Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Tuesday, November 23, 2010

Tanggungjawab Raja-Raja Melayu Lindungi Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Kepentingan Kaum Lain

Berikut merupakan petikan berita daripada lamanweb Khabar Pahang berkaitan dengan Titah KDYTM Tengku Mahkota Pahang Sempena Keputeraan Ayahanda di Istana Abu Bakar, Pekan. Laman ini dikendalikan oleh Pejabat YAB Menteri Besar Pahang dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Bil. 02/Okt/2010, 16 – 31 Oktober 2010.

Titah TM BALAIRUNG SERI, ISTANA ABU BAKAR, BANDAR DIRAJA PEKAN -

"Adalah menjadi tanggungjawab seorang Raja membela nasib rakyat berbilang kaum di negeri Pahang," titah KDYTM Tengku Mahkota Pahang dalam perutusan sempena Hari Keputeraan ke-80 KDYMM Sultan Pahang pagi Ahad, 24 Oktober, di sini.

"Ini adalah juga satu wasiat keturunan Raja-raja Pahang yang terdahulu," titah Baginda yang mewakili Kerabat-kerabat Bergelar, Kerabat-kerabat, Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Diraja, Orang Besar-Besar Negeri dan Dato'-Dato'.

"Ini termaktub dalam Wasiat Raja-raja Melayu para ke-7 yang diperkenankan pada 5 Ogos 1957, diantara Raja-Raja Melayu dan British.

"Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (termasuk kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)," titah Baginda.

Dalam lenggok yang kira-kira serupa, Baginda menyarankan agar seluruh rakyat negeri ini terus menghayati dan memahami kepentingan institusi beraja yang terbina atas semangat 'Raja Adalah Payung Kepada Rakyat'.

Raja Penyelamat Agama dan Bangsa

Pemerintahan beraja ini pula titah Baginda lagi, telah wujud sejak abad ke-13 serta telah banyak membawa kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat sekelian.

"Pelbagai rintangan telah diharungi, termasuk peperangan menentang penjajahan Aceh, Belanda dan Inggeris; serta pergolakan politik. Namun, Kesultanan Negeri Pahang Darul Makmur ini kekal memerintah hingga ke hari ini kerana mempertahankan agama, bangsa dan negeri Pahang tercinta ini.

"Justeru, patik ingin menegaskan bahawa pemerintahan beraja ini perlu diteruskan kesinambungannya. Pepatah juga menyatakan bahawa raja dan rakyat berpisah tiada.

"Di saat genting di mana berlakunya pergolakan politik, maka rajalah menjadi penyelamat agama dan bangsa," tegas Baginda memperihalkan peranan penting Raja-Raja Melayu kita.

"Peristiwa yang berlaku kebelakangan ini di mana ada yang tidak lagi menghormati institusi beraja adalah amat merbahaya kepada masa depan agama dan bangsa. "Situasi seumpama ini harus dijadikan teladan semoga ianya tidak merebak ke negeri ini," titah KDYMM Tengku Mahkota lagi.

Kelemahan Diperbaiki Dari Masa Ke Semasa

Dalam pada itupun Baginda akui, berlaku kelemahan tertentu yang tidak disedari oleh pemerintahan Kesultanan Negeri semasa hendak menyempurnakan peranannya dengan penuh hemah dan bertanggungjawab.

"Justeru, kelemahan seumpama ini akan diperbaiki dari masa ke semasa, demi kesinambungan kesejahteraan rakyat," titah Baginda.

Sepanjang 36 tahun pemerintahan KDYMM Sultan Pahang (sejak 1974) titah Baginda lagi, KDYMM Tuanku merupakan Raja Pemerintah yang amat dikasihi lagi dikagumi oleh rakyat-jelata.

KDYMM Tuanku juga merupakan Raja yang amat mengambil berat terhadap soal kesempurnaan prasarana yang rakyat nikmati dengan Baginda sendiri berangkat ke setiap pelosok negeri bagi memastikannya.

Pengiktirafan dan Penghargaan

Selain itu titah Baginda, KDYMM Tuanku turut menghargai sumbang-bakti para pembesar negeri serta rakyat keseluruhannya.

"Sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbang-bakti mereka, maka pada pagi yang mulia ini, Seri Paduka Ayahanda memperkenankan penganugerahan tertinggi iaitu Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Dimulia - Peringkat Pertama Sri DiRaja Sultan Ahmad Shah (SDSA) yang membawa gelaran Dato' Sri DiRaja.

