selamat, 32 tahun (Handicap 2), Muhammad Edham Shaharuddin, 35 tahun (Handicap 4), Saladin Mazlan, 30 tahun (Handicap 3) dan Tengku Ahmad Shazril (Handicap 3). Shaik Reismann yang merupakan kapten pasukan adalah pemain tunggal Malaysia yang pernah beraksi dalam Polo Piala Dunia FIP iaitu di Jaipur, India pada tahun 2000 di mana ketika itu beliau mewakili Singapura.

Pasukan negara di bawah tunjuk ajar jurulatih Carlos Pandor dari Argentina, dijadualkan bertemu dengan pasukan New Zealand dan India dalam pusingan pertama.

Atas kertas; Afrika Selatan, New Zealand dan Australia yang muncul tiga pasukan terbaik pada kelayakan kali terakhir di New Zealand, dilihat sebagai pasukan pilihan untuk mara ke final. Namun, tiada yang mustahil dalam mencipta kejayaan.

Kumpulan

Zon 1 : Australia, Malaysia

Zon 2 : New Zealand, India

Zon 3 : Afrika Selatan, Pakistan, Nigeria

Jadual

13 Jun : Afrika Selatan vs Nigeria

14 Jun : Australia vs India; Malaysia vs New Zealand

15 Jun : Pakistan vs Nigeria

17 Jun : Malaysia vs India; Australia vs New Zealand

18 Jun : Afrika Selatan vs Pakistan

21 Jun : Separuh Akhir

24 Jun : Tempat ketiga

25 Jun : Pusingan Akhir

fippolo

banner_index_02

Monday, May 16, 2011

Peraturan Pakaian Istiadat Pingat dan Darjah Kebesaran Pahang

Saya menerima sungguh banyak pertanyaan berkaitan pakaian istiadat yang perlu dipakai oleh bakal penerima Pingat dan Darjah Kebesaran Negeri Pahang. Kekeliruan ini membabitkan warna pakaian sama ada warna hitam sahajakah ataupun boleh warna-warna yang lain. Sila rujuk keterangan berikut :

Penerima Kurniaan Bukan Tentera / Polis Bangsa Melayu dan Bukan Melayu :

Bagi Penerima Melayu Yang Menerima Kurniaan SIMP dan DIMP

1. Penerima Lelaki Melayu Berpakaian Istiadat Melayu Pahang iaitu :

Pakaian Kebangsaan, Bertanjak *, Berkeris, Bersampin, Berbengkung, Stokin Hitam dan Sepatu Kulit Hitam. Tidak semestinya berwarna hitam iaitu boleh berwarna hijau, merah, biru dan sebagainya KECUALI warna putih, kuning (pekat atau cair) atau sedondon.

Penerima Wanita Melayu :

Baju Kurung Labuh / Baju Kebaya Labuh, Berkain Sarung Serta Bertudung Kemas / Berselendang Serta Bersepatu Wanita (tidak sedondon dan tidak berwarna putih atau kuning)

* Tanjak ikatan cara Pahang. Sila rujuk :

http://pancapersada.blogspot.com/2011/04/tanjak_09.html

Bagi Penerima Bukan Melayu Yang Menerima Kurniaan SIMP dan DIMP

1. Penerima Lelaki Bukan Melayu Memakai Pakaian Seragam Istiadat

2. Penerima Wanita Bukan Melayu Boleh Memilih :

Ceongsam Labuh, Sari, Kebaya Sarung Labuh (berlengan panjang, bahagian badan tidak terdedah, labuh ke kaki dan jika pakaian berbelah tidak dibenarkan melebihi paras atas lutut) dan bersepatu wanita.

Bagi Penerima Melayu Yang Menerima Kurniaan SAP., SMP., AAP., AMP., PKC., PKT., dan PJK.

1. Penerima Lelaki Melayu :

Pakaian Kebangsaan Hitam, Bersongkok Hitam, Bersampin, Stokin Hitam dan Sepatu Kulit Hitam.

2. Penerima Wanita Melayu :

Baju Kurung Labuh / Baju Kebaya Labuh, Berkain Sarung Serta Bertudung Kemas / Berselendang Serta Bersepatu Wanita (tidak sedondon dan tidak berwarna putih atau kuning)

Bagi Penerima Bukan Melayu Yang Menerima Kurniaan SAP., SMP., AAP., AMP., PKC., PKT. dan PJK.

1. Penerima Lelaki Bukan Melayu :

Lounge Suit * Warna Hitam, Baju Kemeja Lengan Panjang Putih, Bertali Leher, Bersongkok Hitam, Stokin Hitam dan Sepatu Kulit Hitam

2. Penerima Wanita Bukan Melayu Boleh Memilih :

Ceongsam Labuh, Sari, Kebaya Sarung Labuh (berlengan panjang, bahagian badan tidak terdedah, labuh ke kaki dan jika pakaian berbelah tidak dibenarkan melebihi paras atas lutut) dan bersepatu wanita.

* Coat / Blazer berwarna hitam atau biru gelap (blue black), kemeja lengan panjang berwarna atau cerah, seluar panjang dan tali leher berwarna hitam, serta memakai songkok hitam dan kasut hitam.

Penerima Kurniaan Tentera / Polis :

Bagi Penerima Kurniaan SIMP., DIMP., SAP., SMP., AAP., AMP., PKC., PKT., dan PJK.

1. Pakaian Seragam Istiadat (tanpa pedang)

Dif Jemputan atau Pengiring :

1. Dif-Dif Jemputan Lelaki Melayu :

Pakaian Kebangsaan, Bersongkok Hitam, Bersampin, Stokin Hitam dan Sepatu Kulit Hitam (tidak sedondon dan tidak berwarna putih atau kuning)

2. Dif-Dif Jemputan Wanita Melayu :

Baju Kurung Labuh / Baju Kebaya Labuh, Berkain Sarung Serta Bertudung Kemas / Berselendang Serta Bersepatu Wanita (tidak sedondon dan tidak berwarna putih atau kuning)

3. Dif-Dif Jemputan Lelaki Bukan Melayu :

Lounge Suit Warna Gelap, Baju Kemeja Lengan Panjang Putih, Bertali Leher, Bersongkok Hitam, Stokin Hitam dan Sepatu Kulit Hitam.

4. Dif-Dif Jemputan Wanita Bukan Melayu :

Ceongsam Labuh, Sari, Kebaya Sarung Labuh (Berlengan Panjang, Bahagian Badan Tidak Terdedah, Labuh Ke Kaki dan Jika Pakaian Berbelah Tidak Dibenarkan Melebihi Paras Atas Lutut) Serta Bersepatu Wanita.

5. Dif-Dif Jemputan Tentera dan Polis :

a. Tentera : Service Dress (Pakaian Khidmat)

b. Polis : Review Order

Saturday, May 14, 2011

Bintang dan Darjah Kebesaran Pahang : Kelayakan Penjawat Awam

Saya banyak menerima respon dari pemantau Panca Persada khasnya dalam persoalan melibatkan Pingat dan Darjah Kebesaran Negeri Pahang. Kebanyakan persoalan tersebut merujuk kepada kelayakan atau jawatan yang munasabah bagi kalangan penjawat awam bagi dikurniakan pingat serta darjah kebesaran khususnya dalam konteks Negeri Pahang Darul Makmur.

Secara tradisinya, penganugerahan bintang dan darjah kebesaran bagi golongan penjawat awam adalah seperti berikut :

Singkatan Darjah Kebesaran / Pingat *

Pangkat Kelayakan Penerima Pegawai Kerajaan

Pangkat Kelayakan Penerima Anggota Tentera (Darat, Udara, Laut)

Pangkat Kelayakan Penerima Anggota Polis

S.S.A.P dan
S.I.M.P

Turus I dan setaraf Jeneral / Laksamana dan setaraf
Ketua Polis Negara
S.I.M.P dan
D.S.A.P
Turus II / III dan setaraf Jeneral / Laksamana dan setaraf
Timbalan Ketua Polis Negara
D.S.A.P
Gred Utama A, B dan C Leftenan Jeneral / Laksamana Madya dan setaraf
Pesuruhjaya Polis
D.S.A.P dan
D.I.M.P
Gred Utama A, B dan C Mejar Jeneral / Laksamana Muda dan setaraf
Timbalan Pesuruhjaya Polis
D.I.M.P, S.A.P
dan
S.M.P
Gred 54 ke atas Brigadier General / Laksamana Muda dan setaraf
Penolong Pesuruhjaya SAC I
S.A.P dan S.M.P
Gred 52 ke atas Kolonel / Kapten (TLDM) dan setaraf Penolong Pesuruhjaya SAC II / Penolong Pesuruhjaya Polis
A.A.P
Gred 48 ke atas Leftenan Kolonel / Komander dan setaraf
Penguasa Polis
A.M.P
Gred 41 dan 44 Mejar / Leftenan Komander dan setaraf
Timbalan Penguasa Polis
P.K.C dan P.K.T
Penolong Pegawai Tadbir Gred 32 / 27 Kapten / Leftenan / Leftenan Dya / Leftenan Muda dan setaraf Penolong Penguasa / Kadet Penolong Penguasa / Ketua Inspektor Polis / Inspektor Percubaan
P.K.T dan P.J.K
Pembantu Tadbir Gred 22 ke atas PW I / PW II ke Sarjan / Bintara Kanan / Bintara Muda
Sub Inspektor / Sarjan Mejar / Sarjan
P.J.K Pembantu Tadbir Gred 22 hingga 1 KPL / Laskar Kanan / Laskar Kelas I ke bawah
Koperal / Lans Koperal

Namun suka saya maklumkan, dalam hal penganugerahan sebenarnya pihak istana tidaklah terikat dengan jadual ini. Pihak istana berhak mengurniakan apa jua bintang serta darjah kebesaran kepada mana-mana penjawat awam selama mana mendapat limpah perkenan KDYMM Sultan Pahang. Jadual di atas hanyalah sekadar panduan formaliti sahaja.

* Singkatan :

(S.S.A.P) : Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang

(S.I.M.P) : Darjah Kebesaran Sri Indera Mahkota Pahang

(D.S.A.P) : Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang

(D.I.M.P) : Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang

(S.A.P) : Darjah Kebesaran Setia Ahmad Shah Pahang

(S.M.P) : Darjah Kebesaran Setia Mahkota Pahang

(A.A.P) : Darjah Kebesaran Ahli Ahmad Shah Pahang

(A.M.P) : Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Keempat, Ahli Mahkota Pahang

(P.K.C) : Pingat Khidmat Cemerlang

(P.K.T) : Pingat Kelakuan Terpuji

(P.J.K) : Pingat Jasa Kebaktian

 

Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang

Majlis Tilawah al-Quran adalah salah satu acara tahunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk meninggikan syiar Islam. Ketika majlis ini diperkenalkan untuk kali pertamanya di peringkat kebangsaan, ia dikenali sebagai “Pertandingan Membaca al-Quran”. Atas sebab tertentu, nama ini kemudiannya diubah kepada “Musabaqah Membaca al-Quran”, selepas itu “Ujian Tilawah al-Quran” dan sekarang “Majlis Tilawah al-Quran”. Walau bagaimanapun sekiranya majlis ini diadakan di negeri Johor, maka ia akan disebut sebagai “Majlis Perujian Membaca al-Quran” atas titah KDYMM Tuanku Sultan Johor (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2008, 50 Tahun Tilawah al-Qur’an di Malaysia, hlm. 8).

Sejarah Tilawah al-Quran Terawal

“Pertandingan Membaca al-Qur’an se-Malaya” pertama kali dianjurkan secara rasmi oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) pada 4 September 1947 yang diadakan di Masjid Jamek Abu Bakar, Johor Baharu. Dalam majlis tersebut, hanya peserta qari (lelaki) sahaja yang mengambil bahagian. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Sultan Johor dalam satu majlis jamuan teh di Istana Besar Johor pada 5 September 1947 (ibid., hlm. 19).

Pada tahun 1951, YTM Tunku Abdul Rahman mengambil inisiatif mengadakan pertandingan membaca al-Quran di negeri Kedah. Majlis ini kemudiannya menjadi tradisi tahunan di negeri jelapang padi itu. Apabila YTM Tunku menjadi Perdana Menteri selepas negara mencapai kemerdekaan, beliau telah membawa tradisi pertandingan ini ke peringkat kebangsaan dan seterusnya antarabangsa. Langkah awal yang diambil ialah dengan menganjurkan pertandingan membaca al-Quran antara negeri Kedah dan Johor pada bulan Ramadhan tahun 1378 bersamaan tahun 1959 (ibid., hlm. 20).