"Ini membuktikan bahawa Seri Paduka Ayahanda amat menghargai dan mengiktiraf jasa bakti yang dicurahkan oleh pembesar-pembesar negeri dan rakyat negeri Pahang," titah Baginda.

Baginda seterusnya menzahirkan perasaan kebanggaan terhadap kecemerlangan pemerintahan ayahanda Baginda itu yang telah dapat menyatu-padukan seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira kaum dan ideologi politik.

"Ini amat bertepatan dengan semangat Satu Malaysia. Sesungguhnya perubahan dan kemajuan yang telah dicapai dalam negeri Pahang Darul Makmur amatlah membanggakan," titah KDYTM Tengku Mahkota.

Raja Melayu Mestilah Putera Melayu

Dalam nada yang bersantai pula, Baginda mengungkapkan kembali apa yang diistilahkan sebagai Melayu oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Dato' Sri Mohd. Najib Abdul Razak pada Perhimpunan Agung UMNO beberepa hari sebelum ini (21, 22 dan 23 Oktober), lalu dirujukkan kepada seorang Raja Melayu.

"Seorang Raja Melayu mestilah putera Melayu," titah Baginda sambil menyusur-galurkan perihal kisah ayahanda Baginda, KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah, yang diputerakan pada 1930, di Mahkotakan pada 1944, di Sultankan pada 1974 serta menjadi SPB Yang Dipertuan Agong antara 1978 dan 1983.

"Pemerintah Melayu, khalifah Melayu, pegawai tentera Rejimen Askar Melayu, bersekolah Melayu, bertutur Bahasa Melayu dan juga bahasa Jepun serta bahasa Inggeris.

"Suka santap makanan Melayu seperti kuih kacang, sambal, ikan patin tempoyak. Beristerikan orang Melayu, bonda Almarhumah Tengku Ampuan Afzan dan Sultanah Hajah Kalsom dari Pakistan juga Melayu menurut YAB Perdana Menteri.

"Tuanku juga penggalak seni warisan Melayu, suka menyanyi lagu Melayu, berpantun dan berseloka Melayu. Lebih-lebih lagi membela nasib orang Melayu. 'This is the paramount agenda as' Raja Melayu. Inilah satu agenda mutakhir (teragung) untuk membela nasib orang Melayu," titah Baginda lagi.

Kata-Kata Manis

Sebelum mengakhiri titah ucapan, KDYTM Tengku Mahkota telah menyembahkan kata-kata manis sebagai penghargaan terhadap KDYMM Sultan Pahang sempena Hari Keputeraan ke-80 ini, nukilan DYMM Sultanah Pahang, Perdana Menteri dan isteri, KDYTM Tengku Puan Pahang, serta padika-paduka anakanda iaitu :

YAM Tengku Puteri Lela Wangsa Pahang, YAM Tengku Puteri Seri Teja Pahang, YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, YAM Tengku Muda Pahang, YAM Tengku Seri Lela Manja Pahang, YAM Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang, serta YAM Tengku Arif Temenggong Pahang.

Antara yang menarik serta berunsur jenaka ialah oleh DYMM Sultanah Pahang yang menyebut : "Tuanku, you are not 80. You are 18 with 62 years experience" (Tuanku bukannya berumur 80 tahun. Tuanku cuma 18 tahun dengan 62 tahun pengalaman).

YAM Tengku Puteri Lela Wangsa Pahang pula menyebut : "Bok is so caring, loving, generous and understanding". (Bok [nama panggilan anakanda-anakanda terhadap KDYMM Sultan Pahang] sangat mengambil berat, penyayang, pemurah dan sangat memahami).

YAM Tengku Muda Pahang pula : "Not only a great father to all of us, but you also have the ability to draw people to respect you as a father to all walks of life..."(Bukan sekadar ayahanda yang hebat untuk kami semua, tetapi juga punya keupayaan menarik orangramai untuk menghormatimu sebagai ayahanda kepada semua daripada pelbagai latar kehidupan).