Pertandingan Peringkat Kebangsaan Kali Pertama

Peserta 1960 Astaka 1960 Tilawah 60

Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Kebangsaan kali pertama telah diadakan pada 20 Ramadhan 1379 bersamaan 18 Mac 1960. Majlis kali pertama ini disertai oleh 44 peserta dari 11 buah negeri Persekutuan Tanah Melayu. Seramai 11 orang peserta membaca setiap malam selama 4 malam berturut-turut.

Ketika itu, salah seorang wakil dari kerajaan Pahang iaitu Dato’ Haji Abu Bakar bin Haji Ahmad, DIMP., PJK., JP (gambar bawah) telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pengelola yang dipengerusikan oleh Tuan Syed Ja’afar Albar. Mesyuarat kali pertama diadakan pada 9 Januari 1960 di Kuala Lumpur.

ABA 1

Pahang dan Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan / Antarabangsa

Walaupun Pahang terlibat dalam majlis tilawah ini sejak tahun 1960 lagi, namun dukacitanya belum pernah melahirkan sebarang johan qari atau qariah. Sehinggalah pada tahun 2003, selepas 46 tahun menanti akhirnya Pahang berjaya melahirkan johan buat kali pertamanya menerusi Dato’ Haji Ahmad Faizul bin Ghazali, DIMP., AMP (gambar bawah). Beliau yang mendapat 79.83 % markah telah terpilih mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-45 pada tahun 2003 dan seterusnya menjadi johan pula di peringkat antarabangsa dengan memperolehi 88.71 % markah (ibid., hlm. 119).

Juara Antarabangsa

Trivia Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang

Panca Persada ingin berkongsi bersama pemantau setia sekalian koleksi gambar-gambar Pertandingan Membaca al-Quran di Pahang yang pernah diadakan dahulu.

Tilawah 2 Tilawah 1 SAB 1971 SAB 1971 2

Almarhum Baginda Sultan Pahang Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Muadzam Shah ibni Almarhum al-Mua'adzam al-Mu'tasim Billah al-Sultan Abdullah, DK., SIMP., DMN., DK(Brunei)., DK(Johor),. DK(Kedah)., DK(Perak)., SPDK(Sabah)., GCMG menyempurnakan perasmian Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Negeri Pahang 1971 di Kuala Lipis

Tilawah 4Tilawah 3 Tilawah 5

KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota, Tengku Abdullah ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah, DK., SSAP., SIMP, menyempurnakan perasmian Musabaqah Membaca al-Quran Peringkat Negeri Pahang 1979

Tilawah 6 Tilawah 7

KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota, Tengku Abdullah ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah, DK., SSAP., SIMP., DK (Terengganu), menyempurnakan perasmian Musabaqah Membaca al-Quran Peringkat Negeri Pahang 1982 di Padang Besar Bandar Pekan

Tilawah 9 Tilawah 8 Tilawah 10

KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah, DK., SSAP., SIMP., DK (Terengganu), menyempurnakan perasmian Musabaqah Membaca al-Quran Peringkat Negeri Pahang 1984 di Padang Besar Bandar Lipis

Tilawah 11 Tilawah 12 Tilawah 13 Tilawah 14 Tilawah 15

KDYMM Sultan Pahang dan KDYTM Tengku Mahkota Pahang menyempurnakan perasmian Musabaqah Membaca al-Quran Peringkat Negeri Pahang 1985 di Padang Awam Bandar Jerantut

Tilawah 16

KDYMM Sultan Pahang menyempurnakan perasmian Musabaqah Membaca al-Quran Peringkat Negeri Pahang 1987 di Bandar Pusat Jengka, Maran

Tilawah 17KDYTM Tengku Mahkota Pahang menyempurnakan perasmian Musabaqah Membaca al-Quran Peringkat Negeri Pahang 1988 di Masjid Tanah Putih Baru, Kuantan

Tilawah 18KDYMM Sultan Pahang bersama dengan YAB Menteri Besar Pahang, KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan KDYTM Tengku Puan Pahang bergambar kenangan bersama pemenang qari dan qari’ah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang kali ke-54 Tahun 1432H/2011M di Auditorium Darul Makmur Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Sunday, May 8, 2011

Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang (PSMCP)

Logo PSM

Berikut adalah senarai Jawatankuasa PSMCP 2010 / 2012 :

Penaung Utama

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah, D.K.P., D.K., D.K.M., S.S.A.P., S.I.M.P., D.M.N., D.K.(Perak), D.K.(Johor), D.K.(Kelantan), D.K.(Terengganu), D.K.(Perlis), D.K.(Kedah), D.K.M.B., D.K.(Brunei), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Selangor), Qiladah Badr Al-Kubra (Saudi Arabia), Qiladah Al-Sheikh Mubarak Al-Kabir (Kuwait), Grand Order of the Mugunghwa (South Korea), Hon. D.Litt (Malaya), LLD hc (Northrop USA), Hon.D.Sc. (Bedfordshire, UK.), Hon. PhD.(Civil Engineering) (Universiti Malaysia Pahang).

Penaung

Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DK., SSAP., SIMP., DK (Terengganu)., DK (Johor)., SPMJ., PAT.

Penasihat

YAB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, SDSA., SSAP., DSAP., DGSM.

YB. Dato’ Haji Wan Adnan bin Wan Mamat, SIMP., DSAP., DIMP.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Pahang

Pengerusi

Yang Dihormat Orang Kaya Indera Pahlawan,
Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, SSAP., SIMP., DSAP., SAP., JSM., AMP.

Naib Pengerusi

YH Dato’ Sri Tan Sri Haji Abdul Rashid bin Abdul Rahman, SSAP., SIMP.,PSM., DSAP., PJN., SMP., KMN., AMN., PPN., PJK.

Setiausaha Kehormat

YH Dato’ Haji Zainuddin bin Haji Jumaat, DIMP., AMP., AMN., PJK.

Penolong Setiausaha Kehormat

Tuan Haji Bahassan bin Haji Abd. Rahman

Bendahari Kehormat

YH Dato’ Haji Abdul Rahman bin Imam Arshad, DSAP., DIMP., PMP., KMN., AMN.

Pengarang Kehormat

Tuan Haji Mohd. Hadi bin Shirin

Ahli Jawatankuasa

YH Dato’ Haji Abdul Ghani bin Sulaiman, DSAP., DIMP., DSM., DJN., AMN., PPB.
YH Dato’ Drs. Haji Abdul Manaf bin Haji Abdullah
YH Dato’ Haji Ja’afar bin Salleh
YH Dato’ Haji Abdul Razak bin Ator
YH Dato’ Hamidin bin Abdullah
Drs. Wan Aminuddin bin Wan Ab. Hamid (PSM Lipis)
Tuan Haji Yaakub bin Haji Abdullah
Tuan Haji Mokhtar bin Abdullah Bakry
Puan Hajjah Ramlah binti Mohammad
Tuan Haji Alang Ahmad bin Haji Teh, PKC., PJK.
En. Abd. Manaf bin Talib
En. Aziz bin Kassim
Puan Rohana binti Haji Omar
Badli Shah bin Alauddin, AMP.

Ahli Ex-Officio

Pengurus Besar Yayasan Pahang
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang
Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang
Pengarah Arkib Negara Cawangan Terengganu / Pahang
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pahang

Juru Audit

Puan Hajjah Saedah binti Shariff
Tuan Haji Alias bin Salleh

Sebarang pertanyaan mengenai persatuan, bolehlah menghubungi alamat berikut :

psm1PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA CAWANGAN PAHANG
B42, Tingkat 1, Jalan 1M 3/11
Bandar Indera Mahkota
25200 Kuantan
Tel : 09-5739445
Faks :09-5739445

Saturday, May 7, 2011

Pulau Acheh, Rompin

Pulau Aceh

Pahang bakal memiliki satu lagi destinasi pelancongan menarik apabila Pulau Acheh yang terletak di Kuala Rompin akan dibangunkan sebagai pusat peranginan popular selepas Pulau Tioman.

Idea projek pembangunan di kawasan seluas 20 hektar itu diilhamkan oleh YAM Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah.

Dikenali sebagai Rain Forest Resort, projek itu yang bakal dibangunkan oleh Plus Asia Jaya Sdn. Bhd. dijangka melibatkan kos RM120 juta. Pelancaran projek berkenaan disempurnakan KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah yang turut dihadiri Tengku Muda Pahang, YAB Menteri Besar Pahang dan ADUN kawasan Tioman, Kapten (B) Dato’ Haji Johari Hussain.

Pada sidang akhbar kemudiannya, Ketua Pegawai Eksekutif Plus Asia Jaya Sdn. Bhd., Dato’ Loi Kong Yaw berkata, projek yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan itu tidak akan menjejaskan alam sekitar kerana konsep pembinaan dilakukan secara mesra alam.

"Pusat penginapan itu akan menyediakan hotel dan chalet bertaraf lima bintang serta memfokuskan 80 peratus konsep alam semula jadi dalam pembinaan itu nanti," katanya.

Selain itu, Kong Yaw berkata, beberapa projek lain turut dibangunkan seperti kondominium, pangsapuri dan taman tema air serta pelabuhan kapal layar sebagai tarikan kepada pengunjung ke pulau itu.

Dalam pada itu, Johari berkata, apabila projek itu siap kelak, ia juga bakal menawarkan kira-kira 300 hingga 350 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Menurutnya, Pulau Acheh mendapat namanya kerana pernah menjadi tempat berlindung pedagang dari Aceh sebelum ini.

Kenali Pulau Acheh, Pahang

3 pic

Bagi kaki pancing, Kelong Acheh Resort at Sea berhampiran Penyabong adalah destinasi yang sangat mengujakan. Kemudahan memancing di atas pelantar terapung beserta dengan penginapan menjadi penyebab ianya kerap dikunjungi oleh kaki pancing dari serata tempat. Tatkala santai di situ, antara pemandangan yang mengasyikkan adalah Pulau Aceh.

kelong06Pemandangan Pulau Aceh dari kelong

Pulau Aceh boleh dikunjungi dengan melalui jeti Penyabong yang jaraknya sekitar 2 km sahaja. Secara fizikalnya, terdapat beberapa buah lagi pulau yang berdekatan Pulau Aceh seperti Pulau Sembilang, Pulau Seri Buat, Pulau Layak, Pulau Tengah dan semestinya Pulau Tioman.

Mengapa Pulau Aceh Dalam Jajahan Pahang?

Perkara ini ada berkait rapat dengan sejarah silam kerajaan Pahang dan Johor. Walau secara zahirnya kebanyakan pulau-pulau di Laut Cina Selatan seakan-akan lebih dekat dengan Johor, namun ada beberapa insiden yang berlaku antara kerajaan Pahang dan Johor yang akhirnya memihak kepada Pahang.

Perjanjian Pahang - Johor

Pada bulan Disember 1861, Temenggung Daeng Ibrahim (bagi pihak kerajaan Johor) telah melakar satu surat perjanjian dengan Bendahara Tun Mutahir (bagi pihak kerajaan Pahang) yang ditandatangani oleh Dato’ Bendahara Paduka Raja Tun Koris. Antara lain isi kandungan surat itu menyatakan :

“Johor dan Pahang bekerjasama antara satu sama lain jika diserang musuh. Jika timbul sebarang kekusutan antara mereka, hendaklah diserahkan kepada orang Inggeris sebagai orang tengah bagi menyelesaikannya. Daerah yang terletak dari Endau ke Sedili Besar termasuk Pulau Tioman dan pulau-pulau di selatannya, dimasukkan dalam perintah kerajaan Johor” (Nicholas Tarling, British Policy in the Malay Peninsula and Archipelago 1824 - 1871, j. XXX, hlm 68; R.O Winstedt, A History of Johor, j. X, hlm. 95; W. Linehan, A History of Pahang, j. XIV, hlm. 71).

Pada 17 Jun 1862 sekali lagi perjanjian yang agak sama telah dimeterai pula antara Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor bagi pihak kerajaan Johor dengan Bendahara Seri Maharaja Wan Mutahir yang juga sekali lagi telah ditandatangani oleh Dato’ Bendahara Paduka Raja Tun Koris. Antara isi perjanjian itu ialah :

“Johor dan Pahang mengaku bersahabat dan bekerjasama antara satu sama lain jika diserang musuh. Temenggung Abu Bakar hendaklah membantu Wan Koris (Tun Koris) dan penggantinya apabila dikehendaki. Jika berlaku perselisihan antara kedua belah pihak, hendaklah diserahkan kepada Inggeris untuk menyelesaikannya. Pulau Tioman dan pulau lain di selatan diserahkan kepada kerajaan Johor. Di darat pula kawasan tanah bagi negeri Johor diperluaskan lagi ke utara sampai ke Sungai Endau menjadi sempadan darat antara negeri johor dengan negeri Pahang” (Sejarah Pahang hlm. 165 – 166).