YAM Tengku Arif Temenggong Pahang pula : "Baba, you are very special to us, a special father and leader. You have instilled a legacy that none of us will forget. A legacy that will allow Pahang flourish and will be passed down to our future rulers. Happy birthday Baba. We love you" (Baba [nama panggilan terhadap KDYMM Sultan Pahang]…Ayahanda adalah teristimewa buat kami, ayahanda dan pemimpin yang istimewa. Ayahanda telah memupuk warisan yang tidak seorangpun antara kami akan lupai. Satu warisan yang akan membolehkan Pahang terus berkembang-maju, yang akan diperturunkan kepada pemerintah-pemerintah masa depan. Selamat hari keputeraan Baba. Kami cintakanmu).

Majlis Pelancaran Buku Raja & Rakyat Berpisah Tiada

Raja dan Rakyat 1Sempena memuliakan Ulang Tahun ke-80 KeputAmar Segaraeraan KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah, satu majlis pelancaran buku bertajuk Raja & Rakyat Berpisah Tiada telah diadakan secara gilang gemilang bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan. Buku tersebut yang merupakan hasil tulisan dan kajian oleh Yang Hormat Dato’ Setia Amar Segara Dato’ Haji Halim bin Haji Ibrahim (gambar kanan) telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang Dato' Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abd. Razak. KDYMM Sultan Pahang turut berkenaan berangkat ke majlis tersebut.

Menurut Dato’ Haji Halim, buku ini merupakan hasil cetusan idea dan titah daripada KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah. “Matlamat karya ini antara lain mengajak rakyat untuk mengenali sejarah susur galur Kesultanan Pahang yang merupakan kesinambungan kepada Kesultanan Melayu” katanya lagi.

Beliau menambah, “arus kemodenan masa kini telah menyaksikan keutuhan institusi beraja yang menjadi paksi kekuatan masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman tersentak seketika tatkala masyarakat di peringkat nasional sejak kebelakangan ini mula mempersoalkan kedaulatan dan kredibiliti raja-raja Melayu sekarang. Justeru, buku ini merungkai secara terperinci bagaimana raja-raja keseluruhannya termasuk peranan Sultan Ahmad Shah yang berjaya menyatupadukan rakyat di negara ini”.

Secara keseluruhannya juga, kehidupan Sultan Ahmad Shah menjalani kehidupan sehari-harinya dan paparan gambar-gambar istimewa baginda diketengahkan untuk renungan generasi akan datang. Ia diharap akan menjadi suatu momen paling indah untuk ditatap. Karya ini juga secara tidak langsung akan mendedahkan formula di sebalik kemajuan yang dicapai olah Negeri Pahang Darul Makmur dan juga merungkai persepsi rakyat terhadap Raja Pemerintah dan persepsi daripada kaca mata Raja Pemerintah terhadap rakyatnya.

Beliau yang juga merupakan Presiden Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM) berharap, semoga buku ini kelak menjadi satu rujukan penting kepada masyarakat, tanpa mengira asal dan keturunan.

Turut berangkat ke majlis tersebut adalah KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah, KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah binti Almarhum Sultan Iskandar, paduka-paduka anakanda dan juga Toh Puan Dato’ Seri Rosmah binti Mansor.

Ucapan Perasmian Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar YAB Dato' Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak

"Patik ingin terlebih dahulu menjunjung kasih atas perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku memuliakan majlis pelancaran buku 'Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada', nukilan Yang Hormat Dato' Setia Amar Segara, Dato' Haji Halim bin Haji Ibrahim yang akan disempurnakan oleh patik pada hari yang penuh bermakna ini.

Penerbitan buku "Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada" bersempena dengan ulang tahun hari keputeraan Tuanku adalah amat tepat pada masanya, ini kerana tahun ini menandakan tahun ke-36 Tuanku bersemayam di singgahsana pemerintahan negeri, sejak Tuanku dilantik sebagai Sultan Pahang Ke-5 pada 7 Mei 1974.

Oleh kerana buku yang bakal dilancarkan merupakan karya seorang individu yang boleh dikatakan akrab dengan Tuanku, maka ia sudah tentu memuatkan pelbagai peristiwa bersifat peribadi dan 'candid', yang selama ini tersembunyi dari umum. Karya ini akan membolehkan pembaca lebih mengenali secara dekat hati budi dan jiwa raga Tuanku. Patik percaya kisah-kisah “anecdotal” sebeginilah yang akan terus mendekatkan Tuanku kepada pembaca dan seterusnya rakyat jelata.