Punca Perlanggaran Perjanjian

Ada dua peristiwa yang menyebabkan berlakunya sedikit pergeseran antara Johor – Pahang :

Insiden 1

Pada 10 Jun 1863, Wan Ahmad telah berjaya mengambil Pahang dari tangan abangnya Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Oleh sebab Orang-Orang Besar Pahang telah mengangkat Wan Ahmad menjadi Bendahara, maka raja pemerintah Pahang bergelar Bendahara Siwa Raja atau Seri Wak Raja. (W. Linehan, A History of Pahang, j. XIV hlm. 84 - 89; R.O Winstedt, A History of Johor, j. X, hlm. 105).

Namun selepas perlantikan tersebut, dalam bulan Jun tahun 1963 Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor telah memaklumkan kepada Gabenor Mejar Jeneral Sir William Orfeur Cavenagh di Singapura berkenaan kemangkatan Tun Mutahir dan anaknya Wan Koris yang hanya berselang empat hari antara keduanya.

Temenggung Abu Bakar telah mencadangkan kepada Gabenor agar Wan Ahmad dijadikan Pemangku Raja sahaja sehinggalah putera sulung Almarhum Wan Koris memegang tampuk kerajaan.

Namun Gabenor Cavenagh percaya cadangan Temenggung Johor itu tidak akan diterima oleh Bendahara Wan Ahmad dan tentu sahaja baginda tidak mahu melepaskan kerajaan Pahang itu ke tangan orang lain. Mengenai hal ini, kerajaan British telah mengambil sikap tidak masuk campur dalam urusan di Pahang (Nicholas Tarling, British Policy in the Malay Peninsula and Archipelago 1824 - 1871, j. XXX, hlm. 74).

Peristiwa ini agak mengguris hati Wan Ahmad. Namun atas dasar semangat setiakawan dengan negeri berjiran, baginda sekadar memendam rasa. Sementelah lagi ketika itu suasana dalam negeri juga tidak mengizinkan baginda menumpukan sangat hal ehwal urusan di luar Pahang. Ada satu catatan menarik tentang semangat setiakawan baginda iaitu tatkala menerima kunjungan Sultan Ali Putera Almarhum Sultan Husain Shah Singapura, yang pada masa itu tinggal di Umbai (Melaka).

Beliau telah datang ke Pahang mengikut jalan Hulu Muar, Sungai Serting, Sungai Bera dan terus ke Pekan berjumpa Bendahara Wan Ahmad sebaik sahaja baginda mendapat kemenangan dan menjadi Bendahara Pahang. Dalam pertemuan tersebut, Sultan Ali telah menyatakan kepada Bendahara Wan Ahmad tentang keinginannya selama ini untuk melantik Che’ Wan Ahmad sebagai Sultan Johor - Pahang, supaya dengan jalan itu dapatlah dibentuk semula Kesultanan Johor - Pahang seperti dahulu di bawah seorang Sultan, yang mana di Pahang ada Bendaharanya dan di Johor ada Temenggungnya.

Oleh sebab Bendahara Wan Ahmad tidak mahu menimbulkan sebarang kerumitan, permintaan Sultan Ali itu telah ditolaknya. Dalam pada itu untuk melembutkan hatinya, Sultan Ali telah dikahwinkan di Pahang. Kemudian Sultan Ali balik ke Umbai dengan hampa (W. Linehan, A History of Pahang, j. XIV, hlm. 93; R.O Winstedt, A History of Johor, j. X, hlm. 105).

Insiden 2

Dalam bulan Ogos 1863, Temenggung Abu Bakar telah mengadu kepada Gabenor Mejar Jeneral Sir William Orfeur Cavenagh di Singapura dengan mendakwa Che’ Wan Ahmad berhajat menyerang Johor dan menawan Endau serta Pulau Tinggi. Apabila Cavenagh mengemukakan perkara itu kepada ketuanya, kerajaan British telah membenarkan Gabenor Cavenagh menjadi orang tengah bagi menyelesaikan perselisihan di antara Johor dengan Pahang itu.

Temenggung Johor telah bersedia untuk menerima Cavenagh tetapi Bendahara Wan Ahmad tidak percaya dengan kejujuran Gabenor Cavenagh bagi menyelesaikan perkara itu. Gabenor Cavenagh tahu jika mahukan Bendahara Wan Ahmad menerima penyelesaian British, British terpaksa menggunakan kekuatan senjata tetapi kerajaan British tidak membenarkan Cavenagh berbuat. begitu kerana dalam perselisihan Johor - Pahang itu kerajaan British berpendapat kesalahannya ialah dari pihak Temenggung Johor, sebab Temenggung Johor masih lagi menunjukkan tentangannya terhadap Wan Ahmad walaupun sudah nyata Wan Ahmad telah menang dalam perjuangannya mengambil negeri Pahang (Nicholas Tarling, British Policy in the Malay Peninsula and Archipelago 1824 - 1871, j. XXX, hlm. 74 - 75).

Dalam bulan Oktober 1863 itu juga, Bendahara Wan Ahmad telah memaklumkan kepada Gabenor di Singapura, menyatakan orang Besar Empat di Pahang telah mempersilakan beliau ke Pahang, dan beliau telah menawan negeri itu pada 10 Jun 1863 dan Orang-Orang Besar Pahang telah melantiknya menjadi raja pemerintah di negeri itu.

Setelah menerima surat daripada Bendahara Wan Ahmad, Gabenor Negeri Selat telah mengirim surat kepada kerajaan British di England memberitahu bahawa orang Pahang telah bersetuju dengan raja pemerintahnya yang ada sekarang, negeri itu telah aman dan perniagaan juga telah berjalan dengan baik.

Oleh sebab telah menerima laporan daripada Gabenor Negeri Selat, kerajaan British menetapkan untuk mengakui Bendahara Wan Ahmad sebagai raja pemerintah yang sebenarnya di negeri Pahang (R.O Winstedt, A History of Johor, j. X, hlm. 105 - 106; W. Linehan, A History of Pahang, j. XIV, hlm. 90).

Perselisihan Berkenaan Sempadan

Bendahara Pahang dengan Temenggung Johor berselisih faham mengenai pulau-pulau di Laut Cina Selatan yang telah diserahkan oleh Almarhum Bendahara Tun Mutahir kepada kerajaan Johor dahulu. Perkara ini tidak disetujui oleh Bendahara Wan Ahmad. Baginda tetap mengatakan bahawa Pulau Tioman, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan pulau-pulau lain adalah termasuk dalam kuasa mutlak kerajaan Pahang.

Dalam bulan Oktober 1863 itu juga, Bendahara Wan Ahmad telah memanggil ketua-ketua di Pulau Tinggi, Pulau Tioman dan Pulau Aur datang berkumpul berjumpa baginda di Mersing dan baginda telah dapat pengakuan yang menyatakan mereka tetap taat setia kepada Bendahara Pahang (R.O Winstedt, A History of Johor, j. X, hlm. 106 - 107; W. Linehan, A History of Pahang, j. XIV, hlm. 90).

Dalam bulan Julai tahun 1865 pula, dua buah kapal perang British telah datang ke Pulau Tinggi untuk mencari seorang yang bernama Bujang yang dikatakan telah merompak dan membunuh seorang Cina rakyat British yang merupakan pemotong kayu di Pulau Seri Buat.

Apabila orang British itu tidak dapat mencarinya, Gabenor di Singapura telah meminta pertolongan Bendahara Wan Ahmad. Bendahara mengatakan beliau memang suka untuk mencari orang itu, kerana “dia adalah rakyat Johor yang telah menceroboh masuk ke pulau-pulau dalam perintah Pahang”. Jawapan Bendahara itu nyata bermaksud menegaskan lagi bahawa pulau itu ialah kepunyaan kerajaan Pahang dan ini menandakan baginda sudah mula memukul canang (R.O Winstedt, A History of Johor, j. X, hlm. 107).

Rentetan dari itu, Bendahara Wan Ahmad telah menerima sepucuk surat daripada Gabenor Cavenagh yang menyatakan bahawa pihaknya tidak mengakui pulau-pulau yang disebutkan dahulu masuk ke dalam kuasa kerajaan Pahang. Ini kerana pulau itu termasuk di bawah perintah Temenggung Johor. Walaupun demikian menurut Gabenor; Pulau Tioman, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan pulau-pulau yang lain memang selamanya di bawah perintah Pahang.

Tindak Balas Johor

Dalam bulan September 1866, Bendahara Wan Ahmad telah mengadu kepada Lt. Kolonel Ronald MacPherson, Residen Kaunselor di Singapura, berkenaan seorang pegawai kerajaan Pahang bernama Tengku Zainal yang telah pergi menyiasat dan memburu lanun di Pulau Tinggi, Pulau Tioman dan Pulau Aur. Namun tiba-tiba pegawai tersebut telah mendengar berita mengatakan satu pasukan askar Johor telah datang dengan sebuah kapal Temenggung Johor untuk membuat kacau dan menangkap rakyat Pahang di pulau itu. Bendahara Wan Ahmad mengatakan juga, bahawa tuduhan yang telah dilemparkan kepadanya yang mengatakan kononnya Tengku Zainal ingin melakukan rompakan adalah semata-mata bohong. Baginda menegaskan kalau tuduhan palsu itu dipercayai, maka sudah pasti perniagaan di antara Pahang dengan Singapura akan terjejas.

Pada bulan November 1866 pula, Bendahara Wan Ahmad telah mengadu kepada Gabenor Cavenagh, mengatakan tentang orang Temenggung Johor yang telah menangkap lima orang rakyat Pahang dan telah merampas harta-benda mereka hanya semata-mata kerana rakyat Pahang itu telah dijumpai di Pulau Tioman. Anak-anak kapal Temenggung dikatakan telah merampas harta-benda kerajaan Pahang di Pulau Kaban dan telah menangkap beberapa orang nelayan (W. Linehan, A History of Pahang, j. XIV, hlm. 90 - 91).

Penyelesaian Pertikaian

Mengikut Hikayat Pahang, pada 1867 negeri Pahang berada dalam keadaan aman dan makmur (setelah dua tahun lamanya kekurangan padi). Makanannya murah, lima gantang beras hanya berharga seringgit sahaja, dan seratus gantang padi hanya dua ringgit, tanaman-tanaman tetap subur. Keamanan dan kemakmuran itu, menurut Hikayat Pahang, adalah kerana baiknya pemerintahan Bendahara Wan Ahmad (W. Linehan, A History of Pahang, j. XIV, hlm. 92; Hikayat Negeri Johor, j. X). Namun sayangnya, perselisihan antara Bendahara Wan Ahmad dengan Temenggung Abu Bakar belum juga selesai.

Tetapi dalam tahun 1867 ini, tiada berapa lama sebelum Gabenor Mejar Jeneral Sir Harry St. George Ord tiba di Singapura menjadi Gabenor Negeri Selat menggantikan Cavenagh, Temenggung Abu Bakar secara mengejut telah bersetuju untuk menyerahkan Pulau Tioman, Pulau Seri Buat, Pulau Kaban dan pulau-pulau lain yang terletak di sebelah utara Garisan Lintang 20° 40', kepada kerajaan Pahang (Bendahara Wan Ahmad) demi menyelesaikan perselisihan yang telah begitu lama berlanjutan.

Selepas ketibaan Harry Ord, beliau telah mengambil tindakan untuk menyelesaikan hal perselisihan antara Johor dengan Pahang. Pada bulan Ogos 1868, dalam lawatannya ke pantai timur Semenanjung Tanah Melayu, Gabenor Harry Ord telah singgah di Pekan, Pahang berjumpa Bendahara Wan Ahmad dan merundingkan perkara tersebut.

Pada masa itu, telah ditetapkan Sungai Endau menjadi sempadan darat antara negeri Pahang dengan negeri Johor, dan ke lautnya dari tengah kuala Sungai Endau mengikut satu garisan lintang yang dijangkakan dari situ lurus arah ke timur, laut dan pulau yang terletaknya di sebelah utara daripada garisan lintang itu, masuk ke dalam perintah Pahang, Pulau Tioman masuk ke dalam perintah Pahang, dan laut serta pulau yang terletak di sebelah selatan daripada garisan lintang itu masuk perintah Johor.

Pada 1 September 1868 telah ditandatangani surat perjanjian mengenai keputusan itu oleh Bendahara Wan Ahmad bagi pihak kerajaan Pahang, dan Maharaja Abu Bakar* bagi pihak kerajaan Johor dengan disaksikan oleh Mejar Jeneral Sir Harry St. George Ord.