Personaliti Tuanku yang sentiasa ramah dan cepat mesra menjadikan Tuanku seorang raja yang dekat di hati rakyat. Setahu patik, tiada seorang pun yang tidak tertarik dengan personaliti Tuanku. Sebab itu, Tuanku adalah seorang yang teristimewa yang ramai peminatnya sama ada dikalangan yang tua mahupun yang muda.

Walaupun ia bukanlah buku yang pertama yang diterbitkan berkaitan Tuanku mahupun patik yakin ia bukan buku terakhir, namun ia tetap penting sebagai rekod tawarikh guna untuk teladan serta panduan bagi generasi hari ini mahupun untuk generasi mendatang. Sesungguhnya bangsa yang tidak tahu mahupun berminat terhadap sejarah warisan bangsanya sendiri adalah bangsa yang lemah dan miskin semangatnya.

Sebagai seorang yang pernah diamanahkan selaku Menteri Besar Pahang dalam usia yang agak muda, patik merasa bertuah untuk mendapat bimbingan Tuanku sejak awal kerjaya patik sehingga pada hari ini. Meskipun patik sudah sampai ke mercu pentadbiran kerajaan, tetapi patik merasa amat bertuah dapat bernaung di bawah payung Tuanku.

Ampun Tuanku,

Patik mohon perkenan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, untuk berucap sepatah dua kata kepada hadirin sekalian.

YAB Dato' Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob,
Menteri Besar Pahang

Yang Amat Mulia,
Kerabat-Kerabat Bergelar

YB Dato' Sri Muhammad Safian Bin Ismail,
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang

Yang Berhormat,
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Hormat,
Ahli-Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri

YH Dato' Setia Amar Segara Dato' Haji Halim bin Haji Ibrahim

Hadirin Sekalian

Sistem Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, merupakan antara teras-teras asas pentadbiran negara. Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT lipatan sejarah menunjukkan bahawa perjalanan negara ke arah sistem ini bersifat evolusi, bersandarkan muafakat dan berlatarbelakangkan ketertiban berbeza dengan sesetengah negara di dunia di mana ianya melibatkan revolusi dan anarki.

Di United Kingdom misalnya ia dibibitkan melalui krisis di antara para Barons dan Raja Inggeris pada ketika itu King John, krisis ini membuahkan Magna Carta sebuah piagam yang telah dimaktubkan pada tahun 1215 Masihi. Magna Carta menandakan bermulanya pemerintahan berperlembagaan, lahirnya institusi Parlimen, wujudnya prinsip kedaulatan undang-undang dan bermulanya bibit-bibit pengakhiran pemerintahan secara berwewenang atau “arbitrary rule”.

Proses ini tidak tamat dengan Magna Carta sebaliknya ia berterusan untuk lebih 700 tahun, sehingga lahirnya demokrasi moden seperti mana yang terdapat pada hari ini. Sepanjang tempoh tersebut ia telah melibatkan perang saudara, revolusi dan pembaharuan yang digerakkan rusuhan berdarah.

Berbeza dengan United Kingdom, di Malaysia sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang bermula dengan kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957. Ia diasaskan bukan di atas pertelingkahan di antara raja dan rakyat tetapi dibina di atas dasar saling memahami dan menghormati aspirasi masing-masing.

Sejarah telah menunjukkan apabila penjajah Inggeris cuba melemahkan institusi Raja-Raja Melayu melalui rancangan Perlembagaan Malayan Union pasca Perang Dunia Kedua, orang-orang Melayu sendiri yang telah bangkit menentangnya. Mereka telah bersatu di bawah kepimpinan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar dan payung UMNO untuk menggagalkan rancangan tersebut, dan menggantikannya dengan sistem pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu yang telah meletakkan Raja- Raja Melayu di tempat yang hak.

Sistem raja berperlembagaan di negara ini wujud hasil persetujuan dari Raja- Raja Melayu sendiri yang bermuafakat bersama-sama UMNO, serta Parti Perikatan yang mewakili rakyat. Berbeza dari sejarah United Kingdom sejarah Malaysia menunjukkan sikap berlapang dada Raja-Raja Melayu yang sanggup berkorban demi memenuhi aspirasi rakyat mereka.

Segala susun atur dan perjalanan sistem bernegara ini diasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara serta hasil ijmak semua pihak. Ia telah diperkukuhkan lagi dengan rukun negara yang merupakan ideologi kebangsaan. Kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang adalah tiga dari lima prinsip yang membentuk rukun negara.

Sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen ini telah membuahkan keamanan dan kestabilan politik semenjak merdeka. Ia telah membolehkan pembangunan dilaksanakan secara terancang dan tertib. Hasilnya taraf hidup rakyat telah berjaya ditingkatkan dengan ketaranya, dalam tempoh hanya 50 tahun.

Kita juga telah berjaya mentransformasikan negara dari sebuah negara pertanian yang berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi.

Terbukti ia sistem yang terbaik yang telah ternyata keberkesanannya. Ia mengadunkan warisan tradisi negara yang terbaik bersama-sama aspirasi rakyat terbanyak. Untuk itu semua rakyat perlu terus mempertahankan sistem yang terbukti berkesan membawa kestabilan ini. Tidak ada sebab untuk kita bersikap ibarat tikus membaiki labu.

Maka usaha menerbitkan buku ini boleh disifatkan sebagai memperkukuhkan kefahaman dan kepercayaan kepada institusi Raja berperlembagaan secara berterusan. Semoga Institusi Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen akan terus berkekalan selamanya.

Dengan doa tersebut, saya dengan lafaz mulia Bismillahirahmanirrahim melancarkan buku 'RAJA DAN RAKYAT BERPISAH TIADA' ini.

Ampun tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patik, mohon di ampun

Sekianlah sahaja ucapan patik kepada hadirin sekalian. Akhir kata Patik berdoa ke hadrat Allah Subhanahuwataala semoga Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan sihat walafiat, dilanjutkan usia, aman sentosa, dilimpahkan nikmat dan dimurahkan rezeki kekal bersemayam di atas singgahsana untuk patik semua dapat bernaung di bawah payung Tuanku.

Ke bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang; Ke bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang; serta semua kerabat diraja.

Ampun tuanku,

Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh".

Raja dan Rakyat 2

Majlis Pengkisahan Tun Razak

Tun RazakHari ini bertempat di Auditorium Darul Makmur (ADAM), Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan telah diadakan Majlis Siri Jelajah Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan - Suatu Pengkisahan yang dianjurkan bersama oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang, Alliance Foundation Malaysia dan Orlaith Inc. Sdn. Bhd. Seperti yang dimaklumi, Almarhum Tun Haji Abdul Razak bin YDH Dato' Hussein merupakan Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang ke-10.

Negeri Pahang diberi penghormatan sebagai destinasi pertama program ini yang mana pihak penganjur akan memulakan penjelajahan ke seluruh negara sehinggalah berakhir pada penghujung tahun 2011 di Royal Albert Hall, London.

Dalam sesi pengkisahan pagi ini, seramai 4 orang tetamu yang rapat dengan Almarhum Tun Abdul Razak telah dijemput bagi berkongsi cerita. Mereka ialah :

1. Tan Sri Dato’ Mohd. Yusof bin Hitam

Beliau merupakan bekas Penolong Pegawai Daerah bagi Daerah Kecil Rompin pada tahun 1961 – 1962. Beliau juga adalah bekas diplomat yang pernah bertugas di beberapa buah negara asing serta pernah juga berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar. Banyak misi serta tugas rahsia yang melibatkan keselamatan negara telah Allahyarham Tun amanahkan kepada beliau, namun atas dasar kerahsiaan tidak dapatlah saya kongsikan kisah-kisah itu dalam Panca Persada ini.

2. Dato’ Hamidin bin Abdullah

Beliau sangat dikenali sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Ke-7 (2001 - 2005). Berasal dari Sanggang, Temerloh dan pernah menjadi Pegawai Daerah di Cameron Highlands semasa zaman pentadbiran Almarhum Tun Razak. Sumbangan terbesar beliau adalah tatkala menjadi Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka sekaligus ‘arkitek’ kepada pembentukan awal Jengka.

3. Dato’ Haji Zainuddin Haji Jumaat

Setiausaha Agung Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang. Beliau banyak membuat kajian mengenai sejarah Pahang khususnya berkaitan Almarhum Tun Razak.

4. Dato’ Haji Khairudin Mohd. Kawi

Merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang pertama (selama sepuluh tahun bermula 1969). Beliau antara tokoh terulung di Pahang yang menyimpan dan menulis manuskrip sejarah Pahang dari segi politik dan kebudayaan.