Sejak itulah juga kerajaan British mula mengakui Bendahara Wan Ahmad sebagai raja pemerintah Pahang (Nicholas Tarling, British Policy in the Malay Peninsula and Archipelago 1824 - 1871, j. XXX, hlm. 81; Hj. Mohd. Said bin Hj. Sulaiman, Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Sultan Abu Bakar Johor, hlm. 20; C. Northcote Parkinson, British Intervention in Malaya 1867 – 1877, hlm. 33).

*Temenggung Abu Bakar Johor mula memakai gelaran Maharaja pada bulan Jun 1868 — Maharaja Abu Bakar.


Friday, May 6, 2011

Orang Besar Negeri Pahang : Terkini

Negeri Pahang mempunyai gelaran-gelaran yang tertentu yang dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang layak menerimanya menurut perkenan KDYMM Sultan Pahang. Posting ini merupakan lanjutan dan kemaskini terbaru dari posting lepas di :

http://pancapersada.blogspot.com/2009/05/orang-besar-negeri-pahang.html

Gelaran-gelaran serta penyandang Orang Besar Negeri Pahang adalah seperti berikut :

1. ORANG BESAR BEREMPAT *

Yang Dihormat Orang Kaya Indera Perba Jelai
Dato' Haji Wan Abdul Rahman bin Dato' Wan Ibrahim, DIMP., SMP., AMN., PJK.

Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar
Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, DK II., SSAP., SIMP., SPMK., SPMS., SSSJ., SPSA., SPDK., DUNM., SPNS., DPMS., DSAP., PNBS.

Yang Dihormat Orang Kaya Indera Segara
Yang Mulia Datuk Paduka Maharaja Lela Tengku Dato' Haji Asmawi bin Tengku Haji Hussin, DSAP., DIMP., SAP., AMN.

Yang Dihormat Orang Kaya Indera Pahlawan
Dato' Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, SSAP., SIMP., DSAP., SAP., JSM., AMP.

* Isteri bergelar Tok Puan Indera

__________________________________________________________

2. ORANG BESAR BERLAPAN *

Yang Hormat Dato' Setia Pahlawan
Yang Mulia Tengku Dato' Haji Iskandar Abu Bakar bin Tengku Ali, DSAP., DIMP., SAP., AMN., PJK.

Yang Hormat Dato' Setia Perkasa
- Kosong -

Yang Hormat Dato' Setia Penggawa
Yang Mulia Ungku Dato' Hakim bin Ungku Mohamad, DSAP., DIMP., JSD., PJK., PPS.

Yang Hormat Dato' Setia Muda
Dato' Haji Wan Jasmin bin Dato' Haji Wan Badiuzzaman, DIMP.

Yang Hormat Dato' Setia Lela
Yang Mulia Tengku Dato' Haji Perang bin Tengku Razlan, DIMP., AMN., PJK., AMP.

Yang Hormat Dato' Setia Raja
Tan Sri Dato' Sri Haji Hamzah bin Dato' Abu Samah, SSAP., SIMP., PMN., SPDK., SMK.

Yang Hormat Dato' Setia Wangsa
Dato' Haji Mustafar bin Abu Bakar, SIMP., DSAP., DIMP., SAP., AMP., AMN.

Yang Hormat Dato' Setia Segara
Dato' Haji Halim bin Haji Ibrahim, DSAP., DIMP., SMP., PKC.

* Isteri bergelar Tok Puan Setia

_________________________________________________________

3. ORANG BESAR ENAM BELAS

Yang Hormat Tok Muda
Engku Dato' Haji Abdul Rahman bin Engku Haji Abdullah, DIMP., SMP., AAP., PJK.

Yang Hormat Tok Muda
Ungku Dato' Abdul Arif bin Ungku Hasbar, DIMP., AMP., PJK.

Yang Hormat Tok Muda
Tengku Haji Mohd Mustaffa bin Tengku Dato' Haji Ibrahim, SMP., AMP.

Yang Hormat Tok Muda
Tengku Razman Shah bin Tengku Ahmad, SAP.

Yang Hormat Tok Muda
Tengku Abdul Manan bin Tengku Temenggong Haji Aziz, SAP.

Yang Hormat Tok Muda
Kolonel (B) Dato' Hashim bin Mohamed Ali, DIMP., SAP., JSD., SDK., KMN., KPK., PSC.

Yang Hormat Tok Muda
Mejar (B) Dato' Haji Ahmad Baharuddin bin Haji Mohd Akil, DIMP., AMN., PJK., PK.

Yang Hormat Tok Muda
Dato' Haji Abu Bakar bin Haji Abdullah, DIMP., SMP., AMP., PJK.

Yang Hormat Tok Muda
Dato' Haji Asmad bin Haji Sulaiman, DIMP., SAP., SMP., PJK.

Yang Hormat Tok Muda
Dato' Haji Mohd Nor bin Abu Bakar, DIMP., AMP., AMN., PJK.

Yang Hormat Tok Muda
Dato' Wan Abu Bakar bin Wan Mohamed, DIMP., DSSA.

Yang Hormat Tok Muda
Dato' Haji Abdul Shukor bin Haji Yaakob, DIMP., AMP.

Yang Hormat Tok Muda
Haji Talib bin Sulaiman, SMP., AMP., PKC., PJK.

Yang Hormat Tok Muda
Wan Zainal Mokhtar bin Dato' Haji Wan Ahmad Tajuddin, AAP.

_________________________________________________________

4. ORANG BESAR RAJA

Yang Mulia Tengku Setia Jaya Pahang
Tengku Dato' Mohamed Ariffin bin Tengku Ismail, DIMP., SAP.

Yang Hormat Tok Pentara Raja
Dato' Haji Ismail bin Marzuki, DIMP., SAP., AAP., AMP., PJK.

Yang Hormat Tok Aria Rakna
Dato' Haji Abdul Murad bin Abdul Rani, DIMP., AAP., AMP., PJK.

Yang Hormat Tok Bijaya Diraja
Wan Ibrahim bin Wan Salleh, AMP., PJK.

__________________________________________________________

5. ORANG BESAR ISTANA

Yang Hormat Panglima Dalam
Mohd. Taib bin Abu Bakar, SMP., AMP.

Yang Hormat Penghulu Balai
Dato' Haji Mohd Khalid bin Jusoh, DIMP., AMP., AMN., PJK.