Banyak kisah-kisah menarik tentang sisi lain Almarhum Tun Razak yang jarang diketahui oleh orang ramai. Ada yang sulit dan ada yang tidak sesuai didedahkan di alam siber khususnya dalam hal-hal berkaitan rahsia keselamatan negara. Pada sebelah petang, majlis penutup telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob.

Thursday, November 4, 2010

Kenali Panca Persada (The Royal Platform)

Saya menerima satu e-mail daripada seorang pemantau setia Panca Persada, bertanyakan tentang apakah sebenarnya Panca Persada?

Sebagai perkongsian maklumat, Panca Persada (The Royal Platform)Panca Persada merupakan bangunan indah empat persegi tirus ke atas, berbentuk lima tingkat bertangga-tangga dan di atas sekali merupakan persada dimana diletakkan dua buah kerusi khas untuk istiadat bersiram diraja yang dilingkung dan dikelilingi oleh pembawa-pembawa alat kebesaran diraja. Bangunan ini kebiasaannya dibuat untuk tujuan istiadat bersiram raja dan isterinya sebelum ditabalkan menjadi raja dalam siri perayaan istiadat tabal raja ataupun kerana bersiram dua pengantin diraja sebagai mengakhiri kerja perkahwinan.

Panca Persada e

Dalam konteks istiadat kami di Pahang, alat-alat kebesaran yang digunakan dalam adat istiadat diraja Pahang (rujuk kembali http://pancapersada.blogspot.com/2009/10/alat-kebesaran-diraja-pahang.html) beserta dengan jejawat-jejawat (pawai-pawai) yang membawa alat-alat itu, akan didudukkan di setiap tingkat Panca Persada tersebut apabila istiadat bersiram bermula.

Panca Persada a

KDYMM Sultan dan DYMM Tengku Ampuan berangkat ke Panca Persada, diiringi oleh YAM Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar, Ketua Adat Istiadat Negeri Pahang (paling kanan)

Susunan kedudukan alat-alat tersebut adalah seperti berikut :

  1. Di atas persada, terletak dua buah Petarakna (seakan-akan pelamin) tempat bersiram raja. Air persiraman pula terdiri daripada :

    1. Air Mayang Nyior

    2. Air mayang Pinang

    3. Air Tolak Bala

    4. Air Doa Selamat

    5. Air Tujuh Anak Sungai

  2. Cogan, Bentara Kanan dan Kiri, Dua Pedang, Dua Keris.

  3. Di belakang Petarakna, disusun pula Ternang dan Ketur di sebelah kanan, Pembaran dan Puan disebelah kiri, dua pelayan perempuan sebelah kiri dan dua pelayan lelaki disebelah kanan.

  4. Beberapa pengiring raja berdiri disebelah hadapan Persada.

  5. Tabir-tabir yang dipasang dihadapan Panca Persada dilabuhkan tatkala istiadat bersiram dijalankan.

  6. Alat-alat serba enam bekas yang terdiri daripada :

    1. 16 buah Ternang diletakkan di tingkat pertama dari atas.

    2. 16 buah Pembaran diletakkan di tingkat dua dari atas.

    3. 16 buah Dian diletakkan di tingkat tiga dari atas.

    4. 16 Kain Dukun diletakkan di tingkat empat dari atas.

    5. 16 orang Ahli Dikir didudukkan di tingkat lima dari atas

Panca Persada d

Istiadat Bersiram sedang dilangsungkan

Alat-alat ini dengan jejawat yang membawanya diatur di sebelah kiri dan kanan tangga dan tingkat Panca Persada itu dengan dua di kanan dan dua di kiri keempat-empat penjuru Panca Persada tersebut.

Jejawat-jejawat (pawai-pawai) itu hendaklah memakai pakaianPanca Persada b seragam berwarna putih bersampin hitam dengan tanjak hitam tanpa keris bagi lelaki atau berbaju putih dan berkain hitam bagi perempuan serta bertudung kepala. Mereka akan membawa tiga jenis peralatan iaitu 16 Payung Berkembang, 16 batang Tombak dan 2 bilah Lembing. Jejawat-jejawat yang membawa tiga jenis alat ini berbaris di kiri dan kanan jalan menghala ke tangga naik Panca Persada.

Panca Persada cPerarakan DiRaja sedang menuju Istana Abu Bakar, selepas Istiadat Bersiram

(Rujukan : YAM Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar; Peraturan Adat Istiadat Raja-Raja Negeri Pahang, 1971, hlm. 23 – 24).