Yang Hormat Tok Luar
Wan Nor Anua bin Wan Mansor, SMP., PKT., PJK.

Thursday, May 5, 2011

Protokol Pakaian Perkahwinan DiRaja

* Perhatian. Kepada para penziarah yang dimuliakan...Isi kandungan blog ini boleh dimanfaatkan sebagai rujukan bersama. Namun pohon sudi apalah kiranya untuk tidak memplagiatnya seolah-olah menafikan secara total akan penat lelah penulis menyusunnya demi manfaat bersama. Cukuplah sekadar dinyatakan sumbernya, bukan dengan mengeditnya secara jadi-jadian. Terima kasih kepada para pemantau setia yang memaklumkan tentang hal ini. Sebagai contoh, sila rujuk http://kesultananjohor.blogspot.com/2011/05/protokol-pakaian-perkahwinan-diraja.html#comments
__________________________________________________________

Agong 11

Saya menerima pertanyaan daripada seorang pemantau setia Panca Persada membabitkan pakaian istiadat Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong sewaktu menghadiri majlis perkahwinan The Duke and Duchess of Cambridge iaitu Putera William dan Catherine Middleton di Westminster Abbey. Beliau mengemukakan kemusykilan mengapakah pakaian istiadat baginda berbeza dengan pakaian tetamu yang lain (rujuk gambar di atas).

Bagi menjawab pertanyaan ini, pertamanya yang perlu kita lihat adalah kepada kod etika berpakaian yang dicatatkan dalam kad jemputan rasmi perkahwinan tersebut :

invite

Berdasarkan arahan Lord Chamberlain of Her Majesty's Household (sama fungsi dengan peranan Datuk Paduka Maharaja Lela), tetamu dikehendaki memakai tiga jenis pakaian iaitu Uniform, Morning Coat atau Lounge Suit. Justeru jika merujuk kepada gambar di atas, didapati Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong telah mengenakan pakaian berbentuk uniform sementara tetamu yang berdekatan dengan baginda sebagai contohnya KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; mengenakan pakaian Morning Coat.

Dalam konteks protokol dan etika berpakaian acara rasmi di negara kita, Morning Coat lebih dikenali dengan istilah Morning Dress. Seseorang akan dikira menepati piawaian pakaian Morning Dress apabila menyarung aksesori pakaian berikut (Mokhtar bin Mohd. Tohar, Protokol dan Etiket Dalam Pengurusan dan Menghadiri Majlis, hlm. 284) :

1. Tail Coat hitam (kot berekor di belakang)
2. Waist Coat (kot dalam);
3. Kemeja putih berkolar rata menghala ke bawah (tanpa butang);
4. Tali leher berwarna kelabu;
5. Seluar hitam berjalur- jalur;
6. Stokin hitam;
7. Kasut hitam;
8. Topi Sutera hitam


Morning Coat

Pada kebiasaannya di Malaysia, Morning Dress boleh dipakai dalam acara-cara rasmi seperti berikut :

1. Istiadat Pertabalan (Hari Kalung)

2. Majlis Mengadap Hari Keputeraan

3. Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat

4. Istiadat Mengarak Panji-Panji Sempena Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong

5. Istiadat Pembukaan Persidangan

6. Majlis Mengadap dan Persembahan Watikah Bakal Duta Asing

Justeru, dalam konteks majlis perkahwinan diraja Putera William dan Catherine Middleton di Westminster Abbey, baginda memilih untuk mengenakan uniform.

Uniform Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong

Agong

Pada peringkat awal melihat gambar ini, saya menyangkakan baginda memakai pakaian rasmi alumni Royal Military Academy di Sandhurst memandangkan baginda pernah menuntut di akademi tersebut sehingga tahun 1983. Namun selepas meneliti perincian pada peak cap, collar device, shoulder board dan juga sleeve lace; maka jelaslah uniform ini adalah Royal Navy Ceremonial Dress Nombor 1. Jika diperhatikan pada sleeve lace, maka ianya merupakan lambang bahawa pemakainya adalah bertaraf OF-10 ataupun Admiral of the Fleet. Selain itu, pemakaian aiguillettes berwarna emas dan disangkut pula di bahu kanan petanda ianya merupakan aiguillettes jenis 1st Class ataupun Royal. Visor Hat atau Hat Cap yang dipakai pula merupakan simbol dan insignia Royal Malaysian Navy Admiral's Peak Cap.

Pemakaian ini sebenarnya bersesuaian dengan kedudukan baginda yang merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Malaysia (The Supreme Commander atau Commander-in-Chief of the Malaysian Armed Forces), seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 41 yang berikut :

41. Perintah tertinggi angkatan tentera. Yang di-Pertuan Agong ialah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan."

Mengapa Pakaian Royal Navy Ceremonial Dress Nombor 1 ?

Timbul persoalan, mengapakah baginda memilih pakaian tradisi tentera laut semasa menghadiri perkahwinan diraja ini? Sebenarnya pakaian tentera laut merupakan pakaian protokol yang menjadi pilihan sebahagian besar orang kenamaan memandangkan tona warnanya yang gelap serta tidak terlalu menyerlah berbanding hijau (tentera darat) dan biru (tentera udara). Jika diperhatian, sebenarnya terdapat ramai lagi tetamu kenamaan yang lain yang juga mengenakan Royal Navy Ceremonial Dress Nombor 1 ini, antaranya :

Blue DressGambar kiri adalah Putera Mahkota Willem Alexander dan Puteri Maxima dari Belanda sementara gambar kanan adalah Permaisuri Sofia, Putera Felipe dan Puteri Letizia dari Sepanyol. Perhatikan uniform mereka.

wedding
Kebanyakan tetamu kenamaan juga turut mengenakan uniform Royal Navy Ceremonial Dress Nombor 1 selain daripada uniform berwarna merah yang mewakili pakaian Irish Guards.

Bahkan jika diimbas kembali semasa istiadat perkahwinan Putera Charles dan Diana Spencer pada tahun 1981, Charles juga telah mengenakan uniform tentera laut dan tradisi ini berterusan tatkala beliau menghadiri majlis perkahwinan puteranya di Westminster Abbey.

Charles Diana
Putera Charles semasa perkahwinannya dengan Diana.

Charles Camilla
Putera Charles dan Camilla Parker Bowles semasa menghadiri perkahwinan Putera William dan Catherine Middleton di Westminster Abbey. Perhatikan pada perincian uniform beliau.